SIK 23 April - Mungkin ramai tidak sanggup melepaskan jawatan bergaji tetap, apatah lagi ketika berada di kampung halaman sendiri semata-mata untuk menjalankan perniagaan khususnya pada zaman kemelesetan ekonomi.
Perkara ini bagaimanapun berbeza dengan seorang bekas lepasan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Noor Aini Abdullah, 28, dari Kampung Sungai Semiar, Jeneri, di sini, yang sanggup meninggalkan jawatan berstatus pengurus untuk menghadapi cabaran lebih besar iaitu membuka kedai roti dan kek.
Pemegang Ijazah Bio-Teknologi itu berkata, sebelum ini, dia pernah memegang jawatan pengurus akaun di sebuah koperasi di bandar ini sebelum menyertai sebuah yayasan sebagai pengurus projek tetapi kemudiannya beralih ke bidang perniagaan pada 2007.
Menurut Noor Aini, dia tidak menyesal meninggalkan jawatan berkedudukan tinggi itu kerana selain menyahut seruan kerajaan untuk menambah jumlah usahawan di kalangan bumiputera, bidang perniagaan diceburinya ternyata membuahkan hasil cukup memberangsangkan.
Menyewa sebuah kedai kecil di Stesen Bas Sik, Noor Aini menjalankan operasi kedai roti dan kek atas jenama Srikanis yang ternyata mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
''Saya memulakan perniagaan dengan modal RM15,000 termasuk membeli ketuhar, mesin pengadun dan sebagainya dengan mendapat kerjasama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) serta FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan).
''Saya belajar membuat roti dan kek daripada rakan-rakan sewaktu di Unimas dan mengikuti kursus di Kolej Komuniti di sini, ditambah dengan kreativiti sendiri untuk mencuba sesuatu resepi," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Dengan dibantu dua pekerja, Noor Aini memberitahu, dia bukan sekadar menjual produk keluarannya itu di gerai tersebut, malah menjadi pembekal tetap roti daging dan pizza di sekolah-sekolah sekitar daerah Sik, Baling dan Sungai Petani dan Yan.
''Syukur kerana setakat ini saya menerima tempahan roti daging dan pizza untuk sekolah-sekolah sebanyak 1,000 biji sehari.
''Produk keluaran saya khususnya roti daging cukup disukai tetapi bagi menjaga kualiti, saya mengeluarkannya mengikut tempahan kerana ia tidak boleh disimpan lama," tambahnya yang mendapat galakan daripada suami, Noor Azman Othman.
Selain itu, kata Noor Aini, dia menjual biskut dan kuih tradisional seperti baulu dan sebagainya.
''Sambutan baik, selain roti daging dan pizza, biskut, kuih tradisonal dan kek menarik minat ramai mengikut musim.
''Contohnya, pada musim cuti sekolah, saya menerima banyak tempahan kek untuk majlis-majlis perkahwinan yang diadakan pada ketika itu," katanya.
Noor Aini berkata, keluaran kedainya itu dijual pada harga berpatutan mengikut jenis iaitu dari serendah 80 sen hingga RM1.50 untuk roti dan RM15 hingga RM70 untuk kek.
''Cadangan saya tentulah untuk membesarkan perniagaan dan saya akan tingkatkan lagi usaha bagi mencapai matlamat tersebut," katanya.
Bagi mereka yang berminat untuk membuat tempahan, boleh menghubungi Noor Aini menerusi talian 019-5932049.
No comments:
Post a Comment