Selain kesedaran yang kurang, kebanyakan mereka merasakan proses sedemikian sebagai mahal dan membebankan.
Menurut firma pengurusan harta intelek, KASS International Sdn. Bhd. (KASS International), syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu mengambil peluang yang ditawarkan kerajaan di bawah Bajet 2010 yang memberi geran dan pengecualian cukai dalam bidang berkaitan.
Lebih banyak PKS perlu mendaftar rekaan produk masing-masing di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi tujuan melindungi harta intelek mereka sebelum melakukan usaha pengkomersialan.
Pengarah Bahagian Paten KASS International, Ramakrishna Damodharan menyifatkan sekarang adalah peluang keemasan bagi meningkatkan pembangunan produk berinovasi tinggi di negara ini.
Katanya, pemain industri perlu melindungi harta intelek masing-masing. Ramakrishna berkata, Malaysia dilihat masih di belakang negara-negara maju dalam melindungi paten, reka bentuk dan produk masing-masing iaitu di belakang Jepun, Amerika Syarikat, Eropah, China dan Singapura.
Sehingga tahun lalu, hanya sejumlah 5,722 permohonan diterima di Malaysia untuk mendaftarkan paten.
Keadaan ini berbeza dengan Jepun yang menerima lebih kurang sejuta permohonan, China (850,000 permohonan), Amerika Syarikat (500,000 permohonan) manakala Singapura pula menerima sebanyak 7,000 permohonan.
"Jika kesedaran dapat ditingkatkan untuk mendaftarkan paten produk masing-masing, harta intelek sesebuah syarikat dapat dilindungi, sekali gus memberikan kekuatan dan peningkatan dalam produktiviti serta keuntungan kepada syarikat tersebut," kata beliau.
Menurut Ramakrishna, kekangan utama yang dihadapi oleh SME di negara ini adalah kos untuk memfailkan paten rekaan produk masing-masing.
Katanya, sebahagian besar pemain industri beranggapan bahawa proses memfailkan paten produk masing-masing ke MyIPO menelan belanja yang tinggi, namun, ia sebaliknya.
Sebagai contoh, katanya, di KASS International, pihaknya mengenakan caj yang berpatutan untuk proses merangka kerja (drafting) paten dan pendaftaran paten.
"Bagi tugas merangka kerja, kami mengenakan caj sebanyak RM8,000 ke atas manakala pendaftaran paten pula adalah lebih murah iaitu kira-kira RM1,000 ke atas.
"Kadar bayaran mungkin berbeza-beza bergantung kepada kerumitan proses merangka kerja paten dan pendaftarannya," kata beliau.
Beliau menambah kos yang diperlukan untuk memfailkan paten perlulah dianggap sebagai pelaburan kerana pulangan lumayan yang ditawarkan bagi tempoh jangka panjang.
KASS International ditubuhkan pada 1999 bagi menguruskan pelbagai jenis urusan hak harta intelek dalam pelbagai jenis iaitu paten, cap dagangan, reka bentuk perindustrian, hak cipta, rahsia perdagangan, pelesenan teknologi, nasihat pelanggaran hak dan banyak lagi.
Sumber:Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment