Wednesday, April 30, 2014

Sukarkah mendapat sijil halal?

Logo halal
Ada usahawan yang perlu menunggu dua tahun sebelum diberikan sijil halal. - Gambar hiasan







Sebut sahaja produk makanan halal pasti terlintas di fikiran kita tidak susah untuk mencari makanan halal di negara ini.Malaysia mengutamakan penghasilan produk makanan dan minuman halal untuk menjamin kualiti serta memastikannya berlandaskan syarak.

Keperluan mendapatkan sijil halal bukan sekadar tertumpu pada produk makanan dan minuman semata-mata tetapi termasuk barangan seperti kosmetik, pakaian dan peralatan.

BEGITU juga premis makanan dan rumah sembelihan, semuanya perlukan perakuan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Jadi tidak mustahil untuk Malaysia menjadi hab halal dunia dengan piawaian dan kualiti tegas yang ditekankan Jakim.Namun di sebalik keperluan itu, ada segelintir perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengeluh kerana mendakwa sukar mendapatkan sijil halal Jakim.

Malah agak memeranjatkan apabila ada antara PKS yang mendakwa terpaksa menunggu sehingga dua tahun bagi memperoleh sijil halal sehingga mengehadkan perkembangan perniagaan mereka untuk memasarkan produk di pasaran tempatan.

Sebaliknya, ada pula segelintir PKS berkata permohonan mereka untuk mendapatkan sijil halal Jakim tidak memakan masa lama, mengambil masa dua hingga tiga bulan sahaja.

Persoalannya, apakah penyebab berlakunya dua keadaan berbeza ini?

Ini adalah isu serius kerana kesukaran mendapatkan sijil halal membuatkan sesetengah peniaga mengambil jalan mudah menyalahgunakan logo halal.

Terdapat juga segelintir peniaga tidak bertanggungjawab memasang papan iklan yang mempunyai logo halal sehingga boleh mengelirukan pengguna.

Tidak terkecuali peniaga Islam yang dilaporkan tidak berminat memohon perakuan sijil halal dengan alasan hanya melakukan perniagaan kecil-kecilan dan menganggap pengusaha Islam tidak perlu berbuat demikian kerana urusan mendapatkannya dikatakan membebankan.

Berikut ialah beberapa PKS ditemui wartawan Sinar Harian yang menceritakan cabaran dan halangan bagi mendapatkan sijil halal daripada Jakim untuk produk mereka:

Sistem permohonan merumitkan
Permohonan dibuat pada April 2013, dan sehingga kini sijil halal masih belum diterima walaupun kelulusan sudah diberikan.Itu masalah dihadapi seorang usahawan yang mengakui proses mendapatkan sijil halal amat merumitkan dan mengambil masa terlalu lama.

“Permohonan dihantar sebaik kilang kami siap dibina dan selepas empat bulan, Jakim memulangkan dokumen kerana tidak lengkap, dengan alasan salah satu bahan digunakan perlukan pengesahan halal dari pembekal.

“Banyak proses perlu dilalui dan ada kalanya dirasakan proses tersebut merumitkan perkara yang mudah.

“Malah, kami digalakkan menggunakan perunding luar untuk mendapatkan sijil halal dan ini memakan kos yang mahal dan dirasakan tidak perlu,” katanya.

Sementara itu, sebuah syarikat Bumiputera yang mengusahakan produk berasaskan nanas melabur hampir RM100,000 untuk membesarkan kilang memproses produk keluaran mereka bagi memudahkan syarikat itu mendapat sijil halal.

“Sebelum ini, pengeluaran menerusi bengkel lama terhad dan agak susah untuk mendapatkan sijil halal,” katanya.

Dua tahun tunggu sijil halal
Sementara itu, seorang pengusaha spa berkata beliau pernah melalui pengalaman permohonan sijil halal bagi salah satu produk kesihatannya yang memakan masa dua tahun.

“Saya terpaksa menunggu dua tahun untuk dapatkan sijil halal bagi produk tersebut dan saya tidak tahu apa yang dilakukan mereka sehingga terpaksa menunggu sebegitu lama.

“Kerana kelewatan itu saya tidak dapat pasarkan produk minuman kesihatan itu ke seluruh negara dan hanya memasarkannya melalui pameran usahawan anjuran kerajaan mahupun badan usahawan," katanya.

Beliau juga sedikit keliru kenapa perlu mengambil masa yang lama sedangkan ia hanyalah produk minuman kesihatan berasaskan bunga sahaja.

“Saya harap situasi ini tidak akan berulang kerana ia menyukarkan kami sebagai usahawan untuk pasarkan produk keluaran kami,” katanya.

Kos operasi meningkat
Sementara itu, sebuah syarikat Bumiputera di Johor yang diusahakan oleh sepasang adik beradik berkata, kelewatan Jakim meluluskan permohonan sijil halal sedikit sebanyak memberi kesan kepada perniagaan mereka.

Menurut mereka, apabila sijil halal lambat diluluskan, ia juga akan meningkatkan kos operasi mereka kerana berlaku penangguhan bagi memasarkan produk yang sudah siap tetapi hasrat itu terkekang kerana tiada sijil halal.

“Apa yang kami lihat, prosesnya terlalu rumit dan penuh dengan karenah birokrasi yang akhirnya membebankan kami sebagai usahawan.

“Selain lambat mendapat sijil halal, kelewatan memperolehi lesen daripada pihak berkuasa tempatan juga turut merumitkan lagi keadaan kami untuk memasarkan produk ke pasaran tempatan, apatah lagi antarabangsa,” katanya ketika ditemui.

Mereka juga berharap Jakim mahupun pihak lain yang terlibat mencari penyelesaian dalam memudahkan syarikat tempatan mendapat kelulusan sijil halal dengan cepat dan dalam masa sama mengikut prosedur ditetapkan.

Sumber Artikel : Sinar harian online

Magic bantu usahawan muda ke antarabangsa

Khairy Jamaluddin
KUALA LUMPUR - Pusat Kreativiti dan Inovasi Global Malaysia (Magic) yang akan dilancarkan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama di Cyberjaya, esok, bakal memberikan kelebihan kepada belia dan usahawan muda untuk melonjakkan perniagaan mereka ke peringkat antarabangsa. 
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Kewangan melalui Program '1Malaysia Entrepreneurs' (1MET) bagi menggalakkan belia menyertai program keusahawanan berkenaan.

"Pelatih Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) digalakkan untuk mencuba kursus yang ditawarkan oleh Magic melalui pelan 1MET selaras dengan pelancaran MaGIC nanti. Saya nampak dengan jelas hala tuju Kementerian Kewangan dalam menguruskan pusat berkenaan.

"Saya percaya ini merupakan satu inisiatif yang baik daripada Kementerian Kewangan dalam mempromosikan Magic kepada usahawan muda," katanya kepada Bernama selepas melawat Bengkel Proskill anjuran Biro Profesional Muda, Pergerakan Umno di Kompleks Rakan Muda, Bukit Kiara di sini, hari ini.

Bengkel yang dihadiri 100 peserta belia profesional itu bertujuan mengasah kemahiran pengucapan awam dan pembentangan dalam kerjaya mereka.

Obama akan ditemani Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada majlis pelancaran Magic berkenaan.

Presiden Amerika Syarikat itu kini berada di Malaysia untuk lawatan tiga hari, bermula Sabtu, sebagai sebahagian lawatan ke empat negara Asia iaitu Korea Selatan, Jepun dan Filipina.

Khairy berkata Magic akan menjadi satu pusat inkubator dan keusahawanan kepada usahawan muda, terutamanya mereka yang mahu melonjakkan perniagaan ke peringkat antarabangsa.

"Sebagai contoh, kita akan bekerjasama dengan University Stanford, Amerika Syarikat bagi memudahkan usahawan muda mendapat satu jalinan perniagaan yang luas," katanya.

Penubuhan Magic diumumkan Najib pada Sidang Kemuncak Keusahawanan Global (GES) di sini pada tahun lepas. MaGIC bertujuan untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara keusahawanan dinamik dengan membolehkan pengusaha tempatan dan antarabangsa memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka.

Pusat ini direka untuk menjadi pusat sehenti untuk usahawan, yang akan menyediakan setiap kemudahan yang diperlukan oleh seorang usahawan, daripada mendapatkan pembiayaan dari bank-bank atau pemodal teroka untuk menyediakan inkubator bagi membangunkan syarikat permulaan untuk memperbaiki produk atau perkhidmatan mereka.

Pusat itu juga akan membantu dalam pendaftaran harta intelek dan menyediakan kemudahan untuk latihan, bimbingan dan mentor. - Bernama

Wednesday, April 16, 2014

Jenama ice blended pertama diiktiraf halal




PEPATAH menyebut, kerana nila setitik, habis susu sebelanga. Itulah situasi terpaksa dihadapi pengeluar minuman jenama Cool Blog ekoran beberapa pengeluar minuman ice blended lain menggunakan bahan mengandungi asid maleik.

"Kami merasai tempias itu, dan kesannya lebih kurang 40 peratus jualan merudum. Namun, ingin saya jelaskan pembekal Cool Blog tidak tersenarai dalam pembekal terlarang itu.

"Kami melakukan ujian makmal setiap tiga bulan ke atas bahan Cool Blog. Setakat ini semua minuman kami selamat dan bebas kandungan asid maleik,” jelas Pengurus Operasi
Perniagaan CoolBlog Dessert Sdn Bhd, Muhammad Daniel Koh Abdullah berkaitan isu penggunaan bubble tea dari Taiwan dalam minuman ice blended.

Isu itu menjadi perbualan hangat apabila Kementerian Kesihatan mengarahkan pengedar Tapioca Starch Pearls yang diimport dari syarikat Wang Tai di Taiwan menarik balik produk makanan tersebut daripada pasaran Malaysia kerana mengandungi asid maleik yang boleh merosakkan buah pinggang.

Dilancarkan pada 2005 di Singapura, Cool Blog dibangunkan sebagai kedai minuman, pencuci mulut dan minuman berperisa teh serta muncul penyedia ice blended pertama mendapat persijilan halal di Malaysia

"Kami fokus dalam perniagaan kerana 80 peratus pelanggan kalangan Muslim, dan ia mencerminkan kesungguhan kami untuk menerajui industri minuman dan pencuci mulut di Malaysia," katanya.

Hebatkan promosi

Jenama Cool Blog mempunyai lebih 250 cawangan seluruh negara dan akan menggenapkan kepada 300 cawangan sehingga akhir tahun ini.

"Kami dalam pengembangan yang baik dengan sasaran 400 cawangan dibuka menjelang 2014 menggunakan modal permulaan RM120,000 meliputi sewaan kios, pengurusan, pekerja terlatih, peralatan, ramuan, lesen dan latihan," katanya.

Dianggarkan lapan hingga 10 cawa- ngan dibuka setiap bulan manakala dua juta cawan minuman dijual sebulan, menguasai 10 peratus daripada populasi Malaysia yang menikmati minuman itu.

"Kami menambah cawa- ngan secara ketara kerana ingin mewujudkan jurang antara pesaing, justeru, diperuntukkan sejumlah dana untuk memperhebatkan bahagian promosi dan pengiklanan, "jelasnya.

Dalam soal pemilihan tapak, Cool Blog tidak mengehadkan kepada pusat membeli-belah sahaja dan pemegang lesen yang merancang membuka di kawasan tumpuan ramai seperti berdekatan bank, pasar raya dan kolej dipertimbangkan.

"Kami meneliti lokasi yang dipilih sekurang-kurangnya seminggu sekali agar tempat itu sesuai dan tepat dalam menjamin kestabilan jualan," tegasnya.

Diberi kepercayaan

Jenama ini juga mengadakan usaha sama dengan pihak Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) untuk membuka 25 kios bawa pulang dalam tempoh dua tahun dari sekarang.

"Kami, jenama pertama diberi kepercayaan memulakan operasi seperti itu sekali gus dapat meningkatkan imej agar lebih terkenal seluruh Malaysia, "ujarnya.

Selain itu, syarikat juga mendapat penghargaan dari taman tema, Legoland di Nusajaya, Johor untuk membuka dua kios dalam taman tema tersebut.

Kehadiran Cool Blog di pasaran terus diberi perhatian apabila turut mendapat tempat di JB CIQ, pintu masuk laluan ke kota Singa.

Meneruskan strategi pengembangan, Cool Blog juga menerima pertanyaan untuk mengkomersialkan jenama ini ke Thailand, Filipina, dan negara Timur Tengah beberapa tahun lalu.

"Kami baru sahaja menandatangani perjanjian persefahaman dengan wakil perniagaan di Indonesia untuk membawa masuk jenama ini ke Sumatera yang dimuktamadkan akhir tahun ini.

"Populasi Muslim ramai, antara faktor jenama ini mudah dibawa masuk ke sana.

"Selain itu, tawaran minuman Cool Blog pelbagai perisa menjadikan jenama ini terus dipercayai," katanya.

Sumber:http://www.sinarharian.com.my/bisnes/jenama-ice-blended-pertama-diiktiraf-halal-1.191323

Penjenamaan kreatif buahkan hasil


Maisarah bersama produk yang dihasilkan syarikatnya.

HANYA menerima tempahan kek secara kecil-kecilan pada awal perniagaan, Maisarah A Sani kini boleh berbangga kerana mempunyai syarikat dan kilang memproses kek buatannya sendiri.

Ternyata langkah menjenamakan produknya sebagai D’Gateaux dan Dejavuu yang dikeluarkan syarikatnya, Deligateaux (M) Sdn Bhd (Deligateaux) kini membuahkan hasil.

Lebih manis apabila kilang yang dibuka menggunakan modal sendiri siap sepenuhnya dan mula beroperasi pada 2004 dan banyak membantu dari segi pengeluaran yang produktif.

Menurut Maisarah, selain menerima tempahan pelanggan pada awal perniagaan, beliau juga membekalkan kek buatannya ke kafeteria dan hotel terpilih.

“Semasa mula berniaga saya siapkan katalog bagi memudahkan pelanggan membuat tempahan kek yang diingini.

“Waktu itu saya tiada jenama sendiri lagi dan belum berani untuk buat penjenamaan produk, jadi jalan terbaik saya ambil tempahan sahaja,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Subang, baru-baru ini.


Dua jenama produk penuhi cita rasa berbeza

Ditanya mengenai variasi produk yang dihasilkannya, Maisarah menerangkan terdapat dua jenama bagi produknya iaitu D’Gateaux dan Dejavuu.

“Jenama D’Gateaux wujud sejak 2004 dan alhamdulillah sehingga kini ia masih bertahan di pasaran, dan jenama Dejavuu pula dihasilkan pada 2011.

“Konsep produk kami adalah makanan sejuk beku yang sedia dimakan bagi kanak-kanak sehingga dewasa,” katanya.

Maisarah berkata, produk di bawah jenama Dejavuu mengutamakan pelanggan remaja dan kanak-kanak dengan pembungkusan menarik.

“Antara produk Dejavuu yang mendapat sambutan adalah kek di dalam bekas kecil dengan pelbagai perisa seperti kek keju blueberry, durian dan tiramisu.

“Sementara itu bagi jenama D’Gateaux pula, ia lebih kepada cita rasa orang dewasa seperti kek buah-buahan, pai, dan brownie,” katanya.


Kek dijual di pasar raya terkemuka

Mengenai pasaran produk Deligateaux, Maisarah berkata, buat masa ini terdapat beberapa pasar raya terkemuka yang menjual produk mereka.

“Bagi pasaran dalam negara produk kami boleh didapati di pasar raya Giant, Mydin, Sogo dan Cold Storage pada harga serendah RM5 hingga RM30,” katanya.

Maisarah turut menambah sebelum ini beberapa produk buatannya dieksport ke negara seperti Dubai, Macau, Indonesia dan Singapura.

“Kami ada menyertai program mempromosikan produk keluaran Malaysia ke luar negara anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) untuk memperluaskan lagi pasaran,” katanya.


Cabaran bahan mentah mahal

Setiap perniagaan pasti ada waktu senang dan susah, sama juga seperti yang dihadapi Maisarah ketika menjalankan perniagaannya hampir 10 tahun.

Menurut Maisarah, cabaran utama dalam bidang perniagaan membabitkan makanan adalah dari segi menjaga penjenamaan produk yang dihasilkan.

“Setiap masa akan ada pelbagai produk baru muncul dalam industri ini, jadi kita perlu inovatif bukan hanya menumpukan untuk mengeluarkan satu produk sahaja sepanjang masa.

“Jadi setiap tahun pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) kami bekerja keras melakukan pembaharuan bagi produk kami supaya jenama D’Gateaux dan Dejavuu dapat terus kekal di pasaran,” katanya.

Maisarah juga menambah harga bahan mentah yang sedikit mahal di Malaysia juga dilihat memberi cabaran dalam menyediakan produk dengan harga berpatutan kepada pelanggan.

“Apabila harga bahan mentah mahal, susah untuk kami mengeksport produk ke negara luar dengan harga kompetitif kerana sudah pasti produk keluaran negara itu mampu dijual lebih murah.

“Jadi amat penting bagi peniaga mencari jalan alternatif serta menginovasikan produk keluaran mereka supaya mempunyai kelainan daripada produk sedia ada di pasaran,” katanya.


Pengiklanan komponen penting

Maisarah turut bersetuju syarikat perusahaan kecil sederhana perlu menyediakan kos tahunan bagi melakukan pengiklanan dan pemasaran produk.

“Pengiklanan akan membantu kita mengukuhkan lagi produk di pasaran terutamanya bagi produk makanan supaya orang ramai mempunyai keyakinan kepada produk tersebut.

“Tanpa iklan mungkin orang ramai akan mudah melupakan sesuatu produk itu. Jika tidak mampu melakukan pengiklanan yang menelan belanja besar, kita boleh iklankan di laman sosial ataupun memberi orang ramai merasai contoh makanan di pasar raya,” katanya berkongsi pengalaman.

