Sebagai pusat informasi setempat untuk pelatih kursus Pembangunan Keusahawanan Industri Kecil dan Sederhana (IKS)selama 6 bulan di PERHEBAT dan untuk mengumpul para usahawan bekas tentera dalam pelbagai bidang perniagaan dalam satu komuniti bersepadu. Semoga memberikan peluang yang luas kepada bakal pesara tentera mahu pun pesara tentera dalam menceburi bidang keusahawanan.Hubungi 03-61569412 samb. 1170
Monday, May 22, 2017
Potensi Tanaman LAda Hitam Di Semenanjung Malaysia
Mengikut PEDAU (Persatuan Penanam dan Usahawan Lada Hitam Perak) tanaman lada hitam merupakan potensi yang sangat besar dan boleh membawa pendapatan yang lumayan.
BERBEKALKAN kudrat anak-beranak, sedikit modal dan sebuah kenderaan iaitu jeep lama, akhirnya hasrat untuk membuka ladang lada hitam pertama di Kelantan menjadi kenyataan.
Lokasi yang dikelilingi hutan di kawasan Bukit Angin Melintang, Ulu Sat, Machang pada kadar ketinggian 500 meter (m) dari paras laut sudah tumbuh subur ribuan pokok Piper nigrum yang sebahagiannya sudah lebat berbuah.
Kegigihan seorang wanita yang juga sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (IAM) dari Kampung Saring, Pasir Puteh, Kelantan, Siti Khatijah Hamid, 48, yang mendapat sokongan kuat suaminya, Sahdan Hamid, 50, tanah seluas lima hektar yang masih dikelilingi hutan dara berjaya dibangunkan dengan 5,000 pokok lada hitam yang diusahakan secara berperingkat-peringkat sejak dua tahun lalu.
Perjalanan untuk ke lokasi ladang mengambil masa satu jam dengan jarak 10 kilometer dari jalan raya utama dan terpaksa merentasi enam buah bukit di sekitarnya. Kemudahan infrastruktur jalan masih belum dibangunkan kecuali menggunakan trek jalan asal di sekitar bukit berkenaan yang berbatu dan berselut sebagai laluan utama ke ladang ini.
Menurut Siti Khatijah, Lembaga Lada Hitam Malaysia (LLHM) banyak menyalurkan bantuan kepakaran dan teknikal termasuk menyediakan anak benih lada hitam yang berkualiti dari Johor, Perak dan Terengganu selain membekalkan baja yang diperlukan bagi pertumbuhan pokok.
Menurutnya, pengalaman dan ilmu penanaman turut ditimba daripada pengusaha Cina yang sudah berjaya mengusahakan ladang terutama di Sarawak yang membabitkan kaedah penanaman awal, pengurusan ladang dan penghasilan anak benih baharu dari pokok induk.
“Syukurlah, setakat ini lada hitam yang kami tanam sesuai dengan suhu setempat iaitu di antara 18 hingga 22 darjah Celsius. Tanahnya pun subur dan hasilnya sudahpun dipasarkan secara berkala ke pasar-pasar besar dan pengusaha restoran yang berdekatan walaupun bukan dalam kuantiti yang besar.
“Kami usahakan tanaman ini dengan bantuan anak-anak tanpa pengambilan pekerja,” katanya ketika ditemui di ladang berkenaan baru-baru ini.
Siti Khatijah berkata, usaha membangunkan ladang bukan perkara yang mudah kerana lokasinya di kawasan yang tinggi perlu didaki, keperluan ladang perlu diangkut dan tempat tinggal perlu dibina bagi menjaga keselamatan diri daripada sebarang gangguan binatang buas.
Berbicara lanjut Siti Khatijah berkata, pada peringkat awal membuka ladang dia dan suaminya hanya berteduh dan berkhemah di bawah pohon besar yang berdekatan sebelum berjaya membina penginapan yang dindingnya hanya diperbuat daripada buluh hutan.
“Air menjadi keperluan utama bukan hanya untuk tumbesaran pokok tetapi untuk kami mengurus diri, membasuh, memasak dan sebagainya,’’ katanya lagi.
Selain itu katanya, tandak air di puncak bukit dibina sendiri selepas mendapat nasihat pakar perubatan terhadap kualiti air dari aliran mata air terjun. Bekalan elektrik pula dijana oleh enjin yang dibawa bagi memastikan mereka tidak bergelap pada waktu malam selain membekalkan tenaga untuk memastikan alat komunikasi berfungsi terutama pada waktu kecemasan.
“Hasrat kami sekeluarga untuk berjaya sebagai pengusaha lada hitam pertama di negeri ini tercapai dan kami masih melihat beberapa usaha sampingan dalam sektor pertanian untuk menjana pendapatan. Setakat ini, hasil yang diperoleh belum berbaloi dengan modal pengurusan yang sudah melebihi RM200,000,’’ katanya lagi.
Namun, melihatkan kepada kesuburan tanaman, pihaknya menjangka dapat meraih keuntungan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Menurutnya, sepokok lada hitam mampu mengeluarkan hasil buah sebanyak lima kilogram (kg) setahun dan setiap kg lada hitam yang siap diproses boleh dipasarkan pada kadar RM40 hingga RM50.
Malah, buah muda berwarna hijau juga mendapat permintaan yang tinggi daripada pembeli yang gemar menjadikan buah lada hitam yang masih putik sebagai ulam.
Siti Khatijah berkata, semaian anak benih daripada keratan batang turut memberi pulangan hasil yang lumayan apabila pokok yang matang perlu dipangkas. Ia boleh semai bagi memenuhi permintaan petani yang mengusahakan tanaman secara kecil-kecilan bagi penjualan buah lada hitam putik.
Katanya, setiap satu polibeg, yag dijual dengan harga RM7 turut mendapat permintaan daripada penggemar yang ingin menanam pokok ini sebagai pokok hiasan taman.
Katanya lagi, sokongan daripada beberapa orang anak terutama anak kedua Muhammad Shah Sahdan, 21, yang berkemahiran dalam bidang kejuruteraan elektrik dan tenaga solar membolehkan sistem pendawaian elektrik diuruskan sendiri dengan mudah.
“Kami bercadang untuk menggunakan sistem solar bagi mendapatkan bekalan eletrik yang lebih sistematik pada masa akan datang. Kami berangan-angan, menggunakan pergerakan air terjun yang laju dari kawasan ladang ini untuk menghasilkan tenaga elektrik,’’ kata Muhammad Shah.
5,000 pokok sudah ditanam
Di Bukit Angin Melintang, Ulu Sat, Machang, Kelantan, pokok tropika menjalar ini merupakan aset baharu yang berpotensi diperluas menerusi sistem tanaman ladang. Sehingga kini kawasan seluas lima hektar membabitkan 5,000 pokok lada hitam berjaya ditanam oleh pengusaha di tanah milik persendirian.
Siti Khatijah Hamid berkata, setakat ini pokok yang mencapai tahap matang sudah berjaya diproses untuk semaian anak benih baharu yang boleh digunakan untuk menambah bilangan pokok dan sebahagiannya sebagai gantian kepada pokok lada hitam yang mati.
Menurutnya, semaian benih daripada batang yang dicantas akan berakar dengan pucuk baharu akan dipindahkan ke kawasan kebun.
Semaian itu ditanam pada tiang sokongan atau pokok hidup, ditutupi dengan daun resam sebagai naungan daripada panas matahari sebelum proses seterusnya dilakukan dalam pengurusan pokok.
“Pokok yang telah berusia antara enam hingga lapan bulan sedia untuk dipotong dan di jadikan benih. Tujuan utama ia dipotong akan membolehkan pokok lebih banyak mengeluarkan dahan dan lebih produktif.
Lazimnya, tiga hingga empat pucuk saja yang didibiarkan naik. Terlalu banyak pucuk akan menyukarkannya untuk diikat, berserabut dan gelap. Keadaan ini akan mudah diserang kulat dan serangga perosak.
“Pucuk yang naik (muncul) akan diikat menggunakan sejenis tali khas yang diperbuat dari kulit kayu atau boleh juga menggunakan tali rafia bagi mempercepat pengurusan. Selepas lapan bulan dipangkas, pokok lada telah cukup matang untuk mula mengeluarkan hasil, dan boleh dibaja,’’ ujarnya.
Siti Khatijah berkata, pembajaan adalah amalan pertanian yang penting dalam penanaman lada hitam yang mesti dilakukan secara sistematik mengikut jenis baja, kadar, kekerapan dan masa pembajaan yang sesuai untuk menjamin keperluan nutrien yang diperlukan oleh pokok mencukupi.
Katanya lagi, penanaman lada hitam penggunaan dolomite dan baja organik juga penting untuk membantu meningkatkan status kalsium dan magnesium di dalam pokok dan juga mengurangan kemasaman dan memperbaiki struktur tanah, meningkatkan kapasiti kandungan air dan simpanan nutrient dalam tanah.
“Baja organik boleh dihasilkan sendiri dengan memproses jeruk rumput yang dipotong yang dicampur dengan tinja kambing dan sebagainya menerusi proses-proses yang tertentu untuk menjimatkan kos pengurusan ladang. Kaedah membaja pokok tua dan pokok belum matang adalah berbeza yang perlu dipatuhi seperti mana yang disyorkan.
“Contohnya, pembajaan yang sesuai dilakukan untuk pokok matang ialah membuat lubang cetek tetapi elakkan daripada terkena akar di sekeliling pokok. Lubang tersebut ditutup semula bagi mengelakkan baja daripada dihakis manakala 0.5kg dolomite ditabur di permukaan tanah di bawah naungan daun pokok lada sebulan sebelum pembajaan dilakukan,” katanya.
Bagi penyediaan anak benih pula, Siti Khatijah memberitahu, memilih pokok induk yang sihat (bebas penyakit) yang berusia satu hingga dua tahun dengan memangkas keratan yang mempunyai empat hingga enam buku yang boleh terus ditanam di ladang pada musim hujan atau terlebih dahulu ditanam dalam polibeg selama dua hingga tiga bulan ditempatkan di kawasan yang redup.
Katanya, jarak tanaman yang disyorkan ialah 1.8meter (m) x 2.4 m jika ditanam di tanah rata, 2.0m x 2.4m jika pokok Arachis pintoi ditanam sebagai penutup bumi.
Tiang sokongan perlu disediakan kerana pokok lada hitam hidup menjalar. Penanam boleh mengguna kayu keras yang mati atau menggunakan pokok hidup yang serasi dengan lada hitam iaitu Gliricidia dan Dedap. Sebelum menanam anak benih di ladang, busut (bakut) setinggi 20 sentimeter (sm) dan lebar 50 sm disediakan bertujuan untuk menggembur tanah serta membuang akar dan tunggul kayu.
“Sebanyak satu kg dolomite atau kompos ditabur atas busut untuk memperbaiki tanah berasid dengan membekal magnesium dan kalsium. Kerja menanam boleh dimulakan selepas sebulan dolomite ditabur. Tiga buku bahagian bawah ditanam dalam lubang dengan kecondongan antara 20 hingga 35 darjah. Buku yang keempat dan kelima dibiarkan di permukaan tanah. Anak benih yang baru ditanam mesti dilindung dari bahang matahari,” katanya.
Sekilas fakta
* Lada hitam berasal dari Asia Tenggara dan China dan sebahagian kawasan tropika.
* Pengeluar terbesar lada hitam adalah Brazil, India, Indonesia, Malaysia, dan Vietnam.
* Di negara ini, perkembangan sektor penanaman lada hitam banyak dibangunkan oleh Jemaah Pemasaran Lada Hitam (JPLH) dan Lembaga Lada Hitam Malaysia (MPB) bermula sejak 1 Januari 2007.
* Terdapat tiga varieti yang disyorkan untuk ditanam iaitu Kuching, Semenggok Emas dan Semenggok Aman yang mempunyai buah lebat dan panjang.
* Buahnya masak lebih seragam dan lebih kebal terhadap penyakit reput akar phytopthora, penyakit black berry dan serangan kumbang belalai (pepper weevil).
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sains-teknologi/sains/lada-hitam-sumber-rezeki-1.414665#ixzz4hm1gOe4s
© Utusan Melayu (M) Bhd
Galeri Karnival Usahawan IKS siri 2/2017 di Laman Usahawan PERHEBAT
Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua pelatih Usahawan IKS seramai 66 orang di atas kerjasama yang diberikan. Semoga dapat memberi pengalaman yang sangat berharga dalam pengurusan acara dan seterusnya menimba pengalaman dalam perniagaan yang sebenar.
Subscribe to:
Posts (Atom)
MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)
M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN
M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN
M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN
M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN
M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN
M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN
M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN
M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI