Antara sikap usahawan yang pelik yang sering saya jumpa adalah sikap buat berbagai-bagai perniagaan dari awal menjalankan perniagaan.
Mungkin ramai yang melihat hampir semua para usahawan yang berjaya di peringkat tinggi yang ada sekarang, yang disuluh oleh lampu glamour kejayaan melakukan berbagai perniagaan yang besar-besar.
Jarang kita lihat para usahawan yang bertaraf multi jutawan melakukan hanya satu perniagaan sahaja. Mereka biasanya terlibat di dalam berbagai industri di dalam satu skala yang amat besar.
Melihat keadaan itu, tentu ramai yang terpedaya bahawa kalau nak berjaya ke peringkat tinggi seperti mereka, kita juga perlu buat macam-macam perniagaan. Lalu bila usahawan itu mula menjalankan perniagaan, dia tak akan melepaskan apa saja peluang perniagaan yang melintas di hadapannya.
Kenapa perlu tumpu pada satu perniagaan dahulu
Dari pemerhatian saya selama ini, kawan-kawan yang buat macam-macam perniagaan sejak mula masih kekal begitu sehingga sekarang. Ramai yang berniaga lebih awal daripada saya masih kekal tak ada apa-apa sampai sekarang.
Mereka masih kekal dengan modus operandi yang sama buat apa saja peluang yang melintas dan berakhir dengan tidak ada satupun perniagaan yang kekal membesar dan mampu menyara kehidupan mereka secara konsisten.
Sebaliknya mereka yang berikan tumpuan pada satu dan hanya satu perniagaan sahaja terlebih dahulu dapat pergi jauh dan sekarang ada beberapa perniagaan lain yang berjaya.
Rahsianya adalah mereka berikan tumpuan sepenuh masa dan sepenuh hati untuk membina perniagaan yang satu itu sehinggalah ke peringkat yang mampu menyara kehidupan mereka dan bergerak secara stabil.
Setelah perniagaan yang stabil itu bergerak ke depan, mereka hanya memberikan tumpuan secara ringan dan membuat peningkatan secara perlahan-lahan dan konsisten untuk membuatkan perniagaan tumpuan itu terus membesar.
Apabila berada di dalam situasi itu barulah mereka mencuba perniagaan lain yang diyakini berpotensi. Sudah tentu mereka dapat lakukannya kerana sudah tidak ada masalah pengalaman, masalah kewangan dan masalah masa. Kemungkinan untuk berjaya dengan perniagaan lain pula adalah lebih tinggi.
Tumpukan segala sumber pada satu perniagaan terlebih dahulu
Masalah awal yang dihadapi oleh para usahawan yang baru terjun dalam dunia perniagaan adalah masalah kekurangan segala macam sumber yang diperlukan untuk berjaya.
Usahawan yang baru ada masalah kekurangan pengalaman.
Usahawan yang baru juga ada masalah kekurangan duit.
Usahawan yang baru juga ada masalah kekurangan masa.
Disebabkan ada berbagai kekurangan itulah, kita perlu pastikan segala pengalaman, dana, masa dan lain-lain sumber yang ada hanya pada satu perniagaan sahaja terlebih dahulu.
Tidak ada perkara yang diberikan tumpuan dengan secukupnya yang tidak akan menghasilkan kejayaan. Masa yang diambil untuk membina dan memberikan tumpuan pada satu perniagaan mungkin menelan masa selama 3 atau 5 tahun.
Tapi tempoh masa selama 3 atau 5 tahun itu cukup untuk kita belajar, kumpul pengalaman, kumpul duit dan meringkaskan kerja dan akhirnya membuatkan masa menjadi lebih banyak.
Sebaliknya tempoh masa yang sama jika dihabiskan untuk buat macam-macam perniagaan akan berlalu begitu pantas tanpa menghasilkan apa-apa kejayaan yang ketara.
Takut terlepas peluang jika tumpu pada satu perniagaan sahaja
Antara ketakutan para usahawan bila berniaga adalah takut terlepas peluang. Ramai orang suka percaya bahawa peluang itu datang sekali sahaja, kalau tak tangkap tak akan datang lagi.
Itu satu kepercayaan yang salah jika anda dah biasa menjadi usahawan.
Peluang akan datang bertubi-tubi sepanjang masa sebaik sahaja anda buat keputusan untuk jadi usahawan. Ini disebabkan usahawan akan menjadi amat peka kepada peluang.
Ertinya usahawan sentiasa berusaha mencari peluang dan sudah tentu jika kita mencari ianya akan datang. Selama ini peluang tak datang ketika anda makan gaji adalah disebabkan anda tak mencarinya atau lebih tepat lagi tak buat keputusan nekad untuk menjadi usahawan dan mencari pelang.
Bukan bermakna peluang itu tak ada. Tapi sebaliknya otak anda telah menapis semua peluang itu dari masuk ke dalam kotak pemerhatian anda sebab tiada arahan untuk mencari.
Jadi jangan takut untuk tumpukan hanya pada satu perniagaan sahaja terlebih dahulu. Kalau nak cari peluangpun carilah peluang-peluang yang hanya berkisar pada perniagaan yang sedang dijalankan dan bukannya pada perniagaan lain pula. Kekal begitu sehingga perniagaan yang satu itu mantap dan stabil.
Sebenarnya ramai usahawan yang ada dibawah sinar lampu glamour sekarang ini bermula dengan hanya satu perniagaan sahaja terlebih dahulu. Bila dah berjaya dengan perniagaan itu, barulah mereka mempelbagaikan perniagaan.
Jadi jangan lompat tangga untuk buat apa macam yang mereka sedang buat sekarang. Lihat dulu bagaimana perjalanan mereka dari mula dan ikutlah langkah awal mereka. Tumpu pada satu perniagaan terlebih dulu dan bina dengan sabar sampai berjaya sebelum nak lhat perniagaan lain pula.