Sunday, May 3, 2009

Zaini Mahu Menempah Nama Dalam Industri Kraf

image Gambar hiasan

"Saya dulu seorang guru di sekolah teknik. Tetapi terpaksa berhenti atas sebab-sebab kesihatan. Oleh kerana perlu mencari sumber pendapatan untuk menyara keluarga, saya cuba menggabungkan pengetahuan serta kreativiti yang ada untuk mencari rezeki,"

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Sesekali, ada mata yang melirik ke arah tangan kanannya yang sentiasa berada dalam poket seluar. Sedang tangan kirinya pula aktif bergerak ke kiri dan kanan, sambil memberikan penerangan tentang perniagaan yang diusahakannya sejak 11 tahun yang lalu.

"Maaf ya, nanti ada yang kata saya kurang sopan asyik menunjuk dengan tangan kiri. Sebenarnya, tangan kanan saya ada sedikit masalah," jelas Pengarah Urusan Inani Craft & Design, Mohammad Zaini Hassan, 50, seolah-olah dapat membaca apa yang sedang difikirkan oleh para tetamunya hari itu.

Beliau kemudiannya menunjukkan tangan kanan itu. Melihat dari mata kasar, tidak ada yang kurang dan nampak sempurna. Namun, menurut Zaini, cengkaman jari-jemarinya agak lemah namun tidaklah sampai menjejaskan aktivitinya.

"Saya dulu seorang guru di sekolah teknik. Tetapi terpaksa berhenti atas sebab-sebab kesihatan. Oleh kerana perlu mencari sumber pendapatan untuk menyara keluarga, saya cuba menggabungkan pengetahuan serta kreativiti yang ada untuk mencari rezeki," jelas Zaini yang dahulunya mengajar subjek Seni dan Kemahiran Hidup.

Pada 1996, hanya bermodalkan simpanan sendiri sejumlah RM600 serta RM600 lagi yang dipinjam, Zaini mula menghasilkan produk kraf dalam bentuk cenderahati di kediamannya di Bukit Kapar, Klang. Buat permulaan, beliau menjual hasil kreatifnya itu bersebelahan dengan sebuah gerai kuih. Sekurang-kurangnya, masih ramai yang datang membeli kuih dan daripada jumlah yang datang itu, mungkin ada yang akan tertarik membeli hasil kreatifnya itu.

Tidak lama kemudian, beliau mendapat kontrak untuk membuat barangan cenderahati daripada sebuah syarikat kosmetik antarabangsa. Di sinilah segala-galanya bermula dan Zaini mula yakin bahawa produk keluarannya itu mempunyai potensi untuk berjaya.

Bagi menampung tenaga kerja untuk tender itu, Zaini telah mengupah beberapa orang jiran sekampungnya untuk membantu. Beliau turut menyewa dua buah kedai di Bukit Kapar yang dijadikan bengkel dan juga bilik pameran.

Malangnya, baru dua tahun membina nama serta perniagaannya juga semakin meningkat, negara terjejas kerana krisis kewangan. Sekali lagi beliau berhadapan dengan masalah kewangan dan wang pembayaran oleh syarikat berkenaan yang dibayar berdikit-dikit digunakan untuk membayar gaji pekerja.

Perlahan-lahan, beliau bangkit kembali dan mula memberikan tumpuan kepada penghasilan bekas bunga telur yang sebelumnya tidak begitu ditekankan. Beliau juga mempelbagaikan hasil kraf syarikat yang baru mahu bertapak itu. Daripada barangan cenderahati dan bekas bunga telur, anak kelahiran Perak ini mempelbagaikan produknya seperti bunga rampai, lukisan gelas, dan barangan seramik.

Perubahan itu nampaknya membuka ruang kepada rekaan produknya di hati peminat barangan kraf. Bekas bunga telur dan potpuri mendapat sambutan terutamanya untuk dijadikan cenderamata perkahwinan.

Jika dilihat kepada hasil krafnya, ia tidaklah begitu berbeza dengan syarikat-syarikat lain yang mengeluarkan produk seumpamanya. Bagaimanapun, kualiti yang dihasilkan agak unik dan berbeza kerana Inani Craft & Design adalah pembuat produk kraf daripada `hydrostone' yang unggul di negara ini.

Malah keseluruhan proses pembuatan bermula dari peringkat rekabentuk hingga ke peringkat kemasan dan pembungkusan dilakukan sendiri oleh syarikat milik Bumiputera ini.

Sehingga kini, Zaini telah menghasilkan lebih daripada 200 rekaan dan corak bunga telur sama ada untuk majlis VIP atau majlis biasa. Malah, syarikatnya juga menerima tempahan khusus corak dan bentuk yang diinginkan oleh pelanggan.

DILEMA PENGUSAHA KRAF

Setelah 11 tahun berlalu, Zaini kini telahpun memiliki bengkel dan bilik pameran yang bernilai RM50,000 di Bukit Kapar. Bagi menampung permintaan yang tinggi, Inani Craft & Design membuka sebuah lagi bengkel di Pasir Mas, Kelantan. Selain itu, beliau turut membuka beberapa kedai menjual produk kraf itu di Kangar, Shah Alam, Ipoh dan Kota Baharu.

Secara tidak langsung, kewujudan Inani Craft & Design turut membuka peluang pekerjaan kepada penduduk di sekitar. Tambahan pula, Zaini mengamalkan polisi mendahulukan mereka yang benar-benar memerlukan pekerjaan seperti ibu-ibu tunggal dan suri rumah yang ingin membantu menambah pendapatan suami.

"Saya banyak melihat kepada latar belakang mereka sebelum diambil bekerja. Sambil berniaga, kita juga boleh membantu mereka yang memerlukan. Di sini, mereka dilatih untuk mahir dalam semua perkara. Dari proses membancuh hinggalah ke proses mewarna dan membungkus," jelasnya.

Menurut Zaini, sehingga kini, syarikat berkenaan memiliki lima orang pekerja di Meru manakala di Pasir Mas pula seramai 30 orang pekerja termasuk dua orang pereka lepasan UiTM.

Beliau terpaksa mengurangkan jumlah pekerja di Meru kerana upah tenaga kerja yang terlalu tinggi berbeza dengan di Kelantan yang jauh lebih murah. Malah kapasiti pengeluaran juga kini ditumpukan di sana. Manakala di Klang, tumpuan diberikan kepada urusan pemasaran dan penerimaan tempahan memandangkan ia mempunyai bilik pameran yang lengkap.

Menyedari pihaknya tidak memiliki kepakaran daripada segi memasar serta mempromosi produk, Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) dianggap sebagai pembuka jalan kepadanya.

Justeru, beliau mendaftarkan syarikatnya menyertai program SDSI di bawah Perbadanan Kraftangan Malaysia Cawangan Selangor (Kraftangan Selangor) pada tahun 2004.

"Produk kraf sukar hendak dijual. Orang akan beli apabila mereka suka dan bila ada duit lebih. Ia bukanlah satu keperluan. Saya terpaksa bertungkus lumus hari demi hari, bulan demi bulan. Hendak promosi lebih-lebih, ia juga memerlukan modal. Harapan saya, menerusi SDSI, dengan bantuan dan bimbingan oleh Kraftangan Selangor serta bantuan sumber bahan yang disediakan, industri ini akan maju," kata Zaini.

Baginya, walaupun kerajaan telah melaksanakan pelbagai dasar yang amat bermanfaat kepada para pengusaha kraf, namun ada ketikanya, pelaksanaannya perlu lebih teliti.

"Misalnya, dalam menyuntik inovasi dari negara luar seperti Thailand dan Indonesia dalam industri kraf, bagi semua pengusaha produk kraftangan yang serius, kami sangat berhasrat untuk masuk melihat hingga ke dalam dapur pengering mereka, dengan itu, barulah kita tahu apa dan bagaimana kepakaran mereka," katanya.

Zaini bagaimanapun berkata tidak semua pengusaha ini berpeluang kerana ada pihak yang hanya membawa pegawai-pegawainya sahaja melawat ke lokasi berkenaan.

"Sudah tentu, mereka pergi sebagai pelawat dan bukannya sebagai pengusaha yang benar-benar mahu melihat dan belajar kemahiran di sana," katanya.

"Ada juga pihak yang menganjurkan lawatan ke industri kraf di luar negara, namun yuran penyertaan yang dikenakan pula terlalu tinggi. Bagi pengusaha kraf tempatan seperti saya, perkara tersebut itu di luar kemampuan," luah Zaini menceritakan antara dilema yang terpaksa dihadapi oleh pengusaha kraf tempatan.

Sehingga kini, Zaini menggunakan `hydrostone' yang diimport dari Amerika Syarikat untuk menghasilkan produk yang berkualiti tinggi. Sebagai satu-satunya syarikat kraf di Malaysia yang menggunakan hydrostone sebagai bahan utama, agak sukar bagi syarikatnya mendapatkan bekalan bahan mentah. Mujurlah projek SDSI ini membantu mengatasi masalah itu.

Beliau kini dalam proses memulakan projek baru menghasilkan produk kraf daripada tanah liat jenis `terracotta'.

"`Terracota' jauh lebih murah, tetapi sehingga kini saya belum lagi menemui tanah liat jenis berkenaan yang berkualiti. Projek baru ini melibatkan proses menggali dan memproses sendiri sehingga halus tanah liat jenis itu yang terdapat di Perak. Lokasi untuk mendapatkan sumber tanah liat itu masih lagi dalam perbincangan dan ia mungkin di Sayong atau di Sungai Siput."

Selain itu, pihaknya juga sedang membuat persediaan untuk menyertai Ekspo Kraf Kebangsaan sempena Hari Kraf Kebangsaan 2007 anjuran Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan Malaysia (KEKKWA) yang akan berlangsung dari 28 Februari-11 Mac 2007.

Ekspo berkenaan dijangka menjadi Ekspo Kraf terbesar sejak ia dianjurkan pada tahun 2002. Ia melibatkan lebih 200 usahawan kraf tempatan yang akan berkampung di Kompleks Kraf Kuala Lumpur

-- BERNAMA

No comments:

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI