Thursday, October 1, 2009

Bukti jasa tentera dihargai

PORT DICKSON: Keputusan kerajaan mengisytiharkan bandar peranginan di sini sebagai Bandar Tentera Darat membuktikan pengorbanan dan jasa anggota tentera mendapat pengiktirafan yang tinggi.


Keputusan itu juga dilihat sejajar dengan sejarah Tentera Darat yang diasaskan di sini, sekali gus mengingatkan rakyat mengenai hubungan erat antara Port Dickson dan Tentera Darat.

Kebanyakan anggota Tentera Darat yang ditemui mengalu-alukan pengumuman itu, yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika majlis jamuan Aidilfitri Tentera Darat di Pusat Latihan Asas Tentera Darat, kelmarin.

Anggota tentera, Rosli Saari, 39, berkata pengumuman itu amat tepat memandangkan sebahagian penduduk bandar ini adalah anggota tentera dan keluarga mereka.

“Kami menyambut baik pengumuman menjadikan Port Dickson sebagai Bandar Tentera Darat. Walaupun pada awalnya berasa agak janggal, tetapi kami amat bangga.

“Selain anggota tentera dan keluarga, ramai pesara tentera tinggal di bandar ini. Malah, saya berani kata Port Dickson adalah antara bandar di negara ini yang mempunyai penempatan anggota tentera paling ramai," katanya.

Tinjauan Berita Harian di sekitar kawasan yang dikunjungi ramai anggota tentera di sini, mendapati pengisytiharan itu diperkatakan dengan meluas dan dibincangkan hingga ke kedai kopi.

Rakan Rosli, Erwan Othman, 28, berkata Port Dickson sudah lama dikenali sebagai bandar tentera sejak sebelum kemerdekaan dan pengisytiharan itu mengesahkan status itu.

Katanya, kini identiti Port Dickson boleh dipromosikan sebagai bandar peranginan dan Bandar Tentera Darat untuk memberi manfaat kepada penduduk tempatan, terutama anggota tentera.

“Anggota tentera berterima kasih kepada kerajaan kerana mengiktiraf bandar ini sebagai Bandar Tentera Darat, tetapi saya mencadangkan kepada kerajaan supaya memastikan pengisiannya dilakukan dengan rapi dengan mewujudkan sesuatu projek yang boleh menyerlahkan identiti itu,” katanya.

Setakat ini, katanya, antara identiti yang boleh dibanggakan ialah Muzium Tentera Darat dan lebih banyak projek begitu perlu diwujudkan.

Sementara itu, Noor Azman Ismail, 26, berkata pemilihan Port Dickson sebagai Bandar Tentera Darat amat wajar memandangkan bandar ini cukup sinonim dengan Tentera Darat seperti Lumut di Perak yang diiktiraf sebagai Bandar Tentera Laut.

Pesara Tentera Darat, Bahari Latib, 53, terharu dengan pengumuman itu kerana membuktikan kerajaan amat menghargai jasa Tentera Darat yang yang selama ini menjadi tunjang kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memastikan keamanan negara terpelihara.

“Saya sebenarnya lebih suka jika Port Dickson dinamakan sebagai Bandar Pahlawan, namun tidak ada masalah dengan nama yang dipilih ini. Saya amat menghargainya,” katanya.

Sumber:Berita HArian

No comments:

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI