Sabda Rasulullah bermaksud,
“Aku menjamin dengan sebuah istana yang terdapat di tepi syurga bagi orang yang meninggalkan perdebatan walaupun dia benar, aku menjamin dengan sebuah istana yang terdapat di tengah syurga bagi orang yang meninggalkan dusta walaupun bergurau, dan aku menjamin dengan sebuah istana yang tertinggi bagi orang yang membaguskan akhlaknya” [Hadis Riwayat Abu Dawud].
Itulah janji Rasulullah SAW ganjaran khas buat kita jika dapat menunaikan tiga perkara penting dalam kehidupan kita sehari-harian. Bukan sahaja setakat dalam kehidupan sahaja, tetapi juga dalam pekerjaan kita dalam melakukan aktiviti jualan.
Bagi memastikan kejayaan dalam melakukan jualan, perlu ada kejayaan terlebih dahulu dalam diri kita untuk diperbetulkan. Cabaran memang besar, tetapi kalau kita hadapinya dengan baik dan berkesan sudah pasti hasilnya juga baik untuk kita.
Kerana itu kita amat disarankan agar sentiasa bersabar, tenang dan tidak mudah mengeluh dalam menghadapi segala macam dan bentuk cabaran, rintangan, dugaan dan masalah yang timbul samada ianya kecil atau sukar yang amat sangat.
3 Akhlak Rasulullah Berkaitan Aktiviti Menjual
Tiga perkara yang disaran oleh Rasulullah SAW untuk kita sama-sama menjaganya, terutama ketika melakukan jualan lebih beretika dan profesional adalah:
#1 – Jangan Berdebat
Sama sekali ketika kita melakukan persembahan dan presentasi memberikan penerangan, ataupun ketika berlakunya bangkangan jualan, pastikan yang kita tidak sama sekali berdebat.
Apatah lagi hendak meninggikan suara kepada pelanggan kita. Sedangkan Rasulullah SAW tidak menggemarinya. Apatah pula pelanggan yang berada di hadapan kita.
Pasti ianya akan memberikan satu imej yang tidak baik kepada diri kita. Kita yang hendakkan pelanggan tersebut menerima tawaran kita, maka sepatutnya biarlah kita sahaja yang beralah dan bukannya pelanggan tersebut.
Jika ianya berlaku juga, ambil tindakan bijak dan pantas supaya pelanggan tidak menyedari yang kita juga sudah naik angin dibuatnya, hanya semata-mata perangai atau sikap buruk yang telah ditunjukkan oleh mereka.
Layanilah dengan kemesraan dan banyak bersabar dalam segala hal menghadapi dugaan yang mendatang. Lebih baik terus mendiamkan diri daripada terus bersuara mempertahankan apa yang diperkatakan.
Walaupun apa yang diperkatakan itu adalah betul dan benar, tetapi tetap juga salah hanya disebabkan kerana pelanggan melihat ia sebagai satu kesalahan.
#2 – Jangan Menipu
Elakkan daripada menipu sama sekali. Disebabkan hendak kejar sasaran dan komisen, tidak pasal-pasal dapat dosa. Perbaiki dan perkemaskan diri kita.
Fahami sepenuhnya tentang pengetahuan produk sebelum melakukan pertemuan dengan pelanggan.
Penerangan biar jelas dan mudah untuk mereka fahami supaya tiada satu pun yang akan diperkatakan di kemudian hari.
Biar ikhlas dan jujur apabila memberikan penerangan, menghadapi bangkangan, mendapatkan penutupan jualan dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada mereka.
Niat perlu betul supaya kita perlukan pelanggan untuk kita beri bantuan sewajarnya dan bukannya untuk mendapatkan keuntungan begitu sahaja.
#3 – Pelihara Akhlak
Budi pekerti dan bersopan santun amalan kita semenjak dari dahulu lagi. Kekalkan mana yang baik tanda keperibadian sebenar kita.
Jangan cepat melatah, apatah lagi menyombong diri menunjukkan keegoan kita yang tidak bertempat. Bertemu dengan pelanggan jangan sama sekali bercakap besar dan meninggi diri.
Ditakuti selepas ini, tiada siapa pun pula akan teringin bertemu dan melakukan temu janji lagi dengan kita.
Tidak salah merendah diri dan tidak salahnya kita selalu beralah dengan kerenah dan perangai pelanggan yang kita temui. Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa.
Akhlak yang baik sentiasa dihormati orang walaupun ke mana juga kita pergi dan berada. Pelanggan pasti akan bergembira dan merasa selesa dengan kehadiran kita.
Apabila mereka sudah mula selesa, maka semakin mudah kita melakukan jualan.
Menjual Sambil Mengumpul Saham Akhirat
Apabila kita lakukan tiga perkara ini dengan baik dan sempurna seperti mana yang disarankan oleh Rasulullah SAW, bermakna kita telah lalui dan lakukan satu sunah Rasulullah SAW.
Bukan sekadar ganjaran pahala sahaja yang kita peroleh. Tetapi janji Rasulullah SAW untuk menghadiahkan istana juga boleh didapati di akhirat kelak.
Satu kerja boleh perolehi pelbagai ganjaran yang boleh kita terima dengan sewenang-wenangnya di dunia, mahupun di akhirat tanpa merasa susah payah yang amat sangat.
Taat kepada Allah dan Rasulullah ternyata amat mudah untuk kita lakukan. Personaliti dan imej kita dibawa ke mana juga kita pergi, bagi menambahkan lagi keyakinan pelanggan untuk bertemu dan mendengar apa yang akan kita persembahkan nanti kepada mereka.
Sumber:majalahniaga.com
No comments:
Post a Comment