Tuesday, January 31, 2012

Bekas Graduan Kini Tauke Tempe

TEMPE merupakan makanan tradisi masyarakat Jawa. Setiap kali majlis keraian atau kenduri, pasti tempe tidak ketinggalan dijadikan sebagai salah satu hidangan wajib yang dihidangkan bersama pelbagai juadah lain.

Tempe juga begitu sinonim dengan masyarakat Johor terutama apabila tibanya musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri. Ia merupakan salah satu ramuan untuk memasak juadah hari raya yang dipanggil sayur lodeh di samping menu lain termasuk rendang serta ketupat.

tempe

Permintaan terhadap tempe pastinya akan meningkat setiap kali tiba musim perayaan. Tanpa tempe juadah yang terhidang bagaikan tidak lengkap justeru di negeri Johor khususnya di Batu Pahat, menyebabkan pengusaha tempe sering tidak menang tangan.

Kini, zaman telah berubah. Namun tempe tetap menjadi pilihan. Selain menjadi makanan tradisi masyarakat Jawa, tempe kini telah mula dikomersialkan sebagai kerepek tempe yang mudah dan senang didapati meskipun bukan pada musim perayaan.

Menyedari tempe berpotensi besar untuk dikembangkan Norhedayah Mesiran, 34, mengambil inisiatif untuk mengembangkan lagi perusahaan tempe warisan keluarga turun temurun yang dahulunya diusahakan oleh ibunya Mariam Sarkam dan ayahnya Mesiran Rosman.

Sebagai seorang graduan dalam bisnes dari salah sebuah universiti swasta, Norhedayah melihat jauh ke hadapan terhadap potensi produk berasaskan tempe ini. Dengan bantuan seluruh ahli keluarga mereka kini telah selangkah ke hadapan bagi meningkatkan lagi mutu produk.

tempe01 tempe02 tempe-daun-pisang

Bersama adiknya Riduan Mesiran, 29, yang bertindak sebagai Pengurus Operasi mereka telah menubuhkan syarikat Perniagaan D'Sinar yang bertindak sebagai pengeluar dan pengedar kerepek tempe pelbagai perisa.

Jika dahulu ibunya mengusahakan kerepek tempe dengan berbekalkan kudrat empat kerat tanpa bantuan mesin canggih, kini mereka tidak lagi menggunakan ramai pekerja terutama untuk menggoreng tetapi mereka telah mempunyai mesin menggoreng dengan teknologi terkini.

Menurut Nurhedayah, dahulu ibunya hanya membuat tempe biasa yang dibungkus menggunakan daun. Ia sering digunakan dalam pelbagai masakan sejak turun temurun lagi yang merupakan warisan keluarga mereka serta dijual hanya sekitar tempat tinggalnya sahaja.

Bagaiamanapun, sejak lima tahun lalu beliau mula membantu ibunya menguruskan pelbagai hal bagi menjadikan tempe sebagai kerepek dengan pelbagai perisa iaitu ketumbar, kari, lada hitam dan lada serta berusaha untuk dipasarkan lebih jauh.

Jelasnya lagi walaupun perusahaan ini sudah lama diusahakan tetapi masih belum dikomersialkan secara besar- besaran. Hanya setelah saya mengambil alih tugas daripada ibu saya barulah saya cuba membuka ruang untuk meluaskan pasaran.

Bermula dengan RM500 sebagai modal pusingan, beliau kini memiliki modal pusingan mencecah RM30,000 sebulan. Bermula dari situ mereka mengembangkan perusahaan tempe dengan menghasilkan kerepek tempe pelbagai perisa.

Paling menarik, kerepek tempe syarikat mereka lengkap dengan sambal kicap tradisi masyarakat Johor manakala perisa tempe pedas ia dicampur kacang tanah dan ikan bilis goreng.

Dahulu, mereka terpaksa menggunakan tenaga pekerja yang ramai untuk melakukan pelbagai kerja seperti memotong dan menggoreng. Kini mereka telah mempunyai dua mesin pemecah kacang soya, satu mesin pemotong, satu mesin untuk mencampurkan adunan (mixer), satu mesin pengisar kering dan satu kuali keluli tahan karat.

Menurut Norhedayah, dia telah mengikuti kursus teknologi makanan di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Johor Bahru untuk menimba ilmu dan meminta khidmat nasihat dalam perusahaan tempe. Ia tidak sia- sia apabila semakin hari perusahaan tempe warisan keluarga ini semakin berkembang.

Ketika memulakan perniagaan ini dahulu mereka hanya mengusahakannya di rumah sahaja dan dibantu oleh dua orang pembantu serta menggunakan tenaga kerja manusia tanpa mesin. Tetapi kini mereka mempunyai bangunan sendiri yang bernilai kira-kira RM40,000.

tempe03 Bersama adiknya Riduan Mesiran, 29, yang bertindak sebagai Pengurus Operasi mereka telah menubuhkan syarikat Perniagaan D'Sinar yang bertindak sebagai pengeluar dan pengedar kerepek tempe pelbagai perisa.

Jika dahulu ibunya mengusahakan kerepek tempe dengan berbekalkan kudrat empat kerat tanpa bantuan mesin canggih, kini mereka tidak lagi menggunakan ramai pekerja terutama untuk menggoreng tetapi mereka telah mempunyai mesin menggoreng dengan teknologi terkini.

Meskipun pada awal pembabitannya dia agak gementar, kini dia mampu tersenyum bangga kerana segala usahanya mula membuahkan hasil dan dilengkapi dengan anggota keluarga yang sentiasa memberi sokongan.

Menurut Norhedayah, dia berharap dapat menepis persepsi masyarakat terhadap tempe yang dikaitkan hanya untuk masyarakat Jawa.

Justeru, dia bercita-cita mengetengahkan makanan yang berasaskan soya ini supaya menjadi lebih komersial dan dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat.

Memandangkan tempe biasa yang bersaiz kecil, dia dan kedua orang tuanya mula membuat kajian sendiri bagaimana untuk menghasilkan tempe dalam bentuk bulat agar senang dipotong dan cantik bila digoreng.

Nurhedayah serta kedua-dua orang tuanya berjaya menemui satu teknik menghasilkan tempe berbentuk bulat iaitu seperti bentuk lemang dan ternyata idea mereka berjaya.

Alat pencetak bulat yang dibuat oleh mereka sekeluarga mampu menjadikan kerepek tempe itu nampak lebih komersial.

Bagaimanapun katanya, jumlah permintaan yang semakin tinggi memungkinkan beliau mengambil lebih ramai pekerja kerana pekerja yang ada sekarang tidak mencukupi untuk membuat tempahan yang lebih tinggi.

Setiap paket kerepek berisi setengah kilogram kerepek tempe dijual sekitar RM6. Kerepek itu akan dihantar kepada tujuh pemborong tetap di seluruh negeri Johor juga kepada sebuah koperasi di sekitar daerah ini secara tetap.

Tambahnya, kerepek-kerepek berkenaan boleh tahan lebih tiga bulan. Selama ini mereka tidak pernah mendapat maklum balas negatif daripada mana-mana pihak tentang produk keluarannya.

Nurhedayah yang mengusahakan perusahaan tempe ini bersama keluarganya di No. 148 Kampung Sungai Nibong Darat, Semerah, Batu Pahat berharap agar satu hari nanti kerepek tempe keluaran syarikatnya mampu dinikmati oleh semua masyarakat di dalam dan luar negara.

Untuk itu beliau bercita-cita untuk menambah baik lagi teknologi pembuatan agar ia dapat menambah lagi pengeluaran produk. Di samping itu berusaha untuk membuat pembungkusan yang terbaik serta pelabelan dan penjenamaan agar lebih menarik untuk pasaran global.

Selain kerepek tempe, beliau juga mengusahakan kerepek pisang, keledek, keladi yang mana bahan mentah tidak menjadi masalah kerana ia mudah didapati di sekitar kawasan kampungnya dan secara tidak langsung dapat membantu penduduk kampung menjual hasil pertanian mereka Kegigihan dan kesungguhan Nurhedayah serta ahli keluarga lainnya mengetengahkan produk berasaskan kayang soya dengan menghasilkan kerepek tempe pelbagai perisa telah menarik minat Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad untuk meninjau perusahaan yang mereka jalankan baru-baru ini.

Dalam lawatan itu Noraini berasa kagum dengan idea anak-beranak ini menghasilkan tempe berbentuk bulat yang mana ia adalah teknologi yang mereka cipta sendiri dan belum pernah terfikir oleh orang lain Tambah Noraini, perusahaan tempe warisan keluarga ini merupakan salah satu produk yang mampu menaikkan nama Parlimen Parit Sulong khususnya dan negeri Johor amnya dalam Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS) yang merupakan satu kelainan.

Melihat kelainan dan cita-cita keluarga ini untuk memasarkan produk mereka ke seluruh negara dan luar negara, beliau yakin produk ini boleh pergi jauh kerana ia menepati ciri-ciri kebersihan dan amalan pengilangan yang baik.

Tambahnya lagi beliau yakin produk ini mampu di eksport ke luar negara kerana ia lain dari yang lain dan pihak pengusaha harus cuba untuk membuat pelabelan dan penjenamaan yang sesuai untuk pasaran antarabangsa.

Sumber : Utusan Malaysia

KR1M peroleh hasil jualan RM10,000-RM15,000 sehari

BUTTERWORTH 28 Jan. – Setiap Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di seluruh negara memperoleh hasil jualan sebanyak RM10,000 hingga RM15,000 setiap hari.

Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Rohani Abdul Karim berkata, jumlah hasil jualan yang memberangsangkan itu menunjukkan sambutan menggalakkan daripada orang ramai terhadap KR1M.

"Setakat ini, sebanyak 27 premis KR1M beroperasi di seluruh negara dan sambutan yang diterima daripada pengguna sangat menggalakkan sehingga setiap kedai mampu memperoleh jualan sebanyak RM10,000 hingga RM15,000 setiap hari.

"KR1M bukan hanya menawarkan harga barangan keperluan pengguna pada harga rendah sebaliknya barang yang ditawarkan juga berkualiti seperti barangan lain yang dijual di pasar raya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan KR1M Taman Seri Pinang, di sini hari ini.

KR1M Taman Seri Pinang merupakan premis KR1M pertama di Pulau Pinang.

Rohani berkata, kerajaan yakin sasaran untuk membuka 85 premis KR1M di seluruh negara menjelang hujung tahun ini akan dicapai. – BERNAMA

Monday, January 30, 2012

Perkongsian maklumat

Salam hormat;

Hari ni hari Isnin dan saya ingin berkongsi sesuatu kepada anda !

Pertama :
Jadi pakar dalam satu-satu perkara !

Kedua :
Gunakan kepakaran anda tadi untuk hasilkan pendapatan

Ketiga :
Jika tidak banyak, sedikit pun tak mengapa. Orang tua-tua
kata, sikit-sikit lama-lama jadi bukit !

Keempat :
Fokus, berapakah pendapatan extra yang anda kehendaki
(di akhir email, saya akan kongsikan satu teknik menjana EXTRA
RM450 setiap bulan)


Kelima :
Simpan pendapatan utama anda, dan gunakan pendapatan sampingan untuk
belanja

Keenam :
Catat dan catat. Tidak kira anda ingin ada buku khas, atau diari digital
atau mungkin juga anda mencatat di facebook. Apa yang nak dicatat?
Catat, segala kejayaan anda, walaupun ia kecil !(jangan asyik 'chat' sahaja rugi masa)

Ketujuh :
Bergaul dengan orang-orang positif.Unfriend/unsubscribe daripada mereka yang negatif daripada facebook anda atau mana mana email atau laman sosial!

Ok. Itu sahaja perkongsian saya pada hari ini. Saya doakan
supaya anda memperoleh keberkatan dalam hidup anda dan keluarga.


Ingin menjana sekurang-kurangnya EXTRA RM450 setiap bulan?
Ini caranya :
Satu : Anda perlu jana income sekurang-kurangnya RM15 sehari !
Dua : Anda perlu konsisten !

Itu sahaja syaratnya !

Anda mampu lakukannya dan pastikan lakukannya hari ini juga.

Jumpa lagi.

Friday, January 13, 2012

Cara melonjakkan jenama perniagaan anda dengan cepat

Assalamualaikum semua pembaca blog,

Pada hari ini , saya ingin membincangkan berkaitan tentang trend perniagaan tahun baru 2012 ini. Zaman ini adalah zaman komunikasi. Untuk berjaya dalam perniagaan, kita tidak boleh lagi bergantung kepada kaedah/cara lama (tradisional) iaitu brochure, leaflet, iklan di akhbar, majalah dan lain-lain, tetapi perlu tahu cara menggunakan Internet untuk komunikasi perniagaan kita dalam menjana keuntungan yang lebih lumayan.
Jika dilihat, antara trend pemasaran terkini adalah melalui internet termasuk:
  1. Penggunaan Media Sosial dalam pemasaran perniagaan. Kini, lebih 65% orang dewasa menggunakan media sosial setiap hari. Statistik ini adalah petanda besar pemasaran perniagaan perlu dilakukan di media sosial untuk tahun baru 2012 ini. Antaranya seperti Facebook, Twitter, Forum-forum, groups dll.
  2. Pemasaran Mobile / Smartphone. Dengan berleluasanya komputer tablet, smartphone dan juga hand phone, kita kini sering mencari lebih banyak penggunaan untuk gajet yang dimiliki. Dari pemasaran SMS sehingga apps untuk smartphone, perniagaan kini perlu membuka mata dan mempelajari kaedah-kaedah baru ini yang masih kurang diterokai.
  3. Pemasaran video. Jika a picture paints a thousand words, maka video paints a million words! YouTube kini merupakan enjin pencari yang #2 popular selepas Google. Mereka yang tidak menggunakan pemasaran video adalah perniagaan yang dalam kerugian.
Ini adalah yang paling berkesan untuk tahun 2012, jadi rebutlah peluang ini dan gunakannnya dengan sebaik mungkin.

Wednesday, January 4, 2012

Baca dan Terus Membaca...

Assalamualaikum semua,

Salah satu kesilapan yang paling banyak dilakukan oleh mereka yang telah memasuki bidang bisnes ialah menyangka bahawa jika mereka tahu suatu kemahiran teknikal, mereka juga tahu menjalankan bisnes yang berkaitan kerja teknikal tersebut. Contohnya, seorang mekanik akan berjaya jika membuka sebuah bengkel membaiki kereta atau seorang peguam boleh berjaya apabila membuka firma guamannya sendiri. Hakikatnya ramai yang kebingungan setelah bisnes yang diharap-harapkan menjana pendapatan lumayan akhirnya 'karam' bersama impian mereka.

Mengapa hal ini terjadi?

Anda perlu ingat bahawa menjadi seorang juru teknik tidak sama dengan menjadi ahli perniagaan. Perwatakan seorang usahawan berbeza sama sekali dengan perwatakan seorang juru teknik. Seorang usahawan biasanya berpandangan jauh, bijak mencipta dan mengambil peluang serta seorang yang berfikiran kreatif. Manakala seorang juru teknik adalah seorang yang berfikiran logik dan memberi fokus kepada apa yang ada di depan mata. Seorang juru teknik yang baik tidak cukup untuk membina sebuah bisnes yang berjaya.

Maka, bagaimana seorang juru teknik hendak menjadi seorang usahawan? Secara ringkas, saya dapat menyimpulkan bahawa untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya, kuncinya adalah ilmu berniaga. Anda perlu mempelajari konsep bisnes, strategi pemasaran dan banyak lagi hal-ehwal berkaitan bisnes.

Penting ke ada Minda Usahawan?

Hari ini terlalu ramai bercita-cita menjadi usahawan. Pelbagai bidang diceburi, bermacam sektor di terokai, ratusan industri diceburi. Boleh dikatakan usahawan tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Ada usahawan internet, usahawan MLM, usahawan biotech, usahawan tani, usahawan forex dan banyak lagi cabang yang tidak mampu ntuk dinyatakan. Begitu ramai yang menceburi bidang ini namun yang betul-betul berjaya dan bertahan hanyalah segelintir sahaja. Mengapa ini berlaku?

Ramai usahawan tidak tahu bahawa mereka sebenarnya memerlukan satu ‘tool’ yang dikenali sebagai Minda Usahawan untuk memastikan mereka boleh bertahan lama dan terus maju dalam industri. Terlalu ramai usahawan yang memperlekeh perkara ini. Pada mereka itu hanyalah isu remeh temeh sahaja.

Apa yang lebih penting adalah modal dan ‘contact’ untuk berjaya dalam bidang yang diceburi. Sebab itulah ramai yang mencari ‘contact’ daripada mencari ilmu berniaga.

Sikap inilah yang mengakibatkan ramai usahawan gulung tikar setelah beberapa tahun menjalankan perniagaan.
Mungkin ramai yang tidak tahu definasi usahawan dan peniaga. Usahawan adalah mereka yang melibatkan diri dalam bidang keusahawanan dan terus membesarkan perniagaannya sehingga mampu membentuk empayar. Manakala peniaga pula memulakan perniagaannya secara kecil-kecilan dan terus mengusahakan perniagaan kecil-kecilan itu sampai bila-bila.

Jadi pilihlah dengan tenang kategori yang mana satu ingin anda ceburi – usahawan atau peniaga. Namun walau yang mana satu menjadi pilihan anda, Ilmu tentang Minda Usahawan perlu dimiliki. Apa gunanya ilmu ini? Apa hubungkaitnya ilmu minda ini dengan kejayaan sebagai usahawan? Baiklah mari kita telusuri Ilmu ini dan hubungkaitnya dengan kejayaan seseorang usahawan itu. Seorang usahawan perlu memiliki tenaga minda yang lebih kuat dan tinggi daripada pengguna atau pembeli. Keadaan inilah yang memastikan terjadinya proses jual beli.

Mari kita tengok bagaimana kita selalu berakhir sebagai pembeli sesuatu produk. Seorang usahawan merupakan ‘problem solver’ kepada pengguna. Jika seorang usahawan itu mampu menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh pengguna maka dia berjaya melakukan jualan. Bayangkan situasi ini; Anda memerlukan sebuah laptop untuk kegunaan peribadi. Permasalahannya - sebuah laptop. Jadi untuk menyelesaikan masalah anda, anda mengambil keputusan untuk pergi ke sebuah kompleks yang terkemuka yang menyediakan ratusan jenis dan jenama laptop. Di kompleks ini anda mendapati begitu ramai peniaga yang bersaing untuk melariskan jualan mereka. Percaya atau tidak anda hanya akan TERJUAL kepada seorang daripada ramai-ramai peniaga yang ada.

Bagaimana ini berlaku?

Penjual yang telah MENJUAL anda itu sebenarnya telah menyelesaikan masalah anda iaitu laptop. Apa yang ada pada penjual yang berjaya menawan hati anda untuk menjadi pelanggannya berbanding penjual yang lain. Selain daripada faktor rezeki, kemungkinankah dia ada pelaris yang power. Ah! Karut. Sebenarnya tenaga mindanya mengatasi tenaga minda penjual lain termasuk anda. (Tenaga minda sipenjual resonan dengan minda anda) Ini adalah merupakan faktor utama untuk melariskan jualan.

Tenaga minda yang kuat dan hebat mampu menewaskan pesaing yang ada dan meraih jualan yang berlipat ganda. Wow! Bagaimana nak tingkatkan tenaga ini? Tenaga minda ini hanya boleh ditingkatkan dengan ilmu minda yang betul.

Ilmu minda harus dipelajari, ia tidak boleh datang dengan sendiri. Melalui ilmu minda yang betul ini barulah Minda Usahawan terbentuk. Selain daripada itu anda memerlukan input usahawan yang betul. Seorang usahawan perlu memiliki minda yang kreatif, agresif, proaktif, positif, berani membuat keputusan, tidak takut pada risiko yang berkadaran dan perlu yakin pada diri sendiri.

Apabila usahawan itu memiliki ilmu Minda Usahawan dia tidak lagi takut untuk menjual. Permasalahan yang ada pada ramai usahawan adalah tidak tahu bagaimana hendak menjual. Perkataan MENJUAL seolah-olah taboo pada mereka. Akan tetapi jika dihayati betul-betul mana ada satu perniagaan yang tidak memerlukan anda menjual. Jika ANDA TIDAK MAHU MENJUAL percayalah anda pasti KENA JUAL.

Fikirlah dengan rasional, semua bentuk perniagaan hanya akan terjadi apabila ada transaksi jual dan beli. Usahawan yang takut kepada jualan adalah mereka yang sebenarnya telah gagal berniaga sebelum memulakan perniagaannya. Menjual perlu kepada latihan yang berterusan.

Sebenarnya tanpa anda sedari sejak lahir lagi anda telah dilatih untuk menjual. Anda menangis bila kelaparan, ibu anda tidak tahan dengan tangisan itu terus menyediakan susu dan seterusnya menyuapkan kepada anda. Satu proses jualan telah berlaku. Ibu anda telah TERJUAL dengan tindakan anda lalu mengalah dan membayarnya dengan susu. Namun skill menjual yang ada ini semakin hari semakin tumpul, anda semakin kurang yakin dengan skill yang ada. Apatah lagi bila anda perlu bersaing dengan adik beradik yang lain dalam proses menjual. Keadaan menjadi lebih buruk apabila adik anda mampu MEMBELI ibubapa anda dengan lebih mudah berbanding anda. Lama kelamaan keyakinan anda musnah, anda berasa kecil dan tidak berdaya. Anda teruskan dengan kehidupan seharian bersama perasaan tersebut. Semakin hari semakin murung, potensi diri semakin hilang, keyakinan semakin pudar.

Inilah antara sebab mengapa anda gagal menjadi penjual yang baik. Sebab itu apabila anda mendengar perkataan MENJUAL ianya seolah-olah satu penghalang untuk anda melakukan perniagaan tersebut. Walaubagaimana pun jika latihan menjual ini diteruskan dan tiada perasaan gundah apabila berhadapan dengannya, anda akan mampu meningkatkan perniagaan anda sedikit demi sedikit.

Jika latihan ini semakin mantap dan MENJUAL tidak lagi menjadi masalah utama percayalah satu hari nanti anda akan mampu MENJUAL dengan menggunakan minda separa sedar, sama seperti anda memandu kereta. Anda tetap boleh kendalikan kenderaan anda dengan baik walaupun sambil menjawab telefon .(Hati-hati jangan sampai kena saman) Apabila keadaan ini berlaku jualan anda akan menjadi laris tidak kira apa juga produknya.

Kejayaan bukanlah sesuatu yang boleh disalin. Kekayaan tidak boleh ditiru. Ada orang boleh kaya raya dengan cendol. Tetapi orang yang meniru usahanya... yakni menjual cendol juga... masih tidak berjaya walaupun sudah berbelas tahun berniaga.Untuk menjadi kaya, kita perlu melakukan usaha praktis yang berterusan. Kita mesti SANGGUP menempuh apa sahaja rintangan dan cabaran dengan lapang dada. Kita mesti bersangka baik dengan Allah SWT sebagai penentu yang muktamad.Hubungan kita dengan Allah mestilah erat. Bekerja keras di siang hari dan berzikir, bermunajat dan berdoa di malam hari.



Tuesday, January 3, 2012

SELAMAT TAHUN BARU 2012

Selamat Tahun Baru 2012 kepada semua pelatih kursus IKS dan bekas pelatih IKS dan semua warga ATM agar di tahun ini akan membawa lebih kejayaan dalam bidang yang ingin diceburi dan selamat menempuhi fasa yang seterusnya.

Pada tahun ini, blog ini akan mempertambahkan lagi info-info keusahawanan agar menjadi tatapan warga blog ini. Semoga sukses dan berjaya .


Sekian.

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI