Wednesday, May 8, 2013

Udang pun boleh dipos!

Oleh Siti Zarinah Sahib
Pulang dari kerja, perkara pertama dilakukannya adalah membelek udang hiasan yang ditempatkan di dalam 10 akuarium berukuran dua kaki yang diletakkan di dalam sebuah bilik.
Sama ada memberi makan atau membersihkan bahagian dalam akuarium, semuanya dilakukan Mohd Fazuli Ismail, 31, dengan penuh gembira dan ceria.
Malah isteri, Noor Asmawati Ismail, 31, sangat memahami hobi suaminya yang begitu mencintai pemeliharaan udang hiasan. Sekali-sekala dia memberikan sokongan dengan membantu memberi makanan udang sekiranya suaminya pulang lewat ke rumah atau bersama-sama membersihkan bahagian dalam akuarium.

Menurut Fazuli, hobi memelihara udang hiasan bermula sejak dua tahun lalu ketika melayari Internet. Sambil mendapatkan maklumat berkenaan ikan hiasan, dia terbaca mengenai pemeliharaan udang hiasan yang begitu popular di Taiwan, China dan India namun kurang dikenali di Malaysia.

Dia yang membela ikan di rumah lantas membeli hidupan ini menerusi pembekal di Singapura dengan harga RM50 untuk 20 ekor. Dari situ, udang peliharaannya bertambah sehingga dia boleh menjadikannya sebagai satu perniagaan yang menguntung­kan.

Semua udang hiasan yang hanya memiliki ukuran 5 sentimeter ditempatkan dalam akuarium khas berasingan dengan ikan hiasan. Ini bagi mengelak udang mati atau dimakan ikan lain. Namun begitu sekiranya saiz ikan sama dengan udang, tidak menjadi masalah diletakkan di tempat yang sama.

Fazuli yang mempunyai pengalaman membela ikan sejak lima tahun lalu menjelaskan, penjagaan udang hiasan sangat mudah. Malah ia sama seperti memelihara ikan iaitu perlu menetapkan jumlah air dalam akuarium, suhu yang tidak melebihi 30 darjah Celsius serta menyediakan makanan khas udang. Malah peralatan hiasan akuarium juga sama dengan ikan hiasan.

“Untuk udang hiasan, suhu diperlukan tidak melebihi 30 darjah Celsius bagi mengelak udang mati kerana terlalu panas. Makanannya pula berasaskan sayur-sayuran rebus seperti lobak merah, bayam dan timun yang diberi sekali sehari,” katanya yang menetap di Subang, Selangor.

Menyedari terdapat kepelbagaian jenis dan warna, Fazuli tidak hanya memelihara satu jenis udang hiasan sebaliknya dia mula mencari udang daripada warna berbeza seperti kuning, hijau, coklat, hitam, kristal dan biru.

Dari situ, dia mula mencari pembekal yang menjual pelbagai jenis udang hiasan untuk dijadikan koleksi.

“Ketika itu saya hanya memiliki udang berwarna merah. Tetapi selepas mendapati terdapat pelbagai jenis warna dijual, saya terus mendapatkannya. Sehingga kini saya mempunyai ratusan jenis udang daripada pelbagai warna,” katanya.

Setiap udang mempunyai nama masing-masing mengikut warna. Udang berwarna merah dipanggil red fire, udang kuning pula yellow fire, kristal fire, black fire serta udang hiasan Malaya yang sangat sukar ditemui.

Ada jenis udang yang boleh dikacukkan sehingga menghasilkan gabungan dua warna pada bahagian badan. Udang jenis ini sukar diperoleh dan harga ditawarkan boleh mencapai sehingga puluhan ribu ring­git.

Menariknya, seekor udang hiasan juga boleh berubah menjadi tiga warna me­ngikut suhu air serta cuaca.

Dia yang berkongsi kegemaran ini de­ngan peminat di laman sosial Facebook tidak sangka minat yang bermula sebagai hobi akhirnya memberikan pendapatan lumayan.

Sejak itu, dia menerima banyak tempahan untuk udang hiasan pelbagai warna. Katanya, harga ditawarkan mengikut gred, bergantung kepada warna serta kilatan pada badan.

“Untuk membezakan kualiti seekor udang, ia dapat dilihat dari segi kepekatan warna dan kilatan. Jika warnanya lebih terang dan berkilat, harganya lebih mahal sehingga mencecah ribuan ringgit.

“Setakat ini saya pernah menjual udang hiasan berharga RM180 seekor dan paling mahal mencecah RM4,000 seekor,” kata­nya.

Oleh kerana menggunakan media sosial sebagai medium promosi, proses jual beli menjadi lebih mudah. Ini kerana, pelanggan sama ada dari dalam atau luar negara ha–nya perlu memilih udang pilihan mereka menerusi Facebook.

Selepas menjelaskan bayaran, barulah dia menghantar pesanan menerusi pos.

Bagi jaminan udang dihantar masih hidup dan dalam keadaan baik, dia menggunakan plastik khas berisi air yang tahan selama tiga hari.

“Semua maklumat mengenai penjagaan udang hiasan dan cara penghantaran saya peroleh menerusi Internet. Setakat ini, saya pernah menghantar ke Sabah dan Sarawak menerusi kiriman pos. Ia tidak mendatangkan masalah dan udang diterima dalam keadaan baik.

“Pernah juga ada pelanggan menerima udang yang sudah mati dan saya menggantikannya dengan udang yang lain,” ujarnya.

Fazuli yang bertugas dengan Tentera Udara Diraja Malaysia pada mulanya tidak pernah terlintas menjadikan hobinya itu sebagai sumber pendapatan.

Namun selepas menerima banyak permintaan daripada rakan yang meminta dia mencarikan udang untuk mereka serta rakan yang ingin membeli udang hiasan miliknya, akhirnya Fazuli menjualnya.

“Hampir setiap hari saya menerima pertanyaan mengenai harga udang hiasan yang kebanyakannya daripada kaum Cina. Ini kerana mereka lebih banyak memelihara udang berbanding kaum Melayu dan India.

“Setiap bulan saya menerima 10 pelanggan dari seluruh Malaysia yang ingin membeli udang daripada saya. Ini menyebabkan saya semakin seronok memelihara berikutan ada sambutan orang ramai,” ujarnya.

Melihat saiznya yang sangat kecil, udang hiasan antara hidupan laut yang tidak akan berubah ukuran dan kekal di antara tiga hing­ga lima sentimeter. Oleh kerana saiznya kecil, jangka hayat udang hiasan hanya bertahan selama dua tahun. Sebab itu udang jenis ini senang dibiakkan dan dijaga.

Pada masa akan datang, Fazuli bercadang mahu membuka kedai menjual udang hiasan supaya menjadi lebih teratur dan memudahkan pelanggan mendapatkannya.

“Ketika ini saya hanya menempatkan 10 akuarium dalam sebuah bilik di rumah. Jika udang semakin bertambah, bermakna saya perlu menambah akuarium di rumah yang mungkin akan diletakkan di ruang tamu pula.

“Dengan adanya kedai, urusan jual beli menjadi lebih lancar dan memudahkan pelanggan memilih sendiri udang hiasan yang mereka mahukan,” katanya yang berharap mampu merealisasikan impian ini dalam masa terdekat.
Sumber:Harian Metro

No comments:

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI