Tuesday, April 27, 2010

Ismail Sabri: Kesedaran Mengenai Harta Intelek Penting

MUKADIMAH

Penganjuran Hari Harta Intelek dibawah kelolaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pada 26 dan 27 April ini telah masuk edisi keenam.

Namun tidak ramai yang mengetahui mengenai elemen yang terdapat dalam harta intelek dan kepentingan mengenai perkara itu terutama kepada peniaga yang terlibat dengan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Atas dasar tersebut, pihak kementerian menfokuskan sambutan tahunan Hari Harta Intelek tahun ini khusus untuk pemahaman kepada usahawan IKS selain mendokong Model Ekonomi Baru (MEB) yang memberi penekanan kepada kreativiti dan inovasi secara komprehensif.

Ikuti wawancara khas wartawan mStar OnlineMOHD AL QAYUM AZIZI bersama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerangkan mengenai harta intelek.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

mStar Online: Boleh Datuk jelaskan apakah yang dimaksudkan dengan harta intelek?

Ismail Sabri: Secara istilahnya harta intelek boleh didefinasikan sebagai hasil ciptaan minda yang diterjemahkan dalam bentuk rekacipta, simbol, nama dan reka bentuk yang digunakan dalam perdagangan.

Ciptaan ini tidak terhad kepada perdagangan sahaja malah untuk karya sastera dan seni boleh diklasifikasikan sebagai harta intelek.

Harta intelek terbahagi kepada beberapa kompenan utama bagi melindungi ciptaan tersebut dan kompenan itu terdiri daripada paten, cap dagangan, reka bentuk perindustrian, petunjuk geografi, hakcipta dan susun atur litar bersepadu.

Semua kompenan bagaimanapun dilindungi dibawah Akta tertentu kepada harta intelek yang didaftarkan dan ada beberapa Akta seperti Akta Hakcipta 1987 dan Akta Rekabentuk Perindustrian 1996 yang akan dibaca buat pertama kali di Dewan Rakyat pada Jun depan untuk pindaan.

Manakala pindaan Akta Paten 1983 dan Akta Cap Dagangan 1976 akan dibaca di Parlimen pada sesi November tahun ini.

mStar Online: Adakah pendaftaran harta intelek di Malaysia menjamin perlindungan di negara-negara lain?

Ismail Sabri: Buat masa ini ia tidak dilindungi kerana harta intelek ini bersifat territorial yang mana pemilik perlu mendaftarkan harta intelek mereka di setiap negara yang memerlukan perlindungan.

Jika di Malaysia, kos pendaftaran harta intelek boleh dikatakan sebagai berpatutan berbanding di sesetengah negara lain kerana kos hanya serendah RM450 hingga RM1,050 bergantung kepada jenis harta intelek yang ingin didaftarkan.

mStar Online: Apa langkah yang diambil oleh pihak kementerian untuk mempercepatkan dan mempermudahkan pendaftaran harta intelek?

Ismail Sabri: Pihak kementerian telah memperkenalkan badan yang dikenali sebagai Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada 3 Mac 2003, bertanggungjawab dalam memantau undang-undang dan akta yang berkaitan dengan harta intelek.

MyIPO berfungsi sebagai badan yang memantau pelaksanaan undang-undang berkaitan harta intelek selain memberi nasihat dalam semakan semula dan mengemaskini perundangan berkaitan dengan harta intelek.

Badan itu juga akan menjalan dan mempertingkatkan latihan serta penyebaran maklumat berkaitan serta menjaga kepentingan negara dalam apa-apa perjanjian atau konvensyen antarabangsa yang disertai Malaysia.

Atas dasar tersebut MyIPO telah menyediakan sistem permohonan secara online bagi memudahkan pendaftaran paten dan cap dagangan bagi pemohon.

Sistem carian online juga telah dibangunkan untuk tujuan memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat yang dikehendaki.

mStar Online: Mahkamah Harta Intelek ada diwujudkan. Apakah peratusan kes yang dapat diselesaikan melalui mahkamah tersebut?

Ismail Sabri: Sehingga September 2009, 260 kes melibatkan harta intelek di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah diselesaikan daripada sejumlah 427 kes yang didaftarkan dan 167 kes masih dalam proses pendengaran.

Ini jelas menunjukkan lebih dari 50 peratus kes telah berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang dari tiga tahun.

mStar Online: Jujurnya kesedaran masyarakat mengenai harta intelek ini masih rendah. Apakah langkah-langkah yang diambil oleh pihak kementerian untuk meningkatkan kesedaran umum?

Ismail Sabri: Menyedari kesedaran masyarakat mengenai harta intelek masih rendah, pihak kementerian sebenarnya telah menjalankan pelbagai program outreach seperti seminar, pameran dan penerbitan risalah-risalah untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai harta intelek.

Kesedaran ini penting untuk menukar pemikiran orang ramai supaya menghormati dan mengiktiraf ciptaan orang lain kerana bukan mudah untuk pencipta menghasilkan sesuatu jenama atau produk.

Ambil penjualan cakera padat (CD) cetak rompak sebagai contoh, ramai orang tidak sedar bahawa untuk menghasilkan produk tersebut adalah sukar dan pengguna sewenang-wenangnya membeli bahan cetak rompak tanpa menghargai penat lelah individu yang menghasilkan ciptaan tersebut.

Inilah tujuan utama kita untuk meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa penting untuk menghargai dan mengiktiraf ciptaan orang lain.

Sejajar dengan itu pihak kementerian akan mengadakan Hari Intelek Negara sekali lagi pada tahun ini yang telah memberi impak dari segi peningkatan kesedaran masyarakat terhadap harta intelek dan permohonan untuk mendaftarkan ciptaan mereka.

mStar Online: Boleh Datuk jelaskan lebih lanjut mengenai Hari Harta Intelek tersebut?

Ismail Sabri: Pada tahun ini sambutan akan diadakan pada 26 hingga 27 April di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur dengan mengangkat tema “Harta Intelek - Memacu Daya Saing Negara”.

Tema tersebut relevan sejajar dengan perubahan ekonomi dunia yang kompetitif dan sejajar dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tentang Model Ekonomi Baru (MEB) yang memberi penekanan kepada kreativiti dan inovasi secara komprehensif.

Sambutan tahun ini juga istimewa kerana ia disambut pada tarikh yang sama dengan Hari Harta Intelek Dunia dan pada majlis yang akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu nanti, pengisytiharan Malaysia Inovatif 2010 turut diumumkan.

mStar Online: Fokus sambutan pada tahun ini?

Ismail Sabri: Sambutan Hari Harta Intelek kali ini sudah masuk pada tahun keenam, jadi tahun ini kami akan menfokuskan kepada Industri Kecil dan Sederhana (IKS) memandangkan masih terdapat peratusan besar di kalangan pengusaha IKS yang kurang arif tentang pentingnya melindungi harta intelek mereka, sama ada dari segi paten, cap dagangan, rekabentuk industri, hakcipta dan petunjuk geografi.

Ini adalah penting kerana usahawan yang menjalankan perniagaan melalui IKS ini akan lebih terjamin hak mereka sebagai pemilik produk dan akan memastikan tiada pihak yang mencuri idea dan produk mereka sewenang-wenangnya.

Sumber:Mstar online

No comments:

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI