Wednesday, July 29, 2009

Usahawan Islam perlu pentingkan sijil halal

KUALA LUMPUR 29 Julai - Tahap kesedaran usahawan Islam terhadap kepentingan mendapatkan sijil halal bagi produk keluaran mereka masih rendah berbanding peniaga bukan Islam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, menurut laporan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sebanyak 70 peratus permohonan untuk mendapatkan sijil halal adalah daripada peniaga bukan Islam.

Menurutnya, peniaga Islam berasakan sijil halal tidak penting kerana menjangka pelanggan tidak akan berasa curiga terhadap produk keluaran mereka.

''Usahawan Islam perlu lebih peka terhadap kepentingan sijil halal. Orang ramai perlu tahu bahawa memohon sijil halal bukan untuk berniaga makanan dan minuman sahaja, malah ia untuk semua produk termasuk kosmetik, kesihatan dan produk terpakai," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penganugerahan Sijil Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sesi 2007/2008 Kali Ke-16 di sini kelmarin.

Beliau mengulas pendedahan 50,000 restoran di negara ini yang mempamerkan sijil halal palsu selain laporan hanya 170 dapur di lebih 2,000 hotel termasuk hotel bajet mempunyai pensijilan halal selepas Jakim kembali semula mengendalikan sijil halal.

Mashitah berkata, sijil halal yang diiktiraf oleh Jakim adalah penting kepada pelanggan yang beragama Islam terutama pelancong asing dari negara-negara Asia Barat.

"Tidak terkejut jika pelancong asing yang beragama Islam memilih kedai bukan Islam. Ini kerana pelancong lebih mempercayai kedai yang mempunyai sijil halal yang dikeluarkan oleh Jakim," jelasnya.

Sehubungan itu menurut beliau, peniaga Melayu dan Islam perlu berubah daripada sekarang sekiranya mahu perniagaan mereka dikomersialkan ke pasaran luar.

Sementara itu Mashitah berkata, kementerian berharap pihak berkuasa agama Islam di negeri-negeri menjadikan MAIWP sebagai contoh melahirkan pelajar-pelajar cemerlang menerusi kewujudan IKB.

Beliau memberitahu, sekiranya semua negeri mempunyai IKB sendiri, ia secara tidak langsung dapat membantu golongan miskin melanjutkan pelajaran dan berjaya di dalam bidang pekerjaan.

Sebagai contoh jelasnya, IKB di bawah MAIWP telah melahirkan usahawan cemerlang antaranya, bekas pelajar Kursus Pembuatan Pakaian Lelaki di IKB Peretak, Kuala Kubu Baru, Selangor, Siti Zakiah Amiruddin yang kini telah memiliki butik dan membuka akademi fesyennya sendiri.

"Kita berharap IKB kelak akan menjadi satu jenama yang dipercayai dan setaraf dengan pusat-pusat latihan pendidikan yang ada kini," ujar beliau.

Sentral: Usah pinggir bekas tentera daripada dana bantuan

SEREMBAN: Dewan Perniagaan Bekas Tentera Malaysia (DPBTM) berharap bekas tentera tidak dipinggirkan daripada mendapat dana bagi tujuan meningkat dan mengembangkan lagi aktiviti ekonomi selepas bersara.

Timbalan Presiden DPBTM, Datuk Mohd Nordin Mohamad, berkata institusi kewangan dan agensi berkaitan diharap memberi peluang sama rata kepada bekas tentera untuk merebut peluang memajukan diri dan membina kecemerlangan.

Beliau berkata, ramai di kalangan bekas tentera yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, pemandu bas dan di sektor perkilangan kini berdepan kesukaran kerana situasi ekonomi yang tidak menentu.

"Mereka kini didapati tidak dapat bekerja seperti sebelum ini kesan daripada kegawatan ekonomi hingga menjejaskan kehidupan kerana wang persaraan yang mereka terima tidak dapat menampung sepenuhnya keperluan keluarga.

"Tambahan pula ada kalangan bekas tentera yang baru menyesuaikan diri sebagai orang awam, jadi DPBTM berharap mereka ini dapat diberikan kemudahan untuk mendapatkan pembiayaan bagi membabitkan diri dalam bidang perniagaan.

"Jika hal ini tidak dapat ditangani, bekas tentera akan dibelenggu masalah kewangan yang akhirnya mendorong mereka mendapat pinjaman menerusi institusi haram termasuk kumpulan ceti haram," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Berita Harian selepas menyampaikan sumbangan insentif wang tunai berjumlah RM145,000 kepada seramai 140 anak bekas tentera yang mencapai kejayaan cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, di Taman Sri Kasih Senawang, dekat sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Yang Dipertua Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Bahagian Negeri Sembilan, Zakaria Mohd Yusof.

Tuesday, July 21, 2009

Mengapa Anda Tidak Kaya ?

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

1. Ramai yang beranggapan mereka tidak kaya disebabkan tidak memperolehi pendapatan yang mencukupi. Ramai berfikir ” Kalaulah aku punya pendapatan yang lebih, maka aku boleh membuat simpanan dan pelaburan dengan baik..

2. Yang lucunya, itulah pernyataan yang muncul, walau sudah beberapa kali memperolehi pendapatan yang lebih baik dari yang terdahulu. Sebelum gaji RM2,000, itulah alasannya, selepas gaji RM2,000 itu juga alasannya. Alasan lapuk!

3. “Becoming a millionaire has less to do with how much you make, it’s how you treat money in your daily life.” Maknanya menjadi jutawan bukannya dari berapa yang kita perolehi tetapi bagaimana kita menguruskan wang dalam kehidupan!

4. Sesiapa sahaja boleh menjadi jutawan dengan pengurusan kewangan yang betul tidak kira berapa banyak pendapatan kita.

5. Antara ’syaitan’ yang menjadi batu hasutan untuk kita terpesong dengan pengurusan wang dengan baik adalah :

Terlalu mengambil berat kereta yang dipakai : Di Malaysia, membeli sesebuah kenderaan hanya akan membuatkan bank kaya. Kereta akan susut nilai hari demi hari. Ini bukan pelaburan, ini adalah ‘peleburan’.

Gaya hidup ekslusif : Kalau rasa nak pakai baju branded setiap masa, handphone bertukar setiap bulan, atau shopping setiap minggu, ia hanya akan menambahkan hutang anda. Hutang yang besar akan menghalang anda dari membina kekayaan.

Kurang kepelbagaian pelaburan : Dulu-dulu, ibu saya hanya menyimpan di dalam ASN atau ASB. Itu satu2nya bentuk pelaburan yang selamat dan menguntungkan yang beliau tahu pada ketika itu. Kita yang dah celik, mesti cuba mempelbagaikan.

Lewat Mula Melabur : Sesetengahnya menyebut sebagai konsep compounding. Contohnya kalau anda melaburRM10 sebulan, maka dalam setahun anda akan memperolehi RM110 sekiranya pelaburan tersebut memberi pulangan 10%. Lagi cepat anda memulakan compounding, lagi cepat hasil yang anda perolehi.

Tak Buat Benda Yang Anda Suka : Kalau anda buat benda yang anda benci dan tak suka, anda akan stress! Anda terpaksa mencara cara untuk release tension. Nak pakai duit lagi …. Banyak pakai duit, kurang kaya lah gitu..

Tak Suka Belajar : Ramai ingat bila dah graduate, tak payah nak belajar lagi. Semua rasa dah pandai. Tetapi kalau rajin, tambah lagi ilmu untuk improve pekerjaan dan pendapatan anda. Sure bole!

Ada banyak lagi sebab. Sedar atau tidak, kita sebenarnya mungkin kurang disiplin untuk menjaga benda2 seperti ini.

Apa pun, kalau kita percaya dengan kemampuan diri kita, jangan risau dengan berapa pendapatan yang kita dapat. Cara kita menguruskan pendapatan kita akan menjadi lebih penting.

FAMA, Konsortium Herba Asia bantu pengusaha

KUALA TERENGGANU 21 Julai - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Wilayah Timur akan bekerjasama dengan Konsortium Herba Asia untuk membantu pengusaha herba memperluaskan pasaran dan meningkatkan mutu produk mereka.

Pengarah FAMA Wilayah Timur, Mohd. Zaimi A. Razak berkata, pada masa ini sebahagian besar pengusaha herba di wilayah itu terutama bumiputera mengusahakannya secara kecil-kecilan dengan pemasaran yang agak terhad.

Jelasnya, industri herba mempunyai potensi yang besar untuk menjana ekonomi negara sekali gus menjadikan Malaysia mampu bersaing dengan negara luar sebagai pengeluar produk herba.

''Dari kajian yang dijalankan, terdapat 215,000 jenis tumbuh-tumbuhan di negara ini dan daripada jumlah itu 3,000 tumbuhan sesuai untuk perubatan.

''Tetapi hanya 50 hingga 100 tumbuhan antaranya tongkat ali, misai kucing dan pegaga yang digunakan untuk dijadikan pelbagai produk,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian di majlis taklimat kepada penggiat dan usahawan herba bersama Konsortium Herba Asia di Pejabat Fama Wilayah Timur di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Eksekutif konsortium itu, Dr Hakim Abdullah.

Menurut Mohd. Zaimi, nilai pasaran industri herba adalah kira-kira RM4.5 bilion setahun dengan peningkatan dianggarkan kira-kira lima hingga sembilan peratus setahun.

Beliau yakin dengan wujudnya konsortium itu, pengusaha kecil herba dapat bernaung di bawah satu bumbung dan mampu berkembang dengan lebih pesat serta bersaing di peringkat global.

Katanya, pada masa ini terdapat kira-kira 100 pengusaha herba yang aktif di Terengganu dengan pemasaran yang terhad, tetapi melalui konsortium itu pengusaha boleh bergerak aktif melalui bimbingan secara profesional.

Sementara itu, Dr. Hakim berkata, Konsortium Herba Asia yang baru ditubuhkan pada awal bulan ini akan beroperasi pada 1 Oktober depan dengan jangkaan kira-kira 500 pengusaha herba di seluruh negara bergabung dalam konsortium tersebut.

Jelasnya, pada masa ini kempen mengenai konsortium itu sedang dijalankan di seluruh negara dan Terengganu merupakan negeri pertama yang disinggahi untuk tujuan berkenaan.

Menurut beliau, melalui konsortium itu banyak bantuan dan kemudahan bimbingan secara profesional akan diberikan kepada pengusaha dalam memastikan perusahaan mereka mampu bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa.

Usahawan Wanita Budu



Hamidah bersama budu keluaran syarikatnya.

Hamidah guna resipi tradisi warisan bapa untuk hasilkan makanan unik berkualiti tinggi, mendapat permintaan ramai

BUDU sememangnya terkenal sebagai antara satu makanan tradisi masyarakat di Pantai Timur khususnya di Kelantan sejak zaman berzaman dan bagi Hamidah Mohd Amin, 40, budu jugalah yang mengubah nasib mereka sekeluarga.

Pengusaha budu berasal dari Kampung Hujung Repek, Bachok, Kelantan, ini sudah berkecimpung dalam industri pembuatan budu sejak lebih 18 tahun lalu menggunakan resipi tradisi warisan bapanya Mohd Amin Jenal, 70, dan namanya sudah cukup sinonim dengan masyarakat di negeri itu.

“Sebelum membuka kilang budu, saya dan suami, (Mohd Asri Mokhtar, 42,) menjalankan perusahaan memproses kicap, tetapi tidak bertahan lama sebelum beralih kepada perusahaan budu.

“Berbekalkan modal awal sebanyak RM12,000, saya hanya menjalankan perusahaan ini bersama keluarga, sebelum mengembangkan perniagaan secara komersial,” katanya ketika dikunjungi Berita Minggu.

Jelasnya, bukan mudah untuk menghasilkan makanan unik ini, apatah lagi cabaran untuk mengekalkan mutu rasanya kerana jika tersilap ramuan ia boleh merosakkan keasliannya

Pekerja mengisi budu yang siap ke dalam botol.

Sehubungan itu, bagi menghasilkan budu, ikan bilis yang siap diproses digaul dengan garam, sebelum dimasukkan ke dalam bekas khas secara berperingkat dan diperam antara tiga bulan hingga setahun.

Selepas proses itu, ikan bilis akan dikeluarkan daripada bekas khas untuk dikisar menggunakan mesin khas dan dimasak menggunakan kawah besar untuk dijadikan budu.

Biasanya budu akan dimasukkan perasa dan pewarna dibenarkan. Sebelum dibotolkan budu akan ditapis terlebih dahulu bagi memastikan ia berkualiti tinggi.

Hamidah memasak budu menggunakan cara tradisional iaitu dapur kayu bagi mengekalkan rasa budu berkualiti tinggi, kaedah sama yang digunakan sejak dulu.

“Rahsia untuk menghasilkan budu yang berkualiti tinggi adalah terletak pada tempoh ia diperam, cara memasak dan ramuan digunakan. Ramuan perlu menepati timbangan ditetapkan kerana ia akan menentukan rasa dan kualitinya,” katanya.

Bahan asas untuk menghasilkan budu berkualiti tinggi dan disukai ramai ialah menggunakan ikan bilis usang.

Hamidah berkata, syarikatnya mengeluarkan dua jenis budu yang berbeza, iaitu budu rasa asli tidak dicampur dengan perasa serta pewarna serta budu biasa. Bezanya budu asli warnanya agak kehitaman.

Kini, ibu kepada empat anak ini mampu tersenyum bangga apabila budu keluarannya turut menembusi pasaran Thailand.

Budu keluaran syarikatnya yang dikenali sebagai Pati Bilis Sejati dan Selera Kampung Cap Petai itu mendapat sambutan menggalakkan dengan kadar pengeluarannya mencecah sehingga 24,000 botol sebulan.

“Budu ini dijual dengan harga antara RM1 hingga RM1.70 sebotol. Saya bersyukur dengan perusahaan ini, saya mampu menampung kehidupan keluarga dan memenuhi impian untuk memiliki kereta dan rumah idaman.

“Lebih membanggakan, perusahaan ini sebenarnya memberi peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar kampung ini. Sehingga kini kami mempunyai 20 pekerja, semuanya penduduk kampung ini,” katanya.

Kebanyakan pekerja adalah wanita terdiri daripada suri rumah yang ditugaskan di bahagian pembungkusan termasuk kerja mengisi budu yang siap dimasak ke dalam bot sebelum dipasarkan.

Beliau mengakui menghadapi masalah mendapatkan bekalan ikan bilis terutama menjelang musim Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh kerana ketika itu nelayan tidak turun ke laut menangkap ikan disebabkan ombak besar dan angin kencang.

Bagi mengatasi masalah bekalan ikan tidak menentu pada musim tengkujuh, beliau terpaksa mengimport ikan bilis segar daripada negara jiran, Thailand.

Profil: Hamidah Mohd Amin

  • Umur: 40

  • Lahir: 1969

  • Suami: Mohd Asri Mokhtar, 42

  • Anak: Nor Fatma Mohd Asri, 17; Nor Hafiza Mohd Asri, 14; Nor Najihah Mohd Asri, 11; Mohd Adlin Mohd Asri, 5.

  • Pendidikan:
    • Sekolah Kebangsaan (SK) Badak, Kelantan.
    • Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Bachok, Kelantan.


  • Nama produk budu:
    • Pati Bilis Sejati
    • Selera Kampung Cap Petai

Timur: Aspek pembungkusan PKS perlu diutama

KUANTAN: Pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini perlu berusaha memastikan produk yang dihasilkan berkualiti seterusnya memenuhi piawaian ditetapkan agensi berkaitan, kata Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mohd Ridzwan Mohd Tahar.

Beliau berkata, kegagalan memenuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan agensi berkaitan, produk yang dihasilkan pengusaha PKS tidak mungkin dapat dipasarkan terutama pada peringkat antarabangsa.

"Pengusaha PKS negeri ini perlu memandang ke hadapan terutama dalam aspek pemasaran produk yang dihasilkan, mereka tidak seharusnya berpuas hati dapat memasarkan di pasar malam, pasar tani dan pekan hari.

"Sebaliknya, mereka perlu berusaha untuk memasarkan produk yang dihasilkan pada peringkat antarabangsa," katanya ketika berucap pada majlis perasmian taklimat peraturan 3P anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) daerah di Hotel Sri Malaysia, di sini, kelmarin.

Lebih 60 petani, peniaga dan pengusaha PKS menghadiri taklimat itu.

Mohd Ridzwan berkata, pengusaha PKS terutama yang terbabit dengan pengeluaran produk makanan seperti buah-buahan dan makanan kering bukan saja perlu menjaga kualiti tetapi juga aspek pembungkusan.

Katanya, aspek pembungkusan dan pelabelan dianggap tarikan utama pengguna untuk membeli produk dipasarkan sebelum mereka berpeluang menikmati makanan yang dibeli.

"Saya yakin jika petani, peniaga dan pengusaha PKS dapat memberi tumpuan kepada aspek kualiti, pembungkusan dan pelabelan tidak mustahil lebih banyak produk negara dapat dipasarkan pada peringkat antarabangsa.

"Satu lagi perkara tidak kurang pentingnya ialah pengesahan halal, logo halal pada setiap produk akan membuka lebih peluang pasaran di negara Islam.

"Saya difahamkan kini banyak produk negara terutama yang berasaskan pertanian seperti sayuran-sayuran dan buah-buahan berjaya dipasarkan ke luar negara," katanya.

Sementara itu, Pegawai Fama daerah, Ahmad Nayan, berkata Fama daerah dari semasa ke semasa akan menganjurkan taklimat peraturan 3P iaitu penggredan, pembungkusan dan pelabelan.

Katanya, program berkenaan penting bagi memastikan petani, peniaga dan pengusaha PKS di daerah ini memahami seterusnya dapat memberi perhatian kepada aspek berkenaan.

"Kita ingin memastikan apa juga produk yang keluarkan oleh golongan petani bukan saja mendapat permintaan menggalakkan daripada pengguna tempatan tetapi lebih penting berjaya dipasarkan ke peringkat antarabangsa," katanya.

Saturday, July 18, 2009

RM670 juta setahun bantu usahawan

BANGI 17 Julai - Kerajaan membelanjakan kira-kira RM670 juta setahun untuk memberi bantuan kepada usahawan khususnya bumiputera bagi mengukuhkan peranan mereka dalam pembangunan ekonomi negara.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, bantuan itu juga bertujuan memberi peluang kepada usahawan untuk menjayakan perancangan perniagaan masing-masing.

Menurutnya, di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sahaja, sebanyak RM3 bilion diperuntukkan untuk projek pembangunan usahawan.

"Kerajaan di bawah kementerian, kali ini akan memastikan peruntukan digunakan bagi melahirkan usahawan berkualiti dan berdaya saing di peringkat global.

"Kuantiti bukan menentukan kejayaan dalam pembangunan ekonomi negara tetapi kualiti merupakan penanda aras untuk melahirkan usahawan yang kompetitif," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan KKLW bersama usahawan Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Institut Kemajuan Desa (Infra) di sini hari ini.

Sehubungan itu, Shafie berkata, untuk melahirkan usahawan berkualiti, kementerian melalui Mara akan memberi fokus kepada dua aspek utama iaitu pendidikan dan pembangunan usahawan.

Menurutnya, dua aspek itu akan dimulakan di peringkat akar umbi bagi melatih dan menyediakan usahawan yang bukan sahaja berkualiti malahan menaikkan pembangunan ekonomi untuk bersaing secara aktif di peringkat global.

"Usahawan adalah kelompok yang menjana kekuatan ekonomi, mencetuskan inovasi dan ciptaan baru.

"Usahawan adalah kelompok istimewa yang bakal menentukan kejayaan negara untuk membentuk Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB)," jelas beliau.

Selain itu, katanya, kewujudan pertubuhan atau jaringan komuniti usahawan merupakan platform kepada usahawan dalam menjalankan perniagaan yang lebih bebas.

Katanya, jaringan komuniti usahawan membolehkan sebaran maklumat secara berkesan di antara usahawan tempatan termasuklah usahawan antarabangsa dalam ekosistem keusahawanan.

"Saya yakin usaha Mara melalui program pembangunan akan melahirkan usahawan yang mampu menguruskan perniagaan mengikut perkembangan semasa dan berhijrah daripada konsep konvensional kepada konsep pengurusan yang lebih moden," katanya.

Tuesday, July 14, 2009

5 Deria Seorang Usahawan

Perkataan “usahawan” semakin banyak dan hangat diperkatakan sekarang. Jangan disebabkan anda berjaya membina perniagaan anda sendiri bermaksud anda adalah seorang usahawan. Maaf, jika apa yang saya katakan ini menyinggung perasaan anda.

Usahawan mempunyai “mindset” yang berbeza jika dibandingkan dengan orang lain. Usahawan akan melakukan perkara yang tidak terjangkau oleh pemikiran orang lain dan menghabiskan setiap kerja yang mereka mulakan.

Di sini, saya telah menyenaraikan apa yang saya panggil sebagai 5 Deria Ciri-Ciri Seorang Usahawan berbanding orang biasa. Seperti yang kita ketahui, manusia mempunyai 5 jenis deria iaitu deria bau, rasa, pendengaran, sentuh dan penglihatan. Usahawan juga mempunyai kelima-lima deria ini, tetapi ia berbeza sama sekali.

Di bawah menceritakan bagaimana kelima-lima deria ini digunakan oleh usahawan:

BAU
Seorang usahawan boleh menghidu kejayaan daripada jauh lagi. Mereka boleh menghidu kejayaan walaupun belum pernah mengalaminya. Kemanisan menghidu kejayaan ini membolehkan mereka terus bergerak untuk mencapai matlamat mereka. Seseorang usahawan bukan sahaja boleh menghidu kejayaan malah mereka juga boleh menghidu risiko yang bakal dialami. Saya tidak mengatakan bahawa semua penyelesaian dan kejayaan berada dalam genggaman mereka, cuma apabila mereka menggunakan pengalaman-pengalaman yang mereka ada, mereka dengan pantas dapat menghidu apa yang bakal berlaku. Ini merupakan deria yang paling penting dalam keusahawanan. Jika sesuatu peluang itu tidak mendatangkan keuntungan yang besar, seseorang usahawan itu biasanya akan membiarkan ia pergi begitu sahaja.

RASA
Seseorang usahawan dapat merasai kejayaan dalam setiap apa yang mereka lakukan. Mereka tidak peduli akan kepahitan yang sedang dialami sekarang kerana mereka tahu akan rasa kemanisan kejayaan yang bakal diperolehi di kemudian hari. Walaupun mereka rasa ada sesuatu yang tidak betul, sama ada mereka tersalah dalam membuat keputusan ataupun perbincangan tidak berjalan lancar, mereka tidak akan cepat berputus asa malah akan terus berjuang sehingga berjaya. Sama seperti kita di waktu kecil dahulu, kita dipaksa untuk memakan sayur-sayuran walaupun kita tidak suka memakannya. Setelah kita meningkat dewasa, kita boleh memilih apa yang kita mahukan di pinggan kita, betul tak? Begitu juga seorang usahawan. Mereka mesti melalui saat-saat getir dan kepayahan seperti orang lain sebelum mereka berjaya.

PENDENGARAN
Melalui telinga, ia menerima banyak gelombang bunyi dan memproses isyarat tersebut kepada sesuatu yang boleh difahami oleh akal kita. Kita semua mendengar pelbagai maklumbalas yang berbeza, pelbagai peluang perniagaan dan potensi urusniaga dalam kehidupan kita. Apa yang membezakan diantara usahawan dengan yang lain ialah mereka akan mentafsir informasi yang diperolehi dan bertindak. Usahawan juga memiliki kemampuan untuk menghalang informasi negatif daripada didengari oleh telinga mereka. Usahawan bukanlah mereka yang membiarkan perkara atau informasi yang negatif menguasai diri dan seterusnya tindakan mereka. Mereka lebih suka untuk memilih apa yang mereka mahu dengar. Mereka tahu apa yang mereka hendak dengar dan mereka tahu bagaimana bunyinya sesuatu kejayaan.

SENTUHAN
Sebagai seorang usahawan, mereka tidak akan mudah berputus asa sehingga berjaya menggapai apa yang mereka mahukan. Pada satu ketika, ia memakan masa yang agak lama dan ada yang mengambil masa yang singkat sahaja. Tidak semua yang usahawan lakukan akan mendatangkan hasil. Apa yang ingin diperkatakan disini ialah mereka tahu akan perasaan yang mereka mahukan selepas beroleh kejayaan. Mereka juga tahu bila dan tahap mana mereka perlu bekerja keras.

PENGLIHATAN
Usahawan boleh melihat sesuatu yang peniaga biasa tidak boleh. Maksudnya, mereka boleh melihat potensi sekecil-kecil sesuatu benda, sama ada ia merupakan tren baru atau melakukan sesuatu yang berlainan. Hasilnya, mereka mendapat pulangan yang banyak berbanding oran lain di sekeliling mereka. usahawan juga mempunyai pandangan yang jauh untuk melihat halangan dan masalah yang kebiasaannya menjadi titik noktah bagi peniaga biasa yang lain. Mereka tidak berapa hebat dalam perkara-perkara yang berlaku di hadapan mata mereka, perkara-perkara seharian kerana mereka sudah memikirkan sesuatu perkara dengan lebih jauh. Ya, anda boleh katakan usahawan sentiasa peka, dan apabila mereka fokus pada sesuatu, mereka akan melihat sehingga ke penghujungnya. Apa yang mereka nampak, mereka akan terus lakukannya agar tidak menimbulkan kebimbangan, keraguan dan seterusnya kehilangan momentum.

Seperti yang anda dapat lihat di atas, terdapat banyak faktor yang membezakan di antara seorang usahawan dengan peniaga biasa. Jadi, adakah anda tergolong di dalam golongan usahawan atau pemilik perniagaan biasa?

Renung-renungkan! :)

RM1 Juta Tidak Cukup Selepas Bersara


Rakyat Malaysia daripada golongan sederhana memerlukan sekurang-kurangnya RM1 juta ketika bersara sekiranya mahu mengekalkan gaya hidup semasa.Pengurus Negara ESG Direct Asia Pte. Ltd. bagi Malaysia, K. Sasitharan berkata, bagaimanapun jumlah itu sebenarnya hanya sekadar ‘cukup makan’ jika diambil kira kos perubatan dalam tempoh berkenaan.

Beliau berkata, berdasarkan tinjauan yang dijalankan mendapati hanya 10 peratus rakyat Malaysia yang memiliki simpanan yang baik untuk menghadapi zaman persaraan mereka nanti.

”Namun, simpanan tersebut bukan hasil daripada tabiat menabung tetapi sebaliknya disebabkan mendapat gaji besar sehingga menyebabkan simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja mencukupi,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas mengadakan Seminar Khas Perancangan Kewangan sempena Minggu Saham Amanah Malaysia 2009 di sini.

Beliau berkata, sejumlah 10 peratus didapati menjadikan amalan menyimpan untuk menghadapi persaraan manakala 80 peratus lagi tidak bersedia langsung dan terpaksa bergantung kepada anak-anak.

Sasitharan berkata, walaupun amalan menabung masih lagi rendah di kalangan rakyat Malaysia tetapi ia adalah perkara normal bagi negara yang memiliki populasi muda.

Bagaimanapun, situasi itu perlu diperbaiki sebelum menimbulkan masalah kepada negara kerana dalam tempoh 15 hingga 20 tahun lagi Malaysia berpotensi untuk mempunyai majoriti penduduk dewasa.

Beliau berkata, rakyat Malaysia sepatutnya menukar persepsi yang ada dan menjadi lebih bersedia dalam mengharungi dunia persaraan tanpa perlu mengurangkan gaya hidup sedia ada.

”Di Malaysia, pesara secara automatik akan mengubah gaya hidup kebelakang berikutan kekangan wang untuk meneruskan gaya hidup selesa semasa bekerja.

”Sebab itu, pesara akan balik ke kampung selepas bersara dengan harapan dapat mengawal perbelanjaan harian, sekali gus mengurangkan beban kos hidup,” jelasnya.

Beliau menafikan bahawa amalan menabung hanya berupaya dilakukan oleh golongan yang memiliki gaji yang lumayan.

”Dakwaan ini tidak benar kerana golongan pekerja yang memiliki gaji RM1,000 pun menabung, secara perlahan-lahan kerana gaji yang diperoleh akan mengalami kenaikan seiring tempoh bekerja,” jelasnya.

Sasitharan menegaskan, masalah di Malaysia adalah kebanyakan rakyatnya lebih mengutamakan gaya hidup berbanding menabung.

Sambil memberi contoh, katanya, rakyat Malaysia sekarang dilihat lebih cenderung berbelanja terlebih dahulu sebelum mendapat gaji.

”Sekarang ini, kad kredit telah mengawal perbelanjaan rakyat Malaysia, ini memang budaya bahaya kerana setiap kali mendapat gaji, kita akan mendahulukan hutang,” katanya.

Ditanya apa yang perlu dilakukan jika tabungan pekerja masih tidak mencukupi pada usia 55 tahun, Sasitharan berkata: ”Pekerja itu perlu terus bekerja kerana usia persaraan 55 tahun adalah masih muda berbanding negara maju pada usia 65 tahun. Ini bukan bermakna pesara yang tidak mempunyai cukup simpanan masih mempunyai 10 tahun lagi untuk menabung,” kata beliau.

Sumber: Utusan Malaysia

Jadi, renung-renugkan! :)

Kerajaan timbang elaun khas komando


AHMAD Zahid Hamidi dianugerahkan Beret Hijau oleh Muhammad Ismail Jamaluddin di Kem Iskandar, Mersing, semalam.


MERSING 13 Julai - Kementerian Pertahanan mempertimbangkan untuk memberi elaun khas kepakaran kepada anggota komando sebagai menghargai kebolehan, keterampilan, kemahiran dan kemampuan unit elit itu.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara tersebut akan dibawa ke mesyuarat Kabinet bagi mendapatkan maklum balas daripada Jemaah Menteri.

Beliau berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menghargai kemahiran pasukan elit tersebut yang merangkumi tiga pasukan iaitu Pasukan Khas Laut (Paskal), Pasukan Khas Udara (Paskau) dan Gerak Khas.

"Saya akan melihat cadangan tersebut untuk kebajikan mereka yang mempunyai kemahiran khas.

"Saya fikir wajar dipertimbangkan pemberian elaun khas ini supaya ia setimpal dengan kemahiran tertentu seperti ahli profesional yang lain walaupun kerajaan sebelum ini telah memberikan elaun kepada anggota komando," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima Beret Hijau Kehormat Rejimen Gerak Khas di Kem Iskandar, di sini hari ini.

Pegawai dan anggota komando kini menerima elaun antara RM600 hingga RM900 sebulan mengikut tempoh perkhidmatan mereka.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Perbadanan Hal Ehwal Bekas Anggota Tentera (Perhebat) akan memberikan latihan pengurusan kepada pegawai dan anggota komando yang telah menamatkan perkhidmatan mereka.

Tujuan latihan berkenaan, menurutnya, supaya mereka dapat menjalankan tugas berkaitan kemahiran yang peroleh semasa berkhidmat dan mendapat gaji yang setimpal selain dapat berkhidmat dengan jabatan kerajaan, swasta mahupun membuka perniagaan sendiri berteraskan keselamatan.

"Kebanyakan mereka ada yang bekerja sebagai pengawal peribadi dan membuka perniagaan," katanya.

Sumber:Utusan Malaysia

SME Corp selaras dana PKS

BANTUAN untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan lebih selaras di bawah SME Corporation Malaysia (SME Corp) yang baru, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata, isu yang perlu ditangani sebelum ini ialah terdapat 14 kementerian dan 16 agensi kerajaan secara langsung dan tidak langsung berkait dengan PKS.

“Jelas sekali, perlu ada penyelarasan yang lebih baik. Namun, akan lebih baik jika SME Corp akan melihat kepada pelbagai aspek dan fungsi yang dilaksanakan oleh pihak yang berbeza supaya kita dapat meminimumkan atau mengelak sebagai pertindihan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap pada Sidang Kemuncak Keusahawanan Belia 2009 di Kuala Lumpur, semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengumumkan penjenamaan semula Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (Smidec) kepada SME Corp, dengan tujuan membangunkan sektor PKS yang kompetitif dan berdaya tahan untuk menangani krisis ekonomi.

SME Corp, yang dijangka memulakan operasi bulan depan, akan bertindak antara lain sebagai pusat maklumat dan rujukan sehenti, menyelaras data dan program, serta melaksanakan penyelidikan berhubung PKS.

Ia akan melapor kepada majlis dan diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Terdahulu dalam ucapannya, Mukhriz berkata, sehingga Mei 2009, daripada 384 permohonan yang diterima, sebanyak 276 permohonan diluluskan berjumlah RM16.47 juta, di bawah geran padanan untuk pembangunan dan promosi produk halal.

Dalam tempoh sama, daripada 1,371 permohonan yang diterima, 750 permohonan diluluskan berjumlah RM428.29 juta, di bawah pinjaman mudah untuk PKS, katanya.

Bagi pinjaman mudah untuk penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), beliau berkata, daripada 101 permohonan yang diterima, 26 permohonan diluluskan berjumlah RM50.01 juta, sehingga Mei tahun ini.

Mengenai jumlah kelulusan yang kecil berbanding permohonan yang diterima, Mukhriz berkata: “Kami kekurangan kakitangan. Promosi kami berjaya. Sehingga pada satu masa, kami mempunyai 20 pegawai memproses 20,000 permohonan, tentu berlaku kelewatan.”

Agensi mengambil kakitangan untuk mengurangkan permohonan tertangguh itu.

“Kami menjangka permohonan tertunggak itu akan diselesaikan dalam tempoh tiga bulan akan datang dan kami akan dapat mengikut KPI kami (petunjuk prestasi utama) dari segi kecepatan masa dalam pemprosesan permohonan ini,” katanya.

Ketika ditanya sama ada permohonan tertunggak itu menjejaskan promosi, Mukhriz berkata: “Kita menjalankan banyak promosi dan pameran bergerak.”

Dianggarkan 567,480 PKS beroperasi dalam negara dan sumbangannya kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dijangka meningkat kepada 37 peratus pada 2010 daripada 32 peratus pada 2005

Thursday, July 2, 2009

Majlis Penyampaian Sijil PERHEBAT pada 26 Jun 2009

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia iaitu YB. Datuk Dr. Abdul Latiff Bin Ahmad
Para pelatih seramai 602 orang telah bersiap sedia untuk mengambil sijil masing-masing .Gambar atas adalah para pelatih Kursus IKS siri 1/09.

Acara tersebut amat meriah sekali dan semoga semua pelatih yang telah menamatkan kursus masing-masing akan berjaya dalam kehidupan mendatang dan salam kejayaan. Amin.



Majlis Makan Malam peserta Kursus IKS siri 1/09 sempena tamat kursus

Pn. Norhayati memberikan ucapan terima kasih dan perangsang kepada pelatih Kursus IKS siri 1/2009 agar berjaya dalam kehidupan dan juga perniagaan yang bakal diceburi.
Penghulu IKS siri 1/09 , En. Rafli memberikan cenderahati kepada Ketua Program Kursus IKS sebagai tanda ingatan tulus ikhlas dari semua pelatih kursus IKS.

Penghulu IKS siri 1/09, En. Rafli memberikan ucapan terima kasih kepada PERHEBAT dan khasnya kepada pengajar Kursus IKS di atas ilmu yang diberikan kepada mereka dan semoga jaringan ini akan terus berpanjangan.


Bergambar bersama pengajar-pengajar kursus IKS dan para
pelatih Kursus Industri Kecil dan Sederhana siri 1/09

Majlis ini telah diadakan di Restoran Nelayan pada 24hb. Jun 2009 jam 8.30 malam.


Wednesday, July 1, 2009

Langkah positif pelaburan, pertumbuhan ekonomi


KUALA LUMPUR 1 Julai - Penubuhan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) perlu dilihat sebagai langkah positif untuk meningkatkan pegangan bumiputera yang selama ini gagal mencapai matlamatnya.

Naib Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Datuk Shawaludin Mohd. Din berkata, semua pihak harus bersikap positif dan tidak mengamalkan sikap terlalu melindungi kepentingan bumiputera sehingga menjadi rintangan kepada pelaburan dan pertumbuhan ekonomi.

Menurutnya, penyusunan semula Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) juga merupakan satu langkah yang sesuai untuk menarik pelabur asing khususnya dalam era ekonomi global yang lebih terbuka sekarang.

"Ini untuk memberi peluang dan layanan adil kepada pelabur asing yang secara tidak langsung akan menarik lebih ramai pelabur datang ke Malaysia," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan Ekuinas, institusi pelaburan baru dengan modal awal RM500 juta dan sasaran dana sehingga RM10 bilion.

Ia akan menjadi satu instrumen untuk meningkatkan pegangan ekuiti bumiputera, fungsi yang gagal dilaksanakan oleh FIC sehingga menyebabkan ia tidak berganjak daripada paras 19 peratus selama 19 tahun.

Shawaludin memberitahu, sudah tiba masanya kerajaan meliberalisasi dasar ekonomi negara seperti yang dilakukan negara lain di rantau ini.

Jelasnya, halangan 30 peratus pemilikan ekuiti itu telah menyebabkan pelabur asing tidak berminat untuk datang ke Malaysia dan memilih negara lain seperti Vietnam, Indonesia dan Singapura untuk melabur.

"Kita tidak perlu terlalu mementingkan statistik pencapaian ekuiti pegangan bumiputera yang tidak pernah tercapai selama ini," ujar beliau.

Sebaliknya katanya, apa yang patut difikirkan sekarang adalah pulangan lebih besar melalui peluang pelaburan yang dapat dijana nanti.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM), Ng Kee Leen mengalu-alukan usaha kerajaan meliberalisasikan ekonomi negara dengan membuka lebih peluang kepada pelaburan asing.

Jelasnya, langkah tersebut berupaya meyakinkan pelabur asing terhadap polisi pelaburan negara yang mesra pelabur.

"Ini akan memberi kesan baik kepada semua sektor ekonomi negara termasuk sektor pembinaan," ujarnya.

Penganalisis ekonomi, Haim Hilman Abdullah pula berkata, penubuhan Ekuinas akan membantu menebarkan taburan ekonomi yang adil kepada masyarakat

Menurut beliau, FIC selama ini tidak menonjol dan dilihat gagal memainkan peranannya.

"Kenapa FIC tidak berjaya? Persoalan ini perlu dikaji dan dijadikan panduan bagi menjayakan pelaksanaan Ekuinas.

"Penubuhan Ekuinas diharap tidak menumpukan kepada meningkatkan ekuiti bumiputera semata-mata tetapi ia perlu menyeluruh untuk meningkat penguasaan ekonomi bumiputera secara global," ujarnya.

Katanya, perancangan yang lebih komprehensif perlu difikirkan bagi memastikan objektif untuk meningkatkan pegangan ekuiti bumiputera dapat dicapai.

Beliau seterusnya mengingatkan kerajaan supaya mengambil langkah berhati-hati terhadap pelaksanaan perkara itu agar tidak menjejaskan pegangan ekuiti bumiputera suatu hari nanti.

Mengulas isu sama, tokoh ekonomi, Tan Sri Ramon Navaratnam bersetuju dengan langkah kerajaan memansuhkan syarat pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera yang dikatakan tidak meningkatkan ekonomi golongan itu secara menyeluruh.

Menurutnya, pemansuhannya tidak akan memberikan impak kepada ekonomi negara sebaliknya pengenalan Ekuinas akan diaplikasikan untuk menjayakan konsep 1Malaysia bagi menyokong model ekonomi baru.

"Sudah sampai masanya kita mencari satu model ekonomi baru yang benar-benar dapat meningkatkan pembangunan ekonomi bumiputera secara menyeluruh.

"FIC sebelum ini hanya memberi keuntungan kepada sesetengah pihak sahaja. Jika ia masih dikekalkan, ekonomi negara tidak akan berkembang kerana tiada penambahbaikan," jelasnya.

Beliau menjelaskan, pelaksanaan model ekonomi baru seperti Ekuinas adalah penting bagi memberi keuntungan kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

Mara perkasakan usahawan

KUALA LUMPUR 1 Julai - Majlis Amanah Rakyat (Mara) sedang berusaha memperkasakan usahawan bumiputera melalui Program Teknousahawan Mara untuk membolehkan mereka pergi lebih jauh sehingga ke peringkat antarabangsa.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hassan Malek berkata, program itu merupakan satu landasan terbaik bagi melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera yang berjaya.

''Saya menyarankan agar program seumpama ini disasarkan kepada golongan bumiputera yang berhak dan benar-benar ingin melibatkan diri dalam bidang keusahawanan.

''Perkara ini juga ditekankan dalam aspek kedua formula 1Malaysia yang perlu dijadikan amalan mana-mana masyarakat yang ingin berdaya maju,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar dan Forum Program Teknousahawan Mara di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Usahawan) Mara, Datuk Othman Ahmad.

Seminar dan forum yang diadakan bertujuan memberi pendedahan dan maklumat tentang kemudahan yang disediakan oleh agensi-agensi kerajaan kepada golongan usahawan.

Agensi tersebut terdiri daripada beberapa universiti tempatan dan agensi-agensi yang memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Mara.

Selain forum, program itu turut memuatkan sesi ceramah motivasi dan bengkel bersama para peserta dan pameran produk yang dihasilkan oleh usahawan.

Menurut Hassan, dengan wujudnya program itu, ia diharapkan menjadi pemacu ke arah mewujudkan lebih ramai usahawan bumiputera yang berjaya.

Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD
pengarang@utusan.com.my

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI