Sebagai pembuka tirai 2011, saya memilih untuk menulis mengenai jenama bisnes dari negara kita sendiri yang telah menjadi jenama bertaraf global dalam tempoh kurang dari 9 tahun iaitu syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia.
Pada tahun 2001, syarikat ini bernilai hanya RM1.00, dibebani hutang sebanyak RM40 juta, mempunyai hanya dua kapal terbang terpakai Boeing 737-300, terbang hanya ke satu destinasi, membawa 250,000 penumpang setahun dan mempunyai hanya 250 pekerja.
Namun selepas 9 tahun, AirAsia bernilai hampir RM 4 billion, mencatat keuntungan sebanyak RM549 juta, memiliki lebih 85 pesawat Airbus A320 dan A330, terbang terus melalui lebih 130 laluan perjalanan ke 70 destinasi seluruh dunia, menerbangkan lebih 20 juta orang penumpang setahun dan kini mempunyai lebih dari 8,000 orang pekerja di Malaysia, Thailand dan Indonesia.
Dan apa yang lebih menarik kini ia menjadi saingan syarikat penerbangan bertaraf antarabangsa utama lain yang telah lama beroperasi seperti Malaysia Airlines Sistem (MAS), Singapore Airlines (SIA) dan Cathay Pacific.
Apakah Resipi Kejayaan Tony Fernandes?
Ketika pengasasnya, Dato’ Seri Tony Fernandes, mengumumkan impiannya untuk melancarkan perkhidmatan penerbangan tambang rendah yang pertama di rantau ini, ramai yang memandang sinis dan tidak yakin dengan impiannya itu.
Tetapi selepas 9 tahun, beliau membuktikan bahawa tiada apa yang mustahil di dunia ini dan apa yang lebih menarik, modul perniagaan perkhidmatan tambang rendah AirAsia menjadi ikutan pesaing-pesaingnya seperti MAS yang menubuhkan Fireflyz, SIA yang menubuhkan Tiger Airways dan Qantas Airways yang menubuhkan Jetstar Airways.
Apakah rahsia kejayaan yang digunapakai oleh Dato’ Seri Tony Fernandes hingga berjaya meletakkan AirAsia di tahapnya sekarang? Adakah semata-mata hanya kerana tambangnya yang murah? Ataupun kerana daya penarik pramugari-pramugarinya yang beruniform merah?
Jawapannnya, tiada rahsia, yang ada hanyalah strategi bisnes yang tepat yang digunakan oleh AirAsia. Strategi bisnes AirAsia bukan sahaja terbatas pada strategi pemasaran dan poduk semata-mata tetapi ia mencakupi dari semua aspek termasuk pengurusan bisnes.
Para Pekerja Adalah Aset Syarikat
Antaranya pengurusan pasukan kerja yang berkesan. AirAsia menggelarkan pekerja-pekerjanya AllStars kerana bagi AirAsia faktor utama yang menyumbang kepada kejayaannya adalah peranan yang dimainkan oleh pekerja-pekerjanya.
Walau secanggih mana pun pesawat atau sistem pengkomputeran operasi yang digunakan oleh AirAsia ianya tidak akan bermakna apa-apa jika tiada pekerja yang menggerakkannya. Kerana itu AirAsia dengan bangganya menyatakan di dalam laman webnya seperti berikut :
“Our people are our GREATEST ASSET. They MAKE all the DIFFERENCES in the world. Our DRIVING FORCE has always been our people. From our humble beginnings to the present family size of 8,000 people, we stand UNITED and SHARE one common culture.”
Bagi melahirkan pasukan kerja yang berkesan, AirAsia bukan sahaja memberikan latihan yang sewajarnya kepada para pekerjanya malah AirAsia mengambil inisiatif menubuhkan Unit Budaya Korporat yang yang bertanggungjawab dalam menerapkan nilai dan amalan syarikat kepada semua pekerja.
Kos Bagi Setiap Tempat Duduk Hanya RM0.82!
Antara strategi yang lain adalah AirAsia memastikan pengurusan kos efektif. Ini kerana hanya dengan melalui pengurusan kos yang efektif sahaja yang akan membolehkan AirAsia terus menawarkan harga tambang penerbangan yang rendah pada pelanggan-pelanggannya.
Kecekapan pengurusan AirAsia dalam mengawal kos terbukti dengan pengiktirafannya sebagai penerbangan tambang murah yang mempunyai kos terendah di dunia iaitu USD0.24 (RM0.82) untuk setiap tempat duduk.
Membina Hubungan Dengan Rakyat Malaysia
Salah satu strategi bisnes AirAsia yang unik ialah membina hubungan dengan rakyat Malaysia. Setiap kejayaannya, kecil atau besar, bukan sahaja diraikan tetapi diwar-warkan sama ada di laman web mereka atau dihebahkan melalui media dan dipaparkan sebagai kejayaan rakyat Malaysia bersama bukannya hanya kejayaan AirAsia atau Dato’ Seri Tony Fernandes semata-mata.
Malah di dalam blognya, Dato’ Seri Tony sendiri menyatakan :
‘Sebagai sebuah negara, kita perlu percaya bahawa kita mampu melakukan apa sahaja. Kita mampu menjadi yang terbaik. Anak-anak kita perlu berhenti memandang tinggi kepada ikon dan individu dari negara luar seperti Manchester United, Ferrari dan Steve Jobs. Berhenti menganggap bahawa yang terbaik hanya datang dari luar negara. Kita perlu mula percaya bahawa sebagai rakyat Malaysia kita boleh. Kita boleh bersaing dan menjadi yang terbaik di dunia.’
Bagi mereka, kejayaan ini bukanlah kejayaan peribadi semata tetapi kejayaan yang mesti dikongsi bersama rakyat Malaysia kerana jenama AirAsia merupakan jenama Malaysia.
Impian Yang Dipandang Rendah Kini Terbang Tinggi
Apa yang menarik mengenai strategi-strategi bisnes AirAsia ini ialah ianya bersifat universal. Strategi-strategi tersebut bukan sahaja boleh digunakan oleh bisnes yang bersaiz besar malah juga yang bersaiz kecil dan baru hendak mula bertapak.
Dan dengan membuat rujukan kepada strategi bisnes yang telah terbukti berkesan seperti di atas, ia dapat membantu para pemilik bisnes meminimumkan risiko serta mengelakkan mereka mengulangi kesilapan yang telah dilakukan oleh mereka yang terdahulu terlibat dalam bisnes.
*Kredit gambar yang diambil daripada Flickr: (eGuide Travel, 2011 Team Lotus photo archive, jetalone)
Sumber:majalahniaga.com