Selain itu Maisarah berkata, Deligateaux juga mempunyai kedai sendiri yang dipanggil sebagai Stesen Dejavuu di eCurve, Petaling Jaya.

“Sambutan orang ramai di sana amat menggalakkan, terutama jika kami melakukan promosi jualan dan menyediakan contoh produk makanan kami untuk dicuba pengunjung,” katanya.


Rancang eksport dan tambah stesen Dejavuu

Ditanya mengenai perancangan masa hadapan Deligateaux, Maisarah berkata buat masa ini tumpuan adalah untuk cuba mendapatkan kembali pasaran eksport produknya ke negara luar.

“Kerana itu sekarang kami sibuk memberi tumpuan menyertai ekspo produk Malaysia di luar negara kerana produk kami sedia untuk dieksport.

“Misalnya bulan ini kami akan ke China untuk menyertai ekspo dagangan halal anjuran negara tersebut dan insya-ALLAH pada Ogos juga kami akan ke Makkah untuk menembusi pasaran ke Timur Tengah,” katanya.

Selain memberi tumpuan kepada pasaran eksport, Maisarah juga berkata Deligateaux kini dalam perancangan menambah stesen Dejavuu di seluruh negara dengan menggunakan kaedah francais berdasarkan sambutan baik yang diterima di stesen Dejavuu di eCurve.


Orang muda harus teliti berniaga

Maisarah turut berkongsi nasihat kepada usahawan yang baru memulakan perniagaan terutamanya orang muda supaya merancang sejauh mana perniagaan mereka akan pergi.

“Apa-apa permulaan perniagaan adalah sesuatu yang bagus cuma kita memerlukan perancangan yang teliti terutamanya mengenai perjalanan perniagaan yang kita usahakan.

“Kita boleh fikir untuk kekal dengan satu sahaja produk perniagaan yang ingin kita hasilkan tetapi kita harus tahu perniagaan memerlukan inovasi supaya ia dapat menembusi pasaran dalam negara mahupun luar negara,” katanya.

Menurut Maisarah, pada masa ini tiada masalah untuk memulakan perniagaan kerana banyak bantuan yang disediakan oleh kerajaan.

“Jika ingin menceburi bidang makanan, usahawan perlu memberi tumpuan sepenuhnya kerana makanan halal dari Malaysia amat dikenali seluruh dunia.

“Apa yang penting, dalam industri makanan kita perlu ada kelainan dari produk sedia ada, terutamanya jika memasukkan unsur-unsur tempatan seperti penghasilan produk karipap dan kek keju durian,” katanya.

PUNB peruntuk dana RM275 juta

Dzulkifli (empat, kanan), Mohd Ali (kiri) dan Khairy (dua, kiri) beramah mesra bersama pemenang PUNB Biz Plan Challenge 2013.

PERBADANAN Usahawan Nasional Bhd (PUNB) memperuntukkan RM275 juta dana yang akan disalurkan kepada usahawan melalui empat skim sedia ada tahun ini.

Empat skim tersebut adalah Skim Prosper Usahawan Muda (Puma), Skim Runcit, Skim Pemborong dan Skim Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Dzulkifli Fadzillah berkata, setiap tahun PUNB akan menetapkan sejumlah dana untuk pembangunan perniagaan kepada sekurang-kurangnya 600 usahawan. Tahun lalu, PUNB menetapkan dana sebanyak RM230 juta.

“Daripada jumlah itu, RM80 juta hingga RM85 juta telah disalurkan kepada usahawan yang memohon sehingga Mac tahun ini,” katanya selepas Majlis Penyampaian Hadiah PUNB Biz Plan Challenge 2013 di Kuala Lumpur, semalam.

PUNB Biz Plan Challenge 2013 bertujuan mencungkil idea perniagaan baru dan inovatif daripada usahawan muda Bumiputera dengan hadiah berupa geran perniagaan RM170,000 dan berlangsung dari November 2013 hingga 28 Februari 2014.

Turut hadir dalam majlis itu Pengerusi PUNB, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Menurut Dzulkifli, daripada empat skim PUNB, Skim Peruncit dan Pemborong menerima dana paling banyak iaitu RM160 juta.

Katanya, bagi tahun depan pula, sebanyak RM325 juta dana akan diperuntukkan.

Sementara itu, Mohd Ali berkata, menerusi Skim Puma, sebanyak RM49.58 juta dana telah diluluskan kepada 1,129 perniagaan yang melibatkan 1,173 usahawan muda sehingga 31 Mac 2014.

Katanya, antara sektor yang menerima dana tertinggi daripada PUNB ialah pakaian, tekstil dan aksesori (RM8.44 juta), makanan dan minuman (RM5.84 juta), teknologi maklumat (RM5.28 juta), perkakasan dan kejuruteraan (RM4.57 juta) serta kenderaan bermotor (RM4.06 juta).

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/bisnes/punb-peruntuk-dana-rm275-juta-1.270517

PUNB tawar pinjaman bagi usahawan online


PERBADANAN Usahawan Nasional Bhd (PUNB) memperuntukkan pinjaman sehingga RM50,000 kepada usahawan yang ingin menjalankan perniagaan atas talian (online).

Pengerusi PUNB Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, pinjaman itu dilancarkan sejak Oktober lalu, tetapi kurang mendapat sambutan walaupun diwar-warkan menerusi laman sesawang PUNB.

“Sehingga kini, boleh dikatakan kurang daripada 100 pemohon membuat pinjaman itu. Sama ada mereka tidak peka dengan kemudahan diberikan atau tidak mengetahui mengenainya.

“Bagaimanapun hanya perniagaan sah dan berdaftar sahaja layak memohon,” katanya selepas majlis perasmian Seminar Kecemerlangan Keusahawanan di Petaling Jaya, semalam.

Turut hadir pada majlis itu adalah Timbalan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), Tan Sri Mohd Najib Abdul Aziz.

Sementara itu, Pengerusi Biro Wanita dan Keluarga Pemadam Datuk Jamelah Abu Bakar, seminar ini menjadi platform pendedahan kepada bakal usahawan sebelum memulakan perniagaan dalam pelbagai sektor selain melahirkan usahawan wanita berdaya saing.

“Ini adalah penganjuran kali pertama dan merancang untuk diadakan setiap tahun bermula tahun depan dan Perlis menjadi lokasi pertama,” katanya.

Selain Jamelah, usahawan yang turut berkongsi pengalaman dalam seminar itu adalah Pengarah Urusan RZAC Kosmetik, Datuk Kamaliah Abdul Halim, usahawan farmaseutikal Datuk Dr Shimi Sumathi dan Pengarah Urusan D’Tandoor Abdul Malik Abdullah.

Antara topik yang dibentangkan adalah menerokai peluang perniagaan dalam sektor kesihatan, arena francais, sektor pemborongan dan peluang pinjaman serta dana perniagaan.

Seminar Kecemerlangan Keusahawanan anjuran Pemadam itu, dihadiri seramai 263 peserta terdiri daripada usahawan berjaya dan bakal usahawan.

Monday, April 14, 2014

"Usahawan Muslim Perlu Rebut Peluang Perniagaan Internet"


Sejak terdedahnya kisah tokoh usahawan internet, Irfan Khairi yang
berjaya memperoleh pendapatan RM 1 juta hasil perniagaan
internetnya, rakyat Malaysia mula membuka mata. Terutamanya
golongan muda yang bersemangat tinggi, mereka tidak kisah
mengeluarkan wang untuk membeli buku-buku panduan dan cakera padat
yang menjelaskan langkah-langkah untuk memulakan perniagaan
internet. Bagi yang lebih berkemampuan atau yang benar-benar serius
mahu membuka perniagaan internet sendiri, mereka mula menghadiri
kursus-kursus berkaitan yang yurannya hampir mencecah empat angka,
kerana yakin nilai pulangan yang jauh lebih tinggi daripada itu.




Perkara ini diakui sendiri oleh Irfan Khairi , penulis buku Rahsia
Jutawan-Jutawan Internet Terbongkar, buku bahasa Melayu yang
pertama yang menceritakan tentang potensi perniagaan internet,
sekaligus membongkar rahsia-rahsia perniagaan internet. Sejak
munculnya buku tersebut di pasaran pada tahun lepas, perniagaan
internet di Negara ini mula menampakkan perkembangan rancak,
meskipun di Barat industri ini sudah berkembang hebat sejak sepuluh
tahun yang lalu."Industri ini masih baru di Negara ini. Cuma sejak
kebelakangan ini ia sudah mula mendapat sambutan dan kepercayaan
orang ramai. Saya harap dengan kehadiran saya dalam industri
internet sejak tahun lepas sedikit sebanyak membuka lebih banyak
mata terutama di kalangan masyarakat bumiputera tentang peluang
perniagaan melalui internet ini," ujar Irfan Khairi yang ditemu
bual baru-baru ini.




FENOMENA BARU




Fenomena ini jelas dapat dilihat apabila buku tersebut menjadi
Best-Seller di kedai-kedai buku terkenal seperti di MPH dan
Kinokuniya. Cakera padat bertajuk Manual Langkah 1-2-3 Membina
Laman Web Perniagaan Internet turut mendapat sambutan di samping
Workshop Jutawan Internet yang dikendalikan sendiri oleh Irfan
Khairi. Itu belum lagi diceritakan tentang produk-produk
seumpamanya yang dikeluarkan oleh usahawan-usahawan internet lain.
Bumiputera yang memiliki tahap ekonomi yang masih rendah tidak
harus melepaskan peluang keemasan ini berlalu begitu sahaja.
Peluang ini harus direbut sebaik mungkin kerana ia sedang terbuka
luas dan masih banyak ruang yang belum diteroka, memandangkan
Malaysia masih lagi berada di tahap awal dalam penerimaan
perniagaan melalui internet.




"Masih terdapat terlalu banyak ruang yang boleh dieksploitasi oleh
kaum bumiputera di arena internet. Sebagai contoh, ketika saya
bersiar-siar di kedai buku agama, terlalu banyak buku agama yang
ada di pasaran tetapi tidak ada dijual di pasaran internet. Di situ
saja satu idea memulakan perniagaan internet - menjualbuku-buku
agama - boleh dilakukan," kata Irfan.




POTENSI MASA DEPAN




Tambah Irfan, potensi perniagaan internet pada masa hadapan akan
menjadi semakin luas. Seperti televisyen, radio, surat khabar, dan
majalah yang merupakan media yang tidak luntur dek masa, demikian
juga dengan internet.




"Pada masa ini pengguna internet di Malaysia mencecah 10 juta
orang. Pada tahun lepas, jumlahnya adalah sembilan juta orang,
bererti kenaikan sebanyak 1 juta pengguna setahun. Tetapi kita
harus ingat, kenaikan itu tidak berlaku secara linear.




Tahun hadapan bukan bermakna lagi satu juta pengguna internet, tapi
mungkin 1.5 juta atau 2 juta. Saya yakin, pengguna internet dan
penerimaan internet akan terus berkembang di Malaysia seiring
dengan usaha kerajaan yang turut menekankan kepentingan industri
ICT di Negara ini."




Mungkin ramai yang teruja membaca kisah Irfan Khairi, tetapi masih
tidak tahu untuk bertindak. Sebenarnya sesiapa sahaja boleh
memulakan perniagaan internet sekiranya ada minat untuk
melakukannya. Ini kerana perniagaan internet tidak memerlukan modal
yang tinggi, kerana ia boleh dimulakan dengan modal serendah RM500
sahaja. Ia juga tidak memerlukan pengetahuan teknologi maklumat
yang tinggi kerana hari ini terdapat banyak buku-buku panduan
mengenainya serta perisian-perisian yang membolehkan seseorang itu
membina laman web nya sendiri.




"Sebenarnya untuk memulakan perniagaan internet, seseorang itu
tidak perlu ilmu yang mendalam dalam bidang teknologi maklumat.
Sudah memadai bagi seseorang yang tahu menggunakan internet -
samada untuk melayari laman-laman web, menggunakan emel atau
membuat penyelidikan.




Sekiranya tahu menggunakan perisian mudah seperti Microsoft Word,
maka, sudah cukup untuk memulakan perniagaan internet. Asalkan
mereka sanggup belajar dan ambil langkah demi langkah," kata Irfan.
Irfan menjelaskan adalah amat rugi bagi seseorang usahawan yang
sudah memiliki perniagaan sendiri tidak mahu merebut peluang ini.




Ini kerana, menjual produk di kedai konvensional hanya dapat
menerima kunjungan orang-orang yang berada di persekitaran kedai
itu. Tetapi dengan cara mengembangkan perniagaan itu di internet,
usahawan tersebut boleh mencapai pengguna internet satu Malaysia
yang jumlahnya melebihi 10 juta orang.




Bahkan, mereka boleh pergi lebih jauh dengan menjual produk mereka
ke seluruh dunia dengan jumlah pengguna internet kini melebihi 1
billion orang.




Internet memiliki banyak kelebihan berbanding perniagaan
konvensional kerana ia tidak dibatasi oleh sempadan geografi,
bangsa dan agama.




Kerana itu, sesiapa sahaja boleh berjaya di internet jika rajin
berusaha, pandai membaca peluang dan yakin kepada diri sendiri.




PENYELESAI MASALAH




Perniagaan internet adalah penyelesai kepada banyak masalah. Ia
boleh menyelesaikan masalah mereka yang menghadapi kesesakan lalu
lintas, kepada ibu-ibu yang mahu menjaga sendiri anak-anak serta
kepada mereka yang masih menganggur.




"Hari ini ramai orang yang menghadapi masalah dengan pekerjaan
mereka, termasuk juga mereka yang tidak ada kerja. Mereka ini harus
memberi peluang kepada diri sendiri untuk mencuba perniagaan
melalui internet ini. Ia boleh dijalankan di rumah dengan kos yang
sungguh minimum.




"Bagi graduan menganggur pula, mereka patut merebut peluang ini dan
tidak menunggu pekerjaan makan gaji. Bahkan saya sarankan bukan
sahaja kepada graduan menganggur, tetapi sesiapa juga sebagai satu
cara mendapatkan pendapatan sampingan dan memantapkan ekonomi" kata
Irfan lagi.




KISAH KEJAYAAN IRFAN KHAIRI




Saya mula berjinak-jinak dengan perniagaan internet kira-kira 7
tahun yang lalu ketika berada di United Kingdom. Pada mulanya, saya
tidak berapa pandai berniaga melalui internet. Minat berniaga sudah
ada sejak di bangku sekolah, tetapi, berniaga di internet adalah
perkara baru.




Pada mulanya saya hanya melakukan perniagaan internet secara
sambilan. Pada mulanya juga, amat sukar untuk saya mendapatkan
pelanggan!boleh dikatakan selama setahun saya gagal dalam
perniagaan internet - malah mengalami kerugian. Saya bertekad untuk
terus berjaya.




Jadi saya berusaha mengumpulkan wang untuk menghadiri kelas
perniagaan internet dan membeli bahan-bahan rujukan perniagaan
internet.




Selama 2 tahun saya bekerja sebagai tukang cuci di pasaraya untuk
menampung bahan-bahan pembelajaran serta menghadiri seminar
mengenai perniagaan internet. Alhamdullillah, secara
perlahan-perlahan saya dapat memperbaiki perniagaan saya.
Pengalaman juga turut membantu sehingga saya berumur 25 tahun
(empat tahun lalu).




Allah Maha Pemurah memberi rezeki kepada perniagaan internet saya
untuk meraih lebih dari RM1 juta keuntungan dalam masa 3 tahun. Dua
tahun lepas saya kembali ke Malaysia dan mendapati perniagaan
internet di Malaysia tidak mendapat sambutan.




Ketika itu, saya bertekad untuk mendidik masyarakat Malaysia serta
memberi kesedaran tentang peluang yang terdapat melalui perniagaan
internet melalui buku serta bengkel yang saya anjurkan di
RahsiaInternet.com.
Alhamdullillah, kini masyarakat lebih ramai dapat menerima
perniagaan internet dan saya juga akan terus dengan usaha saya
selagi termampu, Insya-Allah.




MELABUR PADA DIRI SENDIRI
Seringkali saya di Tanya. "Irfan, saya ada wang simpanan RM 5,000
yang saya boleh laburkan. Dimana boleh saya laburkannya untuk
mendapat pulangan tertinggi?"


Jawapan saya adalah : Laburkan pada ilmu.


Kawan baik saya, jutawan Azizi Ali sering memulakan ceramahnya
dengan soalan "Berapa banyakkah anda sanggup melabur untuk
memperolehi pendapatan sebanyak RM1 juta?". Pelbagai jawapan yang
diterima. Ada yang menjawab RM1,000.00. Ada yang menjawab RM10,000.
Ada juga yang menjawab RM100,000!


Walaupun soalannya berbunyi agak simple, namun, jawapan yang diberi
menggambarkan sama ada anda serius dalam mencari ilmu untuk menjana
pendapatan yang tinggi.


Melihat orang-orang yang berjaya di seluruh dunia,mereka merupakan
orang yang suka mencari ilmu untuk memperbaiki diri sendiri. Orang
yang berjaya adalah mereka yang sering dahagakan ilmu dan sentiasa
menuntut ilmu untuk mencari idea-idea baru, teknik dan strategi
yang mereka boleh gunakan dalam memperbaiki diri sendiri dan
menjana lebih banyak pendapatan.


Fikiran adalah anugerah yang paling tinggi nilanya pada setiap
manusia. Manusia juga dikatakan tidak pernah menggunakan
keseluruhan potensi kuasa fikiran yang mereka ada.


Berapa banyak anda patut melabur pada ilmu?


Di sini terdapat satu formula mudah untuk melabur untuk ilmu.
Formulanya berbunyi laburkan 3% daripada pendapatan bulanan anda
kepada ilmu yang dapat memperbaiki nilai diri anda.


Ini bermakna sekiranya pendapatan bulanan anda adalah RM2,000
sebulan, laburkan RM60 setiap bulan untuk ilmu memperbaiki diri
anda. Mungkin dengan jumlah ini, anda akan dapat membeli 2 atau 3
buah buku yang berkaitan dengan industri anda. Ataupun, simpan 3%
selama 4 bulan untuk mengumpul RM240 untuk anda menghadiri kursus
yang boeh memperbaiki nilai diri anda.


Sekiranya anda melabur pada ilmu, sebanyak 3% daripada pendapatan
anda setiap bulan, ilmu tersebut akan menambahkan pengetahuan dan
kepakaran anda dan ia turut akan menambahkan pendapatan bulanan
anda.
Sekiranya anda inginkan kemewahan dan kekayaan, anda perlu menjadi
lebih baik dari mereka di dalam bidang anda. Untuk menjadi lebih
baik - ilmu diperlukan!


Pasaran pendapatan adalah adil. Pasaran akan memberi pulangan yang
hebat kepada mereka yang hebat di dalam industri masing-masing.
Sekiranya anda menjalankan tugas sederhana, pulangan anda juga
turut sederhana. Sekiranya anda mempunyai kepakaran yang tinggi
atas hasil anda mendalami ilmu bidang anda sendiri, anda juga akan
mendapat pulangan yang tinggi dalam bidang anda.


Katakan dengan melaburkan wang anda dalam memperbaiki diri anda
pada setiap bulan sehingga anda menerima pendapatan RM4,000
sebulan. Dengan hanya menyimpan 10% setiap bulan daripada
pandapatan tersebut ke akaun pelaburan yang memberi pulangan 10%
setahun, akaun simpanan anda akan mencecah RM1 juta dalam masa 31
tahun sahaja! Anda akan pencen sebagai seorang jutawan!


Ramai yang akan mengeluh. Menjadi jutawan dalam masa 30 tahun
adalah waktu yang lama! Bagaimana Irfan melakukan dalam masa 3
tahun?


Di sinilah pelaburan pada ilmu pengetahuan menjadi lebih penting.
Sering saya dengar kisah kejayaan di mana seseorang itu mendapat
satu idea atau mempelajari satu teknik dari menuntut ilmu yang
telah memberi mereka pulangan sehingga RM5,000, RM10,000, RM20,000
atau lebih setiap bulan!


Secara peribadi, diri saya sendiri juga turut menerima pendapatan
yang berganda hasil daripada mendapat idea dan teknik daripada
sering mencari ilmu. Dalam mencari ilmu, memang perlu kita melabur.


Cara-cara mencari ilmu :


1. Melalui buku-buku. Jangan lupa,tidak semestinya anda membeli
buku. Perpustakaan membolehkan anda membaca apa saja buku dari
pelbagai bidang tanpa anda perlu membeli buku-buku tersebut. Alasan
tiada wang untuk membeli buku tidak diterima di sini.


2. Salah satu cara terpantas mencari ilmu adalah mempelajari
daripada mereka yang pakar. Dalam bidang apa sahaja pun, terdapat
pakar yang telah berjaya. Pelajari dari pakar industri anda dan ia
merupakan short-cut untuk anda berjaya. Ingat, anda tidak perlu
mencipta kaedah baru- ikuti kaedah dan strategi yang digunakan oleh
orang yang berjaya, dan anda juga akan turut berjaya!


3. Anda juga boleh menyertai seminar dan kursus dalam memperbaiki
nilai anda sendiri. Walaupun anda perlu melabur sejumlah wang dan
tenaga anda untuk ke tempat kursus, sering kali saya mendengar
kisah-kisah kejayaan daripada pelaburan sebegini. Peserta-peserta
kursus saya juga ramai yang telah berjaya melalui kaedah ini!


Terdapat banyak cara untuk menambahkan ilmu yang akan menambahkan
isi dompet anda! Apa yang menghalang anda hanyalah kemahuan anda
dan kesungguhan anda untuk mencari ilmu tersebut.

Tiada Modal Untuk Perniagaan...


Oleh: Irfan Khairi

Sesetengah perniagaan boleh dimulakan kecil. Pendekatan memulakan perniagaan kecil dahulu adalah satu pendekatan yang baik. Dengan memulakan perniagaan kecil, ia dapat mengajar kita selok belok perniagaan dan  simpang siur mengendalikan pelanggan dengan lebih baik sebelum perniagaan kita menjadi besar. Terlalu banyak kisah-kisah kejayaan usahawan yang bermula kecil dan perlahan-lahan mengembangkan perniagaan mereka menjadi empayar yang besar.

Dengan cara ini, modal permulaan dapat diminimakan di samping risiko juga turut berkurang sekiranya bermula kecil. Pada langkah awal, tidak semestinya membuka butik lima bintang di kompleks membeli belah hebat di bandaraya. Memadai membuka gerai kecil di pasaraya menjual pakaian. Atau, sekiranya hendak kecil lagi pun boleh. Kedai online melalui blog juga tidak memerlukan modal untuk tapak dan sewa dan menjimatkan beribu atau berpuluh ribu RM di situ.

Namun tidak semua perniagaan boleh dimulakan dengan modal yang rendah atau secara online sahaja. Sekiranya mempunyai pilihan, sememangya mulakan yang kecil dahulu. Tetapi sekiranya tiada pilihan dan memerlukan modal yang lebih besar, apa pula caranya?

Cara pertama adalah meminjam dari kenalan atau ahli keluarga. Walaupun cara ini saya tidak syorkan sangat oleh kerana sering terdengar kisah kerana wang, keluarga pula berpecah belah, namun ia tetap merupakan satu pilihan. Terdapat juga kisah kejayaan perniagaan yang datangnya dari sokongan kewangan sekeluarga. Apa yang penting adalah, walaupun bersama keluarga, lakukan perjanjian hitam putih dengan jelas. Berapa yang dipijam, berapa kah bayaran balik, bagaimana keuntungan diagihkan dan sebagainya. 

Perjanjian hitam putih sebegini adalah langkah awal untuk menjadikan anda sebagai entity yang lebih professional dalam mengendalikan perniagaan. Jangan pula satu hari nanti akibat tiada perjanjian hitam putih, ada pula ahli keluarga merungut mengatakan untung perniagaan anda banyak, tetapi mereka tidak dapat satu sen pun walaupun dah bantu pinjamkan wang!

Jangan lupa juga perjanjian apa akan terjadi sekiranya wang yang anda pinjam tidak dapat dikembalikan. Ingat bahawa tidak semua perniagaan akan berjaya. Lebih banyak kisah kegagalan perniagaan daripada kisah kejayaan. Oleh itu, pihak kenalan dan keluarga yang memberi pinjaman perlu juga tahu apakah risiko sekiranya perniagaan anda tidak menjadi.
Image
Cara kedua yang lebih baik adalah meminjam dari institusi kewangan. Institusi kewangan sememangnya memberi perkhidmatan pinjaman perniagaan. Namun perlu ingat, pihak institusi kewangan mahukan keuntungan dan tidak mahu kerugian. Ini bererti, apabila anda ingin meminta pinjaman perniagaan, pastikan pelan perniagaan anda adalah serba lengkap. Mereka akan mengambil pertimbangan dari segi risiko sama ada anda mampu membayar balik atau tidak.

Di sini juga, pentingnya pilihan utama tadi, iaitu, sekiranya anda sedia ada mempunyai perniagaan kecil-kecilan dan perniagaan kecilan anda dapat membuktikan bahawa anda adalah usahawan yang hebat dengan keuntungan perniagaan kecil yang semakin meningkat, ini merupakan tanda positif untuk pihak institusi kewangan memberi pinjaman kepada anda. Berbanding dengan anda sekiranya tiada pengalaman perniagaan, pelan perniagaan tidak lengkap dan bercita-cita membuat pinjaman beratus ribu!

Cara ketiga adalah bantuan kerajaan. Terdapat badan-badan kerajaan yang memberi bantuan kepada usahawan-usahawan dalam memulakan perniagaan dan mengembangkan perniagaan. Bukan sekadar pinjaman sahaja, malah, pelbagai bengkel dan latihan keusahawanan diberikan untuk melengkapkan ilmu keusahawanan kepada mereka yang ingin meminjam. Tugas anda adalah untuk melayari laman-laman web bantuan kerajaan tersebut dan mendapatkan maklumat yang secukupnya. Terdapat juga badan kerajaan dan kementerian yang memberi bantuan dari segi geran perniagaan dalam membantu usahawan tempatan.

Sama seperti pilihan pilihan di atas, siap sediakan diri anda untuk mendapatkan sebarang bantuan keawangan sama ada dari badan kerajaan ataupun tidak. Lengkapkan diri anda dengan segala ilmu perniagaan yang anda mampu. Sediakan pelan perniagaan yang lengkap dan mantap. Sediakan diri anda untuk temubual apabila diperlukan dalam meluluskan sebarang pinjaman atau geran perniagaan. Sekiranya gagal dalam aplikasi pinjaman atau geran, jangan putus asa dan perbaiki diri sendiri terlebih dahulu. Pastinya terdapat kekurangan pada diri sendiri atau pelan perniagaan yang disediakan.

Tiada pihak yang mahu rugi. Begitu juga dengan pihak di mana anda ingin usahakan wang modal perniagaan anda. Oleh itu, pastikan anda lengkapkan diri anda terlebih dahulu sebelum meminta sebarang pinjaman. 

Sumber rujukan: Irfankhairi.com

Wednesday, April 9, 2014

Lawatan sambil pelajar pelatih Kursus Nilai Tambah Keusahawanan ke Pameran MIHAS di KLCC


Pintu masuk ke HALL 1 MIHAS
Mendapatkan maklumat tentang Kiosk Ayamas 
Antara Produk Dadih buatan tempatan
Bergambar bersama pelatih  kursus di Pameran MIHAS
Antara syarikat yang mengambil bahagian
Syarikat yang membuat packaging 
Contoh packaging yang dibuat oleh syarikat tersebut
Antara syarikat antarabangsa yang mengambil bahagian dalam pameran tersebut

Tuesday, April 1, 2014

Antara bingkisan dari bekas pelatih PERHEBAT.....

Ulasan dari salah seorang bekas pelatih PERHEBAT: 1hb. April 2014

Terima kasih En Hisham..saya baru menceburi diri dalam bidang pelancongan pada tahun 2012,selepas bersara dari ATM.Malah kursus peralihan pun di PERHEBAT serta mengenali En Hisham,semasa kursus usahawan selama 2 minggu.Apa pun kursus usahawan ini sedikit sebanyak dapat membantu saya dalam menjayakan bidang ini.

Sekarang saya sudah pun memiliki bot pelancong sendiri,ada lesen jurumudi bot,permit bot pelancong dan juga lesen pemandu pelancong.Setakat ini Alhamdulillah,sambutan
amat menggalakan sebab semua aktiviti pelancongan dalam satu pakej yang komplet,serta lesen yang sah.
Cuma harga mengikut rate pelajar SK,SMK,IPTA atau dewasa.Saya juga membuat pakej memancing sebab ramai kaki pancing yang buat tempahan.Jika sibuk saya panggil sahabat saya untuk handel trip tersebut.
Gambar banyak kat Fb saya Mohd Jusri Yusof dan catatan di blog saya http://sepetangtoursm.blogspot.com dan pelanggan ramai melalui web abang saya www.kualasepetang.com.
Untuk aktiviti terbaru di minggu ini,saya poskan seperti dalam gambar.



 Pelajar tahun akhir Kolej Antarabangsa Teknologi Cybernatik KL.-18 Mac 2014
        Bawa grop dari PNSB(Permodalan Negeri Selangor Bhd)ke Kuala Gula-28 Mac 2014
 Bot saya bawa pelajar UiTM Melaka.-9 Mac 2014
Lawatan pelajar USM pertukaran dengan pelajar dari USA-29 Mac 2014

Nota: Ini adalah ulasan dari bekas pelatih PERHEBAT yang telah mengikuti kursus LP pelancongan dan kursus nilai tambah keusahawanan .

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI