Monday, December 15, 2008

BELAJARLAH PERKARA ASAS SEBELUM BERJAYA

Seringkali kedengaran ramai usahawan yang baru mula berniaga menemui kegagalan sebelum masanya mereka berjaya. Tidak sampai beberapa bulan mereka menceburi diri mereka dalam perniagaan yang didengari indah khabar dari rupa, kekecewaan melanda diri apabila masalah datang bertimpa-timpa tanpa diminta. Secara tidak langsung, bagi mereka yang tidak tabah, akan menyalahkan pihak yang disekitar sebagai penyebab kegagalan.

Bagaimana sekiranya kita yang baru mula berniaga, meletakkan diri kita sebagai peringkat masih belajar. Jika dahulu selama hampir 11 tahun kita pernah belajar disekolah untuk melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu untuk kerjaya, bagaimana pula sekiranya sekarang ini kita belajar pula untuk berniaga. Bagi yang ada ilmu dan pengalaman perniagaan semasa di universiti atau disekolah, mungkin menyumbang sedikit sebanyak kejayaan dalam bidang perniagaan yang ingin diceburi. Bagaimana pula bagi mereka yang tiada asas langsung, tetapi ingin juga berjaya sepertimana rakan-rakan yang telahpun mengorak langkah mereka terlebih dahulu.

Seperti membuat rumah, perkara membina asas atau foundation adalah aktiviti yang melecehkan. Kerja-kerja seperti membuat "piling" dan "beam" merupakan aktiviti yang memakan masa berhari-hari dan memakan kos luar jangka. Atas pelan memang nampak mudah, tetapi apabila berada di lapangan(site) memang sukar dan memenatkan. Masalah demi masalah disedari semasa berlangsungnya kerja membuat rumah. Semua ini tidak terfikir semasa cadangan, tetapi pengalaman dirasai semasa proses melakukannya. Semakin banyak halangan, semakin banyak dipelajari. Dan yang dipelajari ini pula tidak pernah diajar secara mendalam semasa disekolah.

Membuat jalanraya juga adalah perkara yang nampaknya mudah, tetapi sedarkah bahawa kerja-kerja asas seperti mengorek tanah, menambak crusher-run dan pasir sebagainya mengambil masa yang lama berbanding dengan menambak bitumen(tar). Kerja menambak bitumen kadangkala hanya mengambil masa sehari berbanding kerja-kerja asas yang mengambil masa berminggu disebabkan pelbagai faktor seperti keadaan tanah, cuaca, mesin dan pekerja. Bagi yang telah mempunyai mesin dan pekerja sendiri, masalah ini tidaklah sukar, kerana telahpun mempunyai perkara asas.

Ambil contoh yang lain seperti memasak. Menyediakan bahan untuk masakan mengambil masa berbanding memasak. Jarak dan masa untuk pergi kekedai lebih lama berbanding kerja memasak. Sekiranya beringat, bekalan akan disimpan terlebih dahulu di peti ais dan untuk persediaan memasak akan mengambil masa yang singkat berbanding sekiranya bahan yang diperlukan tiada semasa diperlukan. Sudah tentu, proses memasak juga memerlukan pengalaman, kerana sekiranya tiada pengalaman, maka semasa kerja memasak sedang dijalankan, akan banyaklah barangan rencah yang terlupa disediakan. Ia boleh menjejaskan kualiti masakan nanti. Bila makan, cepat pula masa untuk dihabiskan, berbanding untuk menyediakan masakan tersebut.

Itu adalah contoh yang mudah difikirkan. Menyalahkan takdir sudah tentu bagi yang kurang berakal. Menerima takdir dengan baik kerana ia adalah sebagai menunjukkan Allah memberikan sokongan dengan memberikan pengalaman dan ilmu secara tidak langsung. Kita senantiasa berdoa untuk berjaya dalam lapangan perniagaan, tetapi dibalas oleh Allah secara tidak terfikir dek akal. Kadangkala, kita meminta untuk dipermudahkan perjalanan perniagaan, tetapi yang datang adalah masalah yang pelbagai. Bergantung kepada bersarnya pulangan yang dimahukan, semakin besarlah pula dugaan yang diberikan Allah.

Bezanya, adakah kita bersedia untuk menerima dugaan sebelum masanya menerima kejayaan? Kita melihat dan mendengar rakan-rakan yang berjaya seperti mereka ini tiada masalah untuk mengekalkan kejayaan perniagaan mereka. Tidak mereka ceritakan masalah atau halangan yang telah dihadapi kerana ia akan menjejaskan reputasi sekaligus kredibiliti untuk berurusan. Kita memandang kejayaan demi kejayaan rakan-rakan, berbanding kita yang semakin bermasalah demi masalah.

Tetapi, percayalah bahawa yang paling berjaya itulah yang paling banyak menerima cabaran terbesar dengan kadar masa yang mungkin singkat. Dugaan yang diterima kadangkala tidak dapat diterima oleh kita yang biasa. Kalau dugaan hanya diperingkat biasa, mungkin keseronokan untuk berpuashati dengan kejayaan mungkin tidaklah semanis mereka yang berjaya menghadapi kesukaran.

Sekarang ini, terdapat pelbagai kursus dan ceramah motivasi untuk berjaya dalam perniagaan seringkali dianjurkan oleh pihak yang berkenaan. Pihak kerajaan sudah tentu menggalakkan aktiviti seperti ini kerana usahawan yang menjalankan perniagaan akan menjana ekonomi negara secara tidak langsung. Walaupun ianya adalah mikro tetapi dengan kuantiti yang ada, ia sedikit sebanyak meningkatkan keyakinan pelabur luar untuk berurusniaga perniagaan dengan rakyat Malaysia. Masalah yang timbul apabila berniaga adalah semakin kurang masa untuk kita memotivasikan diri kita menghadiri kursus peningkatan perniagaan. Moral kita semakin jatuh apabila sokongan persekitaran semakin tidak memihak kepada perniagaan kita.

Kadangkala kita merasakan apa yang kita ada sudah mencukupi untuk menghadapi semua. Pengalaman kerjaya yang bertahun juga dijadikan sandaran begitu juga rangkaian kenalan yang banyak meyakinkan kita untuk meneruskan aktiviti perniagaan. Dengan sokongan rakan-rakan kita mula merasakan sudah boleh berniaga tanpa memikirkan bahawa risiko yang datang hampir-hampir diluar jangkaan. Keegoan boleh menjadi barah kepada diri sekiranya kita tidak bersyukur dengan apa yang diterima.

Apabila sudah memasuki alam perniagaan yang sebenar, sokongan rakan-rakan semakin berkurang berkadar dengan peningkatan masalah yang dihadapi. Hanya rakan yang memahami boleh memberikan perangsang untuk kita meneruskan perjuangan. Tetapi, ada ramaikah rakan yang betul-betul memahami apa yang dihadapi oleh kita?

Jadi persoalannya, adakah kita benar-benar sudah bersedia untuk menerima cabaran yang sebegitu rupa. Asas untuk berniaga adalah perlu. Perlu untuk dipelajari dan dihadapi samada rela atau tidak. Jangan kita memikirkan asasnya hanya asas ilmu perniagaan sahaja, tetapi asas agama adalah perlu kerana landasan agama adalah penting agar kita tidak tersasar daripada landasan.

Etika perniagaan perlu dijaga kerana ia melibatkan amanah dan kepercayaan. Semakin kita menghadapi dunia perniagaan, semakin banyak asas yang dipelajari tanpa disedari. Pada ketika itu, kesediaan untuk berkongsi ilmu kadangkala menjadi satu halangan pada diri. Ego sekali lagi menjadi sebab untuk kita merasakan apa yang kita dapati adalah atas usaha sendiri tanpa menyedari bahawa sekiranya Allah tidak membuka ruang sokongan daripada persekitaran, kita tidak mungkin akan berjaya.

Nabi kita begitu menggalakan umatnya berniaga. Menjadi usahawan adalah sebagai menyokong usaha Islam untuk umatnya berjaya. Umat Islam akan berjaya kerana adanya sokongan daripada usahawan yang yakin bahawa rezeki itu adalah hak Allah. Allah boleh memberi atau menarik rezekiNya dengan tidak disangka-sangka.

Kesimpulan
Kesukaran sehingga menjadi usahawan yang berjaya, hanya mereka yang pernah melaluinya boleh menceritakannya dengan baik. Ini kerana pengalaman yang didapati adalah mahal, disebabkan asas kearah tersebut memakan masa usia kita. Dan masa adalah emas yang bernilai kepada usahawan untuk berjaya. Sebagai usahawan, menghargai masa adalah satu daripada asas yang perlu difahami.

Sekian.

No comments:

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI