Pengarah FAMA Wilayah Timur, Mohd. Zaimi A. Razak berkata, pada masa ini sebahagian besar pengusaha herba di wilayah itu terutama bumiputera mengusahakannya secara kecil-kecilan dengan pemasaran yang agak terhad.
Jelasnya, industri herba mempunyai potensi yang besar untuk menjana ekonomi negara sekali gus menjadikan Malaysia mampu bersaing dengan negara luar sebagai pengeluar produk herba.
''Dari kajian yang dijalankan, terdapat 215,000 jenis tumbuh-tumbuhan di negara ini dan daripada jumlah itu 3,000 tumbuhan sesuai untuk perubatan.
''Tetapi hanya 50 hingga 100 tumbuhan antaranya tongkat ali, misai kucing dan pegaga yang digunakan untuk dijadikan pelbagai produk,'' ujarnya.
Beliau berkata demikian di majlis taklimat kepada penggiat dan usahawan herba bersama Konsortium Herba Asia di Pejabat Fama Wilayah Timur di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah Eksekutif konsortium itu, Dr Hakim Abdullah.
Menurut Mohd. Zaimi, nilai pasaran industri herba adalah kira-kira RM4.5 bilion setahun dengan peningkatan dianggarkan kira-kira lima hingga sembilan peratus setahun.
Beliau yakin dengan wujudnya konsortium itu, pengusaha kecil herba dapat bernaung di bawah satu bumbung dan mampu berkembang dengan lebih pesat serta bersaing di peringkat global.
Katanya, pada masa ini terdapat kira-kira 100 pengusaha herba yang aktif di Terengganu dengan pemasaran yang terhad, tetapi melalui konsortium itu pengusaha boleh bergerak aktif melalui bimbingan secara profesional.
Sementara itu, Dr. Hakim berkata, Konsortium Herba Asia yang baru ditubuhkan pada awal bulan ini akan beroperasi pada 1 Oktober depan dengan jangkaan kira-kira 500 pengusaha herba di seluruh negara bergabung dalam konsortium tersebut.
Jelasnya, pada masa ini kempen mengenai konsortium itu sedang dijalankan di seluruh negara dan Terengganu merupakan negeri pertama yang disinggahi untuk tujuan berkenaan.
Menurut beliau, melalui konsortium itu banyak bantuan dan kemudahan bimbingan secara profesional akan diberikan kepada pengusaha dalam memastikan perusahaan mereka mampu bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa.
No comments:
Post a Comment