Showing posts with label Pembiayaan Perniagaan. Show all posts
Showing posts with label Pembiayaan Perniagaan. Show all posts

Monday, January 18, 2010

Dana: Potensi eksport diutamakan

KUALA LUMPUR 17 Jan. - Peserta industri yang berpotensi mengeksport kandungan multimedia berteknologi tinggi, diutamakan dalam memohon pembiayaan Dana Industri Kreatif berjumlah RM200 juta.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan Kredit & Sokongan Perniagaan) Bank Simpanan Nasional (BSN), Winston Emmanuel berkata, dana itu diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2010 yang bertujuan merangsang aktiviti komersial dalam industri kreatif.

"BSN diberi mandat oleh kerajaan untuk mengurus dana itu yang dikhususkan untuk peserta industri kreatif.

"Ia merupakan kali pertama BSN diberikan peranan terbabit dan kami menghargainya," katanya kepada Bernama di sini. BSN melancarkan dana itu pada 31 Disember lepas..

Beliau berkata, BSN sudah menerima permohonan rasmi dan sedang memprosesnya.

"Dalam menilai permohonan itu, bank akan melibatkan kedua-dua peserta industri untuk memberi maklumat balas serta agensi kerajaan seperti Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) dan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan," katanya.

"Dalam menerima permohonan daripada industri kreatif, tumpuan utama adalah terhadap mereka yang mahu mengeksport kandungan pengeluaran masing-masing," katanya.

"Kami ingin menegaskan bahawa hasrat kami adalah mahu melihat kandungan kreatif Malaysia dieksport dan ditayangkan di pawagam, televisyen dan pasaran media asing," katanya.

Beliau juga berkata, dana yang menawarkan kemudahan kredit daripada RM50,000 hingga RM5 juta, terbuka kepada syarikat milik perseorangan, serta usaha sama dan syarikat persendirian.

Syarikat mestilah sekurang-kurangnya memiliki 51 peratus ekuiti Malaysia, dalam pembikinan filem, produksi muzikal, animasi dan aktiviti berkaitan.

Bagi memastikan pembiayaan disaluran dengan baik, Winston berkata, BSN menjalin usaha sama rapat dengan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, MDeC, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dan mereka yang dianggap pakar dalam bidang berkenaan.

Winston juga berkata, BSN membahagikan industri kreatif kepada empat kumpulan.

Kumpulan pertama melibatkan kumpulan audio visual dan media baharu, yang membabitkan mereka dalam industri filem, animasi, interaktif dan perkhidmatan mudah alih. Ia turut melibatkan produksi televisyen dan muzik.

Mereka yang terlibat dalam perniagaan animasi, sebagai kandungan digital, mempunyai lebih banyak minat di seluruh dunia termasuk di kalangan peserta industri tempatan. Mereka ini akan diberikan keutamaan, jelas beliau.

"Kumpulan kedua adalah yang digelar sebagai "rekaan" dan antaranya adalah produk inovasi, fesyen dan aksesori."

"Ketiga pula membabitkan kraf dan kebudayaan. Kumpulan ini melibatkan persembahan kebudayaan, pertunjukan, galeri seni dan kraftangan."

"Kumpulan terakhir pula meliputi bahagian yang bercetak untuk kesusasteraan, penulisan dan industri produksi," katanya. - Bernama

Thursday, October 15, 2009

Miti harap dana program bantu usahawan ditambah

KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) berharap kerajaan akan menambah jumlah dana bagi program pembangunan keusahawanan, termasuk untuk usahawan wanita dalam Bajet 2010 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 23 Oktober ini.


Menterinya, Datuk Mustapa Mohamed, berkata Miti sudah membuat permohonan supaya peruntukan bagi tujuan itu ditambah bagi membantu usahawan tempatan meningkatkan kemahiran dan keupayaan menguruskan perniagaan.

“Bagaimanapun, keputusan mengenainya bergantung kepada kemampuan kerajaan. Tunggulah pengumuman bajet pada Jumaat minggu depan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Wanita Kebangsaan (NMC) 2009 di Kuala Lumpur, semalam.


Hadir sama Timbalannya, Datuk Mukhriz Mahathir dan Datuk Joseph Salang Gandum serta Ketua Eksekutif SME Corporation Malaysia (SME Corp), Datuk Hafsah Hashim.

Persidangan bertemakan ‘Inovasi Keusahawanan Wanita: Masa Depan Untuk Negara’ itu anjuran bersama SME Corp dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Mustapa berkata, sehingga bulan lalu, kerajaan telah membelanjakan RM23.3 juta untuk melatih 23,444 pekerja menerusi Program Peningkatan Kemahiran oleh SME Corp, dengan 36 peratus daripadanya membabitkan pekerja wanita.

Beliau berkata, kerajaan sedang menggandakan usaha untuk membantu usahawan wanita meningkatkan kemahiran dan keupayaan kerana menyedari sumbangan mereka terhadap pertumbuhan ekonomi negara semakin meningkat.

“Menerusi Program Pembangunan Untuk Pengeksport Wanita oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), peruntukkan sebanyak RM1.6 juta disediakan sejak 2005 kepada 48 syarikat milik wanita untuk memasarkan produk mereka.

“Dalam tempoh sama, Institut Keusahawanan Negara (Insken) telah melatih 5,709 wanita menerusi pelbagai program keusahawanan yang dianjurkannya,” katanya.

Mustapa menjelaskan, setakat ini ada 82,911 syarikat yang dimiliki oleh wanita, mewakili 16 peratus daripada keseluruhan syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negara ini.

Saturday, July 18, 2009

RM670 juta setahun bantu usahawan

BANGI 17 Julai - Kerajaan membelanjakan kira-kira RM670 juta setahun untuk memberi bantuan kepada usahawan khususnya bumiputera bagi mengukuhkan peranan mereka dalam pembangunan ekonomi negara.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, bantuan itu juga bertujuan memberi peluang kepada usahawan untuk menjayakan perancangan perniagaan masing-masing.

Menurutnya, di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sahaja, sebanyak RM3 bilion diperuntukkan untuk projek pembangunan usahawan.

"Kerajaan di bawah kementerian, kali ini akan memastikan peruntukan digunakan bagi melahirkan usahawan berkualiti dan berdaya saing di peringkat global.

"Kuantiti bukan menentukan kejayaan dalam pembangunan ekonomi negara tetapi kualiti merupakan penanda aras untuk melahirkan usahawan yang kompetitif," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan KKLW bersama usahawan Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Institut Kemajuan Desa (Infra) di sini hari ini.

Sehubungan itu, Shafie berkata, untuk melahirkan usahawan berkualiti, kementerian melalui Mara akan memberi fokus kepada dua aspek utama iaitu pendidikan dan pembangunan usahawan.

Menurutnya, dua aspek itu akan dimulakan di peringkat akar umbi bagi melatih dan menyediakan usahawan yang bukan sahaja berkualiti malahan menaikkan pembangunan ekonomi untuk bersaing secara aktif di peringkat global.

"Usahawan adalah kelompok yang menjana kekuatan ekonomi, mencetuskan inovasi dan ciptaan baru.

"Usahawan adalah kelompok istimewa yang bakal menentukan kejayaan negara untuk membentuk Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB)," jelas beliau.

Selain itu, katanya, kewujudan pertubuhan atau jaringan komuniti usahawan merupakan platform kepada usahawan dalam menjalankan perniagaan yang lebih bebas.

Katanya, jaringan komuniti usahawan membolehkan sebaran maklumat secara berkesan di antara usahawan tempatan termasuklah usahawan antarabangsa dalam ekosistem keusahawanan.

"Saya yakin usaha Mara melalui program pembangunan akan melahirkan usahawan yang mampu menguruskan perniagaan mengikut perkembangan semasa dan berhijrah daripada konsep konvensional kepada konsep pengurusan yang lebih moden," katanya.

Tuesday, July 14, 2009

SME Corp selaras dana PKS

BANTUAN untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan lebih selaras di bawah SME Corporation Malaysia (SME Corp) yang baru, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata, isu yang perlu ditangani sebelum ini ialah terdapat 14 kementerian dan 16 agensi kerajaan secara langsung dan tidak langsung berkait dengan PKS.

“Jelas sekali, perlu ada penyelarasan yang lebih baik. Namun, akan lebih baik jika SME Corp akan melihat kepada pelbagai aspek dan fungsi yang dilaksanakan oleh pihak yang berbeza supaya kita dapat meminimumkan atau mengelak sebagai pertindihan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap pada Sidang Kemuncak Keusahawanan Belia 2009 di Kuala Lumpur, semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan penjenamaan semula Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (Smidec) kepada SME Corp, dengan tujuan membangunkan sektor PKS yang kompetitif dan berdaya tahan untuk menangani krisis ekonomi.

SME Corp, yang dijangka memulakan operasi bulan depan, akan bertindak antara lain sebagai pusat maklumat dan rujukan sehenti, menyelaras data dan program, serta melaksanakan penyelidikan berhubung PKS.

Ia akan melapor kepada majlis dan diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Terdahulu dalam ucapannya, Mukhriz berkata, sehingga Mei 2009, daripada 384 permohonan yang diterima, sebanyak 276 permohonan diluluskan berjumlah RM16.47 juta, di bawah geran padanan untuk pembangunan dan promosi produk halal.

Dalam tempoh sama, daripada 1,371 permohonan yang diterima, 750 permohonan diluluskan berjumlah RM428.29 juta, di bawah pinjaman mudah untuk PKS, katanya.

Bagi pinjaman mudah untuk penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), beliau berkata, daripada 101 permohonan yang diterima, 26 permohonan diluluskan berjumlah RM50.01 juta, sehingga Mei tahun ini.

Mengenai jumlah kelulusan yang kecil berbanding permohonan yang diterima, Mukhriz berkata: “Kami kekurangan kakitangan. Promosi kami berjaya. Sehingga pada satu masa, kami mempunyai 20 pegawai memproses 20,000 permohonan, tentu berlaku kelewatan.”

Agensi mengambil kakitangan untuk mengurangkan permohonan tertangguh itu.

“Kami menjangka permohonan tertunggak itu akan diselesaikan dalam tempoh tiga bulan akan datang dan kami akan dapat mengikut KPI kami (petunjuk prestasi utama) dari segi kecepatan masa dalam pemprosesan permohonan ini,” katanya.

Ketika ditanya sama ada permohonan tertunggak itu menjejaskan promosi, Mukhriz berkata: “Kita menjalankan banyak promosi dan pameran bergerak.”

Dianggarkan 567,480 PKS beroperasi dalam negara dan sumbangannya kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dijangka meningkat kepada 37 peratus pada 2010 daripada 32 peratus pada 2005

Monday, May 25, 2009

Anda boleh mendapatkan Pembiayaan Tekun Nasional

Konsep Pembiayaan TEKUN
Pembiayaan TEKUN adalah pembiayaan secara mudah.

Jumlah Pembiayaan
Jumlah pembiayaan adalah dari RM 500.00 sehingga RM 50,000.00.

Tempoh Bayaran Balik
Tempoh bayaran balik pembiayaan adalah antara 1 bulan hingga 5 tahun.

Cara Bayaran Balik
Para usahawan / peminjam boleh membuat bayaran balik pinjaman kepada TEKUN menerusi kaedah yang disediakan.

Caj Perkhidmatan
Caj perkhidmatan yang dikenakan adalah sebanyak 4%.

Syarat Kelayakan Asas
  1. Bumiputera dan berumur 18 - 65 tahun.
  2. Mempunyai cadangan atau rancangan perniagaan usaha niaga yang berpotensi dan berdaya maju.
  3. Mempunyai Lesen / Permit / Daftar Perniagaan yang sah ( Pembiayaan di bawah RM5,000.00 tidak perlu Pendaftaran Perniagaan [ SSM ] ).
  4. Mempunyai tempat / lokasi perniagaan yang khusus atau berniaga secara bergerak ( mobile ).
  5. Terlibat secara langsung dan sepenuh masa dalam perniagaan. ( Pembiayaan sehingga RM10,000.00 boleh dipertimbangkan bagi pemohon yang berniaga secara sambilan ).
  6. Pembiayaan perniagaan sedia ada tidak melebihi RM 50,000.
Dokumen Diperlukan
  1. Borang Permohonan JPP2 yang lengkap diisi.
  2. Gambar pemohon ukuran pasport ( 2 keping).
  3. Salinan Kad Pengenalan pemohon dan pasangan.
  4. Salinan lesen / permit / pendaftaran perniagaan yang sah.
  5. Gambar premis / tempat perniagaan ( jika perlu ).
  6. Salinan buku simpanan / penyata bank ( jika perlu ).
  7. Salinan buku simpanan / penyata bank ( jika perlu ).
  8. Salinan salah satu bil utiliti bagi premis/ rumah. Salinan perjanjian sewa/ surat kebenaran penyewaan premis ( Sekiranya premis disewa )..

BORANG PERMOHONAN YANG LENGKAP HENDAKLAH DIKEMUKAKAN KEPADA PEJABAT CAWANGAN TEKUN YANG BERDEKATAN DENGAN KEDIAMAN / PREMIS / LOKASI PERNIAGAAN.


Bidang-bidang Perniagaan

Bidang-bidang perniagaan / usaha niaga yang boleh diceburi oleh para usahawan adalah seperti berikut :

  • Perkhidmatan
  • Pelancongan / Rekreasi
  • Pemborongan
  • Pembinaan
  • Penternakan dan Akuakultur
  • Pertanian
  • Pengangkutan
  • Pendidikan
  • Peruncitan & Perdagangan
  • Pembuatan


PROSES PERMOHONAN & KELULUSAN PEMBIAYAAN
1. Permohonan diproses dan disahkan oleh cawangan dihantar terus ke Ibu Pejabat untuk kelulusan
2. Bagi permohonan dari Skim Rakan Niaga, boleh dihantar terus ke Ibu Pejabat atau cawangan untuk kelulusan.
3. Permohonan dibuat dan diproses secara online.

Proses Kelulusan 14 hari bekerja
1. Peminjam di antara 18 hingga 65 tahun
2. Semua pembiayaan tidak memerlukan penjamin
3. Caj 4% setahun bagi semua pembiayaan.
4. Lebih daripada seorang dalam satu isi rumah boleh mendapat pembiayaan dengan syarat berlainan jenis perniagaan.
5. Pemohon yang mempunyai pembiayaan sedia ada dengan agensi kerajaan/institusi kewangan lain yang melebihi RM50,000 adalah tidak layak.
6. Permohonan pembiayaan ulangan tidak perlu mengisi borang dan hanya mengemukakan daftar perniagaan yang terkini serta sebut harga dan gambar premis sahaja
7. Pembiayaan di bawah RM5,000 tidak perlu mengemukakan daftar perniagaan, kecuali yang berniaga di kawasan PBT yang memerlukan permit.
8. Pembiayaan di bawah RM5,000 boleh dipertimbangkan bagi pemohon yang berniaga secara sambilan.
9. Setiap permohonan tidak memerlukan semakan kredit.

Wednesday, February 4, 2009

INSENTIF PENGELUARAN TANAMAN KEPADA PENGELUAR SAYUR/BUAH

Insentif kewangan diberikan kepada pengusaha yang terlibat dalam pengeluaran sayuran dan buahan. Insentif ini dilaksanakan di bawah Jabatan Pertanian. Insentif yang diberikan adalah seperti berikut :

Sayur-sayuran - RM81.00/metrik tan
Buah-buahan - RM78.00/metrik tan

Syarat-Syarat Kelayakan:
1. Warganegara Malaysia
2. Pengusaha Individu, Syarikat dan Institusi
3. Berdaftar dengan Jabatan Pertanian
4. Mengusahakan tanah sendiri, disewa, dipajak atau status yang diluluskan oleh pihak berkuasa
5. Mempunyai Rekod Ladang dan Resit Jualan
6. Mempunyai akaun di Agrobank

Untuk keterangan lanjut , sila hubungi Pejabat Pertanian berdekatan................

Tuesday, January 1, 2008

DAPATKAN GERAN PERNIAGAAN DARI SMIDEC

Mereka yang berminat untuk mendapatkan sumber pembiayaan terutama dari segi geran ,sila lihat di sebelah kanan ruangan sumber pembiayaan dan klik smidec. BAnyak geran perniagaan disediakan. Rebutlah peluang ini.............

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI