Tuesday, June 23, 2020

Mendigitalkan bisnes anda


Suasana Perniagaan dan jual beli pada masa kini kian berubah. Tidak sama seperti zaman datuk dan nenek moyang kita dahulu. Semakin canggih teknologi mengikut peredaran zaman, semakin banyak kemudahan dan aplikasi canggih tercipta yang mempengaruhi aktiviti jual beli barangan dan perkhidmatan dalam masyarakat. Masyarakat pada hari ini sememangnya terdedah kepada dunia digital dan aplikasi canggih dengan menggunakan komputer dan telefon pintar.

 Kegiatan jual beli pada hari ini kelihatan lebih meluas melangkaui sempadan negara. Semua aktiviti jual beli boleh dilakukan secara atas talian tidak kira di mana jua kita berada. Itulah kecanggihan teknologi digital yang dirasai kita ketika ini. Jika kita sebagai pengusaha perniagaan dan usahawan, hal ehwal pengurusan perniagaan juga kelihatan lebih mudah dan sistematik jika kita menerapkan teknologi terkini.

                Setiap individu di dunia memiliki telefon pintar. Betul? Jadi, ini ialah satu peluang terbaik sebagai usahawan untuk menerapkan elemen digital dalam perniagaan yang dijalankan agar tidak terkebelakang dalam arus pemodenan. Selain itu, ianya dapat meningkatkan tahap kemajuan dan jualan dalam perniagaan anda. Pandangan telus saya, pendigitalan satu kemestian. Jika tidak, kita akan jauh ketinggalan dalam perniagaan yang dijalankan. Orang lain sudah menaiki kereta, kita baru ingin menaiki basikal.

                Seiring dengan kemajuan teknologi digital, kita juga perlu berubah untuk memajukan perniagaan yang dijalankan dengan menambah baik dan memajukan bisnes dengan elemen pendigitalan. Jika kita tidak melakukannya, kelak kita menghadapi kerugian. Lihatlah suasana pasar raya dan pusat beli belah pada hari ini, kemungkinan besar terjejas jika tidak mempunyai elemen jualan atas talian dan tidak menggunakan teknologi canggih.

                Justeru, bagaimana mendigitalkan bisnes? Terdapat pelbagai cara untuk mendigitalkan bisnes anda. Di sini , saya sertakan beberapa tip, aplikasi dan teknologi digital yang boleh diterapkan dalam perniagaan:

Platform media sosial:

Bina kedai atas talian anda dengan menggunakan platform percuma seperti di laman media sosial Facebook, Instagram dan WhatsApp. Anda dapat melakukan aktiviti jual beli dan dapat berinteraksi bersama pelanggan di Malaysia atau di luar negara melalui platform media sosial ini.

Aplikasi Google My Business:

Daftarkan tapak perniagaan, kedai atau pejabat anda di laman Google My Business secara percuma. Anda juga boleh memuat turun aplikasi ini di Google Play Store. Google My Business membantu para pengguna mencari kedai atau pejabat anda di laman carian Google. Di situ, akan tertera secara khusus maklumat alamat , masa operasi dan gambar kedai atau pejabat anda. Secara tidak langsung, perniagaan anda  senang diketahui di laman carian Google dan akan memudahkan pelanggan untuk pergi ke kedai atau pejabat anda.





Laman e-dagang:

Gunakan laman e-dagang seperti aplikasi Shopee atau Alibaba untuk memasarkan perniagaan anda dengan lebih meluas segmentasinya. Para pengunjung laman web e-dagang meliputi seluruh pengguna di dunia. Jumlah pelanggan lebih ramai dan dapat meningkatkan jualan barangan atau perkhidmatan anda.

Laman Web :

Bina laman Web perniagaan anda yang mesra pelanggan. Gunakan nama domain yang mudah diingati oleh pengguna. Para pengguna boleh mengakses perniagaan anda di internet dengan lebih mudah dengan kewujudan laman web perniagaan anda.

SEO Google :

SEO merujuk kepada Search Engine Optimization iaitu proses yang memudahkan laman web atau laman sesawang anda mudah dicari dan terletak di halaman utama pada paparan Google. Hal ini akan memperlihatkan laman web anda sentiasa kelihatan teratas di halaman utama carian dan memudahkan serta meningkatkan jumlah pengguna untuk melawat laman perniagaan anda. Gunakan keyword yang unik, ringkas dan mudah difahami untuk pengguna melawat laman anda. Terdapat juga alat yang membantu dalam proses SEO seperti ‘Quick Sprout Analyzer’ dan ‘Yoast SEO plugin’ yang membantu memudahkan carian pengguna dan menaikkan ranking carian laman web perniagaan anda di laman Google.

Aplikasi mudah alih :

Anda digalakkan mencipta aplikasi mudah alih untuk perniagaan anda yang boleh dimuat turun dengan menggunakan telefon pintar di  Google Play Store atau Apple App Store. Pengguna boleh memuat turun aplikasi ini di dalam telefon pintar mereka untuk mendapatkan barangan atau perkhidmatan ditawarkan. Contohnya, syarikat barangan pelbagai guna seperti DIY juga membuat aplikasi mudah alih untuk jualan atas talian kepada pengguna pada bila-bila masa dan di mana jua pengguna berada. Anda boleh mencuba menghasilkan aplikasi mudah alih anda dengan menggunakan aplikasi pembuat app seperti aplikasi ShoutEm, Appery, Mobile Roadie, The App Builder, Appy Pie, MIT App Inventor, AppMakr dan Marvelous App.

Pembayaran secara atas talian dan pengimbas QR Code :

Wujudkan pembayaran secara atas talian seperti aplikasi CIMB Clicks dan Maybank2u untuk memudahkan proses pembayaran kepada pelanggan ataupun kepada pekerja anda. Anda boleh menggunakan aplikasi pengimbas QR Code pada telefon pintar untuk pembayaran tanpa wang di tangan atau cashless seterusnya dapat memudahkan proses jualan anda sekiranya pelanggan tidak membawa wang. Pelanggan hanya perlu memgimbas kod yang tertera pada akaun bank dalam telefon pintar sahaja untuk melakukan pembelian. Antara Aplikasi cashless yang boleh diguna pakai di kedai anda ialah seperti Maybank QR code scanner, Boost dan  Wechat pay.

Pengurusan akaun dalam komputer dan telefon pintar:

Kemaskini pengurusan akaun perniagaan anda dengan menggunakan Microsoft Excel dan aplikasi mudah alih percuma seperti  ‘Wave App’ yang membantu memudahkan proses akaun bisnes anda. Sebagai contoh, aplikasi Wave App ini membantu merekod perbelanjaan dan pendapatan perniagaan dengan mudah. Selain itu, aplikasi seperti ini dapat menghasilkan rekod perakaunan profesional, mencipta invois, resit dan carta dengan mudah.

__________________________________________________________________________________

             

*Artikel ini diterbitkan dalam majalah PKNS BizPoint bilangan 64,2019
              

Berkenaan dengan suasana teknologi dan digital, sememangnya telah mengubah suasana jual beli dahulu dan ketika ini. Untuk pengetahuan anda, di Shanghai, China terdapat sebuah pasaraya digital yang dikenali sebagai ‘Hema Supermarket’ iaitu sebuah pasar raya besar rangkaiaN syarikat e-commerce terkenal iaitu Alibaba Group. Di pasar raya Hema ini, konsep utama ialah menggunakan teknologi dan data untuk menggabungkan urusan jual beli secara atas talian dan luar talian. Ia menawarkan kepada pengguna pengalaman membeli belah yang lebih cekap dan fleksibel. Pengalaman pengguna untuk berbelanja di Hema  bermula dengan memuat turun aplikasi mudah alih yang menghubungkan pengguna kepada link akaun Taoboa dan Alipay untuk pembayaran. Ia merupakan integrasi pengalaman jual beli atas talian dan luar talian berteraskan teknologi digital. Pemesanan secara mengimbas produk makanan laut di pasar raya juga boleh dilakukan dan pengguna boleh memilih untuk pesanan penghantaran ke rumah atau sudah siap untuk dimasak dan dimakan di restoran yang disediakan.


                Setiap item di pasar raya Hema memiliki kod bar yang boleh diimbas pada QR scanner dalam telefon bimbit dan akan terpapar maklumat terperinci produk tersebut. Pengguna akan mengimbas kod dan melengkapkan pembelian secara elektronik menerusi Alipay seterusnya akan ke Checkout Register di Pasar raya Hema sebelum beredar keluar.

Zaman teknologi berubah, justeru kita harus berubah untuk manfaat yang lebih besar. Sikap tidak mengambil berat berkenaan teknologi digital hari ini akan menenggelamkan tahap perniagaan yang dibina. Justeru, pengusaha perniagaan dan para usahawan harus mengikuti perkembangan terkini. Bila berbicara tentang digital, wujudkan perniagaan anda menerusi digital. Selamat mendigitalkan bisnes anda. Semoga dapat memberikan kemudahan kepada anda, pelanggan dan dapat memajukan tahap perniagaan

No comments:

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI