BAHAGIAN PENGAJIAN PENGURUSAN (BPP), PERBADANAN HAL EHWAL BEKAS ANGKATAN TENTERA (PERHEBAT)

Carian Maklumat Di Sini...
Google

BAHAGIAN PENGAJIAN PENGURUSAN

Bahagian Pengajian Pengurusan adalah bahagian yang bertanggungjawab berkaitan dengan bidang keusahawanan di PERHEBAT. Bahagian ini menguruskan dua kursus latihan peralihan iaitu Kursus Pembangunan Usahawan Industri Kecil dan Sederhana ( 6 bulan) dan Kursus Peruncitan (6 bulan) serta menerapkan Nilai Tambah Keusahawanan (2 minggu) untuk kursus-kursus teknikal seperti automotif, binaan, perhotelan, katering dll.

Kursus Pembangunan Usahawan IKS adalah kursus latihan peralihan yang dapat membimbing bakal-bakal pesara tentera dalam ilmu keusahawanan selepas mereka bersara nanti. Banyak pendedahan dalam dunia keusahawanan diberikan agar mereka dapat menguruskan karier masing masing selepas tamat perkhidmatan. Tips dan rahsia perniagaan diberikan kepada mereka yang mengambil kursus IKS di PERHEBAT.

Tuesday, February 26, 2013

Perniagaan secara online

Apa khabar anda pada hari ini? Diharap anda sentiasa sihat dan semakin ceria da merupakan seorang usahawan yang telah mempunyai produk anda sendiri. Anda mahu menggunakan internet untuk
mempromosikan produk anda. Setelah beberapa lama anda "try & error" serta menghabiskan banyak masa & wang, akhirnya anda berjaya menjual produk anda di internet kepada pembeli yang bertuah. Tahniah!

Persoalannya ialah, pernahkah anda tertanya-tanya selama ini apakah sebab sebenarnya serta alasan yang konkrit mengapa para pembeli berminat untuk membeli produk anda? Adakah kerana anda mempunyai produk yang sangat bagus untuk mereka, ataupun anda mempunyai kemahiran mengayat yang mampu
mencairkan hati setiap bakal prospek, atau anda menggunakan kaedah pemasaran yang tepat ATAUPUN ia sekadar NASIB BAIK? (Untung sabut timbul, untung batu tenggelam)

Jika ia cuma bergantung kepada NASIB, apakah yang terjadi kepada jualan anda sekiranya nasib anda kurang baik pada hari itu? Sudah pastinya anda bakal menghabiskan lebih banyak wang ringgit berbanding jualan produk anda. Dalam erti kata lain, ANDA RUGI!

Ketahuilah bahawa 3 sebab sebenar mereka membeli produk anda pada hari ini adalah kerana:

1. Produk anda releven untuk mereka! (Keperluan)
2. Mereka telah mengenali anda & produk anda sedalam-dalamnya!
3. Mereka percaya kepada anda 100%!

Untuk berjaya menjual di internet, anda WAJIB menguasainya! Jika anda berjaya menguasai 3 perkara di atas, anda pasti mampu menjual produk-produk anda kepada pengguna dengan jayanya berkali-kali tanpa sebarang masalah. Pendek kata, anda perlu menguasai seni penjenamaan (Branding) di internet!

Untuk pengetahuan anda, Blog merupakan medium yang paling baik, mudah, jimat dan selamat untuk anda gunakan untuk penjenamaan diri anda serta produk jualan anda di internet. Ini kerana blog mampu berfungsi untuk meningkatkan kredibiliti anda dan semua produk anda di internet.

Bayangkan hanya dengan 1 artikel di blog, anda mampu meyakinkan kepada semua bakal prospek yang membaca artikel tersebut untuk  lebih mengenali anda serta mempercayai anda dan seterusnya terbuka hati untuk membeli produk-produk yang anda jualkan. Kesannya 101% lebih efektif daripada menggunakan media sosial!

Friday, February 1, 2013

10 Punca KeGAGALan Peniaga Internet

Sejak kebelakangan ni, ada banyak seminar, ada banyak produk info yang dihasilkan untuk mewujudkan dan menambah kelompok peniaga Internet. Bagi saya, ianya bagus. Dalam setiap seminar yang dianjurkan, pasti akan menghasilkan peniaga Internet yang berjaya. Bagi setiap ebook yang dihasilkan tentang perniagaan Internet juga pasti banyak menghasilkan peniaga Internet yang power.
Tetapi, masih ramai lagi yang GAGAL buat duit di Internet.

Kenapa? (AMARAN: kandungan dibawah tidak sesuai dibaca jika anda ada penyakit sentap)

1) Tiada MENTOR
Perlu ke mentor? Zaman sekarang ni PERLU. Kerana terlalu banyak persaingan, terlalu banyak teknologi diluar sana. Siapa yang silap buat dan lambat bangkit, HABISS! Dengan ada nya mentor, kita akan ditunjukkan shortcut untuk ‘memotong’ orang lain tanpa perlu bersusah payah nak buat eksperimen bagai.

2) DEGIL, TAK IKUT cakap mentor
Kes macam ni pun ada. Dah join sessi coaching, mentoring, workshop, tapi bila balik rumah lain pula yang dibuat. Bila mentor suruh buat produk info, balik nak buat affiliate pulak. Bila mentor suruh buat blog, balik nak buat ebook pulak. Bila mentor suruh lalu jalan yang tak jammed, sibuk nak lalu jalan yang sesak penuh dengan semak samun. Akibatnya, sorry to say ke longkang lah jawabnya.

3) Banyak sangat noise
Terlalu banyak sangat ‘agenda’ lain nak buat. Kononnya, baling sepuluh batu akan terkena satu dua batu. Kononnya nak mencari formula ajaib yang orang lain tak jumpa. Kononnya nak buat sendiri A, B, C, D, dan E supaya bolehla nanti jadi pakar semua tu. Kononnya, nak tiru macam Tony Fernandes yang ada banyak bisnes. Hakikatnya, itu semua noise yang mengganggu.

4) Banyak buat benda merepek meraban
Padahal ikut perancangannya, jalan nak dilalui tu memang dah lurus dan boleh terus lalu. Lampu semua dah ada. Cuma nak lalu dan ambil tindakan saja. Tapi, benda lain pulak dibuatnya. Buat skim cepat kaya la, buat itu ini la.. Tengok orang jadi kaya dengan buat ebook, kita pun nak buat ebook. Tak sampai 2 hari, tengok orang jadi kaya dengan ebay, kita pun nak buat ebay pulak. Tak sampai seminggu lepas tu tengok orang update screenshot power buat dropship, kita pun nak buat dropship pulak. Akhirnya, lepas setahun baru kita sedar kita banyak buat benda merepek meraban. Kalau sedar, lepastu berubah takpe lah jugak. Ni sedar dan ulangi perkara sama.

5) Jeles, dengki, iri hati!
Penyakit PHD ni sangatlah menebal dalam kaum kita ni. Entah kenapa susah sangat nak buang. Bila nampak orang lain berjaya dalam bidang affiliate, kita dengki dan berusaha untuk ceburi bidang affiliate untuk mengalahkan sipolan (nak jadi lebih glamour dari sipolan)

6) Banyak sangat masalah yang DICIPTA SENDIRI
Buat ebook, ada saja tak kena. Software tak ada lah, masa tak ada lah, mood tak ada lah, kerja lain banyak lah.. Pergi lepak maple tak ada masalah la pulak. Hujan sanggup diredah, lampu isyarat merah sanggup dilanggar, tayar pancit sanggup dibalun, pekerja maple sombong sanggup ditahan. Tapi, untuk ebook sendiri yang dah berzaman tak siap tu macam-macam pulak masalah.

7) Lebih percaya orang lain dari diri sendiri
Bila orang lain buat, kita percaya “ko mesti boleh buat, ko dah ada kepakaran..”. Bila sampai kat kita, rasa tak yakin, rasa tak laku, rasa tak boleh, dan seribu satu rasa lagi yang menimpa. Orang lain buat kita yakin dia boleh buat. Tapi kita? yakinkah kita dengan diri kita?

8) Lebih memikirkan DUIT dari memikirkan USAHA kita
Belum buat produk lagi, dah kira dah berapa untung kita. Belum pun jual produk lagi, dah mula rasa tamak. Belum pun produk kita dipasarkan, dah mula fikir nak beli macam-macam. Pernah kita terfikir ke berapa banyak usaha yang kita dah letak dalam kehidupan kita? Pernah kita terfikir ke adakah kita dah beri yang terbaik dalam produk dan usaha kita? Mentaliti kita masih lagi berpaksikan duit semata-mata.

9) Hidup dialam fantasi
Yang ni termasuk didalam kes parah. Pergi belajar buat duit, beli ebook dah bermacam sampai bapak ebook pun dibeli. Tetapi, selagi poket tak cukup kering, selagi ada member boleh bagi pinjam duit, selagi cukup bulan dapat duit gaji, kita terus hidup dalam alam fantasi. Alam yang penuh dengan keselesaan. Hidup perut kenyang, tidur lena, pergi kerja balik kerja, penuh dalam alam fantasi. Terlupa semua apa yang nak dibuat untuk memajukan bisnes online kita. Terlupa apa tindakan kita untuk meniaga di Internet. Bila dah kering poket, tak ada tempat nak pinjam, luka dah jadi nanah, mula lah tersedar ke alam realiti. Itu pun tak tahu berapa lama boleh tahan berada di alam realiti sebelum masuk ke alam fantasi semula.

10) Lebih sibuk buat kerja ‘cari SALAH’
Fasa terakhir adalah fasa kemuncak apabila buat ini tak kena, buat itu tak kena. Mulalah sibuk dengan aktiviti ‘mencari salah’. Kerja-kerja pemasaran, buat produk, tak ada pulak masa. Macam-macam pulak halangan. Tapi bila masuk kerja mencari salah ni, nombor 1. Salahkan mentor, salahkan ebook, salahkan bos, salahkan masa takde, salahkan orang yang tak beli, salahkan poket yang tak ada duit, satu dunia disalahkan. Saat ini terasa yang kita seorang lah yang paling betul dalam dunia.

Kesimpulan
Elakkan dari memiliki 10 punca diatas ni. Kalau boeh, hari-hari tengok post ni samada kita ada ataupun tidak. Kalau masih ada, salam takziah kerana kita masih lagi gagal memajukan bisnes Internet atau lebih teruk, gagal buat duit online. Cuba buang punca-punca tersebut, dan berubahlah. 

Kehebatan budu Kelantan

Sos ikan bilis yang diperam hingga hancur telah lama menjadi kegemaran masyarakat Pantai Timur. Kini makanan tradisional itu mendapat kebanggaan baru – dipeketkan dan dijadikan produk kecantikan.



BUDU sangat sinonim dengan masyarakat Kelantan. Dikatakan, hampir setiap keluarga di negeri itu mempunyai sekurang-kurangnya sebotol budu di dapur mereka.
“Walaupun keluarga saya berketurunan Cina, namun kami selalu makan budu bersama ikan bakar dan ulam-ulaman,” akui Tan Chia Ying, 22.
Beliau yang tinggal di Kampung Panji, Kota Bharu, tidak malu mengaku makan budu sejak kecil. Keluarganya sering menyediakan budu yang diperah limau nipis dan dicampur cili api dan bawang.
“Bukan sesuatu yang ganjil sekiranya melihat masyarakat Cina di Kelantan makan budu. Malah ramai kenalan saya yang berketurunan Cina meminati budu,” katanya yang berkulit putih gebu.
Kartilawati Subari, 40, pula berkata, beliau sentiasa menyimpan bekalan budu di rumahnya untuk dihidangkan kepada keluarga.
Terang beliau, walaupun budu merupakan makanan tradisional namun ia mempunyai banyak khasiat tetapi kurang didedahkan.
“Budu dikatakan menyumbang kepada kecantikan dan awet muda,” ujarnya sambil tersenyum.
Bagi seorang usahawan, Mat Ismail, 57, permintaan budu yang tidak pernah putus itu adalah satu idea perniagaan yang hebat.
Pada tahun 1978, Mat mula membuat budu secara kecil-kecilan di belakang rumahnya di Kampung Geting, Tumpat dengan bermodalkan RM1,500. Beliau menubuhkan syarikat Perusahaan Warisan Ketereh dan menggunakan biji ketereh sebagai tanda niaganya.

BUDU Ketereh yang diusahakan Mat Ismail turut digunakan sebagai agen antipenuaan dalam produk kosmetik.


Selepas 30 tahun, ternyata budu telah memberi banyak kebanggaan kepada beliau.
Ia bukan semata-mata kerana beliau kini tinggal di rumah banglo dan memandu kereta Mercedes Benz.
Sebaliknya, Budu Ketereh beliau menjadi budu pertama negara ini yang diiktiraf sebagai harta intelek. Kejayaan itu dicapai pada tahun 2007.
Berikutan pengiktirafan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (PHIM) itu, Budu Ketereh kini dilindungi mengikut Akta Perlabelan.
Budu Ketereh juga digunakan oleh Institut Standard dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) untuk menghasilkan produk kosmetik.
Buat masa ini, Mat mempunyai sebuah kilang budu di atas tanah seluas 0.8 hektar dengan dibantu 40 orang pekerja.

SOS budu terhasil selepas enam bulan dibiarkan di dalam tong pemeraman.


Empat daripada lapan anaknya hasil perkahwinan dengan Kamariah Hussein, 45, turut melibatkan diri dalam perniagaan itu.
Menurut Mat, proses membuat budu adalah ringkas iaitu hanya mengunakan ikan bilis, garam dan gula.
Katanya, kerja memproses budu dimulakan dari bulan Jun hingga November kerana ia merupakan musim ikan bilis.

IKAN bilis merupakan ramuan utama budu.






ADAKAH rahsia kehalusan kulit wanita Kelantan kerana mereka mengambil budu setiap hari?


“Dalam tempoh tersebut, kerja-kerja pembersihan dan pengasingan ikan bilis dilakukan oleh pekerja di bahagian pelantar kilang yang dibina di tebing sungai sebelum diangkut ke darat.
“Ikan bilis itu digaul dengan garam dan diperam selama enam bulan di dalam tong gentian kaca atau dalam kolah yang diperbuat daripada simen,” katanya yang kini memiliki 20 buah tong gentian kaca berukuran 1.2 meter tinggi dan 2 meter lebar.
Khabarnya, Mat merancang untuk membeli 200 buah tong lagi.
Penggunaan tong gentian kaca disarankan oleh Sirim bagi meningkatkan kebersihan produk berbanding kolah simen.
Bulan Disember hingga Mei pula adalah masa untuk memasak, menapis dan membotolkan makanan itu.
Selepas budu dimasak, ia ditapis dan disejukkan selama beberapa jam sebelum dibotolkan menggunakan tenaga mesin dan manusia.
Secara purata, kilang Budu Ketereh mampu mengeluarkan 12,000 botol budu sehari untuk memenuhi pasaran di seluruh Malaysia.
Bekalan bilis makin kurang
Bagaimanapun, Mat mengakui kekurangan ikan bilis menyebabkan pengeluaran budunya agak terhad.
Secara purata beliau memerlukan bekalan ikan bilis sebanyak tiga hingga empat tan sebulan, namun bekalan yang diperoleh sejak kebelakangan ini sekitar satu tan sahaja.
“Saya terpaksa membeli ikan bilis dari Sabah untuk memenuhi permintaan.
“Ikan bilis di perairan negara kita semakin berkurangan dan pada masa yang sama banyak kawasan pulau telah diwartakan sebagai Taman Laut Negara,” katanya yang menambah budu yang baik bergantung pada kualiti ikan bilis yang dibekalkan.
Pada awal tahun ini, Mat membeli sebuah mesin pembungkusan baru berharga RM45,000 untuk memasarkan budu dalam bentuk peket.
Budu yang diusahakan oleh Mat Ismail merupakan budu yang pertama di negara ini yang dimodenkan penampilannya hasil bantuan Sirim dan Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC).
Menurut Mat, idea untuk memasarkan budu di dalam peket muncul selepas beliau mendapati kebanyakan produk seperti kopi segera kelihatan lebih moden dan ringkas apabila dipeketkan.
“Selain itu, budu yang disimpan di dalam botol agak sukar dipasarkan ke negara luar kerana ia tidak boleh dibawa dengan kapal terbang.
“Dengan pembungkusan menggunakan teknik lebih canggih, saya berharap Budu Ketereh mampu menembusi pasaran antarabangsa sedikit masa lagi,” katanya.
Mat berkata, mesin pembungkusan baru itu mengeluarkan budu dalam dua peket berbeza iaitu kandungan 20 mililiter dan 80 mililiter. “Dalam sehari mesin itu boleh mengeluarkan lebih 1,000 peket budu,” katanya.
Budu cerahkan kulit dan antipenuaan
RAUT wajah Penyelidik Kanan Alam Sekitar dan Bioproses, Pusat Teknologi Sirim, Hamidah Sidek kelihatan seperti gadis 20-an walaupun umur sebenarnya adalah 40 tahun.
Apabila ditanya rahsia awet mudanya, graduan dalam bidang pertanian dari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, beliau pada mulanya menggunakan produk kecantikan terkenal.
“Namun kini saya beralih kepada makan budu setiap kali makan tengah hari dan makan malam,” katanya.

HAMIDAH menunjukkan produk kosmetik dengan jenama BK yang turut mengandungi budu.


Menurut Hamidah, dalam kajian yang dilakukannya selama dua tahun bersama 10 penyelidik Sirim yang lain, makanan tradisional itu mampu mengekalkan wajah muda seseorang.
“Proses penapaian budu menguraikan bahan organik kepada peptida dan asid amino yang menyumbang kepada rasa dan aroma lazat serta mempunyai nilai kosmetik.
“Ia berkesan sebagai agen mencerahkan kulit dan antipenuaan. Semua ini berlaku kerana ekstrak marin daripada budu berupaya melawan radikal bebas, merangsang pertambahan sel kulit dan menggalakkan penghasilan kolagen.
“Ia juga mampu melindungi kulit daripada sinaran matahari,” terang beliau yang telah melakukan kajian makmal dan ujian ke atas 25 individu.
Sebahagian besar individu yang diuji mendapati wajah mereka semakin cerah, bintik jerawat berkurangan dan menyelesaikan masalah kulit berminyak.
Produk kosmetik budu Sirim terbahagi kepada tiga iaitu pembersih dan penyegar, krim kulit dan serum kecantikan kulit. Ia menggunakan jenama BK iaitu Budu Kelantan atau Budu Ketereh.
“Walaupun hanya satu peratus ekstrak budu digunakan sebagai bahan asas kosmetik tetapi ia berkesan kerana komponen itu sudah cukup untuk memberi khasiat kepada pemakainya.
“Malah kami kini mengkaji potensi tempe sebagai produk kosmetik,” katanya.
Hamidah berharap produk BK akan mendapat sambutan daripada pengguna kelak sebaik sahaja Sirim bertemu syarikat yang berminat untuk mengedarkannya. – MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
Related Posts with Thumbnails