MEMEGANG jawatan sebagai pemilik tiga buah syarikat kontraktor, ternyata Mafuzah Baharom, 42, bukan calang-calang wanita biasa sebaliknya kemampuan untuk berdiri setanding dengan kontraktor lelaki membuktikan golongan wanita kini mempunyai tempat tersendiri dalam dunia pembinaan yang sinonim dimonopoli kaum lelaki.Memiliki raut wajah menawan, kelibatnya sering mencuri pandangan hingga sesekali mengundang usikan nakal sewaktu melawat ke tapak projek pembinaan.
Bagi wanita anggun ini lebih mesra dengan panggilan Ayu tiada perkara yang mustahil sekiranya setiap kerja dilakukan dengan bersungguh-sungguh bak kata pepatah Melayu ‘di mana ada kemahuan di situ pasti jalan’.
Penglibatan awal dalam dunia besi ini pada asalnya mahu membantu suami yang juga seorang kontraktor menguruskan kerja-kerja berkaitan sebut harga projek.Dalam tempoh beberapa tahun berkecimpung dalam bidang berkenaan, dia akhirnya menyedari sudah jatuh cinta dalam kerjaya mencabar itu dan memutuskan untuk bergerak sendiri dengan memulakan langkah daripada bawah.
“Prinsip hidup saya, berani sahut cabaran. Jika buat sesuatu biar sampai jadi bukannya berhenti separuh jalan,” katanya sambil tersenyum mesra.
Butik pakaian bertahan tujuh tahun
Pada mulanya Ayu mengusahakan butik pakaian sejak 1997 di Jitra.Rutin harian selalunya memeriksa stok kain siap dipotong yang diambil dari kilang, kemudian mengagihkannya kepada beberapa orang pekerja untuk dijahit mengikut bahagian masing-masing.
Apabila pakaian berkenaan siap akan diletakkan label sendiri sebelum diedarkan ke butik-butik lain untuk pasaran.Selain menguruskan operasi butik kadang kala saya juga turun padang membantu pekerja kerana turut memiliki kemahiran menjahit. Sepanjang tempoh itu, perniagaan berjalan lancar mengikut perancangan.
Bagaimanapun, sewaktu suami mula sibuk menguruskan beberapa projek serentak saya membantu dari segi kerja-kerja perkeranian secara separuh masa pada malam hari kerana siang perlu mengendalikan perniagaan
sendiri. Walaupun butik berusia tujuh tahun itu berpotensi untuk berkembang lebih maju namun, saya terpaksa membuat pilihan menamatkan perniagaan kerana mahu memberi tumpuan sepenuhnya membantu suami.
Suami menyokong sepenuhnya tindakan untuk terlibat dalam bidang pembinaan dan saya mula bekerja dengan suami.Bermula dari peringkat bawah, berjumpa dengan pembekal peralatan, mengikuti mesyuarat bersama wakil jabatan, turun ke tapak projek membuatkan saya semakin selesa berada dalam dunia itu kerana cabaran lebih terasa berbanding berada di bidang sebelumnya.
Berdikari tubuh syarikat
Sewaktu menyatakan hasrat untuk memohon lesen kontraktor, suami pada mulanya seakan-akan meragui kemampuan saya tambahan pula masih baru ‘setahun jagung’ berada dalam bidang berkenaan.
Namun saya anggap itu semua sebagai sebagai satu cabaran dan sanggup pergi sendiri ke Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) bagi mendapatkan khidmat nasihat berkaitan permohonan terbabit.Berkat kesabaran, akhirnya pada 2008 berjaya mendapat lesen kelas D.
Pada peringkat awal, suami banyak membantu dari segi bantuan modal dan tunjuk ajar sebelum saya mendapat sepenuhnya kekuatan untuk bergerak secara seorang diri.
Antara projek yang pernah saya kendalikan termasuk projek di bawah Jabatan Pengaliran Saliran, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia.Berkecimpung dalam bidang ini membuatkan saya perlu berdepan ramai lelaki.Mungkin bagi sesetengah wanita mereka rasa situasi berkenaan agak sukar namun pada saya berurusan dengan lelaki lebih mudah kerana mereka dapat memberi keputusan yang diperlukan dalam masa singkat berbanding wanita kadang kala teragak-agak untuk berbuat demikian.
Dalam pada itu, dia akui turut berdepan dengan cabaran sukar mengubah mentaliti masyarakat yang beranggapan majikan perempuan selalunya tidak tegas.Justeru bagi menangani situasi berkenaan Ayu lebih selesa memberi arahan melalui telefon atau berjumpa dengan penyelia projek apabila turut ke tapak pembinaan untuk mengetahui perkembangan terkini projek.Saya bersyukur kerana suami memahami kerana dia juga dari bidang yang sama.
Segala urusan kerja akan cuba diselesaikan dalam tempoh waktu kerja dari Ahad hingga Khamis kerana masa lain diperuntukkan untuk keluarga.Namun jika ada sebarang temu janji selepas masa kerja, saya lebih selesa membawa suami bersama berbanding keluar sendiri bertemu pelanggan.
Perniagaan semakin berkembang
Setelah tiga tahun bergerak sendiri, pada 2011 saya sekali lagi membuat perubahan dengan menaik taraf lesen dari kelas D ke kelas B bagi memberi peluang bergiat lebih aktif dalam bidang ini termasuk mendapatkan projek yang bernilai lebih tinggi.
Suami yang dulunya ragu-ragu dengan kebolehan saya mendapat serta menguruskan projek kini mula respek dengan kemampuan seorang wanita.Usaha itu sekali gus membuktikan sekiranya wanita diberi peluang untuk melakukan kerja yang diminati secara bersungguh-sungguh walaupun dalam bidang dimonopoli lelaki tidak mustahil mereka boleh lakukan kerja lebih baik daripada kebanyakan lelaki yang sudah lama terlibat dalam bidang terbabit.Hal ini kerana kelebihan wanita selain memiliki kelembutan juga lebih teliti dalam membuat tugasan.
Sepanjang tempoh lebih enam tahun berkecimpung dalam bidang ini, diakui aspek kepercayaan dan hubung baik dengan ramai orang antara faktor terpenting perlu dijaga supaya segala urusan kerja berjalan lancar.
Jika semuanya dapat diurus dengan baik orang akan menaruh keyakinan tinggi terhadap kemampuan diri untuk melaksanakan tugas serta tanggungjawab berat yang diamanahkan.
Bergelar kontraktor juga memberi peluang kepada kita untuk menikmati kehidupan lebih baik dengan pendapatan lumayan.Bidang ini benar-benar memberi kepuasan tersendiri kerana penat lelah berdepan dengan pelbagai dugaan kadang kala boleh menguji kesabaran memberi pulangan yang setimpal, asalkan kita selalu berfikiran positif tidak mudah panik ketika berdepan cabaran.
Kongsi pengalaman dengan wanita lain
Saya juga tidak ada masalah untuk berkongsi pengalaman dengan wanita lain yang turut berminat menjadi kontraktor.Malah ada beberapa rakan kontraktor meminta isteri mereka bertemu saya bagi mendapatkan tip kerana saya juga bermula daripada membantu suami.
Antara tip sebelum memulakan langkah pertama perlu ubah gaya penampilan supaya lebih menarik untuk tampil yakin ketika berurusan dengan orang ramai.
Dalam perkembangan lain, saya juga merancang untuk membuka cawangan pejabat baru di Jitra pada tahun depan dan sekiranya ada rezeki mahu mendapatkan lesen kelas A suatu masa nanti.
Darah kontraktor yang mengalir dalam dirinya serta suami kini turut mengalir ke dalam diri anak sulung lelaki mereka kini berusia 22 tahun, bak kata pepatah ‘ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi’.
Anaknya juga memiliki lesen kontraktor dan bergerak sendiri menguruskan projek. Anak kedua melanjutkan pelajaran di kolej dalam bidang pengurusan pejabat sementara anak ketiga masih di bangku sekolah rendah.
Tip ceburi bidang kontraktor.
1. Sentiasa pelihara kepercayaan orang lain kepada kita dalam melakukan pelbagai urusan.
2. Bina hubungan baik dengan ramai orang.
3. Kualiti kerja sering menjadi keutamaan.
4. Sedia mempelajari ilmu pengetahuan baru.
5. Berani sahut cabaran.
6. Rajin masuk tender.
Sumber: Sinar harian