Kisah ini berlaku tiga tahun lepas sebelum aku bergelar perunding kejuruteraan. Ketika itu, aku masih seorang jurutera muda.
Pertemuan aku dengan Pak Cik Roslan (bukan nama sebenar) membuatkan mata aku terbuka dan hati yang senang untuk memikirkan keadaan aku sekarang.
Pak Cik Roslan seorang jurutera hebat. Projek kerajaan atau swasta, tidak kira bangunan atau jalan, Pak Cik Roslan tidak ketinggalan dalam mencatatkan dirinya sebagai berpengalaman.
Maklum sahajalah jika begitu berpengalaman, tentu dia seorang yang jauh lebih daripada seorang kaya, seorang yang hidup mewah.
Dia bercerita "Zul.. Pak Cik daripada satu projek ke satu projek... berjuta-juta mahalnya projek, 'income' tak pernah putus. Sesekali tu dua tiga projek serentak! Tak sempat balik ke rumah, cari hotel untuk bermalam, lima bintang tu dah kira rumah."
Aku tergamam.
Sambungnya "Pak Cik hidup mewah, rumah besar, kereta mewah, duit melimpah-limpah."
Tergerak hati aku "Adakah Allah menghantar insan ini sebagai peringatan kepadaku? Wallahu'alam."
"Tapi Zul.. hidup Pak Cik jauh dari masjid. Solat Pak Cik tunaikan tapi jarang ke masjid, Pak Cik cari kemewahan. Pak Cik dapat kemewahan."
Suatu hari, sedang Pak Cik Roslan di tapak pembinaan memantau projek bernilai berjuta-juta ringgit. Pak Cik Roslan diserang sakit jantung. Dikejarkan ke hospital. Terlantar sepuluh hari.
Sesudah keluar daripada hospital, kerja projek disambungnya. Projek pula bertukar ganti dan Pak Cik Roslan bertambah mewah.
Sekali lagi Pak Cik Roslan diserang 'stroke' terjatuh terlantar. Dadanya dibedah untuk dibuat 'bypass'. Nasib pakcik Roslan baik, 'stroke' tidak melumpuhkan dia.
Dua bulan Pak Cik Roslan berehat daripada bekerja. Dalam ketika itu, Pak Cik Roslan banyak menghabiskan masa di negara Eropah untuk merehatkan diri.
Selepas itu, Pak Cik Roslan kembali beraksi.
"Ahh! Sakit tu kekadang saja. Pakai duit pun tak banyak.. yang penting harta kena ditambah semula." Enak kata hatinya.
Pada hari pertama di pejabat, sebelum pulang, Pak Cik Roslan merasa pelik, kerana pejabatnya kosong. Mana perginya kakitangan beliau? Walhal, sebentar tadi sahaja masih ramai orang bekerja.
Tidak hiraukan perkara itu, Pak Cik Roslan melangkah ke pintu keluar pejabatnya. Sampai sahaja di tengah-tengah pejabat, 'stroke' datang menjengah lagi!
Suatu suara datang membisikan pada telinganya,
"Satu juta tak cukup.. dua juta tak cukup.. sepuluh juta tak cukup.. sekarang siapa mahu tolong? sepuluh juta boleh tolong?"
Suara itu jelas dan amat lancar. Tetapi bukan datangnya daripada mana-mana manusia pun. Tiada seorang pun berada di situ. Wallahu'alam.
Pak Cik Roslan jatuh kejang di atas lantai, terbaring.. kakinya kejang, tangan menarik-narik bajunya sendiri. Wajahnya pucat.
Pak Cik Roslan cuba menghubungi ambulan untuk mendapatkan bantuan. Malangnya gagal, apabila telefon bimbit yang tercanggih dibelinya, termahal dan termewah. Tampak segak bergaya dan mewah sekali telefon bimbit itu. Namun, satu punat pun Pak Cik Roslan tidak berjaya menekannya.
Anggaran tiga hingga empat jam selepas itu, barulah pekerjanya menyedari akan keadaan Pak Cik Roslan dan dia dikejarkan ke hospital.
Mengikut cerita pekerjanya, sepanjang hari sememang-memangnya pejabat itu begitu ramai orang dan ketika kejadian menimpa Pak Cik Roslan pun, pejabat sebenarnya masih belum kosong.
Rakaman CCTV juga menunjukan pejabat tidak sesekali kosong. Bayangan Pak Cik Roslan berjalan menuju pintu keluar dan jatuh begitu jelas. Namun, dengan kuasa Allah, Pak Cik Roslan tidak nampak sesiapa dan tiada sesiapa nampak Pak Cik Roslan jatuh.
Sejak daripada peristiwa itu, Pak Cik Roslan insaf dan sedar. Kini, Masjid Negara adalah rumah keduanya. Dia tidak lagi bekerja dan banyak menghabiskan hidupnya dengan menimba ilmu agama dan beribadah kepada Allah.
"Zul.. tak guna duit ada berjuta.. duit tak tolong bila kita susah.. apa guna ada rumah besar tapi tidak menjadi tempat tidur dan rehat, tidur hotel pula, apa guna kereta mewah dan besar tetapi tak boleh 'drive' sendiri dan bila mati tak pula naik kereta tu semua, apa guna ada duit dan mewah tapi tidak hidup bekeluarga."
"Apa yang penting Zul.. adalah ilmu kerana dengan ilmu kita kenal Allah dan agama.. daripada situ kita mohon rahmat dan berkat."
Pak Cik Roslan kini mengambil diploma dalam Pengajian Islam kerana kuliah di masjid terlalu perlahan untuk dia menimba banyak ilmu yang telah lama kosong dari dalam dirinya.
Kepada Pak Cik Roslan, terima kasih kerana berkongsi cerita dengan saya dan menjadi pengajaran yang amat besar bagi saya. Izinkan saya berkongsi cerita ini agar semua orang dapat memanfaatkan pengajarannya. Pak Cik Roslan, telah lama kita tidak bertemu. Semoga Allah memberikan rahmat dan hidayah-Nya kepadamu.
Pertemuan kita sekejap tetapi amat mahal harganya. Syukur kepada-Mu Ya Allah. Alhamdulillah.
Biodata Penulis
Zulakmar Hazwan merupakan seorang perunding kejuruteraan yang banyak berkongsi ilmu daripada pengalaman, pemerhatian serta pemikiran. Sambil merantau dari satu negara ke satu negara kerana tugasan kerja, turut mencatat nota dan menulis untuk berkongsi apa yang difikirkan dan dialami untuk dimanfaatkan bersama. Turut berkongsi hasil penulisannya di notafikir.com.
No comments:
Post a Comment