Pengenalan Entiti Perniagaan
Tiada usahawan dapat menafikan bahawa cabaran perniagaan semakin
bertambah di alaf baru ini. Perniagaan merangkumi semua aktiviti dan
usaha yang menyediakan barangan dan perkhidmatan yang perlu untuk
sesuatu sistem ekonomi (M.B. Muda et. al., m.s 3)
Kejayaan sesuatu perniagaan amat dipengaruhi oleh jenis entiti yang
dipilih oleh seseorang peniaga. Malangnya, kebanyakan peniaga tidak
begitu sedar dan faham tentang kepentingan entiti perniagaan yang tepat
atau betul.
(a ) Pengertian Entiti Perniagaan
Entiti perniagaan merupakan satu badan perniagaan yang mempunyai
fungsi tersendiri (M.B. Muda et.al., m.s 28). Oleh itu, perniagaan
boleh dikelaskan berdasarkan bentuk pemilikan perniagaan, aktiviti
perniagaan yang dijalankan, sektor industri di mana perniagaan itu
beroperasi, jenis keluaran yang diterbit dan dipasarkan dan juga
peringkat perniagaan dalam aliran industri.
Sebelum bentuk-bentuk perniagaan diterangkan dengan lebih lanjut,
lebih baik beberapa konsep asas perniagaan difahami dahulu. Antaranya
ialah :-
i. Konsep Liabiliti Perniagaan
Usahawan-usahawan yang menceburi diri dalam bidang perniagaan sering
menghadapi pelbagai risiko terutamanya syarikat perniagaan yang
mempunyai liabiliti tidak terhad. Liabiliti perniagaan adalah
tanggungan dan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh perniagaan mulai
sekarang (tempoh semasa) hingga pada masa hadapan sebelum liabiliti
tersebut dijelaskan pada jangka masa yang telah ditetapkan (Zumilah
Zainalaludin, m.s 31). Pada dasarnya, liabilti perniagaan dibahagikan
kepada dua jenis yang utama iaitu liabiliti terhad dan liabiliti tidak
terhad.
Liabiliti terhad merupakan tanggungan perniagaan yang terhad kepada
jumlah pelaburan yang telah dilaburkan dalam perniagaan yang berkenaan.
Sekiranya pemilik perniagaan tidak mampu menjelaskan segala tanggungan
perniagaan apabila perniagaannya gulung tikar (gagal), maka aset
peribadi pemilik perniagaan tidak akan terlibat langsung dalam
melunaskan tanggungan perniagaannya. Ini bermaksud pemilik perniagaan
yang berliabiliti terhad hanya akan kehilangan jumlah modal yang
dilaburkan dalam perniagaan sahaja bagi tujuan melunaskan liabititi
perniagaan tadi. Perniagaan sendirian, perniagaan awam ataupun
perniagaan perkongsian boleh didaftarkan sebagai perniagaan
berliabiliti terhad. Nama perniagaan sendirian dan perniagaan
perkongsian yang berliabiliti terhad perlu diakhiri dengan perkataan
“Sdn. Bhd.” atau “Bhd.” Contoh: Addison Wesley Longman Bhd. Perniagaan
awam pula perlu menunjukkan perkataan “PLC” pada hujung nama
perniagaan. Contoh : Olympia Plc., Tanjong Plc.
Pemilik perniagaan yang berliabiliti tidak terhad perlu melibatkan
asset peribadi dalam melunaskan tanggungan perniagaan sekiranya
perniagaannya mengalami sesuatu yang malang. Ini bermakna tanggungan
perniagaan tidak terhad kepada jumlah pelaburan yang pemilik laburkan
pada perniagaan yang berkenaan. Contoh: Syarikat Hazami, Kedai Runcit
Cheong Fatt.
ii. Konsep Sendirian dan Awam
Negara-negara yang mengamalkan system ekonomi campuran seperti
Malaysia dan Britain mempunyai perniagaan sendirian dan juga perniagaan
awam.
Perniagaan sendirian (private enterprise) merujuk kepada perniagaan
yang dimiliki dan diusahakan oleh individu-individu tertentu (some of
the public) yang biasanya bermatlamatkan keuntungan. Entiti perniagaan
sendirian menjalankan berbagai-bagai aktiviti perniagaan.
Syarikat-syarikat perniagaan dan korporat adalah entiti perniagaan yang
tergolong dalam kategori ini. Contoh : Kedai Gunting XYZ, Public Bank
Berhad.
Perniagaan awam (public enterprise) pula merujuk kepada entiti
perniagaan yang dimiliki oleh Negara (all of the public). Perniagaan
awam ditadbir oleh kerajaan pusat ataupun kerajaan tempatan. Perniagaan
awam lazimnya berfungsi sebagai agen pelaksana dasar-dasar awam
kerajaan dan matlamatnya ialah semata-mata matlamat sosial. Contoh:
Jabatan Pengangkutan Jalan, Perbadanan Kemajuan Negeri.
2.2 Bentuk-bentuk Pemilikan Perniagaan
Salah satu asas untuk mengelaskan sesuatu perniagaan ialah pemilikan
perniagaan itu sendiri. Pemilikan perniagaan melihat perspektif pemilik
atau tuan punya perniagaan. Terdapat empat bentuk pemilikan perniagaan
iaitu pemilikan tunggal (sole proprietor), perkongsian (partnerships),
syarikat / korporat dan koperasi. Setiap bentuk pemilikan perniagaan
yang tersebut tadi mempunyai ciri-ciri, kelebihan dan kelemahan
tersendiri.
(a) Pemilikan Tunggal (Sole Proprietor / Trader)
Bentuk perniagaan ini seperti kedai runcit, pasar mini, warung
paling banyak terdapat di Negara kita, Malaysia. Ciri-ciri utama bentuk
perniagaan ini ialah:
i. Dimiliki oleh seorang pemilik sahaja. Pemilik berperanan
sebagai pengurus dan pekerja perniagaan. Kadang-kala pemilik perniagaan
dibantu oleh ahli keluarga ataupun satu atau dua orang pembantu yang
digaji.
ii. Modal perniagaan disumbangkan oleh pemilik sendiri daripada hasil tabungan atau pinjaman daripada keluarga.
iii. Pemilik perniagaan ini mesti mendaftarkan perniagaannya
dengan Pejabat Pendaftar Perniagaan. Pendaftaran perniagaan boleh
dibuat dengan menggunakan nama pemilik seperti Kedai Runcit Ahmad Kamal
ataupun nama perniagaan seperti Pasar Mini Pongsu Seribu.
iv. Pemilikan tunggal merupakan sejenis perniagaan yang
menjual satu jenis produk atau perkhidmatan yang tidak memerlukan modal
yang besar.
Kelebihan Pemilikan Tunggal
i. mudah ditubuhkan, dikembangkan dan dibubarkan.
ii. kos penubuhan dan kos overhed perniagaan rendah.
iii. pemilik perniagaan bebas untuk mengurus, mengawal dan membuat keputusan perniagaan
iv. pemilik perniagaan mendapat kepuasan yang lebih kerana
segala untung dan rugi menjadi tanggungannya, memberi layanan secara
peribadi kepada pelanggan.
v. cukai pendapatan secara perseorangan dan akaun perniagaan
tidak perlu diaudit semasa dilaporkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri
(LHDN).
Kelemahan Pemilikan Tunggal
Perniagaan pemilikan tunggal juga mempunyai beberapa kelemahan. Antara kelemahan-kelemahannya ialah :
i. aset peribadi pemilik perniagaan berisiko tinggi kerana bentuk perniagaan ini berliabiliti tidak terhad.
ii. modal, idea dan kemahiran pengurusan pemilik perniagaan yang terhad menyukarkan pengembangan perniagaan.
iii. masa kerja pemilik perniagaan panjang dan tidak bebas untuk bercuti panjang.
(b) Perkongsian (Partnerships)
Perniagaan perkongsian merupakan lanjutan daripada
perniagaan tunggal. Bentuk perniagaan ini dibentuk secara gabungan dan
diusahakan oleh dua orang atau lebih dengan matlamat memperoleh
keuntungan. Pemilik-pemiliknya dikenali sebagai rakan kongsi
perniagaan. Terdapat beberapa jenis rakan kongsi perniagaan. Antaranya
ialah:
i. Rakan Kongsi Umum
- mempunyai liabiliti yang tidak terhad
- sangat aktif dalam aktiviti operasi perniagaan
- menyumbangkan modal
ii. Rakan Kongsi Terhad
- mempunyai liabiliti terhad
- tidak aktif dalam aktiviti operasi perniagaan
- menyumbangkan modal
iii. Rakan Kongsi Lelap / Tidur (Sleeping Partners)
- menyumbangkan modal
- berhak menerima keuntungan
- tidak aktif dalam aktiviti operasi perniagaan
iv. Rakan Kongsi Nominal
- tidak menyumbangkan modal
- membenarkan nama digunakan
- orang yang berpengaruh / mempunyai tahap kredibiliti yang tinggi
- turut menanggung segala liabiliti perkongsian
Ciri-ciri Bentuk Perniagaan Perkongsian
i. Jumlah modal yang disumbangkan oleh rakan-rakan kongsi
berasaskan syarat-syarat / persetujuan yang termaktub dalam perjanjian
bertulis yang dikenali sebagai Artikel Perkongsian (Articles of
Partnership).
ii. Jumlah keuntungan diagihkan kepada semua rakan kongsi
perniagaan berdasarkan syarat-syarat / modal yang telah dinyatakan
dalam Artikel Perkongsian.
iii. Sekurang-kurangnya dua orang pemilik tetapi tidak
melebihi 20 orang bagi perniagaan biasa, 10 orang bagi bank, bilangan
rakan kongsi tidak terhad bagi bidang professional.
iv. Didaftarkan dengan Pejabat Pendaftar Perniagaan (ROB).
Boleh mendaftarkan perniagaan perkongsian dengan menggunakan nama
perniagaan atau nama rakan-rakan kongsi.
v. Liabiliti perniagaan tidak terhad kecuali bagi pekongsi berhad.
vi. Aktiviti operasian perniagaan diuruskan oleh rakan kongsi
yang aktif. Sebagai balasan, rakan kongsi berkenaan dibayar gaji /
elaun mengikut syarat-syarat perjanjian.
vii. Perniagaan perkongsian tidak dikenakan cukai perniagaan.
Rakan-rakan kongsi perlu membayar cukai pendapatan perseorangan.
Kelebihan Perniagaan Perkongsian
i. Mudah ditubuhkan. Perniagaan perkongsian merupakan
lanjutan daripada perniagaan secara pemilikan tunggal. Oleh itu,
prosedur untuk menubuhkan perniagaan perkongsian tidak banyak
perbezaannya berbanding dengan perniagaan secara pemilikan tunggal.
ii. Penggabungan banyak idea terutamanya pada peringkat awal
penubuhan perniagaan perkongsian. Keupayaan berfikir daripada idea
rakan kongsi yang banyak dapat memberi kelebihan keyakinan kepada
perniagaan perkongsian untuk berhadapan dengan pesaing-pesaing yang
sedia ada dalam pasaran.
iii. Dapat menggemblengkan tenaga, kemahiran dan kepakaran
yang berlainan. Perbincangan dan pengkhususan boleh dilakukan antara
rakan-rakan kongsi.
iv. Mudah mendapatkan sumber kewangan terutamanya daripada
institusi kewangan. Pihak bank atau syarikat kewangan (Finance)
mempercayai bahawa rakan kongsi yang ramai memudahkan perniagaan
perkongsian untuk melangsaikan obligasinya.
v. Dapat mengembangkan kemampuan perniagaan. Dengan modal
yang mencukupi hasil daripada sumbangan ekuiti rakan kongsi, perniagaan
perkongsian dapat merebut peluang perniagaan serta memajukan
perniagaannya dengan mudah.
vi. Perniagaan perkongsian tidak dikenakan cukai perniagaan.
Berdasarkan keuntungan yang diterima, rakan kongsi perniagaan
perkongsian masing-masing diwajibkan oleh undang-undang untuk
menjelaskan cukai pendapatan perseorangan kepada Lembaga Hasil Dalam
Negeri.
Kelemahan Perniagaan Perkongsian
i. Liabiliti / Tanggungan yang tidak terhad. Semua rakan
kongsi perniagaan perkongsian berliabiliti tidak terhad kecuali
pekongsi-pekongsi berhad. Ini bermakna sekiranya perniagaan perkongsian
itu terpaksa menggulung tikar, pihak pemiutang boleh menuntut hutangnya
daripada aset peribadi rakan kongsi perniagaan itu.
ii. Mudah berlaku konflik atau salah faham. Rakan kongsi
yang ramai mudah mempengaruhi pembuatan keputusan. Pendapat dan karenah
rakan kongsi yang berbeza-beza sering kali menjadi punca perselisihan
faham atau pertelingkahan. Masalah ini akan menjejaskan keharmonian di
kalangan rakan kongsi perniagaan itu.
iii. Kewujudan perniagaan perkongsian tidak kekal. Sekiranya
seorang rakan kongsi menarik diri daripada perniagaan perkongsian,
meninggal dunia, tidak siuman atau diisytiharkan sebagai muflis, maka
perkongsian itu dengan sendirinya terbubar. Jika rakan-rakan kongsi
yang lain ingin meneruskan perniagaan perkongsian itu, mereka perlu
mendaftarkan semula perniagaan perkongsian itu dengan Pejabat Pendaftar
Perniagaan (ROB).
iv. Pemilikan perniagaan sukar untuk dipindahkan. Berdasarkan
undang-undang perniagaan, hasrat seseorang rakan kongsi untuk
memindahkan pemilikan perniagaannya perlu, terlebih dahulu, mendapatkan
persetujuan daripada rakan-rakan kongsi perniagaan yang lain. Jika
tidak, pemindahan pemilikan perniagaan itu adalah tidak sah.
(c) Perbadanan Korporat
Perbadanan korporat merupakan suatu bentuk perniagaan yang
ditubuhkan dibawah kuasa undang-undang (Akta Syarikat) dan didaftarkan
melalui Pendaftar Syarikat. Ini bermakna perbadanan korporat yang
berdaftar boleh menjalankan aktiviti-aktiviti perniagaan, memiliki atau
menjual harta, meminjam wang, mengambil dan diambil tindakan oleh
mahkamah dan membuat sebarang perjanjian dengan sebarang organisasi
(Zumilah Zainalaludin, 1999, m.s 40).
Ciri-ciri Bentuk Perbadanan Korporat
Terdapat tiga jenis perniagaan secara perbadanan korporat iaitu
syarikat sendirian (swasta), syarikat awam, dan badan berkanun. Selain
itu, perbadanan korporat juga boleh dikelaskan kepada syarikat berhad
atau syarikat tidak berhad. Syarikat berhad, tidak kira syarikat
sendirian (swasta) atau syarikat awam, dibahagikan kepada syarikat
berhad dengan jaminan, syarikat berhad dengan saham dan syarikat berhad
dengan jaminan dan saham.
i. Syarikat Sendirian Berhad (Swasta)
- Syarikat-syarikat sendirian berhad boleh dikenali dengan mudah.
Tiap-tiap nama syarikat sendirian berhad diakhiri dengan perkataan
sendirian berhad atau Sdn. Bhd.
- Pemilik atau pemegang saham syarikat sendirian berhad terdiri
daripada 2 hingga 50 orang. Semua pemilik perniagaan berliabiliti
terhad.
- Pemilik / pemegang saham syarikat sendirian berhad yang menyumbang
modal perniagaan. Mereka dilarang sama sekali untuk mengutip modal
daripada orang awam.
- Saham syarikat sendirian berhad boleh dijual beli tetapi tidak dilakukan secara terbuka di pasaran.
- Pemegang saham yang memiliki 51% atau lebih daripada jumlah saham
biasa syarikat sendirian berhad, berhak untuk mengawal syarikat
sendirian berkenaan.
ii. Syarikat Awam Berhad
- Syarikat awam berhad boleh dikenali melalui perkataan “Berhad” /
Bhd. Di hujung nama syarikat berkenaan. Terdapat dua jenis syarikat
awam berhad iaitu yang tersenarai di bursa saham seperti Bursa Saham
Kuala Lumpur (BSKL) dan syarikat awam tidak tersenarai.
- Modal syarikat awam berhad dikumpulkan melalui penjualan saham dan bon kepada orang awam.
- Pemegang saham syarikat awam berhad bebas menjual dan membeli saham
di pasaran saham (BSKL). Ini bermakna pemindahan saham syarikat tidak
perlu mendapat persetujuan pemegang-pemegang saham lain dalam syarikat.
- Bilangan minimum pemegang saham adalah 2 orang dan boleh melebihi
50 orang. Jumlah pemegang saham itu bergantung kepada jumlah saham yang
dipegang oleh ahli-ahli syarikat dan jenis saham yang diterbitkan.
- Pemilik perniagaan ini berliabiliti terhad terhadap jumlah modal yang dilaburkan dalam perniagaan.
iii. Syarikat Awam Berhad Dengan Jaminan
- Dimiliki oleh ramai pemilik seperti persatuan-persatuan.
- Tidak bermotifkan keuntungan, hanya bertujuan untuk menjaga kebajikan para pelabur perniagaan.
- Dijamin oleh kerajaan atau agensi kerajaan.
iv. Badan-badan Berkanun
- Ditubuhkan oleh pihak kerajaan yang bertujuan untuk membangunkan sesuatu industri atau menjaga kepentingan rakyat jelata.
- Dibentuk di bawah Akta Parlimen.
- Badan-badan berkanun yang menjalankan perniagaan seperti Perbadanan
Kemajuan Ekonomi Negeri, FELDA, Lembaga Pertubuhan Ladang dikenali
sebagai perusahaan awam.
- Beberapa badan berkanun di Malaysia telah diswastakan melalui
Dasar Penswastaan dan Persyarikatan mulai tahun-tahun 1980-an.
Antaranya, Sistem Telekom Malaysia, MAS, Tenaga Elektrik Nasional,
Perkhidmatan Pos, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Universiti Malaya
(UM) dan sebagainya. Saham-saham badan-badan berkanun berkenaaan telah
dijual kepada masyarakat umum.
Kelebihan Perniagaan Perbadanan Korporat
- Liabiliti pemilik terhad kepada jumlah modal yang dilaburkan.
- Status perundangan jelas dan perlu dipatuhi dengan tepat. Pemegang-pemegang saham dilindungi oleh undang-undang.
- Modal yang besar memudahkan perniagaan berkembang.
- Bentuk perniagaan secara perbadanan korporat lebih stabil kerana ia entiti berasingan dengan pemilik perniagaan.
- Pengurusan perniagaan secara perbadanan korporat lebih efisyen kerana ia duruskan oleh kumpulan pengurusan professional.
Kelemahan Perniagaan Perbadanan Korporat
- Operasi perbadanan korporat dikawal oleh undang-undang yang ketat.
- Pengurusan perbadanan korporat dikawal oleh lembaga pengarah dan
bukan pemilik perniagaan. Pengurusan dan pemilik perniagaan khususnya
syarikat awam dipisahkan. Pembaziran dan salah guna kuasa mungkin dan
mudah berlaku.
- Cukai yang dikenakan ke atas perbadanan korporat adalah lebih
tinggi berbanding dengan lain-lain bentuk perniagaan. Cukai-cukai itu
terdiri daripada cukai ke atas keuntungan syarikat yang belum diagihkan
dan cukai ke atas dividen yang diperolehi oleh tiap-tiap pemegang saham.
- Laporan kewangan syarikat perlu diaudit oleh juruaudit bertauliah sebelum diedarkan kepada pemegang-pemegang saham.
- Laporan tahunan perbadanan korporat perlu dikemukakan kepada Pendaftar Syarikat dan pemegang-pemegang saham
- Proses penubuhan dan pendaftaran perbadanan korporat lebih sukar
dan kompleks berbanding perniagaan secara pemilikan tunggal dan
perkongsian.
(d) Koperasi
Koperasi merupakan suatu entiti perniagaan yang ditubuhkan secara
sukarela untuk menjaga kebajikan ahli-ahlinya berdasarkan konsep
kerjasama dan semangat tolong-menolong. Terdapat dua bentuk koperasi,
iaitu koperasi yang keahliannya terhad kepada sesuatu jenis pekerjaan,
kawasan dan latar belakang seperti Koperasi Guru-guru Semenanjung
Malaysia, Koperasi Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK)
dan koperasi yang keahliannya adalah bebas seperti Koperasi Perumahan,
Koperasi Pengguna.
Ciri-ciri Koperasi
i. Modal koperasi diperolehi melalui yuran sama ada yuran
bulanan ataupun yuran tahunan yang dibayar dan saham-saham yang dibeli
oleh ahli-ahlinya.
ii. Tiap-tiap ahli koperasi diwajibkan membeli
sekurang-kurangnya 100 unit saham tetapi tidak melebihi satu perlima
daripada jumlah modal koperasi.
iii. Tiap-tiap ahli koperasi mempunyai hanya satu undi dalam sebarang perlantikan jawatan koperasi.
iv. Koperasi diurus dan ditadbirkan oleh ahli lembaga
pengarah yang dilantik oleh ahli-ahli koperasi semasa Mesyuarat Agung
Tahunan.
v. Pengurusan harian koperasi dikendalikan oleh jawatankuasa pengurusan yang dilantik oleh Lembaga Pengarah Koperasi.
vi. Koperasi wajib didaftarkan dengan Jabatan Pembangunan Koperasi.
vii. Keuntungan koperasi diagihkan kepada ahli, sama ada satu
kali atau dua kali setahun, dalam bentuk dividen atau bonus atau
kedua-duanya.
Kelebihan Koperasi
i. Mengutamakan kebajikan dan kepentingan ahli dan bukan hanya mencari keuntungan.
ii. Menggemblengkan tenaga, modal dan mengumpul orang yang
berminat untuk meningkatkan kedudukan ekonomi masing-masing melalui
konsep kerjasama.
Kelemahan Koperasi
i. Aktiviti koperasi dikuasai oleh ahli-ahli lembaga pengarah kerana ahli-ahli koperasi kurang aktif.
ii. Operasi koperasi dikawal rapi oleh Jabatan Pembangunan
Koperasi. Jika koperasi tidak mematuhi peraturan operasi, pihak
pendaftar Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK) berhak untuk menutup
operasi koperasi berasaskan kuasa yang ada padanya.
iii. Laporan kewangan koperasi perlu diaudit oleh juruaudit dalaman dan juga juruaudit luaran yang bertauliah.
iv. Mesyuarat agung tahunan yang dihadiri oleh ramai ahli mungkin boleh menggugat sistem pengurusan koperasi.
(e) Usahasama (Joint Venture)
Usahasama merupakan suatu jenis perniagaan perkongsian yang bersifat
sementara untuk tujuan menyempurnakan sesuatu kerja, projek atau tugas
khas dalam jangka masa tertentu seperti musim perayaan.
Apabila kerja, projek atau tugas khas itu selesai, maka jenis
perniagaan perkongsian ini akan dibubarkan. Ini bermakna bahawa jangka
hayat perniagaan secara usahasama bergantung kepada pelaksanaan sesuatu
kerja, projek atau tugas khas.
(f) Sindiket
Sindiket adalah pertubuhan dua atau lebih jenis perniagaan yang
mengutamakan keuntungan atau sebarang faedah. Sindiket juga berperanan
sebagai persatuan untuk memberi perlindungan ke atas hak dan
kepentingan ahli-ahlinya.
2.3 Industri Kecil dan Sederhana (IKS)
(a) Pengenalan
Negara kita, Malaysia, merupakan sebuah Negara yang amat bertuah
kerana kaya dengan sumber bahan mentah. Penerokaan terhadap sumber
bahan mentah telah banyak membantu pembangunan Malaysia, baik dari segi
infrastruktur, tahap ekonomi ataupun kualiti hidup rakyat Malaysia.
Proses transformasi sumber bahan mentah ternyata melibatkan
peningkatan mendadak sektor ekonomi Malaysia, khususnya pada bidang
pembuatan dan pengeluaran barangan. Pertumbuhan dan perkembangan
ekonomi Malaysia yang pesat telah memberi peluang yang lebih meluas
kepada pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS). Penglibatan
industri kecil dan sederhana yang meluas yakin dapat memperkukuhkan
struktur asas pembangunan bidang perindustrian negara. Pada masa yang
sama, keseimbangan antara penglibatan syarikat-syarikat asing dengan
usahawan tempatan tercapai.
(b) Definisi Industri Kecil dan Sederhana (IKS)
Banyak definisi tentang industri kecil dan sederhana telah
dikemukakan oleh individu, penyelidik, ahli akademik, penggubal dasar,
agensi dan institusi. Walau bagaimanapun, di Malaysia, tidak ada satu
definisi yang khusus, rasmi, sah dan diterima secara umum. Menurut Moha
Asri Abdullah (1997), kelemahan ini tidak harus dijadikan halangan
kepada usaha untuk memperakukan definisi industri kecil dan sederhana.
Maka, industri kecil dan sederhana dirujuk sebagai industri yang
beroperasi dengan saiz pekerja yang kurang daripada 200 orang secara
penuh masa (Moha Asri Abdullah, 1997, m.s. 9)
(c ) Kepentingan Perniagaan Kecil dan Sederhana Kepada Negara
Data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa
peratusan daripada jumlah pertumbuhan kilang dalam sektor perkilangan
telah merosot pada pertengahan 90-an. (Misalnya, kadar pertumbuhan
sektor perkilangan pada 1975 ialah 92.4 %, manakala pada 1995, sektor
ini hanya menujukkan pertumbuhan sebanyak 88.9% ).
Namun, penurunan peratusan ini tidak bermaksud bahawa sumbangan dan
peranan industri kecil dan sederhana kepada pembangunan ekonomi
Malaysia telah kurang penting. Penurunan peratusan ini, sebenarnya,
disebabkan oleh sebahagian besar daripada industri kecil dan sederhana
telah berkembang besar dan tidak layak lagi dikategorikan sebagai
industri kecil dan sederhana. Di samping itu, terdapat juga industri
kecil dan sederhana yang terletak di kawasan terpencil dan pedalaman
tidak diambil kira dalam system pembancian.
Sumbangan dan kepentingan industri kecil dan sederhana di Malaysia
secara keseluruhannya dapat dibincangkan dalam beberapa aspek.
Antaranya ialah:
i. Membuka Peluang Pekerjaan
Penggunaan tenaga buruh secara intensif dalam teknik pengeluaran
industri kecil dan sederhana terus dapat membuka lebih banyak peluang
pekerjaan dalam beberapa fungsi pengeluaran dan operasinya. Industri
kecil dan sederhana lebih cenderung untuk menggunakan tenaga buruh
secara intensif untuk menandingi kos pengeluaran. Masalah modal, teknik
dan teknologi yang canggih untuk barangan tertentu secara kecilan tidak
mudah diperolehi serta kuasa beli yang kecil industri kecil dan
sederhana tidak menggalakkannya mengamalkan modal / kapital secara
intensif.
ii. Tabungan Dalam Ekonomi
Penglibatan industri kecil dan sederhana dalam ekonomi banyak
membantu dalam meningkat tabungan modal negara. Dapatan kajian tentang
operasi industri kecil dan sederhana menunjukkan bahawa sebahagian
besar sumber modal datangnya daripada usahawan sendiri, keluarga atau
rakan. Oleh itu, industri kecil dan sederhana menjadi sumber penting
kepada jumlah tabungan dan simpanan negara. Pada masa yang sama,
industri kecil dan sederhana turut membantu dalam mengurangkan kadar
perbelanjaan penduduk dan seterusnya kadar inflasi.
Seterusnya, industri kecil dan sederhana juga membeli dan
menggunakan mesin peralatan yang mudah atau yang terpakai dalam usaha
menjimatkan aset tetap mereka. Dari segi ekonomi, penggunaan mesin dan
peralatan seperti ini oleh industri kecil dan sederhana dapat membantu
mengurangkan modal dan kos mereka.
Di samping itu, industri kecil dan sederhana jarang melibatkan
penggunaan bahan-bahan mentah impot berbanding dengan firma-firma
besar. Hal ini pula membantu Negara menjimatkan pertukaran wang asing
dan seterusnya dapat menggalakkan pertumbuhan sektor-sektor ekonomi
yang lain.
iii. Pengagihan Pendapatan
Kepentingan industri kecil dan sederhana yang seterusnya dapat
dilihat dari aspek pengagihan semula pendapatan di kalangan penduduk.
Industri kecil dan sederhana lebih cenderung membayar gaji, faedah dan
menawarkan pekerjaan kepada pekerja-pekerja yang bukan daripada
kalangan yang mahir dan profesional. Penglibatan pengusaha, pemilik dan
pekerja dalam industri kecil dan sederhana boleh membantu merapatkan
jurang pendapatan di kalangan penduduk. Dengan perkataan lain,
penglibatan mereka meningkatkan pendapatan yang lebih ketara di
kalangan penduduk.
iv. Latihan Kepada Pekerja dan Pengusaha
Industri kecil dan sederhana juga memainkan peranan yang penting
dalam melatih pekerja, pengusaha dan bakal pengusaha. Peningkatan
mereka dalam kemahiran dan pengetahuan secara langsung membantu
mengendalikan selok-belok operasi perniagaan dengan lebih berkesan dan
terus bergantung hidup kepada perniagaan yang berkenaan.
v. Memperkukuhkan Struktur Asas Industri Negara
Di samping itu, industri kecil dan sederhana banyak membantu dalam
mengembang dan memperkukuhkan struktur asas ekonomi dan industri negara
yang sedia ada. Industri kecil dan sederhana, sebenarnya, merupakan
industri pelengkap kepada keperluan dan pembangunan kebanyakan syarikat
gergasi antarabangsa (MNCs). Penglibatan industri kecil dan sederhana
yang giat dan dalam pelbagai sector membolehkan asas industri yang
mantap dan kukuh dan tidak akan tergugat dan terjejas apabila syarikat
gergasi antarabangsa yang beroperasi di sesuatu negara itu menarik diri
daripada operasi dan pelaburan mereka.
vi. Memenuhi Citarasa dan Keperluan Penduduk Tempatan
Industri kecil dan sederhana amat penting dari segi memenuhi
citarasa dan keperluan barangan sebahagian besar penduduk tempatan yang
berpendapatan rendah. Industri kecil dan sederhana dengan penyesuaian
mereka kepada intensif tenaga buruh, banyak mengeluar dan menghasilkan
barangan dan perkhidmatan yang tidak dapat dihasilkan oleh syarikat
bersaiz besar termasuk syarikat gergasi antarabangsa. Contohnya
pengeluaran dan pembuatan barangan makanan, pakaian, perabot, logam,
peralatan getah dan plastik.
(d) Galakan Kerajaan Untuk Industri Kecil dan Sederhana
Sejak kebelakangan ini, industri kecil dan
sederhana seringkali mendapat perhatian dan galakan yang meluas
daripada banyak pihak terutamanya kerajaan.
Dalam usaha untuk menggalakkan lebih ramai penduduk terutamanya
usahawan Bumiputera berkecimpung dalam industri kecil dan sederhana,
kerajaan Malaysia menerusi agensi-agensinya telah menyediakan pelbagai
galakan dan program sokongan kepada mereka yang berpotensi dan berminat
dalam bidang industri kecil dan sederhana. Antara galakan dan sokongan
yang disediakan oleh kerajaan dapat dibahagikan kepada lima kategori
yang utama, iaitu
i. bantuan kewangan dan kemudahan kredit
Misalnya, pinjaman daripada Syarikat Jaminan Kredit (CGC), pinjaman
dan kemudahan kredit MARA, pinjaman daripada Tabung Usahawan Baru,
pinjaman daripada Tabung Pemulihan Usahawan, pinjaman dan kemudahan
kredit daripada bank, bank perdagangan, bank saudagar, syarikat
kewangan berlesen dan institusi pembangunan, kemudahan kredit Skim
Pembayaran Kredit Eksport.
ii. bantuan latihan teknik dan pelajaran vokasional
Perbadanan Daya Produktiviti Negara (NPC) dan Pusat Pembangunan
Usahawan Malaysia (MEDEC) menyediakan program pembangunan usahawan dan
pengurusan perniagaan.
SMIDEC, Institut Piawai dan Penyelidikan Industri Malaysia (SIRIM),
Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Pusat Instruktor dan
Latihan Kemahiran Lanjutan (CIAST), Institut-institut Latihan
perindustrian (ILP), Institut kemahiran MARA (IKM), GIAT MARA
menawarkan kursus-kursus teknikal dan kemahiran pekerja jangka pendek.
iii. bantuan khidmat nasihat dan konsultasi lanjutan
NPC, SMIDEC, institusi kewangan, SIRIM, MARDI, MEDEC menawarkan
bantuan khidmat nasihat pengurusan dan peningkatan kawalan kualiti dan
perkembangan reka bentuk kepada industri kecil dan sederhana di
Malaysia.
iv. bantuan pemasaran dan penyelidikan pasaran
MEDEC, NPC, Bank Pembangunan, SMIDEC, MARA, FAMA menyediakan bantuan
pengurusan asas pemasaran yang bertujuan untuk meningkatkan pasaran
barangan keluaran industri kecil dan sederhana.
v. penyediaan kemudahan infrastruktur
UDA membantu industri kecil dan sederhana untuk mendapatkan tapak,
bangunan dan ruang pejabat yang sesuai di kawasan Bandar, MARA
menyediakan tapak-tapak kilang dan perniagaan kepada usahawan dan
peniaga Bumiputera di Malaysia, MIEL bertanggungjawab untuk
membangunkan estet perindustrian di Malaysia, Taman Teknologi Malaysia,
Zon Perdagangan Bebas (FTZ).
Sehingga ke hari ini hamper 13 kementerian dan hamper 30 agensi
kerajaan yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam
menawarkan pelbagai jenis program bantuan dan galakan kerajaan dalam
pembangunan industri kecil dan sederhana di Malaysia.
(e) Perniagaan Huluan dan Hiliran
Entiti perniagaan adalah sesuatu organisasi yang amat dinamik. Ia
sentiasa mengalami perkembangan dan pertumbuhan. Pertumbuhan entiti
perniagaan boleh diukur mengikut peringkat penggunaan input. Antaranya
ialah:
i. Perniagaan Huluan (Up-stream Business)
Perniagaan pada peringkat huluan bererti bahawa perniagaan berkenaan
melibatkan aktiviti yang berasaskan sumber-sumber asli / semula jadi
seperti bahan galian, tanaman, ternakan dan sebagainya. Contoh:
Syarikat Ayamas yang membekalkan ayam sebagai input untuk ayam goreng
restoran KFC dikatakan menjalankan perniagaan pada peringkat huluan.
ii. Perniagaan Hiliran (Down-stream Business)
Perniagaan pada peringkat hiliran bererti bahawa perniagaan
berkenaan melibatkan aktiviti-aktiviti perniagaan yang dikembangkan
daripada perniagaan lain seperti pemprosesan, pembuatan, pengilangan,
perkhidmatan dan sebagainya. Contoh: Restoran KFC, ayam goreng KFC yang
dijual adalah hasil pemprosesan ayam segar yang dibekalkan oleh
Syarikat Ayamas.
Entiti perniagaan juga boleh dikenalpasti melalui fokus pasaran dan
aktiviti pembuatannya iaitu sama ada domestik (tempatan) ataupun
antarabangsa.
iii. Perniagaan Domestik (Tempatan)
Perniagaan ini hanya beroperasi di dalam sesebuah negara, bermula
dengan pengeluaran dan diikuti dengan pemasaran dan jualan. Keluaran
perniagaan domestik bertujuan untuk memenuhi keperluan penduduk
tempatan. Perniagaan domestik pula banyak menyumbang kepada pembangunan
ekonomi negara dan memperkukuhkan lagi struktur asas industri negara.
iv. Perniagaan Antarabangsa
Perniagaan antarabangsa merupakan perniagaan yang menjalankan
operasi perniagaannya di dua atau lebih negara asing. Operasi
perniagaan itu berbentuk sama ada satu hala, dua hala ataupun pelbagai
hala. Perniagaan antarabangsa lazimnya berkembang daripada perniagaan
domestik yang menjalankan aktiviti eksport sama ada di peringkat
serantau atau di peringkat global.
(f) Tahap Perniagaan Primer, Sekunder dan Tertiar
Perniagaan juga boleh dikategorikan kepada tahap primer, sekunder atau tertiar.
i. Tahap Primer
Perniagaan yang menjalankan aktiviti mengeluarkan barang-barang yang
akan digunakan sebagai input untuk pengeluaran yang seterusnya atau
mengeluarkan barang-barang yang boleh digunakan terus oleh pengguna
dikenali sebagai perniagaan tahap primer. Contoh: Industri yang
berasaskan pertanian atau ekstraktif seperti perlombongan galian dan
bahan api.
ii. Tahap Sekunder
Perniagaan tahap sekunder merupakan perniagaan yang menjalankan
aktiviti mengeluarkan barang-barang yang diterbitkan pada tahap primer
kepada barangan siap atau separuh siap yang diperlukan oleh aktiviti
pemprosesan seterusnya. Contoh: Bijih besi ditukarkan kepada kepingan
besi, paip besi dan sebagainya.
iii. Tahap Tertiar
Perniagaan tahap tertiar terdiri daripada perniagaan yang
menghasilkan barangan yang tidak ketara. Perniagaan pada peringkat ini
lebih tertumpu kepada pemberian perkhidmatan yang terbaik. Contoh:
Perkhidmatan yang ditawarkan oleh doktor, akauntan, bank dan sebagainya.
2.4 Perniagaan Francais
Perniagaan francais merupakan suatu pendekatan yang membuka jalan
termudah bagi seseorang individu atau syarikat untuk menceburi dalam
bidang perniagaan. Perniagaan francais meliputi semua jenis perniagaan
berangkaian yang memenuhi ciri asas 3S iaitu sistem (system),
pengkhususan (specialization) dan piawaian (standardization).
Perniagaan francais, sebenarnya, telah lama wujud di negara kita,
Malaysia. Namun, amalan perniagaan Malaysia yang berasaskan konsep
francais masih tidak menggalakkan. Ini bermakna peluang untuk maju
serta berkembang dalam bidang perniagaan francais di Malaysia adalah
cerah; banyak lagi yang boleh diterokai. Kerajaan Malaysia telah
memainkan peranan yang aktif serta memberi sokongan padu kepada
pembangunan perniagaan ini.
(a) Definisi Perniagaan Francais
Perniagaan francais boleh ditakrifkan sebagai suatu pendekatan
perniagaan di mana syarikat induk (francaisor) memberi lesen atau hak
kepada individu atau syarikat lain (francaisi) untuk menjalankan
aktiviti perniagaan yang berlandaskan suatu kaedah tertentu, di lokasi
atau kawasan yang ditetapkan dan dalam jangka masa yang ditentukan.
Dengan perkataan lain, perniagaan francais merupakan suatu bentuk
perniagaan yang berkontrak di antara francaisor dan francaisi yang
menggariskan tanggungjawab dan tugas kedua-dua pihak, yang membenarkan
fungsi-fungsi pemasaran produk dipiawai dan diselaraskan tanpa penduaan
dan peniruan (duplication).
(b) Francaisor dan Francaisi, Hubungan Antara Kedua Pihak
Syarikat perniagaan / Pemilik francais yang
memberi lessen / kebenaran dan hak kepada individu atau syarikat lain
untuk mengeluar dan menjual produknya, menggunakan jenama atau
simbolnya, mengamalkan kaedahnya dan lain-lain yang berkaitan dengan
perniagaan dikenali sebagai francaisor.
Francaisi pula merupakan syarikat atau individu yang mendapat lesen
/ kebenaran dan hak untuk mengeluar dan menjual produk, menggunakan
jenama atau simbol, mengamalkan kaedah dan lain-lain yang berkaitan
dengan perniagaan francaisor.
Pihak francaisor dan pihak francaisi diikat oleh kontrak /
perjanjian francais yang telah dipersetujui bersama. Dengan itu,
francaisor mengizinkan francaisi menjalankan perniagaan yang serupa
dengannya dari semua aspek. Sebagai balasan, francaisi perlu membayar
royalti setiap tahun kepada francaisor.
(c ) Kelebihan dan Kelemahan Perniagaan Francais
Seperti bentuk-bentuk perniagaan yang telah dibincangkan terlebih
dahulu, perniagaan francais tentu sekali memberi kelebihan dan juga
kelemahan kepada kedua-dua pihak yang terlibat iaitu francaisor dan
francaisi. Antaranya:
i. Kelebihan Perniagaan Francais Kepada Francaisor
Perniagaan francaisor dapat berkembang serta bertumbuh dengan pesat
kerana sistem pengurusan dan modal perniagaan cawangan diurus di atas
tanggungjawab francaisi. Ini secara tidak langsung memudahkan pihak
francaisor memperluaskan pasaran untuk produknya. Tambahan bayaran
royalti yang tetap, bayaran asas, caj perkhidmatan pengurusan dan
sebagainya akan menambahkan keuntungan perniagaan francaisor.
ii. Kelebihan Perniagaan Francais Kepada Francaisi
Francaisi dapat memulakan perniagaan dengan risiko perniagaan yang
rendah. Francaisi berpeluang memperdagangkan produknya berdasarkan
suatu sistem yang lengkap dan terbukti berdaya maju / keberkesanannya.
Contoh: Pihak francaisi akan menggunakan jenama produk, bahan mentah
untuk mengeluarkan produk serta prosedur pengurusan perniagaan
sebagaimana yang telah ditetap dan diamalkan oleh francaisor.
Selain itu, francaisi juga mendapat bantuan kewangan, khidmat
sokongan dan latihan daripada francaisor untuk tujuan membangunkan
struktur pengurusan dan premis perniagaan francaisi.
Disebalik kebaikan tentunya juga kedapatan kelemahan perniagaan
francais yang terpaksa dihadapi oleh pihak francaisor dan francaisi.
Antaranya:
i. Kelemahan Perniagaan Francais Kepada Francaisor
Francaisor adalah bertanggungjawab ke atas kewujudan, perkembangan
dan daya saing perniagaan francaisi. Francaisor perlu memberikan
bantuan kewangan dan khidmat sokongan kepada pihak francaisi bukan
sekadar di peringkat awal tempoh francaisi memulakan perniagaan, bahkan
untuk seumur hidup perniagaan francais itu dikendalikan oleh francaisi.
Apabila francaisi gagal untuk mematuhi segala prosedur perniagaan
sebagaimana yang telah ditetapkan oleh francaisor seperti garis panduan
mengenai mutu produk, tentu sekali nilai nama atau reputasi francaisor
akan terjejas.
Pihak francaisor pula mungkin akan menghadapi kesukaran untuk
menangani masalah penipuan seperti bayaran royalti, bayaran caj
perkhidmatan, peniruan dan kebocoran formula produk dan sebagainya
apabila cawangan francais pihak francaisor bertambah dan berkembang
pesat. Kegagalan francaisor menangani masalah sedemikian boleh
mengakibatkan kemusnahan ikatan pemfrancaisan.
ii. Kelemahan Perniagaan Francais Kepada Francaisi
Penglibatan serta penerusan pihak francaisi dalam perniagaan
francais adalah tertakluk kepada peraturan dan sistem pengoperasian
perniagaan yang telah ditetapkan oleh pihak francaisor. Ini secara
tidak langsung akan menyekat tahap daya kreativiti dan innovasi
francaisi terutamanya dalam aspek pengendalian perniagaannya.
Tambahan, pelaburan modal permulaan perniagaan francais yang besar
menjadikan bentuk perniagaan ini lebih eksklusif dan sukar untuk bakal
usahawan menceburi dan memasuki pasaran seperti ini.
Francaisi juga mudah dikhianati oleh pihak francaisor yang tidak
jujur dan tamak. Misalnya, pada peringkat permulaan, pihak francaisor
memberi kebenaran dan hak pengoperasian perniagaan francais kepada
francaisi terutamanya pengoperasian perniagaan itu berjalan di kawasan
yang kurang membangun. Apabila perniagaan francais berkenaan di kawasan
itu meningkat maju dan terkenal, pihak francaisor mengambil balik hak
berniaga dan beroperasi sendiri. Tindakan pihak francaisor sedemikian
tentu sekali merugikan francaisi yang telah bertungkus lumus untuk
membangunkan perniagaannya.