Tuesday, March 3, 2020

Lawatan Ladang Nenas MD2 Hardy Kg Sg Merab, Bangi

Proses tuaian Keledek varieti Anggun dan Ungu di Ladang Fertigasi Agro Kompleks PERHEBAT

Lawatan Agro Tg Karang Siri 1/2020

Berbekal RM30 kini pendapatan RM10,000


ROMPIN: “Dalam kesukaran hidup ketika itu, saya nekad menerima tawaran dan membawa keluarga berpindah mendiami tanah rancangan FELDA Selancar pada 1989, meskipun dalam poket hanya ada RM30,” imbas peneroka, Fadzel Ahmad.

Fadzel, 60, yang juga bapa kepada lapan anak berkata, kesukaran hidup ketika itu dipendam dalam dirinya, tetapi pada masa sama bertekad memajukan diri dan keluarganya.

“Sebelum berhijrah ke tanah rancangan ini, saya sempat bertugas sebagai tentera dalam Kor Jurutera Elektrik dan Jentera, sebelum menamatkan perkhidmatan pada 1982. Kemudian saya memohon menjadi peneroka. Alhamdulillah, permohonan itu diterima dan ditempatkan ke FELDA ini.

“Kalau dikenang kembali perjalanan hidup saya, memang terasa sebak. Saya tidak pernah menceritakan kisah ini kepada sesiapa pun, hanya saya dan isteri saya sahaja yang tahu bagaimana kehidupan kami pada waktu itu.

“Selain rezeki diberikan Allah, boleh saya katakan apa yang saya ada pada hari ini bermula di FELDA Selancar 3.

“Saya tak ada apa-apa pun sebelum ini, hanya berbekalkan RM30 ketika mula menjejakkan kaki ke sini,” katanya ketika ditemui BH di kandang ternakannya dekat FELDA Selancar 3, di sini, semalam.

Fadzel memberi makan lembunya di FELDA Selancar 3. - NSTP/Badrul Kamal Zakaria

Fadzel yang berasal dari Guar Cempedak, Kedah, berkata selepas menjadi peneroka, dia cuba meningkatkan taraf kehidupan keluarganya dengan turut mengusahakan bengkel kenderaan secara kecil-kecilan.

“Pengalaman bertugas dalam tentera dahulu, saya cuba praktikkan sebaiknya.

“Oleh kerana tanah rancangan ini masih baharu, saya gunakan pengalaman saya di Kor Jurutera Elektrik dan Jentera untuk membaik pulih kenderaan.

“Hasil pendapatan bengkel, saya simpan sedikit demi sedikit sebelum menceburkan diri dalam bidang penternakan pada 1995.

“Saya memang berminat dalam bidang ini kerana masa muda dahulu, saya sering membantu orang tua menjaga ternakan milik keluarga, walaupun sekadar seekor dua sahaja,” katanya.

Fadzel berkata, pada peringkat awal, beliau hanya melakukan perusahaan ternakan ini secara kecil-kecilan sahaja, sebelum serius kerana mendapat inspirasi daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya bermula dengan seekor lembu sahaja ketika mula menternak dahulu, sebelum menyimpan duit hasil bengkel untuk menambah beberapa ekor lagi ternakan dalam tempoh tiga hingga empat tahun, sehingga memiliki kira-kira 30 ekor lembu.

“Tidak lama selepas itu, Dr Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri, menyarankan penternakan lembu diusahakan dalam estet dan tanah rancangan.

“Saya kemudian menjual semua lembu yang ada itu untuk membina kandang yang lebih bersistematik.

“Apabila kandang siap, saya mempelbagaikan usaha dengan membeli, serta menjual lembu.

“Cuma ketika itu saya mula menyimpan dan menternak lembu yang cantik dari baka baik, sebelum dilepaskan meragut secara bebas dalam kawasan ladang sekitar FELDA ini,” katanya.

 
Pengarah Besar FELDA, Datuk Dr Othman Omar (kanan) beramah mesra bersama Fadzel (dua dari kiri) dan anaknya, Mohd Fairus Fadzel, 33, (kiri) di FELDA Selancar 3. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Selepas 24 tahun menceburi bidang penternakan, beliau kini boleh berbangga kerana usaha dan penat jerihnya selama ini nyata berbaloi, apabila memiliki kira-kira 500 ekor haiwan ternakan terdiri daripada lembu dan kerbau.

“Alhamdulillah, perniagaan ini agak laris juga terutama ketika musim perayaan. Lagi pun, bekalan daging tempatan dalam pasaran negara memang tidak mencukupi dan saya juga mempunyai pelanggan di serata tempat kerana bukan hanya di Pahang, tetapi juga dari Johor, Melaka, Selangor dan banyak lagi.

“Permintaan meningkat terutama ketika musim perayaan seperti Aidilfitri dan Aidiladha. Begitu juga pada musim cuti sekolah kerana banyak kenduri kahwin diadakan.

“Saya juga menjual haiwan ternakan ini secara pukal kepada peniaga runcit dan setiap urus niaga dibuat di kandang ini.

“Alhamdulillah, pendapatan kasar purata kini mampu menjangkau RM10,000 sebulan,” katanya.

Dia yang kini dibantu anak keempatnya, Mohd Fairus, 32, berkata ternakan yang diusahakan ketika ini dibuat menggunakan dua pendekatan, iaitu ternakan dibiar meragut secara bebas dalam ladang, serta menggunakan kandang sebagai lokasi fidlot sebelum dijual kepada pelanggan.

“Harga jualan lembu dan kerbau berbeza, kerana dibuat mengikut berat timbangan tetapi secara purata sekitar RM3,000 seekor.

“Sebelum ini, saya pernah menternak kambing tetapi ketiadaan kakitangan yang cukup untuk membantu, menyebabkan saya memberi tumpuan kepada ternakan lembu serta kerbau sahaja.

“Alhamdulillah, kini anak keempat turut membantu saya sebaik menghabiskan pengajian Diploma Perakaunan di universiti awam (UA).

“Syukur kerana dia berminat dengan perniagaan ini yang secara tidak langsung dapat membantu saya,” katanya.

Pengarah Besar FELDA, Datuk Dr Othman Omar (kanan) beramah mesra bersama Fadzel (dua dari kiri) dan anaknya, Mohd Fairus Fadzel, 33, (kiri) di FELDA Selancar 3. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Fadzel juga bukan sahaja menjadi ikon usahawan dalam kalangan penduduk setempat, tetapi juga seorang bapa yang berjaya dalam memberi pendidikan dan kehidupan yang lebih baik kepada lapan anaknya.

“Anak sulung saya kini bekerja dengan Petronas, manakala anak kedua dan ketiga menguruskan perniagaan masing-masing.

“Anak keempat, iaitu Mohd Fairus ini membantu saya dalam perniagaan penternakan ini sebaik selesai diploma.

“Anak kelima saya bertugas sebagai jurutera perumahan di Kuala Lumpur, anak keenam berkhidmat dengan Penerbangan Malaysia (MAS), manakala yang ketujuh pula dalam bidang perisian komputer.

“Anak bongsu yang juga satu-satunya anak perempuan sedang melanjutkan pengajian bidang farmasi di Universiti Malaya.

“Secara jujurnya ketika mereka bersekolah, saya tidak pernah meminta bantuan daripada mereka untuk menguruskan perniagaan.

“Bagi saya, masa untuk belajar, mereka mesti belajar bersungguh-sungguh dan anak keempat saya ini pula sebab dia minat dan juga sebab sudah habis belajar,” katanya.

Ditanya sama ada cita-citanya yang ditanamkan dalam dirinya sudah tercapai, Fadzel mengakui, masih ada beberapa impian yang sedang diburunya dan berharap ia akan dapat direalisasikan.

“Cita-cita saya seterusnya ingin mengusahakan perniagaan daging sejuk beku pula. Selain itu, saya ingin mengeluarkan baka lembu dan kerbau sendiri serta memperluaskan kawasan ternakan selepas ini.

“Saya harap pengurusan FELDA dapat membantu terutama berkaitan aspek pemasaran.

“Setidak-tidaknya ia boleh dipasarkan di kawasan FELDA lain di seluruh negara, kerana setiap tanah rancangan ini mempunyai kedai runcit D-Mart. Itulah antara impian saya,” katanya.


Fadzel (tengah) memberi makan lembunya di FELDA Selancar 3. - NSTP/Badrul Kamal Zakaria

'Mu Buat Kami Bantu' menjana pulangan lumayan

PASAR Ternakan Hidup memberi pulangan lumayan kepada penternak selain membuka ruang dan peluang kepada pembeli untuk mendapatkan binatang ternakan terbaik. - Foto fail NSTP/Mohd Syafiq Ridzuan Ambak



BESUT: Konsep 'Mu Buat Kami Bantu' yang membawa maksud anda lakukan kami membantu yang dilaksanakan di Pasar Ternakan Hidup, di sini ternyata berjaya memberi pulangan lumayan kepada penternak selain membuka ruang dan peluang kepada pembeli untuk mendapatkan binatang ternakan terbaik.

Pasar yang merupakan perintis di Malaysia dan mula dilaksanakan pada 2016 mencatatkan hasil peningkatan jualan sehingga RM250,000 pada tahun lepas berbanding RM193,800 pada 2016.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof, berkata pertama kali pasar itu diwujudkan di Pusat Perkhidmatan Veterinar Manir dan kemudiannya dikembangkan ke Kampung Baru, Besut.

"Ia dilakukan dua kali sebulan. Awalnya ia mendapat kerjasama Persatuan Penternak Kambing yang melibatkan jualan ternakan hidup seperti lembu, kambing dan unggas serta produk hasilan ternakan seperti susu kambing, daging dan produk pertanian lain, "katanya.

Rata-rata penternak memperoleh pendapatan agak tinggi pada setiap sesi jualan berlangsung berikutan harga ternakan yang mencecah antara RM7,000 hingga RM8,000 bagi seekor lembu, manakala harga seekor kambing bermula daripada RM500 hingga RM1,000 seekor.

Lebih menarik, pihak kerajaan negeri dan Jabatan Vaterinar turut menyediakan pelbagai kemudahan termasuk pengangkutan untuk membawa haiwan ternakan ke lokasi jualan dan sekiranya penternak mengalami masalah, makanan ternakan turut disertakan berikutan proses jualan akan berlangsung dalam tempoh beberapa jam.

"Kami cuba membawa satu semangat baharu kepada penternak supaya memikirkan sektor yang mereka ceburi ini mampu memberi pendapatan lumayan.

Sungguhpun ketikanya jualan tidak berlaku pada hari berkenaan tetapi apabila platform tersebut disediakan, pembeli akan mula membuat rangkaian dengan penternak dan mereka akan berhubung secara berterusan," katanya.

Mengikut rekod, dalam satu sesi jualan yang bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang, ada penternak mengumpulkan 20 ekor lembu dan lebih 30 ekor kambing untuk dijual. Ada juga yang menjual ayam serta itik.

Muhammad Pehemi berkata, pusat jualan juga mendapat perkhidmatan tambahan daripada kerajaan negeri serta Jabatan Veterinar menerusi maklumat yang disebarkan dalam laman sosial seperti Facebook dan WhatApps.

Selain itu, katanya Terengganu kini sedang giat membangunkan industri penternakan kambing menerusi projek Lembah Kaprima Hulu Seladang di Setiu yang merupakan satu daripada lapan lembah kaprima dengan keluasan keseluruhan 20 hektar melibatkan lima buah kandang.

Pada awalnya, penternakan kambing di kawasan itu mengetengahkan kambing dari baka Jamnapari bagi pengeluaran daging, namun bermula 2016, baka tersebut digantikan dengan baka Saanen yang merupakan baka kambing tenusu.

Tambah Muhammad Pehimi, selain dari penternakan kambing, kawasan lapang di situ ditanam dengan rumput jenis 'pasture humidicola' yang menjadi sumber makanan kambing dan hampir dua hektar lagi ditanam dengan tanaman kontang sebagai sumber ekonomi sampingan para penternak.

Bagi mencetuskan transformasi penternak, Muhammad berkata pihaknya juga kini giat memberi penerangan kepada penternak lembu sado supaya mengkomesialkan penternakan lembu jenis itu daripada sebagai hobi semata-mata.

"Dulu orang bela lembu sado untuk hobi tetapi sebenarnya ia boleh dikomersialkan sebab proses pembesarannya yang bukan sahaja cepat malahan mampu memberi pendapatan tinggi dalam masa singkat," katanya. - BERNAMA

Ternak lembu, tanam buah naga jana pendapatan lumayan


TIMBALAN Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dr Mohd Radzi Md Jidin menunjukkan buah naga hasil tanaman yang diusahakan oleh seorang anak peneroka Felda Sahabat Fadzly Sultan, ketika melakukan lawatan di Felda Sahabat dekat Lahad Datu. - Foto BERNAMA


LAHAD DATU: Dua anak peneroka Felda Sahabat, Bakri Pawerdi, 34, dan Mohd Fadly Sultan, 30, dekat sini berjaya menjadikan ternakan lembu dan tanaman buah naga sebagai sumber pendapatan sampingan sehingga menjana pendapatan mencecah RM1 juta setahun.

Kejayaan dua sahabat itu dibantu pihak Felda menerusi Program Pembangunan Peneroka (PPP) yang menggalakkan golongan belia Felda untuk menjana pendapatan sampingan menerusi aktiviti penternakan dan pertanian.

Fadly yang mengusahakan tanaman buah naga sejak 2011 berkata, sebanyak 5,000 pokok ditanam di atas tanah seluas tujuh hektar yang disediakan di Felda Sahabat 1, Kampung Anjung Teduh.

“Buah naga ini mendapat banyak permintaan dan ketika ini dipasarkan di daerah ini, Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu,” katanya ketika ditemui Bernama selepas lawatan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin ke Felda Sahabat baru-baru ini.

Katanya, ketika ini sebanyak 2,000 pokok buah naga di ladangnya menghasilkan buah secara produktif iaitu sebanyak satu tan setengah (1,500 kilogram) dengan pendapatan kasar RM12,000 setiap bulan.

Bakri yang mengusahakan ternakan lembu pedaging di Felda Sahabat 2, Cenderawasih kini bukan sahaja berjaya menjadi antara pembekal lembu pedaging utama di negeri ini, tetapi turut membekal daging lembu untuk pasaran di negeri Sarawak dan negara jiran, Brunei.

Menurut Bakri, beliau memulakan penternakan lembu secara integrasi di ladang kelapa sawit di Felda berkenaan pada 2004 dengan hanya 20 ekor dan jumlah ternakannya kini mencecah 3,350 ekor lembu.

“Kejayaan ini adalah hasil galakan dan sokongan oleh pihak Felda yang memberikan kawasan ragutan bebas lembu serta nasihat dan tunjuk ajar,” katanya yang pernah menerima anugerah Usahawan Penternak Jaya sempena Hari Penternak, Peladang dan Nelayan Kebangsaan pada 2017.

Bakri berkata, ladangnya mampu membekalkan 600 hingga 1,000 ekor lembu setahun dengan anggaran kasar pendapatan sebanyak RM1 juta setahun.

Ladang ternakan yang diusahakan Bakri juga turut berjaya menyediakan peluang pekerjaan kepada 52 peneroka dan golongan muda di Felda Sahabat.

-BERNAMA

Dapur moden tingkat hasil minyak gaharu




Pengarah Urusan Juara Agarwood, Muhammad Hafiz Talib (tiga dari kanan) ketika memperkenalkan dapur moden minyak gaharu di Cyberjaya, baru-baru ini.


KUALA LUMPUR: Juara Agarwood Resources Sdn Bhd, pengeluar produk berasaskan tanaman gaharu memperkenalkan dapur moden menerusi teknologi dan inovasi dapur teknologi digital.

Dikenali sebagai ‘Smart Automatic Distillation System’, ia dibangunkan hasil daripada masalah yang dihadapi oleh peserta industri gaharu yang terbabit dalam pemprosesan minyak gaharu secara tradisional.

Pengarah Urusannya, Muhammad Hafiz Talib, berkata sebagai syarikat yang terbabit mengusahakan produk berasaskan gaharu, pihaknya sentiasa berusaha memperluaskan inovasi dan penggunaan teknologi bagi meningkatkan produktiviti industri.

“Ini kerana proses memasak minyak gaharu secara tradisional membabitkan satu proses yang sukar dalam tempoh masa yang lama, penggunaan gas memasak yang banyak dengan kos yang tinggi selain pemantauan tanpa henti selama 24 jam untuk empat hari oleh tenaga kerja.

“Sudah pasti proses memasak di kawasan dapur yang panas itu akan memiliki kekurangannya iaitu daripada aspek suhu yang tidak terkawal, tidak bersih selain berpotensi berlaku pencemaran karbon.

“Namun teknologi ini dapat menjimatkan masa dan kos pengusaha berbanding sebelum ini yang menggunakan gas dan pekerja bagi memantau sepanjang proses empat hari memasak kayu gaharu,” katanya dalam kenyataan.

Muhammad Hafiz berkata, kejayaan Juara Agarwood yang juga anak syarikat One Diversity Sdn Bhd, mengeluarkan ciptaan terkini selari dengan inisiatif Revolusi Perindustian 4.0 yang ditekankan oleh kerajaan.

Beliau berkata, pengusaha kini boleh mengusahakan pati minyak dan produk kesihatan air hidrosol bermutu tinggi secara sendiri melalui sumber elektrik kawalan jauh menggunakan telefon mudah alih.

Katanya, dapur gaharu teknologi digital itu dihasilkan dalam jangka masa setahun mnerusi kajian dan pengalaman syarikatnya sepanjang mengusahakan produk berkenaan lebih lima tahun lalu.

“Dapur gaharu teknologi digital ini mampu memasak 2.5 kilogram (kg) kayu gaharu menggunakan sistem elektronik melalui bantuan wifi dan boleh diakses melalui telefon mudah alih di serata dunia.

“Penggunaan dapur digital itu juga dapat menjimatkan kos berbanding sebelum ini menggunakan empat tong gas sepanjang empat hari proses memasak.

“Melalui sistem itu, ia juga membolehkan pengguna mengawal suhu, penambahan air dan mengawal kawasan sekitar melalui kamera litar yang dipasang pada dapur,” katanya.

Muhammad Hafiz berkata, dapur digital itu mampu menghasilkan dua hingga lima militer (ml) minyak dan 1.8 liter air hidrosol yang bernilai tinggi.

Katanya, pada masa ini syarikat sudah memasarkan lebih 20 unit dapur digital berkenaan termasuk menerima tempahan dari Vietnam dan Indonesia yang juga antara negara pengeluar tanaman gaharu.

"Kos bagi setiap unit dapur itu berharga RM5,000 bagi 2.5kg dan RM50,000 bagi 25kg yang mampu disiapkan dalam jangka masa dua minggu selepas membuat tempahan.

"Produk Bumiputera ini menggunakan teknologi tempatan sepenuhnya dan menjelang tahun depan syarikat menyasarkan nilai jualan sebanyak RM50 juta termasuk dalam dan luar negara," katanya

'Permintaan tinggi sehingga bekalan tidak mencukupi'

RAUB: Demi minat dan impian untuk berjaya dalam bidang penternakan arnab pedaging, seorang pemuda sanggup melepaskan jawatannya sebagai penjawat awam yang terjamin pendapatan setiap bulan.

Selepas lima tahun mencurahkan sepenuh komitmen menjadi usahawan muda, Muhamad Rizal Adha, 26, mampu berbangga dengan pencapaian diri dalam bidang diterokainya itu.

Bermula dengan hanya memiliki beberapa arnab hiasan, beliau yang menetap di Kampung Tok Machang, Ulu Gali, di sini, kini menternak lebih 500 arnab pedaging jenis New Zealand White.

Muhamad Rizal menjelaskan, menternak arnab pedaging adalah mudah dan tidak memerlukan modal serta perbelanjaan makanan yang terlalu besar berbanding ternakan lain seperti ayam, itik dan kambing.

“Malah, keuntungan hasil jualan daging segar adalah memuaskan. Ketika ini, boleh dikatakan permintaan daging arnab segar begitu menggalakkan tetapi setiap bulan, saya hanya mampu membekalkan antara 200 hingga 250 kilogram.

“Walaupun dijual pada harga RM35 sekilogram, pasaran daging arnab sentiasa mendapat permintaan tinggi sehingga bekalan tidak mencukupi,” katanya ketika ditemui di ladang ternakan beliau, di sini.

Muhamad Rizal yang pernah bertugas di Jabatan Imigresen Malaysia dan juga bekas atlet silat olahraga Sukan Malaysia (SUKMA) memaklumkan, kos makanan ternakan bagi seekor arnab pedaging ialah antara RM13 hingga RM19 apabila mencapai usia matang untuk disembelih.

Katanya, hanya arnab pedaging yang mencapai berat dua kilogram ke atas akan disembelih dan semua proses dilakukan sendiri dengan bantuan dua pekerja.

Beliau yang memiliki Diploma Ukur Bahan daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Seri Iskandar, Perak, berkata arnab mampu melahirkan anak antara tujuh hingga lapan kali setahun dengan setiap kali membabitkan enam hingga 12 anak.

“Saya mampu meraih pendapatan bersih antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan hasil jualan daging arnab secara terus dan dalam talian. Ada lebih 15 pelanggan tetap yang memerlukan bekalan setiap bulan.

“Selain untuk menghasilkan sate dan beberapa jenis hidangan lain, daging arnab juga dijadikan makanan kucing baka import oleh pemilik haiwan berkenaan.

“Saya yakin industri penternakan arnab pedaging ada masa depan begitu cerah,” katanya yang turut membekalkan sangkar arnab diimport dari China.

Selain menternak arnab pedaging, bapa kepada empat cahaya mata itu berusaha menambah pendapatan dengan menjalankan perniagaan sebagai pemborong getah beku di daerah ini.


Muhamad Rizal kini menternak lebih 500 arnab pedaging jenis New Zealand White. - NSTP/Mohd Rafi Mamat
 

Teknologi memudah perniagaan



KUALA LUMPUR: Lumrah buat perniagaan yang sedang berkembang naik apabila perlu berdepan pelbagai cabaran antaranya peningkatan pelanggan secara mendadak sehinggakan tidak cukup tangan untuk melayani permintaan dan kehendak mereka.

Dari satu sudut, pertambahan mendadak pelanggan adalah sesuatu yang positif untuk mana-mana syarikat, namun jika lambat bertindak dan gagal menanganinya dengan segera dan berkesan, dibimbangi ia boleh menjejaskan reputasi perniagaan itu sendiri apabila pelanggan akhirnya lari mencari alternatif lain.

Situasi sedemikian pernah dialami oleh perusahaan agrikultur moden, Eats, Shoots & Roots dan tindakan pantas mereka mencari jalan penyelesaian segera menerusi perkhidmatan digital ditawarkan Maxis Bhd berjaya mengukuhkan lagi operasi perniagaan yang ditunjangi enam anak muda ini

Eats, Shoots & Roots menyediakan kepakaran untuk mereka yang ingin memiliki taman sayur-sayuran sendiri.

Eats, Shoots & Roots ditubuhkan pada tahun 2012 dan menawarkan perkhidmatan rundingan agrikultur moden yang pelbagai dari bengkel pendidikan untuk kanak-kanak dan orang dewasa sehinggalah membantu membina kebun edibel untuk orang persendirian atau komuniti.

Menurut salah seorang pengasas bersama perusahaan itu, Shao-Lyn Low, sewaktu memulakan perusahaan itu beliau tidak pernah menyangka sama sekali yang perniagaan itu mampu berkembang jauh sehingga menerima banyak permintaan orang ramai untuk mempelajari agrikultur bandar.

Malahan, tidak pernah terlintas dalam fikiran wanita berusia 34 tahun ini untuk terbabit dalam bidang pertanian secara sepenuh masa apatah lagi tidak pernah mempunyai apa-apa pengalaman dalam bidang itu sebelum ini.

"Antara masalah utama yang dihadapi kami ialah panggilan telefon tidak dijawab di pejabat kerana kami berenam sentiasa sibuk dengan kerja masing-masing dan sering berada di luar kawasan.

“Kebiasaannya kami juga tidak memberi nombor telefon peribadi kepada pelanggan kerana enggan mencampur adukkan urusan kerja dan peribadi.

"Sudah tentu setiap panggilan adalah penting kerana boleh jadi ia adalah dari pelanggan berpotensi atau sedia ada yang mahu bertanyakan sesuatu mengenai perkhidmatan kami.

“Maka, selepas bertanya-tanya kepada rakan-rakan sekeliling, mereka mengesyorkan Maxis yang mempunyai penyelesaian untuk mengatasi masalah dihadapi kami ini,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, baru-baru ini.

Selepas mendengar masalah perusahaan itu, Maxis menawarkan penyelesaian dikenali sebagai ONEBusiness Smart. Ia menawarkan pelan telefon bimbit, internet pejabat dan telefon mudah alih dalam satu harga. Ianya membantu terutamanya ketika semuanya tengah sibuk dan berada di kawasan kebun serta tidak berada di pejabat.

Pelan ini juga menawarkan pakej rangkian perhidmatan komunikasi dalam talian yang dipanggil ONEBusiness VoiceGo di mana menerusi sistem ini, katanya, mereka semua diberi satu nombor perniagaan khusus yang mana apabila pelanggan menghubungi nombor berkenaan, setiap seorang akan menerima panggilan itu serentak di telefon mudah alih masing-masing.

Pengasas Eats, Shoots & Roots, Shao Lyn di Bukit Damansara.

"Jadi, pihak yang berkelapangan akan menjawab panggilan itu dan sebaik ia dijawab, deringan di telefon yang lain akan terus berhenti. Ini amat memudahkan kami dan sekali gus membantu menyelesaikan masalah panggilan pelanggan tidak dijawab selain tidak perlu mendedahkan nombor telefon peribadi," katanya.

Pelanggan juga akan menerima nombor khas 1700 atau nombor talian tetap (0X) yang menjadi nombor perniagaan maya sekaligus memastikan perniagaan anda boleh dihubungi oleh sesiapa pada bila-bila masa sahaja, dan dimana sahaja anda berada.

Claire Featherstone.

Maxis Head of Business Practices, Claire Featherstone berkata, Maxis bercita tinggi membantu semua segmen utama perniagaan dengan memperbaiki proses sekaligus membaharui cara perniagaan beroperasi.

“Teknologi yang inovatif dan penyelesaian digital yang ditawarkan bakal memanfaatkan rangkaian talian tetap dan talian bergerak yang disokong oleh rangkaian peneraju industri telekomunikasi yang memastikan kebebasan dan pengalaman tanpa batasan kepada pengguna", katanya.

Selain itu Shao-Lyn, berkata menerusi penyelesaian digital itu, pihaknya juga dibekalkan dengan sambungan jalur lebar di pejabat dan data mudah alih tanpa had untuk telefon pintar mereka sepanjang waktu bekerja.

"Sambungan internet amat penting buat kami kerana boleh dikatakan hampir semua operasi perniagaan syarikat dijalankan secara atas talian menggunakan perkhidatan awan.

"Segala maklumat dan data mengenai pelanggan kami simpan di dalam awan dan apabila mahu mengaksesnya, sudah tentu akan memerlukan sambungan internet yang baik dan pantas.

"Memandangkan Maxis memiliki rangkaian perhubungan yang terbaik di seluruh negara, maka tidak menjadi masalah untuk kami mengakses segala maklumat dan data diperlukan biarpun ketika berada jauh sehingga kawasan luar bandar,” katanya.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ONEBusiness SMART, layari https://business.maxis.com.my/mobile/onebusiness-smart/
 

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI