Tuesday, February 24, 2009

PRODUK IKS PERDA TEMBUSI PASARAN ASIA BARAT

IBONG TEBAL 24 Feb. - Usahawan bumiputera yang mendapat bantuan dan bimbingan daripada Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) mensasarkan produk yang dihasilkan menembusi pasaran Asia Barat dalam tempoh sekurang-kurangnya lima tahun akan datang.

Pengerusinya, Datuk Azhar Ibrahim berkata, Perda yakin produk keluaran syarikat bumiputera yang beroperasi di taman industri kecil dan sederhana (IKS) milik Perda mampu menembusi pasaran luar negara.

Azhar berkata, sehingga kini sudah ada beberapa syarikat bimbingan Perda dan beberapa agensi lain yang telah mengeksport produk mereka ke Fiji, Bangladesh dan Indonesia.

Katanya, walaupun usaha untuk memasarkan produk-produk ke ketiga-tiga negara tersebut adalah inisiatif syarikat bumiputera itu sendiri namun ia membuktikan bahawa syarikat bumiputera di sekitar IKS di sini mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

"Dengan pelbagai bantuan yang disediakan oleh pelbagai agensi termasuk Perda, usahawan bumiputera kini sudah mampu menghasilkan produk bermutu tinggi untuk bersaing dengan produk keluaran syarikat gergasi yang sudah lama bertapak.

"Kita amat bangga dengan kemajuan yang dicapai dan ditunjukkan oleh pengusaha dan kita akan terus memberi mereka bimbingan dan galakan supaya dapat terus bersaing bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke beberapa syarikat milik usahawan bumiputera di Taman IKS Perda di Tasek dan Simpang Ampat serta Taman IKS Perda Bukit Minyak, Bukit Mertajam, dekat sini hari ini.

Turut hadir, Pengurus Besar Perda, Azmi Lateh serta pegawai Perda.

Setakat ini terdapat lebih dari 200 syarikat usahawan bumiputera yang sedang beroperasi di lima kawasan IKS iaitu Taman IKS Tasek, IKS Simpang Ampat, IKS Bukit Minyak, IKS Kubang Menerong dan Taman Industri Asas Tani Kubang Menerong di Tasek Gelugor.

Azhar berkata, pihaknya mensasarkan untuk menaik taraf sekurang-kurangnya 10 syarikat usahawan bumiputera daripada berskala mikro kepada makro setiap tahun.

Katanya lagi, hasrat itu sejajar dengan apa yang Perda ingin lahirkan iaitu lebih banyak usahawan bumiputera yang mampu berdaya saing di peringkat nasional sekali gus menguatkan ekonomi tempatan.

Beliau menambah, dengan kewujudan lebih banyak usahawan bumiputera, secara tidak langsung ia akan menambahkan jumlah produk halal di pasaran tempatan dan antarabangsa

POTENSI BAJA ASLI VERMIKOMPOS

BALIK PULAU 24 Feb. - Apabila disebut saja perkataan cacing, ramai yang rasa geli membayangkan haiwan invertebrat itu yang lembik dan hidup di dalam tanah.

Namun cacing sebenarnya haiwan yang amat berguna dalam bidang pertanian terutama najisnya di samping fungsinya menggemburkan tanah bagi pengudaraan dan saliran.

Kajian mengenai peranan cacing komersial dalam pertanian juga bermula sejak 1998.
Ketika itu Jabatan Pertanian mula mengimport tiga spesies cacing dari Australia iaitu cacing Lumbricus rubellus (cacing merah), Eisenia fetida (cacing harimau) dan Perionyx excavatus (cacing biru) kerana spesies tempatan sukar ditemui dalam jumlah yang banyak.

Kajian mengenai pembiakan cacing atau vermes bagi menghasilkan vermikompos (baja) yang baik untuk tanaman juga giat dilakukan pelbagai pihak.

Vermikompos merupakan bahan organik hasil daripada proses atau aktiviti mikrobial cacing tanah ke atas bahan organik mentah seperti sisa-sisa pertanian dan ternakan.

Menyedari potensi dan hasil lumayan daripada bidang penghasilan baja vermikompos mendorong seorang guru, Ismail Saad, 43, menghabiskan masa kira-kira dua tahun hanya untuk belajar tentang tabiat cacing.

Bapa kepada tujuh anak itu berkata, sedikit pun hatinya tidak menyesal terpaksa memperuntukkan masa yang lama hanya untuk belajar tentang tabiat invertebrat itu kerana ilmu yang diperoleh mampu menjadikan vermikompos yang lebih baik.
''Saya bermula dengan hanya dua kotak iaitu pada awal tahun 2006. Memang saya tidak mahu buat banyak-banyak kerana saya ingin melengkapkan diri dengan ilmu cacing terlebih dahulu.

''Saya belajar bukan hanya di dalam negeri Pulau Pinang tetapi juga di merata tempat lain di Perak, Kedah dan Perlis. Alhamdulillah, selepas memulakannya secara aktif, kami mampu menjana pendapatan antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan,'' katanya yang mengusahakan vermikompos bersama empat orang kawan sekampungnya.

Jelas Ismail, berbeza dengan vermikompos sedia ada yang menggunakan jerami padi, batang jagung atau sisa sayuran yang baru dituai, beliau bersama kawan-kawannya menggunakan najis kambing yang dikisar menggunakan sebuah mesin khas yang dibeli dengan harga RM7,000.
Katanya, tahi kambing tersebut diperoleh mereka daripada kandang-kandang kambing seluruh Balik Pulau.

Menurut beliau, kaedah tersebut lebih baik dan praktikal serta mampu menghasilkan vermikompos yang lebih banyak kerana mudah reput dan amat digemari cacing.

''Kalau guna bahan lain, terpaksa menunggu agak lama untuk membolehkan bahan-bahan tadi reput sebelum dimakan cacing tetapi dengan menggunakan tahi kambing yang dikisar, dalam masa dua hingga tiga minggu sudah boleh diambil hasil.

''Baja vermikompos ini juga tahan lama. Ia masih boleh digunakan dalam masa dua hingga tiga tahun, tidak rosak. Khasiat yang ada pun tetap sama,'' katanya yang hanya memperuntukkan masa tiga jam sehari iaitu dari pukul 4 petang hingga 7 malam untuk membuat vermikompos di Tanah Projek Vermikompos, Jalan Bharun di sini.

Menurut Ismail, vermikompos mengandungi pelbagai jenis hormon dan enzim yang dikeluarkan oleh bakteria dari dalam perut cacing yang boleh membantu tumbesaran pokok.

''Malah tumbuhan yang menggunakan vermikompos membesar lebih cepat berbanding baja organik biasa.

''Sambutan daripada masyarakat luar dan Jabatan Pertanian juga menggalakkan. Dengan jumlah kotak cacing yang ada iaitu 31 pada masa ini, kami tidak mampu memenuhi permintaan,'' katanya.
Menurut Ismail, dia menggunakan cacing merah dan cacing harimau iaitu cacing yang suka tinggal dalam bahan organik separuh reput di bangsalnya.

Katanya, cacing kompos mempunyai ciri-ciri seperti suka makan di lapisan atas, selera makan yang besar dan membiak dengan cepat.

''Sifat ini memudahkan kerja mengasingkan cacing dan vermikompos semasa menjalankan kerja mengutip hasil. Cacing makan mengikut berat badannya, misalnya jika berat seekor adalah 4 gram jadi ia memerlukan makanan dengan berat yang sama setiap hari.

''Air pula akan disalurkan dua hari sekali. Paling cacing suka ialah air hujan yang membantunya membiak dengan cepat. Kalau air biasa yang berklorin, ia lambat membiak dan ada yang mati,'' katanya.

Menurutnya, proses penambahan makanan akan dilakukan lebih kerap selepas sebulan cacing dilepaskan ke dalam kotak.

Tambahnya, satu sifat yang ada pada cacing kompos ialah ia membiak dengan cepat.''Sepasang cacing kompos boleh bertelur sehingga 50 kapsul setahun dengan setiap kapsul mempunyai dua hingga lima ekor anak cacing.

''Ketika memulakan perusahaan baja ini, kami telah melepaskan kira-kira 20,000 benih cacing. Rasanya jumlah itu sudah semakin banyak kerana cacing memang cepat membiak,'' ujar Ismail.
Selain mengusahakan baja vermikompos, Ismail berkata, mereka turut menjual 'teh cacing' iaitu air hasil daripada proses penyiraman cacing dan ayam kampung yang diternak secara kecil-kecilan di sebelah pusat vermikomposnya.

Katanya, teh cacing itu amat sesuai untuk aktiviti penyiraman untuk tanaman dan sayur-sayuran.
''Kami juga menjual baja tahi kambing yang dikisar. Ada juga permintaan untuk mendapatkan benih cacing, namun setakat ini kami belum lagi menjualnya kerana benih cacing sukar diperoleh.

''Banyak pihak ingin belajar membuat baja vermikompos dan penternakan cacing daripada kami. Kami amat gembira dapat membantu mereka. Ini antara lain dapat meningkatkan produktiviti masyarakat kampung terutama di Balik Pulau ini,'' katanya sambil tersenyum.

Thursday, February 5, 2009

FRANCAIS PILIHAN BISNES DALAM KEGAWATAN EKONOMI

Francais pilihan bisnes dalam kegawatan ekonomi Krisis kewangan global memberi impak besar kepada ekonomi dunia yang menjejaskan hampir semua sektor termasuk perniagaan francais, namun ia merupakan pilihan lebih baik bagi meningkatkan pendapatan dan kedudukan syarikat dalam keadaan gawat. Pengerusi Persatuan Francais Malaysia, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, industri francais tidak akan terjejas teruk meskipun ketika semua sedang berhadapan dengan persekitaran yang mencabar pada tahun ini. “Sebaliknya, ia dijadikan kelebihan kerana menawarkan peluang konsep perniagaan yang terbukti mantap untuk usahawan,” katanya. Selain itu, risiko bagi kebanyakan perniagaan semakin meningkat, tetapi francais menawarkan beberapa langkah dalam produk dan perkhidmatan pengusaha. Sama ada francaisor atau francaisi, mereka mempunyai kawalan yang lebih baik terhadap perniagaan dalam pasaran konsumer yang tidak menentu. “Jenama seperti Secret Recipe, Daily Fresh, 1901 hotdogs dan Sinma dikenali sejak kegawatan ekonomi 1997/98 dan kini mempunyai pasaran yang luas termasuk antarabangsa,” katanya. Masyarakat berminat untuk menceburi bidang perniagaan, namun keadaan yang tidak menentu menyebabkan mereka takut untuk menjadi usahawan. Terdapat pengusaha francais terutama usahawan baru yang tidak mempunyai pengalaman untuk berhadapan dengan keadaan ekonomi sehingga mereka berasa bimbang mengenai prospek perniagaan. Berkemungkinan mereka juga akan mengalami masalah lain yang membabitkan bajet, pengurusan aliran tunai, kakitangan sehingga menyebabkan tiada pilihan dan seterusnya terpaksa menutup perniagaan. Menyedari dilema yang dihadapi oleh usahawan francais, MFA dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) dan Perbadanan Nasional Berhad (PNB) menganjurkan seminar bagi mendidik golongan itu untuk bertahan dalam kemelesetan ekonomi. Bertemakan ‘Realiti Ekonomi: Menangani Kemelesetan’, seminar yang dikenali sebagai ‘Breakfast Talk’ itu akan diadakan pada pukul 8.30 pagi di Eden@Chulan Square, Kuala Lumpur pada 22 Januari ini.

Wednesday, February 4, 2009

INSENTIF PENGELUARAN TANAMAN KEPADA PENGELUAR SAYUR/BUAH

Insentif kewangan diberikan kepada pengusaha yang terlibat dalam pengeluaran sayuran dan buahan. Insentif ini dilaksanakan di bawah Jabatan Pertanian. Insentif yang diberikan adalah seperti berikut :

Sayur-sayuran - RM81.00/metrik tan
Buah-buahan - RM78.00/metrik tan

Syarat-Syarat Kelayakan:
1. Warganegara Malaysia
2. Pengusaha Individu, Syarikat dan Institusi
3. Berdaftar dengan Jabatan Pertanian
4. Mengusahakan tanah sendiri, disewa, dipajak atau status yang diluluskan oleh pihak berkuasa
5. Mempunyai Rekod Ladang dan Resit Jualan
6. Mempunyai akaun di Agrobank

Untuk keterangan lanjut , sila hubungi Pejabat Pertanian berdekatan................

PERSAMAAN PERAKAUNAN

Tanpa Hasil dan Belanja
ASET = LIABILITI + EKUITI PEMILIK

Mengambilkira Hasil dan Belanja
ASET = LIABILITI + (MODAL + HASIL - BELANJA)
SISTEM CATATAN BERGU

Setiap urus niaga mesti melibatkan sekurang-kurangnya dua akaun yang berasingan.
Satu akaun akan didebitkan dan satu akaun dikreditkan dengan jumlah dan tarikh yang sama.
Ia adalah satu sistem merekod urus niaga yang tepat dan bersistem.

!!! BAD LEH !!!
(Belanja & Aset berbaki Debit manakala Liabiliti, Ekuiti Pemilik dan Hasil berbaki Kredit)

KITARAN PERAKAUNAN

Proses perakaunan yang dilaksanakan mengikut urutan yang bersistem dalam satu tempoh perakaunan.
1. Dokumen Perniagaan
2. Buku Catatan Pertama
3. Pengeposan ke lejar
4. Penyediaan Imbangan Duga
5. Pelarasan
6. Imbangan Duga Selepas Pelarasan
7. Penyata Kewangan
8. Catatan Penutup

KONSEP DAN PRINSIP PERAKAUNAN YANG ASAS


Wang sebagai Ukuran- Semua urus niaga perniagaan direkod dan dilaporkan dalam nilai wang; Ringgit Malaysia (RM).

Prinsip Catatan Bergu - Setiap urus niaga harus direkod di sebelah debit dan kredit dengan jumlah dan tarikh yang sama di dalam sekurang-kurangnya dua akaun.

Entiti Berasingan-Sesebuah perniagaan dianggap sebagai satu unit yang tersendiri dan terpisah dengan pemiliknya dari segi perakaunan.

Tempoh Perakaunan - Pembahagian hayat perniagaan kepada suatu jangka masa yang tetap bagi tujuan laporan perakaunan.

Kos Sejarah - Kos belian yang direkod kekal dalam buku perakaunan tanpa mengambil kira perubahan nilai dalam pasaran.

Berterusan - Perniagaan diandaikan wujud untuk jangka masa yang panjang.

Pemadanan - Kos sebenar yang terlibat dibandingkan dengan hasil yang diperoleh untuk suatu tempoh tertentu.

Ketekalan - Kaedah perakaunan yang sama digunakan secara berterusan untuk setiap tempoh perakaunan.

Materialiti - Suatu catatan perakaunan dianggap material sekiranya keciciran butiran tersebut memberikan kesan terhadap penyata kewangan.

Monday, February 2, 2009

Ekspo Kerjaya terbesar ATM di Dataran Merdeka



Abdul Aziz Zainal menunjukkan poster Ekspo Kerjaya Bersama ATM di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 28 Jan. – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengadakan Ekspo Kerjaya ATM 2009 di Dataran Merdeka di sini bermula Jumaat ini sehingga 1 Februari.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal berkata, ekspo itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Menteri Pertahanan.

Katanya, ekspo kerjaya itu adalah yang terbesar pernah dianjurkan dan ia sempena ulang tahun ke-75 ATM tahun lalu.

“Ekspo ini bertujuan menarik minat masyarakat umum terutama bukan bumiputera untuk mendekati, memahami dan seterusnya menceburi pelbagai bidang kerjaya dalam ATM.

“Di samping itu ekspo ini juga menyampaikan maklumat penting mengenai aset-aset canggih dan terkini yang dimiliki ATM,” katanya pada sidang akhbar mengenai ekspo itu di sini hari ini.

Abdul Aziz berkata, ekspo selama tiga hari itu akan bermula pada pukul 10 pagi sehingga 10 malam dan pelbagai acara diatur kepada orang ramai yang hadir.

Beliau berkata, antaranya ialah pameran mengenai kepelbagaian kerjaya serta penglibatan ATM sehingga ke peringkat antarabangsa serta aset-aset ATM.

“Selain itu, perkhidmatan pemeriksaan kesihatan kepada orang ramai juga akan disediakan pada ekspo itu nanti.

“Demonstrasi ketenteraan seperti pertunjukkan kawad senyap dan pancaragam juga akan diadakan selain persembahan hiburan,” katanya.

Ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM iaitu Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di samping Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) akan mempamerkan kepelbagaian profesion pada ekspo itu.

Selain itu, Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat), Maktab Tentera Diraja (MTD) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) akan mempamerkan peluang kerjaya yang ditawarkan melalui ekspo tersebut.

Kementerian mahu atasi 90 peratus kambing diimport

PENGKALAN HULU 1 Feb. – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mahu melahirkan lebih ramai penternak dan usahawan dalam bidang penternakan kambing bagi mengatasi kekurangan kambing di negara ini.

Menterinya, Datuk Mustapa Mohamed berkata, langkah tersebut perlu berikutan kekurangan kambing yang ketara sehingga memaksa 90 peratus kambing diimport dari luar negara.

‘‘Negara kita masih belum banyak usahawan dan penternak secara besar-besaran dalam ternakan kambing sehingga kita terpaksa mengimport dari luar negara,” katanya semasa melawat ladang pembiak bakaan kambing milik syarikat Perfect Agro di Kampung Bukit Serdang, dekat sini hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Gerik, Datuk Tan Lian Hoe dan Pengerusi Eksekutif Perfect Agro, Datuk Razhi Yahya.

Syarikat tersebut mengusahakan ternakan dan pembiak baka di kawasan seluas 17 hektar yang merupakan bekas kawasan padang ragut melibatkan lebih 1,000 ekor kambing pelbagai jenis.

Mustapa menambah, cabaran besar dalam bidang penternakan negara ialah apabila menghadapi kekurangan baka kambing yang turut menyebabkan Malaysia terpaksa bergantung kepada negara luar.

Sehubungan itu, katanya, kementerian telah mengambil langkah untuk melahirkan lebih ramai usahawan ternakan kambing dengan mewujudkan lebih banyak pusat pembiak baka kambing di seluruh negara.

Katanya, kementerian berharap sekurang-kurangnya sebanyak 30 penternak berskala besar dapat dilahirkan di seluruh negara.

Beliau memuji usaha Perfect Agro yang bukan sahaja terlibat dalam bidang penternakan kambing malah melatih ramai usahawan yang berminat dalam ternakan kambing secara komersil.

Menurutnya, usaha pembiakan dan melatih penternak perlu dilakukan dengan lebih serius supaya baka kambing yang bakal dihasilkan setanding luar negara.

Sementara itu Razhi berkata, pihaknya mengambil inisiatif itu bagi menampung keperluan tempatan dan pusat pembiak baka itu bagi melahirkan lebih ramai mereka yang berminat dalam bidang ternakan kambing.

Jadikan Ekspo Kerjaya ATM acara bulanan - Pengunjung



PERTUNJUKKAN tempur tanpa senjata di Dataran Merdeka, semalam.


KUALA LUMPUR 30 Jan. - Pengunjung-pengunjung Ekspo Kerjaya 2009 Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mencadangkan supaya acara itu diadakan setiap bulan di negeri-negeri yang berlainan.

Mereka berpendapat, ekspo seumpama itu mampu memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai kerjaya dalam ATM yang selama ini kurang ditonjolkan.

Ekspo tiga hari di Dataran Merdeka itu bermula hari ini dari pukul 10 pagi sehingga 10 malam dan akan berakhir pada Ahad ini.

Pelajar Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM), Nurul Ain Aminuddin, 19, berkata, penganjuran ekspo itu bermanfaat kepada orang ramai yang berminat mengetahui bidang kerjaya dalam ATM.

"Acara sebegini perlu dianjurkan setiap bulan supaya maklumat dapat disalurkan kepada orang ramai secara lebih dekat dan berkesan," katanya ketika ditemui di tapak ekspo itu di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Bekas pelajar di Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Mohamad Firdaus Abu Kasim, 24, pula mencadangkan supaya ekspo itu diperluaskan di peringkat negeri.

Katanya, ia penting untuk memberi peluang kepada semua rakyat mengetahui dengan lebih dekat tentang ATM yang sebenarnya menawarkan pelbagai kerjaya.

Rakannya yang juga bekas pelajar di politeknik sama, Khairul Nizam Jamaludin, 24, percaya jika ekspo itu diadakan setiap bulan pasti akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.

Menurutnya, ketenteraan merupakan bidang yang perlu mendapat publisiti berterusan kerana tidak ramai yang mengetahui manfaat menceburi bidang tersebut.

"ATM perlu memastikan ekspo begini dijadikan acara utama untuk memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai aspek ketenteraan dalam negara," tambahnya.

Pembantu Tadbir Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Nurul Hidayati Masdin, 25, pula berkata, penganjuran ekspo itu perlu diteruskan pada masa depan.

Selain itu, katanya, ATM mesti memilih lokasi ekspo di tempat strategik seperti di Dataran Merdeka dan perlu mendapat liputan meluas.

Pegawai Khidmat Pelanggan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Juliana Rozali, 28, bersetuju dengan Hidayati dan berpendapat golongan belia mesti mengunjungi ekspo tersebut.

"Ia penting untuk mendedahkan mereka tentang bidang kerjaya dalam ATM selain mendapatkan maklumat tentang perjalanan hidup tentera," katanya.

Rahsia Chocolate House Azizi


MOHD. Hairul Azizi menunjukkan sebahagian jenis coklat yang dijual di Chocolate House, Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor, semalam.


KOTA TINGGI 29 Jan. - Apabila bercerita mengenai coklat, baik lelaki atau wanita, pasti terbayang tentang keenakan dan aroma makanan kegemaran ramai itu.

Malah, terasa enak tatkala coklat cair di dalam mulut ditambah pula dengan campuran kepingan badam, kismis dan pelbagai jenis bahan tambahan.

Kini, coklat bukanlah satu 'makanan mahal' seperti yang pernah 'berlegar' dalam minda penggemarnya suatu ketika dahulu kerana ia merupakan makanan yang cukup digemari segenap lapisan masyarakat tanpa mengenal usia.

Mengimbau kenangan dahulu, coklat hanya dihidangkan ketika majlis-majlis tertentu seperti jamuan makan malam korporat atau majlis perkahwinan, itu pun hanya diberikan sebagai hantaran kepada pasangan masing-masing.

Namun kini, pendekatan tersebut telah mengalami sedikit perubahan apabila coklat mula dihidangkan kepada umum tidak kira majlis malah ada yang menjadikannya sebagai makanan ringan.

Lebih mengujakan, coklat turut dilihat mampu untuk menceriakan hati pasangan masing-masing apabila dijadikan hadiah untuk hari bahagia.

Tetapi, jarang sekali kita mendengar terdapat coklat buatan Malaysia terutama 'buah tangan' anak Melayu berada di pasaran.

Tercabar untuk merealisasikan impian itu, Mohd. Hairul Azizi Amat Tokimin, 29, merasa terpanggil untuk menceburi bidang perniagaan pemerosesan makanan berasaskan coklat.

Bernaung di bawah syarikat Brely's Secret, jejaka yang lebih selesa dipanggil Azizi itu mempertaruhkan resipi rahsia coklatnya untuk dinikmati oleh penggemar coklat.

Mungkin jenama coklat seperti Dark Chocolate, Marble Chocolate, Milk Chocolate dan Mix Chocolate agak asing kepada penggemar coklat di Malaysia, namun bagi Azizi itulah cabaran yang paling besar harus ditempuhinya bagi memastikan coklat jenamanya itu mampu bersaing dengan coklat jenama luar negara yang lain.

Bercerita berkenaan syarikatnya, kata Azizi, Brely's Secret telah ditubuhkan pada 31 Januari 2008 di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.

Brely's Secret merupakan syarikat yang menawarkan perkhidmatan khususnya dalam bidang pemakanan yang berasaskan coklat.

Syarikat tersebut turut menawarkan perkhidmatan pembungkusan produk makanan ringan dan cenderamata untuk majlis eksklusif.

"Antara perkhidmatan lain yang ditawarkan adalah pembungkusan makanan untuk majlis perkahwinan dan makanan ringan daripada usahawan dan peniaga setempat," katanya.

Biarpun hanya berusia 'setahun jagung', Brely's Secret mampu berbangga apabila syarikat tersebut berjaya menghasilkan pelbagai produk coklat sehingga 60 jenis.

Misi bagi menjayakan perniagaannya dimulakan dengan membuka sebuah bilik pameran yang dinamakan sebagai Chocolate House di Bandar Penawar, di sini awal bulan ini.

Biarpun 'rumah coklat' itu hanya berusia tidak sampai sebulan, mereka tidak 'sunyi' apabila saban hari menerima kunjungan daripada pelancong dan masyarakat setempat.

"Boleh dikatakan setiap hari kami akan menerima kunjungan yang kebanyakan adalah pelancong. Mengikut rekod yang kami buat sehingga kini lebih 20 buah bas membawa pelancong datang melawat ke Chocolate House kami," katanya.

Ditanya mengenai resipi coklatnya, beliau hanya tersenyum sambil menjawab: "Itu rahsia. Saya mengambil masa yang agak lama untuk mendapatkan resipi tersendiri. Itu sebabnya nama syarikat saya dan juga jenama produk ada perkataan secret (rahsia).

"Semua coklat dibuat di sebuah kilang di Bandar Tenggara dengan jumlah pekerja seramai empat orang. Bahan mentah utama yang digunakan adalah koko yang diperoleh dari Sabah," katanya sambil memberitahu bahawa produk coklatnya dijual antara 80 sen sehingga RM290.

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI