Ada orang berkata, untuk berniaga memerlukan modal. Ada orang lain pula berkata, untuk berniaga memerlukan rangkaian. Ada lagi orang berkata, untuk berniaga perlukan itu dan ini. Berniaga dikatakan memerlukan macam-macam perkara. Apabila semuanya sudah cukup, barulah boleh berniaga.
Lain orang lain pendapatnya, berdasarkan pengalaman mahupun apa yang didengar oleh orang lain. Apabila mendengar pendapat orang lain, timbul was-was yang boleh menyebabkan kita berfikir semula,
"Betul ker aku ni nak jadi usahawan …?!"
Tetapi disini, yang ingin diperbincangkan adalah bagaimana seseorang usahawan itu boleh berjaya dan terus-menerus berjaya dalam menjalani dunia perniagaan. Penulis pernah membaca di satu makalah, terdapat 3 pemilikan yang perlu ada bagi setiap individu perniagaan bagi meneruskan apa yang mereka mahukan iaitu berjaya sebagai usahawan.
pemilikan pertama : BIJAK
Ramai yang pakar dalam berniaga. Tetapi adakah boleh dikategorikan sebagai bijak? Ramai yang boleh membahaskan perkara berniaga ini dengan memberikan contoh orang lain yang sedang berjaya. Selalu kita mendengar kisah orang lain berjaya. Tetapi kita sendiri tak pernah berjaya.
Pakar dan bijak mungkin boleh dibezakan sepertimana contoh dengan seorang saintis yang pakar dalam bidang sains tetapi kadangkala tidak tahu untuk menukar tayar keretanya sendiri. Sebenarnya pakar tersebut faham cara untuk menukar tayar kereta, tetapi disebabkan tidak pernah ada pengalaman, maka jadilah dia seperti tak tahu langsung.
Kata-kata hikmah, "Raih pendapatan sehari RM300, RM1,000 .." dan bermacam lagi dijadikan kata motivasi untuk mempengaruhi diri kita supaya menjadi seperti idola yang dicanangkan.
Apabila berkata demikian, dengan meminjam perkataan-perkataan orang lain ini, kita kadangkala menjadi seperti seorang pakar dalam satu-satu bidang perniagaan. Semuanya kita tahu untuk menerangkan. Tetapi untuk menangkis soalan pertikaian pihak lain, kita pula yang terkedu-kedu.
Ini kerana, skrip untuk bercerita telah ditetapkan daripada awal. Cerita kejayaan orang lain dijadikan sandaran untuk kita jadikan sebab untuk kenapa kita tidak boleh berjaya seperti "orang lain" itu. Hasilnya, kita terima bulat-bulat tanpa memberikan masa untuk diri sendiri berfikir dengan sebaik mungkin.
Disebabkan ceteknya pengetahuan, boleh menyebabkan kita kurang bersedia untuk memberikan pemahaman kepada orang lain berkenaan apa yang kita ingin perniagakan dengan sebaik-mungkin. Hasilnya, rasa rendah diri dan lemah semangat berlaku apabila soalan ditanya bertalu-talu.
Tetapi, kalau kita bijak mengawal suasana, bagaimana pula keadaanya. Biasanya, orang yang bijak adalah orang yang telah melalui banyak pengalaman. Pengalaman yang baik dan yang teruk. Lain orang lain pengalamannya.
Dengan mengalami kepelbagaian pengalamanlah, kita dapat membaca rentak dan langkah pihak lawan. Kita sudah boleh bersedia dengan pelbagai kemungkinan.
Kalau menjadi pakar dalam bidang tertentu, kita hanya dapat menerangkan berkenaan satu bidang sahaja. Pakar dalam memasak tidak semestinya bijak dalam mencipta sesuatu jenis masakan yang baru. Pakar dalam kejuruteraan, tidak semestinya bijak dalam bidang kepimpinan.
Sebelum berniaga, seorang usahawan biasanya akan terlintas dalam fikirannya untuk memperniagakan sesuatu produk atau perkhidmatan. Idea timbul daripada buah fikiran dan selepas daripada itu, pelbagai soal dan jawab akan bermain dalam fikiran. Otak akan memainkan peranan setiap masa sehingga kebuntuan berlaku.
Apabila buntu, persoalan akan ditanya kepada rakan terdekat. Rakan akan memberikan maklumbalas samada positif atau negatif. Sekiranya mengikut sepertimana yang kita harapkan, maka sudah tentulah ia satu galakkan yang positif. Tetapi, sekiranya berlawanan dan tidak mengikut apa yang kita jangkakan, sudah tentu ianya negatif yang melemahkan semangat.
Sudah tentu, kita akan banyak berjumpa dengan ramai pakar tidak rasmi dalam bidangnya. Bukannya salah berbuat demikian, tetapi itulah situasi yang biasanya berlaku. Pakar ini akan menilai perancangan kita, sehingga kita timbul was-was "Betul ker aku ni nak jadi usahawan?"
Ketika inilah, semangat akan memainkan peranan. Jika kita bijak memainkan peranan, maklumbalas negatif akan dapat dibalas dengan sokongan yang boleh memuaskan hati. Untuk berniaga sememangnya memerlukan sokongan. Kalau tidak banyak pun, sekurang-kurangnya sokongan semangat pun sudah memadai.
Apabila sudah mengetahui bahawa kita mampu untuk melakukannya, sokongan akan menjadi satu bonus. Ini kerana orang yang bijak, akan menggunakan sebaik mungkin sokongan daripada pihak lain yang pakar dalam bidang masing-masing. Lagi banyak sokongan pakar, lebih baik pula hasilnya.
Sebagai contoh, katakan kita mahu membuka kedai kek. Sudah tentu, kita akan mendapatkan nasihat daripada yang pakar dalam pengubahsuian kedai, pakar dalam kerja-kerja masakan, pakar dalam khidmat nasihat pasaran dan bermacam-macam lagi pakar. Kita tidak boleh keseorangan dalam usaha menjadi usahawan.
Apa-apa hal pun, kebijaksanaan mengukur baju di badan sendiri perlu ada kerana apa yang terfikir memang semua boleh dibuat, tetapi berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya.
Maka, sebagai seorang usahawan yang bijak, kebijaksanaan mendapatkan sokongan daripada ramai orang yang pakar juga adalah sebagai kaedah untuk mengurangkan beban yang dipikul oleh bahu yang semakin sakit.
Bersambung ..
No comments:
Post a Comment