Wednesday, October 12, 2011

Pejabat Maya Pilihan Mudah Memulakan Perniagaan dari Rumah

Berhenti kerja atau tiada pekerjaan bukan satu masalah berat. Jadi lah pekerja bebas atau freelancer yang mampu melakukan apa sahaja pekerjaan halal. Freelancer melakukan kerja outsourcing dan memberi sumbangan kepada kebanyakan institusi dan masyarakat.

Berniaga dari rumah juga pekerjaan bebas yang menguntungkan tanpa menganggu rutin seharian kita. Kita lebih bebas berurusan, bebas dari segi tanggungan overhead dan kita tidak perlu memikirkan aset tetap seperti bangunan, staf dan sebagainya.

Anda berminat untuk memulakan perniagaan sendiri yang mudah dan ringkas? Artikel kali ini ingin memberi idea tentang pejabat maya atau virtual office.

Dalam perniagaan, sekurang-kurangnya kita memiliki sebuah tempat untuk bekerja dan berurusan dengan orang ramai. Jika kita kurang mampu memiliki aset tetap sebuah pejabat dengan staf, maka pejabat maya lah pilihan paling mudah dan tepat.

Apakah pejabat maya atau virtual office?

Merupakan pejabat atau pusat perniagaan yang boleh disewa secara maya atau dalam talian,dilengkapi dengan staf seperti penyambut tetamu, kerani dan sebagainya, ruang pertemuan seperti ruang untuk mesyuarat, seminar dan sebagainya, dilengkapi talian tetap telefon, fax, emel dan sebagainya. Sama seperti pejabat fizikal yang anda lihat di merata-rata tempat.

Cuma kita sebagai pemilik perniagaan akan menyewa alamat serta talian ruang maya ini bersama-sama kemudahan yang disediakan di dalamnya. Di mana-mana sahaja pusat perniagaan maya yang kita inginkan. Malah, kita boleh memiliki pusat perniagaan sendiri di Australia, Amerika, London dan sebagainya. Itu terpulang pada pilihan kita dan apakah perniagaan kita memerlukan alamat di tempat-tempat di luar Negara?

Bagaimana hendak menyewa ruang pejabat maya ini?
Dengan hanya satu klik, dan transaksi ke akaun syarikat yang menyediakan khidmat sewa tersebut, contohnya di Malaysia anda boleh melayari laman ini untuk keterangan lanjut: http://www.regus.com.my/

Apakah kebaikan pejabat maya? Antaranya:

1. Pemilik perniagaan tidak menanggung kos tetap (overhead) seperti gaji pekerja, sewaan ruang komersil dan sebagainya. Sebaliknya, pemilik perniagaan mampu memiliki cawangan di merata-rata tempat di seluruh dunia dan ini memudahkan urusan di dalam dan luar Negara.

2. Hebahan tentang perniagaan lebih meluas kerana klien akan melihat taburan perniagaan kita di kawasan-kawasan yang berprestij tinggi, misalnya anda boleh memiliki perniagaan di KLCC, Bukit Jalil Golf and Country Club dan sebagainya.

Ini menaikkan nama perniagaan kita, di samping urusan pertemuan dengan klien lebih mudah dan lebih profesional. Contohnya, biasanya nama perniagaan kita juga boleh disenaraikan secara langsung di SuperPages dan lain-lain. Ini bergantung pada pekej penyewaan yang disediakan.

3. Komunikasi di antara pemilik perniagaan dengan klien lebih pantas. Ini disebabkan pejabat maya dilengkap semua kemudahan seperti penyambut tetamu, telefon, faks dan sebagainya yang akan menyokong urusan perniagaan dengan lebih pantas, mudah walaupun pemilik perniagaan tersebut tidak pernah ditemui walaupun sekali. Pemilik perniagaan lebih selesa kerana urusan tempahan misalnya selesai lebih awal daripada menyuruh klien mencari alamat dan datang ke kedai kita dari jauh.

4. Amat sesuai bagi menjalankan perniagaan yang kurang memerlukan ruang penyimpanan seperti pakaian, makanan dan sebagainya. Terutamanya sesuai bagi perniagaan perundingan seperti penterjemahan, agensi-agensi, pengajaran (tuisyen dirumah (home tuition), perundingan kewangan dan lain-lain lagi. Atau dalam erti kata lain, kita menjalankan kerja outsourcing kepada syarikat lain.

Apakah kelemahannya?

1. Jika memiliki ruang perniagaan di luar Negara, pemilik perniagaan terpaksa juga mengeluarkan modal penerbangan atau menanggung bil talian untuk berurusan dengan klien di luar kawasan mastautinnya.

2. Ketidakpercayaan klien. Klien mungkin inginkan pertemuan secara bersemuka dengan pemilik perniagaan setiap kali berurusan dan bukan sekadar mengetahui kewujudan sebuah perniagaan maya.

3. Kelihatan kurang professional kerana kita sebenarnya berkongsi ruang perniagaan tersebut dengan pemilik perniagaan yang lain. Walau bagaimanapun, kita tetap tuan punya alamat, papan tanda serta talian telefon, faks dan sebagainya yang dikhususkan untuk syarikat kita sahaja. Cuma pengurus pejabat maya sememangnya perlu menguruskan jadual pertemuan syarikat-syarikat penyewa (sekiranya ada mesyuarat atau temujanji) dengan bijak dan cermat.

Jadi, apakah pilihan anda?

Sepertimana peribahasa menyatakan, “sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit”. Mudahnya, jika kita baru hendak bertatih dalam perniagaan, sedangkan kita kekurangan modal tetapi luas pengalaman dan kepakaran, saya mencadangkan kita mulakan dari titik yang kecil seperti pejabat maya. Langkah pertama biasanya akan merangsang langkah baru yang lebih besar. Semoga anda berjaya.

No comments:

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI