Wednesday, February 8, 2012

Rahsia Idea, Inovasi dan Kejayaan Walt Disney

Sebagai inspirasi kepada para pembaca dan diri penulis sendiri, artikel kali ini akan menyentuh mengenai kisah kehidupan Walt Disney iaitu pengasas siri kartun dan taman tema Disneyland yang kini terkenal di seluruh di dunia.

Kejayaan Walt Disney tidak bermula dengan kisah gembira dengan serta merta. Pada tahun 1928, ketika beliau berusia hanya 26 tahun dan bekerja sebagai pakar animasi kartun, beliau telah berjaya menghasilkan karakter kartun yang menjadi popular pada waktu itu, Oswald the Lucky Rabbit.

Urutan dari kejayaan karakter kartun tersebut, beliau mengambil keputusan untuk pergi ke bandar New York bagi membawa siri kartun tersebut pergi lebih jauh dengan bekerjasama dengan Universal Studio.

Namun beliau mendapati dirinya terperdaya apabila Universal Studio secara licik memperoleh hakcipta kartun tersebut daripada beliau.

Apa yang lebih mengejutkan beliau, para pekerja studio beliau yang bekerja bersamanya untuk menghasilkan siri kartun tersebut turut diambil alih oleh Universal Studio.

Mortimer atau Mickey Mouse?

Dengan perasaan kecewa, beliau pulang ke California dengan menaiki keretapi. Namun, jauh di dalam jiwanya, beliau tidak mengalah dan patah semangat.

Mortimer Mouse atau Mickey Mouse

Dalam perjalanan pulang tersebut, sambil duduk Walt Disney melakar di atas sekeping kertas tanpa sebarang idea yang jelas. Ketika asyik membuat lakaran-lakaran tersebut, tiba-tiba beliau terperasan lakaran tersebut menyerupai bentuk seekor tikus.

Beliau terus memperbaiki lakaran tersebut dan apabila tiba rumah beliau menunjukkan lakaran tersebut isterinya Lilly, dan bertanya;

“Bagaimana jika ia dinamakan dengan nama Mortimer Mouse?”. Isterinya mengerutkan dahi dan menjawab, “Mortimer? Bagaimana dengan nama Mickey?”

Bermula dari situ, Walt Disney tidak menoleh ke belakang dan berusaha keras membangunkan kartun Mickey Mouse yang sehingga kini dikenali oleh setiap kanak-kanak.

Di dalam buku The Man Behind the Magic: The Story of Walt Disney, isterinya mengatakan Walt Disney tidak pernah sesekali membenarkan pemikirannya dikuasai dengan perasaan yang beliau telah diatasi oleh orang lain.

Ketabahan yang beliau miliki membolehkan beliau menghasilkan pencapaian yang terhebat dalam industri animasi kartun. Sepanjang kareernya selama lebih 4 dekad, studio miliknya bukan sahaja telah berjaya menetapkan standard atau piawai yang menjadi ikutan pemain-pemain lain dalam industri animasi kartun, malah memenangi 48 Academy Awards.

Galakan Dari Awal

Karakter Walt Disney banyak dipengaruhi oleh ibunya yang penyayang dan ayahnya yang kuat bekerja. Sewaktu zaman kanak-kanaknya, beliau akan mengambil setiap kesempatan yang ada untuk melukis walaupun di atas tisu tandas dan ibu bapanya menggalakkannya.


Di sekolah, apabila diberi peluang oleh gurunya, beliau akan melukis di papan hitam sambil bercerita.

Semasa Perang Dunia Pertama, Walt Disney bekerja untuk salah satu unit di bawah Red Cross Ambulance Corps di Perancis dan beliau menajamkan lagi kemahiran melukisnya, dengan menghias jaket rakan-rakannya dengan lukisan pingat-pingat anugerah yang palsu dan juga mewarnakan helmet perang mereka.

Salah seorang ahli unitnya, Ray Kroc (pengasas McDonald’s Corp) mengatakan Walt Disney merupakan seorang yang pelik. Ini kerana ketika rakan-rakannya yang lain pergi berhibur di kelab-kelab malam pada waktu rehat, beliau akan tinggal di kem dan melukis.

Kerajinannya berlatih melukis tanpa mengira masa dan tempat membuahkan hasil apabila pada usia 18 tahun, beliau telah mempunyai keyakinan diri untuk menubuhkan studio penerbitannya yang pertama pada tahun 1919 di bandar Kansas.

Walaupun studionya hanya mampu bertahan selama setahun, akibat kekurangan ilmu dan pengalaman, namun ianya telah menetapkan hala tuju Walt Disney yang seterusnya.

Berterusan Melakukan Inovasi

Pada tahun 1920, beliau bekerja sebagai animator untuk sebuah studio penerbitan kartun. Sambil bekerja, beliau akan memikirkan jalan untuk menambahbaik teknik penghasilan kartun.

Rahsia Kejayaan Walt Disney

Untuk menguji idea-ideanya, Walt Disney akan memujuk ketuanya untuk membenarkannya meminjam kamera rakaman filem milik studio. Beliau akan membawa pulang kamera tersebut dan mengunakannya untuk menguji idea-idea baru beliau dalam teknik rakaman kartun di garaj rumah ayahnya.

Tiga tahun selepas itu iaitu pada tahun 1923, sekali lagi beliau memulakan studionya sendiri yang diberi nama Disney Bros. Studio. Kali ini Walt Disney menguruskan studionya bersama abangnya, Roy.

Walt Disney mempunyai pendekatan yang berlainan dalam menerbitkan siri-siri kartunnya. Beliau akan menggunakan setiap sumber yang ada untuk menghasilkan siri kartun yang benar-benar berkualiti, dan sempurna hingga adakalanya ia menyebabkan studionya berada di ambang penutupan kerana kekurangan modal.

Malah keuntungan yang dikumpul dari penerbitan siri-siri kartunnya akan dilaburkan kembali dalam studio untuk meningkatkan kualiti kartunnya, dengan memasukkan suara dan tidak lama kemudian menghasilkan kartun yang berwarna.

Yakin Dengan Idea Sendiri

Setelah menyaksikan siri-siri kartunnya mendapat sambutan yang hangat dari kalangan penonton, Walt Disney mula merancang untuk pergi lebih jauh dengan menghasilkan siri animasi kartun penuh, yang mempunyai jalan cerita yang lebih panjang.

Siri Animasi Snow White - Walt Disney

Namun ideanya tidak dipersetujui oleh pengedar siri-siri kartunnya dan ahli keluarganya. Pengedar tersebut berpendapat Walt Disney perlu terus menghasilkan siri kartunnya dengan formula yang sedia ada, kerana ia terbukti berjaya dan menguntungkan.

Ahli keluarganya pula bimbang jika keuntungan yang diraih selama ini akan bertukar menjadi kerugian jika ideanya gagal.

Namun Walt Disney langsung tidak menghiraukan pandangan-pandangan negatif tersebut malah dengan tegas beliau mengatakan kepada mereka;

Jika studio ini ingin meneruskan penerbitannya maka kita perlu memastikan ia pergi lebih jauh dari pencapaiannya sekarang.”

Dan pada tahun 1937, terhasillah siri animasi Snow White and the Seven Dwarfts yang terus mendapat sambutan yang hangat sebaik ianya ditayangkan.

Menurut penulis buku bibliografi Walt Disney: A Bio-Bibliography, animasi kartun tersebut menjadi amat berjaya sehinggakan majoriti penonton termasuk artis-artis terkenal pada masa itu, yang menghadiri tayangan perdana animasi tersebut mengalirkan air mata sewaktu menontonnya.

Malah siri animasi Snow White tersebut terus bertahan dan popular di seluruh dunia sehingga tahun 2007.

Kejayaan yang dicapai ini menyerlahkan satu lagi kualiti diri Walt Disney iaitu menganggap setiap kritikan sebagai cabaran untuk membuktikan kemampuan diri serta ideanya.

Dalam tahun 1934, terdapat kritikan yang mengatakan para penonton tidak akan dapat bertahan lama menonton siri animasi kartun yang mempunyai jalan cerita yang panjang.

Bagi menjawab kritikan tersebut, beliau mengumpulkan para pengkritik untuk menerangkan plot siri animasi Snow White. Dengan bantuan beberapa orang pelakon, Walt Disney melakonkan sendiri setiap watak di dalam siri animasi tersebut dengan penuh penghayatan sehinggakan para pengkritik tersebut yakin pada idea penerbitannya itu.

Rahsia Sebenar Walt Disney

Mereka yang mengenali Walt Disney mengatakan rahsia sebenar kejayaan beliau terletak pada prinsipnya yang tidak meletakkan keuntungan sebagai matlamat utama dalam penghasilan siri-siri kartunnya.

Walt Disney - Inovator

Walt Disney percaya apabila kita menghasilkan sesuatu dengan bersungguh-sungguh dan sebaik mungkin, pelanggan akan menyukainya dan akhirnya keuntungan pasti akan terhasil dengan sendirinya. Salah seorang pekerjanya mengatakan;

Beliau hanya mempunyai satu peraturan iaitu apa sahaja yang kita lakukan, ianya perlu lebih bagus daripada apa yang dihasilkan oleh orang lain.”

Memandangkan Walt Disney tidak pernah membenarkan dirinya berpuas hati dengan kejayaan yang telah dicapai, beliau seterusnya meletakkan visi untuk membuka sebuah taman hiburan yang akan ‘menghidupkan’ setiap watak dalam siri-siri kartunnya sebelum ini.

Taman hiburan tersebut diberi nama Disneyland.

Walaupun digelar gila oleh pemilik taman-taman hiburan yang lain pada masa itu, Walt Disney tetap berpegang teguh pada kepada kepercayaan bahawa idea taman hiburannya itu akan berjaya mendapat sambutan dari pengunjung.

Pada sekitar tahun 1950-an, untuk merealisasikan visinya itu beliau mengumpul modal dengan membuat pinjaman sebanyak USD100,000.00 dengan mencagarkan simpanan polisi insuran nyawanya, menjual rumah percutiannya di Palm Spring, California dan mengumpul hasil bayaran penerbitan siri televisyen Disneyland di rangkaian televisyen ABC.

Hasil kesungguhannya dan kepercayaannya itu meyaksikan taman hiburan Disneyland bukan sahaja dapat bertahan hingga sekarang malah dibuka di Hong Kong, Paris dan Jepun.

Walaupun Walt Disney tidak hidup lama untuk menyaksikan kejayaan studio dan taman hiburannya, namun idea, inovasi dan ketabahannya membolehkan sehingga kini berjuta-juta orang menikmati kegembiraan menerusi siri-siri kartun dan taman hiburannya.

Tetapi bagi mereka yang mengenalinya, apa yang membuat Walt Disney lebih diingati adalah kerana komen beliau mengenai seorang pekerjanya;

“Sekiranya beliau merasa tidak gembira dengan keadaannya sekarang, maka beliau tidak boleh bekerja di sini kerana kita menjual kegembiraan.”

Kredit gambar: (MemphisToursEgypt, Cesar Angle, Kiwi 555, Free Holiday Wallpapers, IndieWire, Wallpapers 99). Sumber: Majalahniaga.com

No comments:

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI