Showing posts with label iks. Show all posts
Showing posts with label iks. Show all posts

Friday, September 11, 2009

Pasar raya besar hapus caj tambahan produk IKS

KUALA LUMPUR 7 Sept. - Empat pasar raya besar bersetuju untuk menghapuskan caj tambahan kepada pengusaha-pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) yang memasarkan produk mereka di premis berkenaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, pasar raya besar terbabit juga telah bersetuju untuk meningkatkan jumlah produk IKS yang dijual di premis masing-masing kepada 20 peratus menjelang 2012 berbanding sembilan peratus sekarang.

''Empat pasar raya besar tersebut iaitu Tesco, Giant, Carrefour dan Jaya Jusco juga telah bersetuju untuk meningkatkan produk IKS yang dijual di premis masing-masing dan mengurangkan tempoh bayaran kepada pengusaha dari 90 hari kepada 30 hari.

''Mereka juga bersetuju untuk membantu kementerian mencapai sasaran 30 peratus produk IKS dipasarkan di premis masing- masing pada masa akan datang,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Pameran Produk 1Malaysia (Promas 2010) yang dijadualkan dari 17 hingga 20 Disember tahun depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Setiausaha Kehormat Persatuan Pemprosesan Makanan dan Pembungkusan Malaysia (Mafpa), Kamalbahrin Khamsan dan Pengarah Urusan Es Event Management Sdn. Bhd., Datuk Chong Chong Ting.

Promas 2010 anjuran bersama Mafpa dan Es Event akan menyediakan 600 buah ruang pameran merupakan landasan bagi pemasaran serta jualan produk buatan Malaysia bagi memperkasa penjenamaan serta menjana aliran tunai bagi pengusaha-pengusaha produk IKS .

Ismail Sabri memberitahu, kementerian juga akan mengadakan Ekspo Penjodohan IKS dan Pasar Raya Besar pada November ini bagi membolehkan pasar raya besar memilih produk-produk IKS untuk dijual di premis masing-masing.

Katanya, pada ekspo tersebut pengurusan pasar raya besar boleh memilih secara terus produk-produk yang dikeluarkan oleh IKS untuk dipasarkan.

Sementara itu mengenai keperluan barang-barang Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut dua minggu lagi oleh umat Islam, beliau memberitahu, pihaknya telah mendapat jaminan daripada pengeluar dan pengedar bahawa barang-barang itu mencukupi.

Katanya, kementerian juga akan memastikan bekalan yang diperlukan oleh umat Islam mencukupi dengan memantau bekalan di pasaran setiap hari.

''Pemantauan kementerian bukan sahaja melibatkan pematuhan harga oleh penjual di bawah Akta Kawalan Harga tetapi juga memastikan bekalan mencukupi di pasaran,'' katanya.

Tuesday, February 24, 2009

PRODUK IKS PERDA TEMBUSI PASARAN ASIA BARAT

IBONG TEBAL 24 Feb. - Usahawan bumiputera yang mendapat bantuan dan bimbingan daripada Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) mensasarkan produk yang dihasilkan menembusi pasaran Asia Barat dalam tempoh sekurang-kurangnya lima tahun akan datang.

Pengerusinya, Datuk Azhar Ibrahim berkata, Perda yakin produk keluaran syarikat bumiputera yang beroperasi di taman industri kecil dan sederhana (IKS) milik Perda mampu menembusi pasaran luar negara.

Azhar berkata, sehingga kini sudah ada beberapa syarikat bimbingan Perda dan beberapa agensi lain yang telah mengeksport produk mereka ke Fiji, Bangladesh dan Indonesia.

Katanya, walaupun usaha untuk memasarkan produk-produk ke ketiga-tiga negara tersebut adalah inisiatif syarikat bumiputera itu sendiri namun ia membuktikan bahawa syarikat bumiputera di sekitar IKS di sini mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

"Dengan pelbagai bantuan yang disediakan oleh pelbagai agensi termasuk Perda, usahawan bumiputera kini sudah mampu menghasilkan produk bermutu tinggi untuk bersaing dengan produk keluaran syarikat gergasi yang sudah lama bertapak.

"Kita amat bangga dengan kemajuan yang dicapai dan ditunjukkan oleh pengusaha dan kita akan terus memberi mereka bimbingan dan galakan supaya dapat terus bersaing bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke beberapa syarikat milik usahawan bumiputera di Taman IKS Perda di Tasek dan Simpang Ampat serta Taman IKS Perda Bukit Minyak, Bukit Mertajam, dekat sini hari ini.

Turut hadir, Pengurus Besar Perda, Azmi Lateh serta pegawai Perda.

Setakat ini terdapat lebih dari 200 syarikat usahawan bumiputera yang sedang beroperasi di lima kawasan IKS iaitu Taman IKS Tasek, IKS Simpang Ampat, IKS Bukit Minyak, IKS Kubang Menerong dan Taman Industri Asas Tani Kubang Menerong di Tasek Gelugor.

Azhar berkata, pihaknya mensasarkan untuk menaik taraf sekurang-kurangnya 10 syarikat usahawan bumiputera daripada berskala mikro kepada makro setiap tahun.

Katanya lagi, hasrat itu sejajar dengan apa yang Perda ingin lahirkan iaitu lebih banyak usahawan bumiputera yang mampu berdaya saing di peringkat nasional sekali gus menguatkan ekonomi tempatan.

Beliau menambah, dengan kewujudan lebih banyak usahawan bumiputera, secara tidak langsung ia akan menambahkan jumlah produk halal di pasaran tempatan dan antarabangsa

Wednesday, December 10, 2008

Kursus Latihan Peralihan Industri Kecil dan Sederhana 6 bulan

Kursus IKS di Bahagian Latihan Pengurusan adalah merupakan kursus latihan peralihan selama 6 bulan yang memberikan latihan secara teori dan praktikal berkaitan dengan dunia keusahawanan. Latihan teori dijalankan selama 4 bulan dan praktikal selama 2 bulan.
Latihan teori dilaksanakan di PERHEBAT dengan modul-modul tertentu seperti pengenalan kepada usahawan dan keusahawanan, pemasaran, kewangan dan perakaunan, pengurusan sumber manusia, perundangan, kontaktor cuci bangunan,rancangan perniagaaan dll termasuk dengan lawatan sambil belajar seperti industri pemprosesan makan sejuk beku, kedai dobi, ternakan, bengkel, dll industri. Ini bertujuan memberi pendedahan realiti sebenar dalam bidang perniagaan yang mereka minati nanti.
Latihan praktikal ialah OJT selama lebih kurang 2 bulan ditempatkan di pelbagai industri yang mereka minati. Artikel yang akan datang saya akan masukkan gambar-gambar lawatan iks siri 3/2008

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI