Tuesday, April 27, 2010

Melindungi harta intelek syarikat IKS tempatan

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob menyorot satu pengalamannya mengenai kerugian besar yang dialami seorang pengusaha produk air mineral.

Ketika itu, air mineralnya amat digemari ramai. Sebut sahaja jenamanya, pasti mendapat tempahan tinggi daripada para peniaga berdekatan Alor Setar, Kedah.

Sayangnya, Hilmi (bukan nama sebenar) tidak mengendahkan keperluan produk air mineral keluarannya mempunyai cap dagangan. Ketika air mineralnya kian mendapat tempat di hati pelanggan, suatu hari Hilmi terpandang sebotol air mineral yang seakan-akan mirip produk keluarannya. Malang segalanya sudah terlambat. Beberapa minggu kemudian, Hilmi disaman kerana didakwa menciplak produk air mineral sebuah syarikat kecil di ibu negeri Kedah itu.

''Walaupun untung tidak banyak pada peringkat awal berniaga, kita daftarkan dulu produk keluaran kita. Dengan itu, orang lain tidak boleh ciplak barang kita," kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan itu kepada Utusan Malaysia pada pertemuan di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

Sempena sambutan Hari Harta Intelek Negara (HHIN'10) di Kuala Lumpur pada 26 dan 27 April ini, fokus utama program bertumpu kepada Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Ini kerana masih terdapat peratusan besar di kalangan pengusaha IKS yang kurang arif tentang pentingnya melindungi harta intelek mereka. Ini ketara sama ada dari segi paten, cap dagangan, reka bentuk industri, hak cipta dan petunjuk geografi. Padahal, sumbangan IKS kepada pendapatan negara bukan sedikit. Syarikat IKS sahaja menyumbang 99.2 peratus, manakala dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar sekitar 40 hingga 50 peratus. Dari segi eksport, ia meliputi 19 peratus sementara peluang pekerjaan sekitar 56 peratus.

Justeru, Ismail Sabri memberitahu, sambutan tahun ini istimewa kerana sejajar dengan pengisytiharan Malaysia Inovatif 2010 dan pengenalan Model Ekonomi Baru (MEB) pada 30 Mac lalu yang memberi penekanan kepada kreativiti dan inovasi secara komprehensif.

''HHIN bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai perlunya menghormati hak harta intelek seperti mana kita menghormati hak ke atas harta-harta yang lain.

''Pada masa sama, kita mengiktiraf sumbangan pereka cipta (inventors/ innovators) dalam pembangunan ekonomi negara," kata beliau.

Pada sambutan di Hotel Renaissance nanti, HHIN'10 masih mengekalkan tema 'Harta Intelek - Memacu Daya Saing Negara'. Ini kerana ia masih relevan dalam konteks ekonomi global yang amat kompetitif yang mana negara-negara berdaya maju biasanya bijak mengurus dan mengeksploitasi harta intelek.

Sempena sambutan, pada sebelah pagi diadakan satu Majlis Anugerah Harta Intelek Negara dan petang keesokannya pula Seminar Memperkasa IKS menerusi Harta Intelek. Seminar akan mendedahkan peserta kepada pengetahuan asas harta intelek, pengalaman IKS-IKS Malaysia dan luar negara dalam mengurus harta intelek, kemudahan pembiayaan dan khidmat nasihat harta intelek.

''Bagi pertandingan Anugerah Harta Intelek Negara, sejumlah 226 penyertaan diterima iaitu kategori Organisasi (26), individu bawah 18 tahun (70), individu atas 18 tahun (130), sekolah (70), universiti/politeknik/institusi penyelidikan (117) dan syarikat (39)," kata Ismail Sabri.

Antara akta berkaitan yang memberi perlindungan kepada harta intelek di Malaysia adalah Akta Cap Dagangan 1976, Akta Paten 1983, Akta Hak Cipta 1987 dan Akta Reka Bentuk Perindustrian 1996. Dua lagi adalah Akta Petunjuk Geografi 2000 dan Akta Susun Atur Litar Bersepadu 2000

Pemantauan undang-undang dan akta berkaitan harta intelek ketika ini di bawah tanggungjawab Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

MyIPO pada masa ini sedang melakukan semakan terhadap akta-akta harta intelek dan mensasarkan pindaan tersebut untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada sesi Jun 2010 melibatkan pindaan Akta Hak Cipta 1987 dan Akta Reka Bentuk Perindustrian 1996. Pada November pula, ia melibatkan pindaan Akta Paten 1983 dan Akta Cap Dagangan 1976.

Ditanya mengenai tempoh harta intelek dilindungi di negara ini, Ismail Sabri memberitahu, ia melibatkan perkara-perkara berikut:

l Paten: 20 tahun dari tarikh pemfailan.

l Cap Dagangan: 10 tahun dari tarikh pemfailan dan boleh diperbaharui setiap 10 tahun.

l Reka Bentuk Perindustrian: 5 tahun dari tarikh pemfailan dan boleh dilanjutkan sehingga 15 tahun.

l Petunjuk Geografi: 10 tahun dari tarikh pemfailan dan boleh diperbaharui bagi setiap 10 tahun.

l Hak cipta: Tiada pendaftaran diperlukan.

Perlindungan bagi karya sastera, muzik dan seni adalah semasa hayat pencipta dan 50 tahun selepas kematiannya. Bagi karya-karya lain, perlindungan adalah 50 tahun dari penerbitan.

l Susun Atur Litar Bersepadu: Tiada pendaftaran diperlukan. Perlindungan adalah 10 tahun dari mula ia dieksploitasi atau 15 tahun dari tarikh dicipta sekiranya tidak dikomersialkan.

Kata Ismail Sabri, kos mendaftar harta intelek adalah sebanyak RM1,050 bagi paten, Cap Dagangan (RM700), Reka Bentuk Perindustrian (RM450) dan Petunjuk Geografi (RM700). Bagaimanapun, perdaftaran harta intelek di Malaysia tidak menjamin perlindungan di negara-negara lain.

''Perlindungan harta intelek bersifat territorial di mana pendaftaran hendaklah dilakukan di setiap negara di mana perlindungan itu diperlukan," katanya.

Dalam usaha mempercepatkan pendaftaran harta intelek, kata beliau, MyIPO sedang menaik taraf infrastruktur teknologi maklumat (IT), melatih lebih ramai pegawai pemeriksa dan menyemak akta-akta harta intelek supaya lebih terkini dan menepati keperluan triti antarabangsa.

Katanya: ''MyIPO telah menyediakan sistem permohonan secara dalam talian bagi memudahkan pendaftaran paten dan cap dagangan. Sistem carian dalam talian juga telah dibangunkan untuk tujuan carian awam.

''Menyedari kesedaran masyarakat mengenai harta intelek masih rendah, pelbagai program outreach telah diadakan seperti seminar, pameran dan penerbitan risalah-risalah."

Ismail Sabri tidak menafikan bahawa perjanjian dan triti antarabangsa penting supaya Malaysia menjadi lebih kompetitif dan berdaya saing. Bagaimanapun, katanya, kajian terperinci perlu dilaksanakan sebelum menandatangani apa-apa perjanjian atau triti bagi memastikan Malaysia bersedia dari segi perundangan dan pelaksanaannya. Ketika ini, Malaysia adalah ahli kepada Konvensyen Berne, Konvensyen Paris dan Triti Kerjasama Paten.

Malaysia juga sedang mengkaji untuk menyertai beberapa triti antarabangsa seperti:

l WIPO Performances and Phonograms Treaty (WPPT): Ia memberi perlindungan hak harta intelek bagi pelaku (performers) termasuklah pelakon, penyanyi, pemuzik serta perlindungan bagi penerbit rakaman bunyi (phonograms);

l WIPO Copyright Treaty (WCT): Ia memberi perlindungan hak cipta bagi program komputer dan kompilasi data atau material lain (pangkalan data);

l Budapest Treaty: Memberikan pengiktirafan simpanan mikro-organisma bagi tujuan memudahkan prosedur permohonan paten yang melibatkan mikro-organisma;

l Protocol Relating to Madrid Agreement Concerning International Registration of Marks: Protokol ini berkenaan sistem pendaftaran antarabangsa bagi cap dagangan. Di bawah ASEAN Economic Community, Malaysia dan negara-negara ahli ASEAN komited menyertai Protokol ini pada 2015.

Dalam usaha menangani isu ketidakpuasan dan ketelusan badan pemungut royalti (CMO), Ismail Sabri memberitahu, pihaknya telah mengadakan dialog dengan pihak terbabit (komposer, pemuzik, penyanyi, syarikat rakaman, pemilik outlet karaoke, CMOs) dan mengambil kira pandangan pelbagai pihak dalam pindaan Akta Hak Cipta 1976. Keputusan juga telah dibuat untuk mengaktifkan (reactivate) Tribunal Akta Hak Cipta.

Selain komponen-komponen harta intelek yang biasa, pengetahuan tradisi (TK) sumber genetik (GR) dan pernyataan kebudayaan tradisional (TCE) juga merupakan sebahagian harta intelek. TK, GR dan TCE merujuk kepada pengetahuan tradisi hasil dari aktiviti intelek dalam konteks tradisional seperti pengetahuan perubatan dan pengetahuan berasaskan sumber genetik. TCE pula lebih menjurus kepada proses kreatif yang menggambarkan identiti, sejarah dan kebudayaan suatu komuniti, seperti lagu dan tarian rakyat, pakaian tradisional.

Dalam aspek ini, Ismail Sabri berkata, isu sama ada perlu diwujudkan peraturan undang- undang antarabangsa melindungi TK dan GR, ia masih lagi diperdebatkan di forum antarabangsa.

''Negara-negara membangun mahukan TK dan GR dilindungi secara perundangan, manakala negara maju mahu ia diputuskan oleh pasaran.

''Isu pertindihan tuntutan pemilikan TCE seperti lagu, tarian rakyat dan batik merupakan isu serantau yang sukar ditentukan pemilik asalnya," kata beliau.

Sumber:utusan malaysia

No comments:

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI