Tuesday, December 24, 2013

Tukang jahit jadi kontraktor

MEMEGANG jawatan sebagai pemilik tiga buah syarikat kontraktor, ternyata Mafuzah Baharom, 42, bukan calang-calang wanita biasa sebaliknya kemampuan untuk berdiri setanding dengan kontraktor lelaki membuktikan golongan wanita kini mempunyai tempat tersendiri dalam dunia pembinaan yang sinonim dimonopoli kaum lelaki.Memiliki raut wajah menawan, kelibatnya sering mencuri pandangan hingga sesekali mengundang usikan nakal sewaktu melawat ke tapak projek pembinaan.




Bagi wanita anggun ini lebih mesra dengan panggilan Ayu tiada perkara yang mustahil sekiranya setiap kerja dilakukan dengan bersungguh-sungguh bak kata pepatah Melayu ‘di mana ada kemahuan di situ pasti jalan’.

Penglibatan awal dalam dunia besi ini pada asalnya mahu membantu suami yang juga seorang kontraktor menguruskan kerja-kerja berkaitan sebut harga projek.Dalam tempoh beberapa tahun berkecimpung dalam bidang berkenaan, dia akhirnya menyedari sudah jatuh cinta dalam kerjaya mencabar itu dan memutuskan untuk bergerak sendiri dengan memulakan langkah daripada bawah.
“Prinsip hidup saya, berani sahut cabaran. Jika buat sesuatu biar sampai jadi bukannya berhenti separuh jalan,” katanya sambil tersenyum mesra.
Butik pakaian bertahan tujuh tahun
Pada mulanya Ayu mengusahakan butik pakaian sejak 1997 di Jitra.Rutin harian selalunya memeriksa stok kain siap dipotong yang diambil dari kilang, kemudian mengagihkannya kepada beberapa orang pekerja untuk dijahit mengikut bahagian masing-masing.

Apabila pakaian berkenaan siap akan diletakkan label sendiri sebelum diedarkan ke butik-butik lain untuk pasaran.Selain menguruskan operasi butik kadang kala saya juga turun padang membantu pekerja kerana turut memiliki kemahiran menjahit. Sepanjang tempoh itu, perniagaan berjalan lancar mengikut perancangan.
Bagaimanapun, sewaktu suami mula sibuk menguruskan beberapa projek serentak saya membantu dari segi kerja-kerja perkeranian secara separuh masa pada malam hari kerana siang perlu mengendalikan perniagaan
sendiri. Walaupun butik berusia tujuh tahun itu berpotensi untuk berkembang lebih maju namun, saya terpaksa membuat pilihan menamatkan perniagaan kerana mahu memberi tumpuan sepenuhnya membantu suami.

Suami menyokong sepenuhnya tindakan untuk terlibat dalam bidang pembinaan dan saya mula bekerja dengan suami.Bermula dari peringkat bawah, berjumpa dengan pembekal peralatan, mengikuti mesyuarat bersama wakil jabatan, turun ke tapak projek membuatkan saya semakin selesa berada dalam dunia itu kerana cabaran lebih terasa berbanding berada di bidang sebelumnya.

Berdikari tubuh syarikat
Sewaktu menyatakan hasrat untuk memohon lesen kontraktor, suami pada mulanya seakan-akan meragui kemampuan saya tambahan pula masih baru ‘setahun jagung’ berada dalam bidang berkenaan.

Namun saya anggap itu semua sebagai sebagai satu cabaran dan sanggup pergi sendiri ke Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) bagi mendapatkan khidmat nasihat berkaitan permohonan terbabit.Berkat kesabaran, akhirnya pada 2008 berjaya mendapat lesen kelas D.

Pada peringkat awal, suami banyak membantu dari segi bantuan modal dan tunjuk ajar sebelum saya mendapat sepenuhnya kekuatan untuk bergerak secara seorang diri.

Antara projek yang pernah saya kendalikan termasuk projek di bawah Jabatan Pengaliran Saliran, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia.Berkecimpung dalam bidang ini membuatkan saya perlu berdepan ramai lelaki.Mungkin bagi sesetengah wanita mereka rasa situasi berkenaan agak sukar namun pada saya berurusan dengan lelaki lebih mudah kerana mereka dapat memberi keputusan yang diperlukan dalam masa singkat berbanding wanita kadang kala teragak-agak untuk berbuat demikian.

Dalam pada itu, dia akui turut berdepan dengan cabaran sukar mengubah mentaliti masyarakat yang beranggapan majikan perempuan selalunya tidak tegas.Justeru bagi menangani situasi berkenaan Ayu lebih selesa memberi arahan melalui telefon atau berjumpa dengan penyelia projek apabila turut ke tapak pembinaan untuk mengetahui perkembangan terkini projek.Saya bersyukur kerana suami memahami kerana dia juga dari bidang yang sama.

Segala urusan kerja akan cuba diselesaikan dalam tempoh waktu kerja dari Ahad hingga Khamis kerana masa lain diperuntukkan untuk keluarga.Namun jika ada sebarang temu janji selepas masa kerja, saya lebih selesa membawa suami bersama berbanding keluar sendiri bertemu pelanggan.

Perniagaan semakin berkembang
Setelah tiga tahun bergerak sendiri, pada 2011 saya sekali lagi membuat perubahan dengan menaik taraf lesen dari kelas D ke kelas B bagi memberi peluang bergiat lebih aktif dalam bidang ini termasuk mendapatkan projek yang bernilai lebih tinggi.

Suami yang dulunya ragu-ragu dengan kebolehan saya mendapat serta menguruskan projek kini mula respek dengan kemampuan seorang wanita.Usaha itu sekali gus membuktikan sekiranya wanita diberi peluang untuk melakukan kerja yang diminati secara bersungguh-sungguh walaupun dalam bidang dimonopoli lelaki tidak mustahil mereka boleh lakukan kerja lebih baik daripada kebanyakan lelaki yang sudah lama terlibat dalam bidang terbabit.Hal ini kerana kelebihan wanita selain memiliki kelembutan juga lebih teliti dalam membuat tugasan.

Sepanjang tempoh lebih enam tahun berkecimpung dalam bidang ini, diakui aspek kepercayaan dan hubung baik dengan ramai orang antara faktor terpenting perlu dijaga supaya segala urusan kerja berjalan lancar.
Jika semuanya dapat diurus dengan baik orang akan menaruh keyakinan tinggi terhadap kemampuan diri untuk melaksanakan tugas serta tanggungjawab berat yang diamanahkan.

Bergelar kontraktor juga memberi peluang kepada kita untuk menikmati kehidupan lebih baik dengan pendapatan lumayan.Bidang ini benar-benar memberi kepuasan tersendiri kerana penat lelah berdepan dengan pelbagai dugaan kadang kala boleh menguji kesabaran memberi pulangan yang setimpal, asalkan kita selalu berfikiran positif tidak mudah panik ketika berdepan cabaran.

Kongsi pengalaman dengan wanita lain
Saya juga tidak ada masalah untuk berkongsi pengalaman dengan wanita lain yang turut berminat menjadi kontraktor.Malah ada beberapa rakan kontraktor meminta isteri mereka bertemu saya bagi mendapatkan tip kerana saya juga bermula daripada membantu suami.

Antara tip sebelum memulakan langkah pertama perlu ubah gaya penampilan supaya lebih menarik untuk tampil yakin ketika berurusan dengan orang ramai.

Dalam perkembangan lain, saya juga merancang untuk membuka cawangan pejabat baru di Jitra pada tahun depan dan sekiranya ada rezeki mahu mendapatkan lesen kelas A suatu masa nanti.

Darah kontraktor yang mengalir dalam dirinya serta suami kini turut mengalir ke dalam diri anak sulung lelaki mereka kini berusia 22 tahun, bak kata pepatah ‘ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi’.

Anaknya juga memiliki lesen kontraktor dan bergerak sendiri menguruskan projek. Anak kedua melanjutkan pelajaran di kolej dalam bidang pengurusan pejabat sementara anak ketiga masih di bangku sekolah rendah.

Tip ceburi bidang kontraktor.
1. Sentiasa pelihara kepercayaan orang lain kepada kita dalam melakukan pelbagai urusan.

2. Bina hubungan baik dengan ramai orang.

3. Kualiti kerja sering menjadi keutamaan.

4. Sedia mempelajari ilmu pengetahuan baru.

5. Berani sahut cabaran.

6. Rajin masuk tender.

Sumber: Sinar harian

Sunday, December 1, 2013

Pameran SDSI di MITC, Ayer Keroh Melaka pada 29hb November - 1 Disember 2013



















TErdapat pelbagai peluang perniagaan dan jualan di SDSI kali ini, rebutlah datang ke sini dengan melihat sendiri hasil-hasil produk iks kita yang terdiri dari pelbagai jenis. Pada kali ini saya amat tertarik dengan beberapa produk seperti rendng tok segera (rasanya sungguh sedap), ramuan pemerap satay (siap dibungkus), kiosk makanan dll. Saya juga amat tertarik dengan produk hasilan dari pokok Mulberi yang dibuat oleh seorang usahawan veteran dari Rasa, Selangor. Jom rebut peluang datanglah beramai-ramai ke SDSI, MITC Melaka

PrimaVoc Hair Style Shop - Ke arah mewujudkan Usahawan Hair Dresser

 Konsep perniagaan usahawan gunting rambut yang lebih selesa, santai dan relax






 Ini adalah contoh  ruangan menunggu pelanggan sebelum gunting rambut atau membuat rambut seperti menyediakan ruangan istirehat dengan kemudahan tv dan wifi, majalah dan ruangan membaca serta beraircond. Harga yang ditawarkan berbaloi iaitu kanak-kanak rm10, dewasa rm15 dan sekiranya ingin menstailkan rambut dari rm25 ke atas.


 Ruangan menggunting rambut
Sesungguhnya bidang keusahawanan gunting rambut atau hair dresser mempunyai potensi yang cerah memandangkan setiap orang sudah pasti akan menggunting rambut pada setiap bulan. Jika kena dengan lokasi yang strategik dan pemasaran yang berkesan sudah pastinya bidang ini  membawa keuntungan yang lumayan. Artikel ini ditulis bertujuan untuk berkongsi peluang yang terbuka luas dalam bidang yang jarang-jarang kaum bumiputera ceburi.

Friday, October 4, 2013

Dua sahabat tauke sandwic

Siapa sangka perniagaan yang bersandarkan suka-suka bertukar menguntungkan bagi dua sahabat ini hingga mampu memasarkan produk sandwic jenama Simply Sandwiches di sekitar Lembah Klang.

Segulung ijazah tidak menghalang mereka me­ngusahakan perniagaan itu, malah perniagaan berkonsepkan makanan kesihatan mendapat sambutan orang ramai di laman sosial.
Dengan modal permulaan RM1,000, Pe­ngarah Eksekutif Urusan Syarikat Zesty Solution Sdn Bhd Shaheera Djafar dan Pe­ngarah Urusan­nya Sharin Sharif membangunkan bisnes itu di rumah pejabat (SOHO) di Apartmen D‘Rimba Jalan Kenyalang, Kota Damansara.

Shaheera yang berkelulusan bioteknologi dari University of New South Wales (UNSW), Australia dan Sharin pemegang Diploma Pengurusan Pelancongan daripada Business College Sydney tidak kesal memilih kerjaya itu.

Uniknya, perniagaan mereka adalah tempahan menerusi Facebook (FB) dan Instagram manakala perkhidmatan penghantaran dilakukan pekerja menggunakan van.

Bermula dengan empat menu sandwic iaitu telur, tuna, daging lembu dan ayam salami, produk dikembangkan kepada empat menu iaitu cendawan, ikan salmon salai, ayam pang­gang dan udang bawang putih mentega.

Sepanjang Ramadan lalu, menu sandwic ayam serai dan daging terriyaki mendapat sambutan di luar dugaan.

Pernah menjadi peguam, Sharin mengakui persamaan minat menjadi faktor mereka memilih perniagaan itu.

“Kami membuka perniagaan ini sebaik pulang dari Australia. Kami sudah biasa makan sandwic di sana, jadi tiada masalah mendapat­kan resipi terbaik.

“Semua resipi sandwic kami menggunakan idea Australia sebelum diadaptasi dengan resipi sendiri,” katanya.

Mereka turut menghasil­kan sos, selain eksperimen sendiri bagi mendapatkan rasa terbaik hingga ada resipi itu mencapai tahap jualan terlaris.

Pemegang Ijazah Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu berkata, cita rasa Malaysia yang ditampilkan menarik perhatian ramai.

“Orang Malaysia suka makan makanan pedas dan kebanyakan resipi ditampilkan mengikut cita rasa pelanggan.

“Ada tidak makan telur, kami buat eksperimen di dapur,” katanya.

Sandwic dihasilkan turut menggunakan mi­nyak zaitun, daun salad hidroponik, roti gandum dan serat.

“Kami menggunakan bahan yang cukup sihat dan sesuai bagi mereka yang mengamalkan diet. Roti gandum mempu­nyai serat yang tinggi dan cepat mengenyangkan,” katanya.

Mereka yang ingin me­ngetahui mengenai perniagaan Simply Sandwiches boleh melayari FB Simply Sandwiches.
Sumber:Harian Metro online

Tuesday, September 10, 2013

Bagaimana Memberikan Keyakinan Kepada Bakal Pelanggan

Memberikan keyakinan kepada bakal pelanggan adalah perkara subjektif untuk dibincangkan. Sama seperti kita merasaikan sesuatu masakan, lain orang lain citarasanya. Tetapi kita boleh melihat secara majoriti bagaimana seseorang itu meminati masakan. Ini melalui rasa juadah itu, kebersihan dan bagaimana masakan itu di persembahkan. Beberapa cara berikut adalah antara tips boleh meyakinkan bakal pelanggan. Namun demikian ia tidak tentu 100% boleh meyakinkan kesemua orang. Perkara pokok kita perlu ambil perhatian ialah mencuba banyak kali dan memperbaiki tahap pencapaian kita sehinggalah kita dapat cara tepat meyakinkan mengikut kelompok tertentu. 1.Memberikan persembahan yang jelas, yakin, benar dan tanpa putar belit fakta. 2.Menyediakan dokumen sokongan / gambar / gambarajah untuk memudahkan persembahan kita. 3.Memakai pakaian yang sesuai, tempat yang sesuai dan masa yang bertepatan semasa membuat perbincangan. 4.Perbanyakkan ilmu melalui kelas agensi, syarikat dan seminar luar dalam bidang kewangan agar membolehkan kita yakin dalam persembahan produk dan turut meyakinkan pelanggan. 5.Perbaiki cara persembahan kepada yang lebih baik selepas membuat aktiviti tersebut.

Wednesday, August 21, 2013

Tips Bagaimana Cara Membuat Pembentangan dan Presentation Yang Hebat dan Berkesan

Sebagai usahawan, ahli perniagaan atau pelajar universiti tentu anda perlu membuat pembentangan atau presentation. Pembentangan ini akan menetukan siapa diri anda dan adakah mesej yang anda ingin sampaikan ini dapat disampaikan dengan baik dan difahami oleh pendengar. Ini juga menentukan samada anda mendapat kontrak, jualan, pinjaman, markah dan kelulusan yang diperlukan.
Dalam artikel ini saya akan terangkan secara terperinci bagaimana untuk anda melakukan presentation yang baik. Ciri-ciri menyediakan pembentangan yang baik serta apa yang perlu anda lakukan sewaktu pembentangan itu sendiri. Akhir sekali saya akan terangkan mengenai salah satu pembentangan yang saya buat sebagai contoh buat anda.
Saya terdedah untuk membuat pembentangan ini hampir setiap bulan untuk Kursus Memborong di China dan Lot.my di mana saya perlu menerangkan secara spesifik kaedah, cara dan masalah untuk menyediakan usahawan di China. Untuk Lot.my pula, kami berhadapan dengan usahawan yang ingin membuka kedai online dan bagaimana untuk mengajar serta mendidik mereka supaya mereka boleh membuka kedai online mereka apabila mereka pulang ke rumah.
Pembentangan yang baik adalah pembentangan yang dapat mempengaruhi keputusan yang bakal pendengar anda buat. Jadi penting untuk anda fokus bukan saja kepada ciri-ciri  pembentangan yang baik, malah perlu ada juga unsur emosi. Emosi yang disampaikan akan mempengaruhi keputusan pendengar. Akhir sekali perlu disusuli dengan tindakan yang perlu dilakukan oleh pendengar sebagai kesimpulan.
Berikut adalah ciri-ciri teknikal presentation yang baik yang perlu anda titik beratkan sewaktu persediaan pembentangan. 
1. Pemilihan jenis huruf
Ini adalah sangat penting supaya semua orang yang berada dalam dewan dapat melihat dengan jelas tulisan yang digunakan untuk menyampaikan poin anda. Jika anda tidak tahu font mana untuk dipilih, pilih saja font Arial yang biasa digunakan. Jangan gunakan font
2. Warna
Warna memainkan peranan yang sangat penting untuk pendengar anda melihat dengan jelas perkataan, ayat dan poin yang anda bentangkan. Kesalahan yang biasa dilakukan adalah apabila pembentang cuba menggunakan warna-warna fancy yang kononnya ingin menjadikan pembentangan mereka lain daripada yang lain. Namun kaedah ini hanya menjadikan keadaan pembentangan anda lebih teruk . Contohnya, ada yang menggunakan latar belakang hitam dengan tulisan merah. Ini menjadikan pendengar sakit mata melihatnya.
Anda boleh menggunakan sedikit sebanyak warna lembut untuk latar belakang, namun pastikan tulisan anda adalah jelas dan kontra dengan warna latar belakang.
Tip mudah untuk memilih warna adalah menggunakan warna background putih dengan tulisan hitam. Sentiasa ingat, anda tidak akan mendapat markah lebih hanya kerana anda menggunakan warna yang fancy. Tidak ada markah tambahan di sini, ambil saja jalan selamat.
3. Power point
Power point digelar power point adalah kerana ia untuk poin dan bukan untuk meletakan karangan. Ramai pembentang membuat kesalahan dengan meletakkan seluruh perenggan yang ada dalam modul atau kertas kerja dalam power point. Ini adalah kesalahan yang besar.
Orang melihat kepada slides anda untuk melihat point dan mengharapkan anda akan menghuraikan serta menerangkan setiap poin tersebut. Pilih hanya poin yang terbaik untuk diletakkan di slides anda. Anda juga boleh mengadakan poin-poin ini dalam bentuk diagram / mind map. Namun jika anda tidak pandai melukis diagram, kekalkan dalam bentuk point biasa dalam 5-7 patah perkataan bagi setiap poin. Hanya maksimum 5 poin sahaja dalam satu-satu slides.
4. Penerangan
Setelah membuat point, anda perlu menerangkan setiap point ini dengan kaedah berikut
a. Baca point yang diletakkan di atas slides (satu poin pada satu masa)
b. Definisikan atau ulas maksud poin tersebut dalam satu ayat
c. Huraikan poin tersebut dengan 3-5 ayat.
d. Berikan satu contoh ringkas atau cerita menarik berkenaan poin itu.
5. Memberi Contoh dan Bercerita 
Memberi contoh penting supaya pendengar dapat membayangkan dan memahami point yang disampaikan. Satu lagi kaedah yang berkuasa adalah bercerita.
Kita sebagai manusia sudah terlatih sejak dari kanak-kanak untuk seronok mendengar cerita dan pengalaman orang lain. Jadi sewaktu berada di langkah (d) seperti di atas, terangkan mengenai satu kisah menarik mengenai poin tersebut. Anda boleh ceritakan sesuatu dari pengalaman anda, pengalaman orang lain, kisah yang berlaku dalam masyarakat ataupun kisah dongeng dan rekaan. Asalkan ia berkaitan dengan poin dan memberikan pendengar satu bayangan yang jelas mengenai apa yang anda terangkan.
6. Penggunaan Gambar, Video dan Diagram
Penggunaan gambar juga boleh memainkan peranan yang penting dalam pembentangan. Namun gambar yang dipilih perlu menarik dan menyampai mesej yang jelas kepada pendengar. Jangan gunakan gambar yang boleh menganggu orang yang melihat pembentangan anda seperti gambar mayat, gambar orang dibedah atau gambar wanita separuh bogel.
Penggunaan Video pula pastikan ia dari 2 minit dan maksimum 3 minit. Video yang terlalu lama akan membuatkan pendengar bosan dan ini akan mengakibatkan mereka mula memikirkan mengenai hal lain dan anda gagal untuk meletakkan mereka dalam fokus yang anda mahukan. Pendengar di sini untuk mendengar anda bercakap dan bukan di panggung wayang untuk menonton video.
Penggunaan Diagram atau peta minda juga baik. Namun tak boleh ada lebih dari 5 point dalam peta minda tersebut. Jika peta minda anda mempunyai point yang lebih dari itu, ia menjadikan pendengar sukar untuk mengingati dan memahami poin anda.
7. Persediaan Awal 
Jika anda masih baru dalam bidang pembentangan, anda perlu buat latihan beberapa kali sebelum pembentangan yang sebenar. Ini akan memberikan beberapa kelebihan kepada anda antaranya
a. Anda tahu bahawa anda hanya menggunakan waktu yang diberikan untuk pembentangan. Jika anda diberi 10 minit. Pastikan pembentangan anda habis dalam tempoh waktu kurang dari itu. Jika lebih sekalipun, pastikan tidak lebih dari 2-3 minit dari 10 minit yang diberikan.
b. Anda juga perlu tahu kederasan anda bercakap. Anda tidak perlu bercakap terlalu cepat atau terlalu perlahan kederasannya. Ini akan mempengaruhi masa yang diambil untuk menyampaikan pembentangan. Jadi latihan dan kritikan dari orang lain penting sebelum anda membuat pembentangan yang sebenar.
c. Kelancaran bercakap juga dapat dipertingkatkan kerana dengan latihan yang mencukupi anda sudah boleh mengingati slides yang seterusnya. Oleh itu sewaktu pembentangan nanti, anda akan lebih bersedia dari segi mental untuk menerangkan poin yang seterusnya.
c. Selain itu, dengan persediaan yang awal, anda boleh membuang poin-poin yang tidak perlu dan hanya kekalkan poin yang penting sahaja. Anda tidak perlu merasa bersalah untuk membuang poin-poin tertentu kerana poin yang terlalu banyak hanya akan menjadikan pendengar anda keliru. Lebih baik sedikit tetapi padat. Yang penting anda dapat mempengaruhi pendengar anda.
Pada hari pembentangan…
1. Berpakaian kemas dan sesuai
Pakaian adalah sangat penting lagi-lagi jika penonton anda bukan orang yang anda kenali. Pastikan pakaian anda sesuai. Pakaian yang baik menunjukkan bahawa anda menghormati penonton anda. Pakaian yang selekeh memberi signal bahawa anda tidak bersedia, tidak meyakinkan dan tidak menghormati penonton.
2. Berdiri Di Hadapan Tepi Kanan Screen 
Anda perlu berdiri dengan berkeyakinan di hadapan sebelah kanan screen. Dengan ini anda tidak menghalang penonton untuk melihat slides anda.
3. Gunakan penunjuk screen bukan jari
Gunakan penunjuk screen untuk menunjukkan poin yang anda ingin terangkan. Jika tidak ada penunjuk screen, gunakan pensel atau pembaris. Jangan sekali-kali gunakan jari anda. Jika semuanya tidak ada. Jangan tunjuk pada screen langsung. Bercakap dengan penonton dengan tangan terbuka.
4. Jangan menerangkan dengan melihat kepada slides
Anda boleh melihat kepada slides sewaktu membaca poin yang tertera di slides, namun jangan menghuraikan dengan melihat kepada slides. Anda perlu menerangkan atau menghuraikan dengan melihat kepada penonton anda.
5. Bercakap dengan sistematik
Seperti yang saya terangkan sebelum ini, anda perlu bercakap dengan sistematik. Ikut langkah ini – Baca point, definisikan, huraikan dan bercerita atau beri contoh.
6. Akhiri Pembentangan Dengan Saranan
Akhiri pembentangan anda dengan saranan atau apa yang perlu bertindak oleh pendengar sekarang. Ia boleh jadi mereka perlu bertindak untuk mendaftar, atau bertindak memahami sesuatu isu ataupun mereka perlu sedar mengenai sesuatu yang perlu diubah.
Pembentangan yang baik akan bermula dengan pembentang mengalihkan fokus pendengar daripada mana-mana bidang lain kepada bidang yang diterangkan, kemudian pembentangan memainkan emosi dengan cerita supaya pendengar faham secara tidak langsung bahawa apa yang sedang disampaikan ini penting. Kemudian di akhir pembentangan disusuli dengan tindakan yang perlu diambil dengan jelas.

Adakah anda berjaya?

Kata-Kata Motivasi

SEHARI 30 GANTANG CENDOL

Kisah usahawan kali ini dipetik dari akhbar kosmo online perihal seorang lelaki yang berhenti sekolah selepas SRP dan bekerja sebagai buruh kampung, buruh binaan di Singapura, pulang ke kampung semula dan akhirnya menjadi seorang usahawn cendol yang berjaya.



MD. HADI MD. ZAIN, dibantu anaknya Mohd Fariezal (kanan) memasukkan tepung beras yang dibancuh dengan air daun pandan ke dalam acuan cendol.

SUMBANGAN RM1,000 daripada seorang ayah untuk dijadikan modal permulaan kira-kira 17 tahun lepas berjaya mengubah kehidupan pengusaha cendol Md. Abd Hadi Md. Zain, 40, atau lebih dikenali Mat Cendol.

Pengalaman selama tiga tahun bekerja di kilang membuat cendol ibu saudaranya sebelum itu, telah dimanfaatkan sepenuhnya bagi mengubah kehidupannya sekeluarga.

Pada awal pembabitan di Kampung Kedemit, Wakaf Bharu, Kelantan dia hanya menggunakan motosikal untuk membawa cendol ke pasar tetapi sekarang dia mampu memiliki sebuah van dan sebuah rumah binaan konkrit yang dibina sembilan tahun lepas di atas tanah milik keluarga bernilai kira-kira RM80,000.

"Semuanya itu merupakan hadiah kepada sebuah pengorbanan ibu bapa yang tidak ternilai harganya," katanya dengan nada pilu ketika memulakan cerita.

Semuanya bermula apabila beliau menamatkan persekolahan setakat Tingkatan Tiga walaupun memperoleh keputusan A dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pada tahun 1984.

"Desakan rakan-rakan sebaya ketika itu untuk tidak melanjutkan pelajaran ke Tingkatan 4 di Sekolah Menengah Kebangsaan Wakaf Bharu betul-betul mempengaruhi," katanya lagi.

Bermula dari situlah dia menempuhi kehidupan remajanya yang penuh dengan keseronokan dan tanpa hala tuju.

"Masa tu, hendak suka semata-mata. Gi situ, gi sana, buah rambutan orang, hok kita. Ayah suruh mengaji sekolah supaya jadi orang, tapi kita tak endah," katanya mengimbas kenangan lama.

Berbekalkan tulang empat kerat yang masih rapuh dia bersama rakan-rakan melakukan pelbagai kerja kampung bagi meneruskan kehidupan remaja walaupun pendapatan tidak seberapa.

Ketika berusia 17 tahun dia mengambil keputusan untuk berkahwin dengan wanita pilihannya, Rokiah Mat Isa yang sebaya dengannya.

Selepas berkahwin dia dan isteri menetap di Kuala Krai, dengan melakukan kerja-kerja kampung bagi menampung kehidupan sekeluarga.

"Masa tu memang susah, kerja hanya seada-adanya saja, nak kerja lain sijil tidak ada, sekolah pun tok habis," katanya penuh dengan kekesalan.

Bagi menyara kehidupannya sekeluarga dia merantau ke Singapura untuk bekerja sebagai buruh binaan selama hampir setahun.

Walaupun pendapatan sebagai buruh binaan agak lumayan namun warna-warna kehidupan kampungnya seolah-olah telah sinonim dalam jiwanya.

Sekembalinya ke kampung ketika berumur 19 tahun, dia bekerja di kilang cendol milik ibu saudaranya di Kampung Padang Tok La, Pasir Mas. Di sinilah bermulanya penglibatan beliau secara langsung dalam industri membuat cendol.

Walaupun tidak memiliki segulung ijazah, dia bertekad untuk menempa nama setanding insan lain bagi menebus kesilapan masa lampaunya.

"Setiap pekerjaan yang dilakukan bersungguh-sungguh pasti membuahkan hasil, itulah prinsip yang dipegang," kata ayah kepada empat orang anak itu.

"Tuhan telah memakbulkan permintaan saya, kita tidak sunyi daripada membuat kesilapan, cuma akal sahaja yang mampu memperbetulkannya agar ia tidak berulang."

Kini beliau mampu tersenyum daripada hasil titik peluh yang dicurahkan selama ini kerana cendolnya mendapat permintaan tinggi daripada masyarakat setempat.

Setiap hari dia menghasilkan kira-kira 30 gantang cendol untuk dibekalkan kepada peraih-peraih pada harga RM7 untuk satu gantang, malah permintaannya akan meningkat sekali ganda pada bulan Ramadhan.

Kepahitan hidup yang dirasai terubat apabila melihat dua daripada empat anaknya berumur antara 8 hingga 22 tahun berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.
Sumber:kisahusahawan.blogspot.com

Kata-Kata Hikmat

IMPIAN DAN HARAPAN



Bayangkan, bahawa wang dan masa tidak lagi menjadi masalah bagi anda. Anda punya waktu terluang untuk menghantar anak ke sekolah setiap pagi, punya waktu untuk menonton dia beraksi di pentas atau menonton dia bermain bola sepak disekolahnya, semata-mata kerana anda tidak perlu bekerja.

Bayangkan anda mempunyai waktu untuk merancang kerja anda sambil melakukan aktiviti kegemaran anda dan bukannya merancang untuk melakukan aktiviti kegemaran anda sambil anda sedang sibuk bekerja.

Bayangkan anda pergi melancong dan pulang bila-bila masa yang anda suka dan bukannya atas arahan sesiapa.

Bayangkan anda tiada halangan masa untuk bangun solat tahajud setiap malam, berjemaah di masjid setiap waktu, meluangkan masa bersama ibubapa setiap kali mereka perlukan anda dan melakukan kerja kebajikan setiap kali diperlukan hanya kerana anda tidak terikat dengan mana-mana tugas yang menentukan bila dan di mana anda perlu berada.

Bayangkan anda bebas dari hutang dan wang sentiasa mengejar anda dan jika anda sudah tiada anak atau keluarga anda bakal mewarisi apa yang anda bayangkan ini walaupun mereka tidak mengetahui apa-apa mengenainya.

Bayangkan dengan menggunakan sedikit kebijaksanaan anda dan melabur sedikit masa dari hidup anda untuk menilai apa sebenarnya peluang ini dan hidup anda bakal menjadi seperti apa yang anda sedang bayangkan ini. Kami pasti anda tidak akan menyesal mengenalinya.
Sumber:usahawanbebas.blogspot.com

Thursday, May 9, 2013

Panduan Permohonan Nama Perniagaan

sijil pendaftaran perniagaan syarikat ssm suruhanjaya syarikat malaysia
Contoh Sijil Pendaftaran Perniagaan SSM

1. Nama perniagaan merupakan gaya atau tajuk yang digunakan bagi pengenalan sesuatu perniagaan yang dijalankan.
2. Nama perniagaan boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu:
a) Nama sendiri menggunakan nama seperti di dalam kad pengenalan tidak perlu memohon kelulusan nama perniagaan.
b) Nama Tred ialah nama perniagaan yang diilham dan dicadangkan oleh peniaga. Contoh: Kedai Dobi Shaj Global, Ahmad Catering, Persada Resources
3. Nama perniagaan hendaklah tidak terlalu panjang iaitu tidak melebihi lima puluh (50) huruf termasuk ruang di antara perkataan.
4. Penggunaan angka, tanda dan simbol tidak dibenarkan sebagai sebahagian daripada nama perniagaan.
5. Penggunaan perkataan yang diwartakan di bawah Warta Kerajaan Bil 716 bertarikh 30 Januari 1997, Warta Pindaan 2001 dan nama-nama yang dikawal secara pentadbiran di bawah Akta Syarikat 1965 juga akan dikawal penggunaannya sebagai nama perniagaan.
6. Penggunaan perkataan Taska, Pusat Jagaan, Tadika, Pusat Tuisyen, Kolej dan Sekolah Pendidikan mestilah mendapat kelulusan nama perniagaan terlebih dahulu dan dirujuk kepada agensi yang berkenaan untuk mendapatkan surat kebenaran/sokongan sebelum perniagaan didaftarkan.
7. Nama perniagaan didaftarkan bersesuaian dengan jenis perniagaan yang dijalankan.
8. Nama perniagaan yang telah didaftarkan tidak boleh diubah atau ditukar.
9. Nama-nama yang tidak boleh didaftar ialah nama-nama yang telah di diperuntukkan di bawah seksyen 22(1) dan 341 Akta Syarikat 1965 seperti contoh dibawah :-
(a) nama-nama yang membayangkan kaitan dengan ahli Keluarga Diraja atau naungan Diraja termasuk nama-nama yang mengandungi
perkataan seperti ”Diraja”, “Raja”, “Permaisuri”, “Putera”, “Puteri”, “Mahkota”, “Raja Muda” atau “Yang/Maha Mulia”;
(b) nama-nama yang membayangkan kaitan dengan sesuatu Jabatan Kerajaan Negeri atau Persekutuan, badan berkanun, pihak berkuasa atau agensi kerajaan atau mana-mana majlis perbandaran ataupun pihak berkuasa tempatan yang lain termasuk nama-nama yang
mengandungi perkataan-perkataan seperti “Persekutuan”, “Negeri” atau “Nasional”;
(c) nama yang membayangkan kaitan dengan sesuatu Kerajaan Negara Asean, Komanwel atau kerajaan asing atau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau mana-mana pertubuhan antarabangsa atau kartel termasuk nama yang mengandungi perkataan seperti “ASEAN”, “UNESCO”, “NATO”, “EEC” atau “OPEC”;
(d) nama yang membayangkan kaitan dengan sesuatu parti politik, pertubuhan, kesatuan sekerja, koperasi atau persatuan pembinaan;
(e) nama yang termasuk perkataan yang berikut atau apa-apa perkataan yang sama maksud dengannya:
“Amanah”, “Amanah Saham”, “Bank”, “Bursa”, “Bumiputra”, “Biro”, “Buatan Malaysia”, “Dewan Perniagaan dan Perindustrian”, “Dewan Pengeluaran”, “Eksekutor”, “Harga Patut”, “Institut”, “Insurans”, “Jaminan”, “Jurubank”, “Kewangan”, “Khazanah”, “Kredit”, “Kolej”,
“Majlis”, “Pengguna”, “Pelaburan”, “Pejabat Pendaftaran”, “Pajakan”, “Perdana”, “Tauliah”, “Tabung”, “Universiti”, “Urusan Bank” atau “Yayasan”;
(f) nama yang mengelirukan dari segi identiti, jenis, objek atau tujuan sesebuah syarikat atau yang mengelirukan dengan apa jua
cara lain;
(g) nama yang mencerca atau yang mungkin dianggap menghina oleh orang-orang awam; dan
(h) nama yang –
(i) diterjemahkan daripada nama syarikat atau syarikat asing yang didaftarkan di bawah Akta; atau
(ii) mungkin menyerupai ataupun dikelirukan dengan nama mana-mana syarikat tempatan atau syarikat asing lain yang
didaftarkan di bawah Akta; atau
(iii) mungkin menyerupai ataupun dikelirukan dengan nama yang telah disimpan bagi tujuan penubuhan suatu syarikat baru atau pendaftaran suatu syarikat asing ataupun bagi tujuan penukaran nama suatu syarikat tempatan atau syarikat asing yang didaftarkan di bawah Akta.

Panduan Pendaftaran Lesen Kementerian Kewangan

sijil kementerian kewangan malaysia
Contoh Sijil Lesen Kementerian Kewangan yang telah diluluskan.
Syarikat anda perlu memiliki Sijil Pendaftaran Kementerian Kewangan sekiranya ingin berurusniaga dengan kerajaan seperti menyertai sebutharga atau tender bagi setiap pembekalan dan perkhidmatan yang anda tawarkan.
Dokumen-dokumen yang perlu dilampirkan bagi setiap permohonan adalah seperti berikut:-
BilJenis PerniagaanDokumen diperlukanHarga (RM)
1)Enterprise atau perniagaan yang menggunakan nama tred1)Salinan I/C pemilik2) Salinan pendaftaran perniagaan (SSM)
a) Borang D
b) Borang Maklumat perniagaan
c) Borang maklumat pemilik3) Salinan Penyata Akaun Bank Syarikat yang terkini4) Salinan Perjanjian Sewa (atau dokumen hak milik bagi bangunan sendiri) pejabat yang telah disetem5) Resit sewa pejabat (3 bulan terakhir) atau dokumen Hak Milik pejabat
1,350.00 950.00(sehingga 31/06/2013)
2)Sendirian Berhad1)Salinan Kad Pengenalan semua ahli lembaga pengarah syarikat2)Salinan Borang 24 dan 49 yang di sahkan oleh Setiausaha Syarikat atau Suruhanjaya Syarikat (SSM)3) Borang pindah milik saham (borang 32A) yang dimatikan setem dan di sahkan oleh setiausaha syarikat atau SSM (jika berkenaan)4) Memorandum And Articles Of Association (MAA) atau Borang 135) Salinan Borang 44
6) Form of Annual Return untuk syarikat yang beroperasi lebih dari setahun
7) Resolusi Lembaga Pengarah mengenai kuasa menandatangani cek oleh pihak bank
8)Salinan Penyata Akaun Bank Syarikat terkini
9)Penyata pembayaran KWSP (EPF) terkini & Resit Pembayaran KWSP
10)Salinan Perjanjian Sewa (atau dokumen hak milik bagi bangunan sendiri) pejabat yang telah disetem
11)Resit sewa pejabat (3 bulan terakhir) atau dokumen Hak Milik pejabat
1800.001,500.00 (sehingga 31/06/2013)
BilJenis PerniagaanDokumen diperlukanHarga (RM)
3)R.O.S Persatuan/ Koperasi / Pertubuhan1- Salinan kad pengenalan semua ahli lembaga pengarah2- Borang pendaftaran Koperasi/ Persatuan/ Pertubuhan3- Undang-undang kecil Koperasi/ Persatuan/ Pertubuhan4- Minit Mesyuarat Agong terbaru koperasi/ Persatuan/ Pertubuhan5- Salinan Penyata akaun bank terkini
6- Resolusi lembaga pengarah mengenai kuasa tandatangan cek bagi akaun yang di sahkan oleh pihak bank
7- Salinan Lesen-lesen yang berkaitan.
8-Salinan Perjanjian Sewa (atau dokumen hak milik bagi bangunan sendiri) pejabat yang telah disetem
9-Resit sewa pejabat (3 bulan terakhir) atau dokumen Hak Milik pejabat
1800.001,500.00 (sehingga 31/06/2013)
Sila klik untuk borang Pendaftaran Lesen Kewangan, Kementerian Kewangan Malaysia (MOF)

Nota: Ini adalah beberapa contoh harga dari syarikat perunding berkenaan permohonan lesen kewangan sebagai rujukan para pembaca.

Sumber :http://www.daftarsyarikat.biz/perkhidmatan-dan-konsultasi/pendaftaran-lesen-kementerian-kewangan/panduan-pendaftaran-pembekal-kementerian-kewangan/

Wednesday, May 8, 2013

Daripada pendidikan ke dunia perniagaan

Oleh Hajahfarhana Tarmudi
Meskipun tidak ramai yang mahu membabitkan diri dalam dunia perniagaan kerana kurang keberanian untuk menanggung risiko, tidak pula bagi wanita ini.
Tamat saja pengajian, Yusniha Hasan, 37, mengambil keputusan untuk menjadi pensyarah dalam bidang seni bina bagi meneruskan minatnya dalam dunia binaan.
Namun setelah 10 tahun dalam dunia pendidikan, akhirnya Yusniha mencari jalan untuk bekerja di bidang lain.

Bukan mudah baginya untuk berhenti, namun disebabkan kekangan masa akhirnya dia mengambil keputusan untuk membabit­kan diri dalam dunia perniagaan.

Kini setelah empat tahun berusaha, dia akhirnya mampu tersenyum kerana segala hasil dan penat lelahnya dapat dilihat menerusi Butik Allurelady di Taman TTDI Jaya, Shah Alam.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perjalanan hidupnya selepas terbabit dalam dunia perniagaan, ikuti temu bual penulis bersama Yusniha.


Soalan (S) : Sejak bila berminat dalam dunia perniagaan?

Jawapan (J):
Bidang perniagaan memang menjadi minat saya, namun saya ha­nya dapat merealisasikan impian itu empat tahun lalu dengan membuka butik tudung.

Ketika itu, saya masih bekerja di bidang pendidikan sebagai pensyarah seni bina. Walaupun mula-mula memasang cita-cita untuk menjadi arkitek, hasrat berkenaan terpaksa dipadamkan kerana memikirkan masa depan dengan keluarga.

Setelah 10 tahun mengajar, akhirnya saya terfikir untuk membuka perniagaan bagi membolehkan saya meluangkan masa bersama enam anak yang masih kecil.

Akhirnya, setelah membuat kajian me­ngenai produk perniagaan yang mampu kekal lama dan sentiasa diperlukan, lantas terfikir mengenai tudung.

Sebelum membuka perniagaan, saya tidak pernah belajar atau mengambil kursus menjahit tudung kerana memang tahu teknik asas menjahit.


S: Apakah pengajaran yang diperoleh setelah terbabit dalam dunia perniagaan?

J:
Banyak pengajaran yang diperoleh terutama apabila menyentuh aspek sikap diri sendiri.

Kini, saya lebih positif untuk bekerja dengan lebih rajin bagi mencapai kejayaan dalam dunia perniagaan, apatah lagi segala hasil usaha dan penat lelah akan menjadi milik sendiri.

Disebabkan itu, sebelum membuka perniagaan kita perlu tahu bidang berkenaan dan memastikan mental sentiasa kuat, mempunyai keyakinan tinggi serta usaha berterusan.


S: Apakah perbezaan antara dunia pendidikan dan perniagaan?

J:
Perbezaan memang ketara. Dulu ketika mengajar, saya perlu keluar rumah seawal jam 6.30 pagi dan tiba di rumah jam 7 petang.

Namun, kini masa lebih fleksibel kerana menjalankan perniagaan sendiri dan saya dapat habiskan banyak masa dengan anak-anak.

Cabaran mengajar juga tidak sehebat berniaga. Ini kerana cabaran hanya dirasai apabila berhadapan dengan pelajar ketika menjadi pengajar.

Rutin harian yang dilakukan juga sama. Berbeza dengan perniagaan yang ada pasang surutnya serta persaingan yang perlu difikirkan setiap masa.

Selain itu, saya juga harus bekerja kuat untuk mendapatkan pulangan yang diinginkan kerana semua hasil adalah untuk diri sendiri.

Apabila berniaga, saya juga lebih kenal diri sendiri terutama dari segi kekuatan dalaman untuk menjadi berani dan positif.

Walaupun sibuk dengan perniagaan, kadangkala saya mengajar separuh masa kerana saya tidak boleh terus meninggalkan bidang berkenaan begitu saja.


S: Apakah misi yang ingin dicapai dalam perniagaan?

J:
Pastinya, saya ingin kembangkan lagi perniagaan dan mahu jenama saya lebih dikenali.

Justeru, saya lebih gemar menjadi pengedar berbanding mengambil barangan atau koleksi tudung dari butik lain.


S: Bagaimanakah cara anda bersaing dan mengekalkan identiti jenama anda untuk terus dikenali?

J:
Saya menggunakan cara sendiri untuk mengekalkan identiti jenama ini dan kebiasaannya pelanggan memang sudah tahu mengenai rekaan yang dihasilkan.

Disebabkan itu, saya lebih gemar membuat rekaan dan memiliki tukang jahit sendiri bagi memastikan koleksi dihasilkan lebih eksklusif.

Malah, setiap dua bulan sekali saya berkunjung ke negara Asia seperti Korea, Jakarta dan Vietnam semata-mata untuk mencari fabrik yang unik, menarik serta sesuai untuk menghasil­kan tudung.

Saya tidak pernah me­ngeluh bahkan rasa sangat berbaloi dengan usaha yang dilakukan bagi memenuhi cita rasa dan kepuasan pelanggan.


S: Bagaimana dengan pembahagian masa antara perniagaan dan keluarga?

J:
Masa bersama keluarga kini lebih banyak dan biasanya saya beriadah dengan anak-anak secara kerap berbanding dulu.

Malah, jika saya ke luar negara bagi mencari fabrik untuk menghasilkan rekaan tudung, keenam-enam anak saya akan dibawa bersama.


S: Apakah hobi ketika masa lapang?

J:
Saya lebih suka menghabiskan masa bersama keluarga dan hobi saya beriadah dengan mereka.
Sumber:harian metro


Udang pun boleh dipos!

Oleh Siti Zarinah Sahib
Pulang dari kerja, perkara pertama dilakukannya adalah membelek udang hiasan yang ditempatkan di dalam 10 akuarium berukuran dua kaki yang diletakkan di dalam sebuah bilik.
Sama ada memberi makan atau membersihkan bahagian dalam akuarium, semuanya dilakukan Mohd Fazuli Ismail, 31, dengan penuh gembira dan ceria.
Malah isteri, Noor Asmawati Ismail, 31, sangat memahami hobi suaminya yang begitu mencintai pemeliharaan udang hiasan. Sekali-sekala dia memberikan sokongan dengan membantu memberi makanan udang sekiranya suaminya pulang lewat ke rumah atau bersama-sama membersihkan bahagian dalam akuarium.

Menurut Fazuli, hobi memelihara udang hiasan bermula sejak dua tahun lalu ketika melayari Internet. Sambil mendapatkan maklumat berkenaan ikan hiasan, dia terbaca mengenai pemeliharaan udang hiasan yang begitu popular di Taiwan, China dan India namun kurang dikenali di Malaysia.

Dia yang membela ikan di rumah lantas membeli hidupan ini menerusi pembekal di Singapura dengan harga RM50 untuk 20 ekor. Dari situ, udang peliharaannya bertambah sehingga dia boleh menjadikannya sebagai satu perniagaan yang menguntung­kan.

Semua udang hiasan yang hanya memiliki ukuran 5 sentimeter ditempatkan dalam akuarium khas berasingan dengan ikan hiasan. Ini bagi mengelak udang mati atau dimakan ikan lain. Namun begitu sekiranya saiz ikan sama dengan udang, tidak menjadi masalah diletakkan di tempat yang sama.

Fazuli yang mempunyai pengalaman membela ikan sejak lima tahun lalu menjelaskan, penjagaan udang hiasan sangat mudah. Malah ia sama seperti memelihara ikan iaitu perlu menetapkan jumlah air dalam akuarium, suhu yang tidak melebihi 30 darjah Celsius serta menyediakan makanan khas udang. Malah peralatan hiasan akuarium juga sama dengan ikan hiasan.

“Untuk udang hiasan, suhu diperlukan tidak melebihi 30 darjah Celsius bagi mengelak udang mati kerana terlalu panas. Makanannya pula berasaskan sayur-sayuran rebus seperti lobak merah, bayam dan timun yang diberi sekali sehari,” katanya yang menetap di Subang, Selangor.

Menyedari terdapat kepelbagaian jenis dan warna, Fazuli tidak hanya memelihara satu jenis udang hiasan sebaliknya dia mula mencari udang daripada warna berbeza seperti kuning, hijau, coklat, hitam, kristal dan biru.

Dari situ, dia mula mencari pembekal yang menjual pelbagai jenis udang hiasan untuk dijadikan koleksi.

“Ketika itu saya hanya memiliki udang berwarna merah. Tetapi selepas mendapati terdapat pelbagai jenis warna dijual, saya terus mendapatkannya. Sehingga kini saya mempunyai ratusan jenis udang daripada pelbagai warna,” katanya.

Setiap udang mempunyai nama masing-masing mengikut warna. Udang berwarna merah dipanggil red fire, udang kuning pula yellow fire, kristal fire, black fire serta udang hiasan Malaya yang sangat sukar ditemui.

Ada jenis udang yang boleh dikacukkan sehingga menghasilkan gabungan dua warna pada bahagian badan. Udang jenis ini sukar diperoleh dan harga ditawarkan boleh mencapai sehingga puluhan ribu ring­git.

Menariknya, seekor udang hiasan juga boleh berubah menjadi tiga warna me­ngikut suhu air serta cuaca.

Dia yang berkongsi kegemaran ini de­ngan peminat di laman sosial Facebook tidak sangka minat yang bermula sebagai hobi akhirnya memberikan pendapatan lumayan.

Sejak itu, dia menerima banyak tempahan untuk udang hiasan pelbagai warna. Katanya, harga ditawarkan mengikut gred, bergantung kepada warna serta kilatan pada badan.

“Untuk membezakan kualiti seekor udang, ia dapat dilihat dari segi kepekatan warna dan kilatan. Jika warnanya lebih terang dan berkilat, harganya lebih mahal sehingga mencecah ribuan ringgit.

“Setakat ini saya pernah menjual udang hiasan berharga RM180 seekor dan paling mahal mencecah RM4,000 seekor,” kata­nya.

Oleh kerana menggunakan media sosial sebagai medium promosi, proses jual beli menjadi lebih mudah. Ini kerana, pelanggan sama ada dari dalam atau luar negara ha–nya perlu memilih udang pilihan mereka menerusi Facebook.

Selepas menjelaskan bayaran, barulah dia menghantar pesanan menerusi pos.

Bagi jaminan udang dihantar masih hidup dan dalam keadaan baik, dia menggunakan plastik khas berisi air yang tahan selama tiga hari.

“Semua maklumat mengenai penjagaan udang hiasan dan cara penghantaran saya peroleh menerusi Internet. Setakat ini, saya pernah menghantar ke Sabah dan Sarawak menerusi kiriman pos. Ia tidak mendatangkan masalah dan udang diterima dalam keadaan baik.

“Pernah juga ada pelanggan menerima udang yang sudah mati dan saya menggantikannya dengan udang yang lain,” ujarnya.

Fazuli yang bertugas dengan Tentera Udara Diraja Malaysia pada mulanya tidak pernah terlintas menjadikan hobinya itu sebagai sumber pendapatan.

Namun selepas menerima banyak permintaan daripada rakan yang meminta dia mencarikan udang untuk mereka serta rakan yang ingin membeli udang hiasan miliknya, akhirnya Fazuli menjualnya.

“Hampir setiap hari saya menerima pertanyaan mengenai harga udang hiasan yang kebanyakannya daripada kaum Cina. Ini kerana mereka lebih banyak memelihara udang berbanding kaum Melayu dan India.

“Setiap bulan saya menerima 10 pelanggan dari seluruh Malaysia yang ingin membeli udang daripada saya. Ini menyebabkan saya semakin seronok memelihara berikutan ada sambutan orang ramai,” ujarnya.

Melihat saiznya yang sangat kecil, udang hiasan antara hidupan laut yang tidak akan berubah ukuran dan kekal di antara tiga hing­ga lima sentimeter. Oleh kerana saiznya kecil, jangka hayat udang hiasan hanya bertahan selama dua tahun. Sebab itu udang jenis ini senang dibiakkan dan dijaga.

Pada masa akan datang, Fazuli bercadang mahu membuka kedai menjual udang hiasan supaya menjadi lebih teratur dan memudahkan pelanggan mendapatkannya.

“Ketika ini saya hanya menempatkan 10 akuarium dalam sebuah bilik di rumah. Jika udang semakin bertambah, bermakna saya perlu menambah akuarium di rumah yang mungkin akan diletakkan di ruang tamu pula.

“Dengan adanya kedai, urusan jual beli menjadi lebih lancar dan memudahkan pelanggan memilih sendiri udang hiasan yang mereka mahukan,” katanya yang berharap mampu merealisasikan impian ini dalam masa terdekat.
Sumber:Harian Metro

Anak tauke basuh fabrik

Oleh Hamizah Badiran
Tatkala kebanyakan rakan sekolahnya pergi berkelah di hujung minggu atau melancong ke luar negara pada musim cuti sekolah, Randy Yeap pula menuju ke kilang kepunyaan ayahnya di Pulau Pinang untuk bekerja.
Lebih memeranjatkan, usianya pada ketika itu cuma 12 tahun. Pada usia semuda itu, apa pula pekerjaan yang boleh dilakukannya?
Jejaka yang kini sudah berusia 31 tahun itu sebenarnya harus membasuh fabrik dan seluar denim yang dihasilkan di kilang berkenaan. Tidak cukup dengan itu, dia juga mengambil dan membungkus tempahan daripada pelanggan.

Sekitar umurnya 13 hingga 15 tahun, dia berganjak ke fasa lebih serius apabila mengikut jurujual di syarikat ayahnya menguruskan perihal pemasaran dan mencari pelanggan sehingga ke Sabah dan Sarawak.
FotoSEJAK kecil Randy belajar selok-belok dunia perniagaan.

Mungkin ramai beranggapan, mengapa anak tauke kilang melakukan pekerjaan sebegitu tetapi bagi Randy, semua memori itu ternyata menyeronokkan.

Anak sulung daripada empat beradik ini menegaskan, semua tugasan yang dilakukan itu mengajar erti berdikari dan kesusahan sebelum menjadi senang.

"Tidak timbul soal terpaksa membuat segala kerja itu hanya kerana takutkan ayah, sebaliknya pekerjaan ini benar-benar mengajar saya bagaimana mahu menjadi usahawan yang berjaya.

"Memang ayah saya pemilik syarikat menjual fabrik denim malah pelopor industri tekstil berkenaan sejak 35 tahun lalu. Orang ramai mungkin menyangka saya hanya duduk senang-lenang di rumah tanpa perlu berusaha atau memikirkan apa-apa.

"Semua itu silap. Sebagai anak sulung dalam keluarga, kesedaran itu timbul sendiri dan secara perlahan-lahan perasaan suka serta semangat mendalami bidang ini semakin bertambah.

"Semua syarikat tidak boleh berdiri sendiri tanpa tenaga kerja yang menjadi tiang untuk mengukuhkan struktur binaannya. Setiap pekerja pula mempunyai tugas masing-masing yang kadang-kadang senang dan kadang-kadang pula sukar untuk diselesaikan.

"Justeru, apabila kita merasai sendiri setiap butir tugasan mereka dari awal hingga akhir, baru kita tahu kesenangan dan kepayahan yang dilalui agar semua urusan berjalan lancar.

"Menerusi urusan ini juga, saya boleh kenal ramai kawan baru dan peniaga yang jauh lebih berpengalaman," katanya.

Memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif N-2 Jeansmaker Sdn Bhd (N-2 Jeansmaker), pengedar pakaian denim jenama Lois, Randy menganggap ayah dan peniaga lain adalah penyokong kuat di belakangnya.

Tanpa mereka yang mengenalinya sejak kecil, Randy tidak mungkin boleh berada dalam situasi sekarang di mana dia dapat berinteraksi dan menjalankan perniagaan dengan lebih mudah.

Malah, dengan bantuan adik lelakinya, Kenny, mereka berusaha bersama-sama bagi meneruskan warisan ayahnya yang kini sudah pun berkembang sehingga ke pasaran China.

Sibuk dengan urusan perniagaan bukan bermakna dia tidak mempunyai kehidupan peribadi seperti orang lain yang boleh melakukan aktiviti kegemaran masing-masing.

Sudah biasa menjadi individu aktif dengan membabitkan diri dalam sukan badminton sejak zaman persekolahan, Randy masih meneruskannya hingga ke hari ini.

"Saya suka bermain badminton bersama ahli keluarga atau rakan. Kebiasaannya, kami bermain pada waktu malam selepas bekerja mahupun hujung minggu.

"Sukan ini mudah sebab kita boleh bermain di dalam gelanggang bertutup selain mengajar pemain bersikap fokus menentukan strategi permainan. Konsepnya sama seperti di dalam bidang perniagaan.

"Selain badminton, saya seorang pengumpul jam tangan berjenama seperti Patek Phillippe dan Luminor Panerai.

"Malah pada tahun lalu, saya menubuhkan kelab pengumpul Luminor Panerai Malaysia yang kini mempunyai kira-kira 100 ahli.

"Reka bentuknya yang cantik dan unsur antik yang dimiliki oleh dua jenama ini amat menarik minat saya. Diakui, ia memang sukar didapati di Malaysia dan ramai juga yang kerap bertanya di dalam forum (Internet) kami untuk mendapatkannya.

"Atas sebab itu, saya mengambil keputusan untuk menubuhkan kelab ini supaya kami boleh bertukar pandangan dan berkongsi maklumat mengenai jam.

"Maklum saja, sekiranya seseorang itu sudah minat sesuatu benda, mereka akan berusaha mencari dan mendapatkannya dengan apa cara sekalipun," jelasnya.

Tambah Randy, untuk berjaya di dalam bidang perniagaan terutama kepada anak muda, mereka harus mengetahui asas bidang itu sejak di peringkat awal lagi. Jangan malu untuk bertanya agar tidak sesat jalan, ingat supaya sentiasa melayan orang lain dengan baik, jangan mudah putus asa dan tidak lupa untuk belajar daripada setiap kegagalan.
Sumber:Harian Metro

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI