Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, lapan inisiatif itu akan memberi tumpuan kepada:
Perdana Menteri berkata, kesemua lapan inisiatif itu adalah saling melengkapi dan kesannya merentasi semua sektor ekonomi.
''Ketiga-tiga matlamat MEB iaitu berpendapatan tinggi, kemapanan dan keterangkuman memerlukan kita mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih tinggi untuk dekad seterusnya.
''Oleh itu, dasar-dasar yang perlu kita laksanakan mesti menyentuh isu-isu asas bagi memastikan momentum pertumbuhan dapat dipercepatkan melalui pendekatan yang holistik untuk menghapuskan semua halangan," katanya ketika berucap pada persidangan Invest Malaysia 2010 di sini hari ini.
Menurutnya, matlamat itu memberi penekanan kepada bina upaya bukan hanya pembangunan negara semata-mata sebagai langkah mencapai pembangunan yang mapan.
Sebagai tambahan kepada laporan NEAC itu, beliau mahu tumpuan diberikan secara efektif ke atas sektor utama yang spesifik atau dikenali sebagai Aktiviti Utama Ekonomi Nasional (NKEAs).
''Ini adalah bidang di mana ekonomi negara mempunyai potensi untuk terus maju ke arah ekonomi berpendapatan tinggi," katanya.
Berdasarkan pendekatan baru NEAC yang menyatakan bahawa sektor swasta perlu memacu pertumbuhan, Perdana Menteri berkata, kerajaan perlu meningkatkan peranan sebagai fasilitator kepada pihak industri untuk berkembang maju.
Mengulas lanjut, katanya, majoriti inisiatif yang telah diwujudkan adalah berkaitan dengan semua faktor yang penting dalam memperbaiki hala tuju ekonomi negara.
''NEAC telah mengenal pasti sektor utama untuk membolehkan ekonomi negara maju dan berdaya saing dengan rakyatnya menikmati kualiti hidup yang tinggi serta berpendapatan tinggi hasil daripada pertumbuhan yang mapan.
''Banyak lagi yang perlu kita lakukan namun bagi meraih peluang yang ada sepenuhnya, kita perlu memberi fokus ke atas sektor-sektor utama ini," katanya.