• Mustapa mengumumkan insentif baharu eTRADE untuk membantu usahawan PKS.Mustapa mengumumkan insentif baharu eTRADE untuk membantu usahawan PKS.




GENERASI muda yang menceburi keusahawanan dianggap penggerak utama ekonomi negara pada masa depan, namun usahawan muda ini yang masih belajar liku-liku perniagaan perlu menempuh pelbagai cabaran untuk berjaya dalam bidang itu.

Baru-baru ini, beberapa usahawan muda berkongsi pengalaman dan cerita mereka sepanjang menceburi perniagaan, dan ternyata, setiap daripada mereka memegang kepada prinsip kelainan dalam berniaga.

Ketua Pegawai Eksekutif eOneNet.com Sdn Bhd, Fione Tan berkata, bukan mudah usahawan muda sepertinya memulakan perniagaan menerusi internet yang ketika itu masih belum popular.

“Saya mula berniaga pada 1999 iaitu pada usia 21 tahun. Sasaran pelanggan saya pada masa itu adalah wanita berusia 30 tahun ke atas.

Pelanggan kurang percaya sebab umur saya masih muda dan tidak cukup dewasa untuk berniaga. Mereka juga kurang percaya dengan produk online kerana takut tertipu,” katanya semasa ditemui di Forum Pengeksport Muda 2014 anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), baru-baru ini.
Beliau antara panel yang berkongsi pengalaman di forum itu.
Menurut Tan, produk pertama dijualnya ialah perisian reka bentuk laman web, namun kurang mendapat sambutan ketika awal perniagaannya disebabkan faktor tersebut.
Tan bagaimanapun tidak berputus asa, sebaliknya terus berusaha menjual produk tersebut dan menariknya, untuk mempelajari cara perniagaan online dijalankan, beliau banyak membeli produk online yang dijual di dalam laman web terkemuka seperti Amazon.com.

“Saya berhabis banyak duit untuk membeli barang semata-mata hendak tahu cara mereka (laman web terkemuka) beroperasi.
“Dari situ saya dapat pengalaman baharu dan saya guna cara itu dalam perniagaan internet saya,” katanya.

Beliau berkata, syarikat pemasaran internet miliknya itu kini mempunyai rangkaian eMall iaitu pusat membeli-belah dalam talian berkonsep bebas.
Sementara itu, bagi merangsang jualan dalam talian menjelang 2020, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed memperkenalkan inisiatif baharu dikenali sebagai eTRADE.
Beliau menyasarkan untuk membantu 25,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menarik pembeli global menerusi inisiatif itu.

Menurutnya, ia akan dilaksanakan di bawah program Digital Malaysia melibatkan kerjasama antara Matrade dan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC).

“PKS yang layak akan menerima baucar elektronik RM1,000 bagi membolehkan mereka terlibat dengan program eTRADE,” katanya semasa forum itu.

Produk mesti lain daripada lain
Bagi pengeluar kasut jenama Christy Ng, pengasasnya, Christina Ng berkata, kelainan produk yang dihasilkan usahawan memberi nilai tambah bagi sesebuah syarikat itu untuk berkembang.

“Di Christy Ng, kami tawarkan kasut yang tidak dijual oleh pemain utama dalam industri ini. Pelanggan boleh membuat pilihan kasut yang diingini tanpa mengira saiz.
“Kami memberikan penyelesaian kepada pelanggan selain memahami keperluan mereka. Perkara ini perlu dititik beratkan untuk memastikan perniagaan kita berkembang,” katanya.

Ng berkata, beliau tidak pernah menyangka mampu memiliki kedai sendiri sekarang yang terletak di pusat beli-belah Jaya One, Petaling Jaya dan mempunyai sebuah kilang kasut di Kuala Lumpur.

“Empat tahun lalu, saya hanya berniaga dari ruang tamu rumah ibu saya di Petaling Jaya sekadar suka-suka.

“Saya ambil stok kasut dari China dan Thailand. Banyak perkara pahit terpaksa dihadapi,” katanya.

Menurutnya, sebagai usahawan baharu, masanya banyak dihabiskan dengan perniagaannya.

“Sebagai usahawan muda dan baharu, kita bukan sahaja perlu hasilkan produk, tetapi mesti lakukan inovasi dan berdisiplin. Jadi, perlu kerja kuat untuk kembangkan perniagaan,” katanya.

Jadi usahawan dengan jual kemahiran
Bagi Rahman Roslan, beliau menawarkan kemahirannya menggunakan kamera dengan menjadi photojournalist, iaitu perkhidmatan yang turut termasuk dalam salah satu cabang keusahawanan.

Menurutnya, industri photojournalism tidak akan mati, malah akan terus berkembang kerana hanya medium tersebut sahaja yang boleh merekodkan sejarah dunia.

Beliau mengakui berdepan pelbagai cabaran pada peringkat awal termasuk pendapat orang terdekat yang menganggap photojournalist bukanlah pekerjaan yang stabil.

Rahman berkata, beliau juga terpaksa berhadapan dengan persepsi negatif orang ramai terhadap kerjayanya.

“Orang tanya saya kerja apa dan apabila saya beritahu, saya ialah seorang photojournalist, mereka tanya saya balik, boleh buat duit kah?
“Mereka hanya nampak kerjaya sebagai jurugambar perkahwinan lebih lumayan,” katanya.
Menurutnya, bidang itu menjadi pilihannya untuk diterokai kerana minat yang mendalam terhadap fotografi dan walaupun berhadapan pelbagai risiko antaranya perlu ke tempat peperangan atau lokasi terpencil yang tidak pernah dikunjungi orang ramai, semua itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkarya.

Sementara itu, pakar industri kandungan digital kreatif, Hasnul Hadi Samsudin berkata, menceburkan diri dalam bidang industri kreatif memberikan cabaran buat dirinya.

Ini kerana, katanya, ada yang menganggap Malaysia tidak mampu bersaing dalam bidang kandungan digital kreatif seperti animasi.

“Sebenarnya, Malaysia sudah (ada) banyak (dalam industri) ini dan kerajaan telah memberi peluang kepada anak muda untuk melibatkan diri dalam industri kreatif.
“Apa yang penting, perlu gigih berusaha dan perlu ada mentor yang betul untuk membimbing kita. Sebagai pemain industri kreatif, kita kena kerja kuat untuk jadi lebih berbakat,” katanya berkongsi cerita.

Sumber:sinarharian online