Thursday, January 27, 2011

NASIHAT UNTUK USAHAWAN YANG SEDANG MENINGKAT

Untuk berjaya dalam perniagaan , usahawan perlu mempunyai minat yang mendalam dan jati diri yang tinggi” – Dato’ Mohd Nadzmi


Falsafah inilah yang dipegang oleh Y Bhg Dato’ Mohd Nadzmi Mohd Salleh, Pengerusi Eksekutif, Nadicorp Holdings Sdn Bhd. Beliau berkata demikian semasa memberi ceramah tengahari PUNB bertajuk ” Revitalising Companies – The Way Forward” pada 27 Julai 2004


Bermula dari dunia korporat, Dato’ Nadzmi telah diberi peluang untuk mengendalikan syarikat-syarikat Kerajaan yang bermasalah dan berjaya membawa syarikat-syarikat ini keluar dari kemelut dan masalah perniagaan. Nama-nama seperti PROTON, MARA, Park May Sdn Bhd, BAM dan sebagainya banyak dikaitkan dengan ketegasan dan komitmen tinggi beliau mengurus secara lurus dan mantap. Bentuk pengurusan ini sinonim dengan nama beliau.


Sebagai seorang yang berjaya dan berpengalaman, beliau sering memberi tip sebagai panduan kepada usahawan PUNB untuk berjaya dalam dunia perrniagaan :-
Ini adalah nasihat beliau:
• Anda mesti mempunyai sikap rajin.

• Seseorang yang ingin menjadi usahawan perlu mempunyai minat, keinginan dan kesungguhan yang tinggi dan tidak berbelah bahagi. Tanpa elemen ini , mungkin kejayaan yang diharapkan tidak akan tercapai. Menurut Dato’ Mohd Nadzmi, sikap untuk berusaha secara bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu kerja adalah satu sikap yang baik.
Mengikut Dato’ Mohd Nadzmi, kita tidak dapat meramal masa depan kita. Contohnya jika seseorang yang mendapat pangkat ‘A’ dalam peperiksaan bukan bermakna dia akan mendapat ‘A’ dalam semua perkara. Jika kita lihat usahawan yang berjaya, mungkin mereka bukan dari golongan yang mendapat pangkat ‘A’ dalam peperiksaan. Tetapi mereka terdiri dari golongan yang gemar mengambil risiko dan akan berbuat apa sahaja untuk bertahan. Mereka belajar dari pengalaman dan berani mengambil risiko. Tanpa minat yang tinggi, kesungguhan, kesabaran dan takwa, usahawan tidak akan beroleh kejayaan cemerlang.
• Anda mesti mempunyai keyakinan diri.

• Disamping minat dan kesungguhan, kreativiti juga perlu ada dalam diri seseorang. Ini perlu dipupuk dengan sikap bertanggungjawab, semangat yang tekad , keimanan yang kukuh dan berfikiran terbuka dan positif. Bagi Dato’ Mohd Nadzmi, usahawan adalah insan yang istimewa. Mereka merupakan golongan yang berani dan sanggup mengharungi pahit getir dunia perniagaan yang mencabar. Oleh itu, menurut Dato’ Mohd Nadzmi, seorang usahawan tidak perlu teragak-agak untuk membuat sesuatu keputusan semasa mengurus perniagaan. Apa yang penting, perlu ada ketegasan dalam membuat keputusan untuk menjamin keutuhan perniagaan tersebut. Setiap keputusan yang dibuat mempunyai risiko yang bakal dihadapi, tetapi jangan terlalu difikirkanya. Usahawan perlu menghadapinya dan terpulanglah kepada diri bagaimana untuk menyelesaikannya
• Mengurus organisasi dan operasi syarikat adalah penting.

• Mengurus organisasi dan operasi syarikat merupakan perkara penting yang perlu diberi perhatian khusus. Contohnya pengurusan aliran wang tunai (cash flow) amat penting kerana ia diibaratkan seperti nadi dalam tubuh manusia. Jika aliran wang tunai tidak diurus secara mantap, syarikat tersebut akan menjadi kelam kabut dan akhirnya akan runtuh. Oleh yang demikian, setiap usahawan perlu memastikan aliran wang tunai syarikat mereka berada dalam keaadan yang kukuh.
• Penghormatan mesti diberi dan bukan diminta.

• Seseorang usahawan perlu mengetahui secara terperinci mengenai hal ehwal perjalanan operasi perniagaan mereka. Ini dapat tercapai jika mereka mempunyai ilmu pengetahuan dan pengalaman kerana kedua-dua ini penting untuk meletakkan seseorang usahawan itu di tahap yang lebih tinggi dari para pekerjanya dan pesaingnya. Menurut beliau, penghormatan mesti diberi dan bukan diminta dan usahawan hanya akan mendapatkannya melalui ilmu pengetahuan. Sekiranya ilmu tersebut tidak terdapat di sini maka usahawan perlulah berusaha mencarinya di tempat yang lain atau mendapatkannya dari orang yang lebih berpengalaman.
• Belajar apa yang perlu mengenai cara menguruskan operasi peniagaan.

• Fokus kepada bagaimana sesuatu perniagaan itu harus dijalankan. Usahawan perlu menentukan misi dan visi diri dan syarikat. Lebihkan tumpuan kepada bagaimana cara untuk menangani sesuatu permasalahan perniagaan yang timbul. Jangan optimis kepada sesuatu yang anda suka sahaja tetapi belajarlah tentang semua perkara untuk mengurus perniagaan dengan cemerlang .
• Belajar dari kesilapan.

• Menurut Dato’ Mohd Nadzmi, tiada manusia di dunia ini sempurna. Kesilapan yang timbul mengajar manusia untuk memperbaiki kelemahan diri agar dapat mengembangkan minda kita menjadi lebih kreatif menyelesai masalah. Buatlah ‘post mortem’, kaji kesilapan yang telah berlaku dan jangan ulangi kesilapan itu. Di samping itu, sikap ego perlu diketepikan dan akuilah kesilapan yang telah berlaku. Jika kesilapan yang lalu tidak diperbaiki dan diulangi, pasti kejayaan tidak dapat akan tercapai.
• Ambil tindakan berasakan keutamaan.

• Usahawan perlu bijak bertindak mengikut kepentingan sesuatu perkara. Menurut Dato’ Mohd Nazmi, beliau akan menulis dalam buku nota tentang perkara yang memerlukan tindakan beliau apabila perkara tersebut terlintas di kotak fikirannya. Beliau kemudian menyenaraikan perkara-perkara tersebut mengikut kepentingan dan bertindak mengikut senarai yang tertulis. Menurut beliau lagi, sekiranya seseorang berada di dalam kemelut perniagaan, tulislah apa yang difikirkan. Tetapi apa yang penting, janganlah takut dengan masalah tersebut dan bertindaklah untuk menyelesaikanya secara bijak.
• Jadilah pemimpin yang bertanggungjawab.

• Menurut Dato’ Mohd Nadzmi, beliau menjadikan YAB Tun Dr Mahathir Mohamed, bekas Perdana Menteri Malaysia sebagai mentor. Minat beliau untuk menjadi usahawan timbul setelah diberi tanggungjawab mengendali syarikat-syarikat Kerajaan yang bermasaalah. Beliau tidak diberi pilihan tetapi perlu memastikan syarikat-syarikat di bawah kendaliannya berjaya.
Dato’ Mohd Nadzmi juga menasihati para usahawan bahawa sekiranya diberi tugasan penting seseorang itu perlulah:-
- melakukan tugasan yang diamanahkan dengan cara yang terbaik.
- mempunyai keupayaan untuk menganalisa dan menyelesaikan masalah.
- kreatif dalam membuat keputusan.
- jadikan masaalah yang timbul sebagai satu peluang untuk berjaya.
Seorang pemimpin mesti mempunyai imej yang baik supaya dihormati oleh orang-orang pimpinannya dan pesaingnya. Seorang peminpin juga perlu mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang luas tentang pengurusan dan operasi syarikatnya dan juga syarikat pesaing. Semua ini perlu untuk seseorang mencapai kejayaan cemerlang dalam perniagaan, Insyallah.

No comments:

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI