Monday, February 2, 2009

Jadikan Ekspo Kerjaya ATM acara bulanan - Pengunjung



PERTUNJUKKAN tempur tanpa senjata di Dataran Merdeka, semalam.


KUALA LUMPUR 30 Jan. - Pengunjung-pengunjung Ekspo Kerjaya 2009 Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mencadangkan supaya acara itu diadakan setiap bulan di negeri-negeri yang berlainan.

Mereka berpendapat, ekspo seumpama itu mampu memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai kerjaya dalam ATM yang selama ini kurang ditonjolkan.

Ekspo tiga hari di Dataran Merdeka itu bermula hari ini dari pukul 10 pagi sehingga 10 malam dan akan berakhir pada Ahad ini.

Pelajar Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM), Nurul Ain Aminuddin, 19, berkata, penganjuran ekspo itu bermanfaat kepada orang ramai yang berminat mengetahui bidang kerjaya dalam ATM.

"Acara sebegini perlu dianjurkan setiap bulan supaya maklumat dapat disalurkan kepada orang ramai secara lebih dekat dan berkesan," katanya ketika ditemui di tapak ekspo itu di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Bekas pelajar di Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Mohamad Firdaus Abu Kasim, 24, pula mencadangkan supaya ekspo itu diperluaskan di peringkat negeri.

Katanya, ia penting untuk memberi peluang kepada semua rakyat mengetahui dengan lebih dekat tentang ATM yang sebenarnya menawarkan pelbagai kerjaya.

Rakannya yang juga bekas pelajar di politeknik sama, Khairul Nizam Jamaludin, 24, percaya jika ekspo itu diadakan setiap bulan pasti akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.

Menurutnya, ketenteraan merupakan bidang yang perlu mendapat publisiti berterusan kerana tidak ramai yang mengetahui manfaat menceburi bidang tersebut.

"ATM perlu memastikan ekspo begini dijadikan acara utama untuk memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai aspek ketenteraan dalam negara," tambahnya.

Pembantu Tadbir Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Nurul Hidayati Masdin, 25, pula berkata, penganjuran ekspo itu perlu diteruskan pada masa depan.

Selain itu, katanya, ATM mesti memilih lokasi ekspo di tempat strategik seperti di Dataran Merdeka dan perlu mendapat liputan meluas.

Pegawai Khidmat Pelanggan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Juliana Rozali, 28, bersetuju dengan Hidayati dan berpendapat golongan belia mesti mengunjungi ekspo tersebut.

"Ia penting untuk mendedahkan mereka tentang bidang kerjaya dalam ATM selain mendapatkan maklumat tentang perjalanan hidup tentera," katanya.

No comments:

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI