Orang Jepun bukanlah bangsa pertama yang mencipta kereta, sebaliknya orang Amerika yang dirintis oleh Henry Ford yang melakukannya.
Tetapi hari ini dalam pasaran kereta dunia adakah kereta-kereta dari Amerika mendominasi jualan kereta dunia? Tidak. Jarang orang apabila hendak membeli kereta akan bercerita tentang kereta-kereta keluaran Amerika seperti Ford dan Chevrolet.
Apatah lagi dalam segmen kereta mewah, orang akan berfikir tentang kereta-kereta keluaran Jerman seperti BMW, Mercedes dan Audi.
Golongan yang berpendapatan sederhana akan menyasarkan kereta-kereta Jepun seperti Toyota, Honda dan Nissan apabila ingin membeli kereta.
Sebagai negara yang mula-mula mencipta kereta, Amerika Syarikat tewas di ‘padang’ mereka sendiri apabila kereta Toyota (atas jenama Lexus) lebih banyak dijual di seluruh Amerika berbanding kereta jenama mereka sendiri.
Apakah formula rahsia yang menjadi tunjang kejayaan sektor automotif negara Jepun? Jawapannya, meniru ciptaan Amerika dan memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada.
Mengapa apabila kita mendengar seseorang yang sudah berjaya, kita akan tertarik untuk mendekati dan mengorek rahsia serta resipi kejayaan beliau? Jawapannya sangat mudah. Kerana cara, teknik dan strategi yang digunakan beliau sudah berhasil.
Dalam sebuah program kemahiran belajar yang saya ikuti semasa zaman persekolahan dahulu, ada satu slot yang mendedahkan strategi belajar pelajar-pelajar terbaik SPM negara ini.
Apa yang dikatakan sebagai rahsia kejayaan bukanlah rahsia mana pun kerana teknik yang diamalkan mereka adalah ringkas sahaja.
Cara utama yang diamalkan mereka ialah malam sebelum masuk ke kelas keesokan hari, mereka akan mengulang kaji terlebih dahulu apa yang akan diajar oleh guru pada keesokan hari.
Selepas kelas selesai, pada malam hari pula mereka akan mengulang kaji apa yang telah dipelajari di dalam kelas. Kelebihannya apabila tiba musim peperiksaan, mereka tidak perlu lagi terlalu bertungkus lumus untuk mengulang kaji seperti kebanyakan pelajar lain.
Seorang usahawan berjaya memberitahu bahawa hidup ini terlalu singkat untuk kita melakukan eksperimen terhadap setiap perkara untuk mengetahui apakah ia berhasil atau tidak.
Kita tidak mempunyai cukup wang, tenaga dan masa untuk mencuba setiap perkara. Orang yang telah berjaya pastinya telah melakukan kesilapan-kesilapan dalam perjalanan mereka menuju kejayaan.
Jarang sekali kita dengar tentang kejayaan yang dicipta hanya dengan sekali percubaan sahaja. Jika proses untuk mencapai sesuatu perkara itu adalah mudah dan ramai yang mampu melakukannya, ia tidak dikatakan sebagai kejayaan.
Sebagai contoh, adakah ibu bapa anda membanggakan anda ke mana sahaja mereka pergi kerana anda mampu memiliki kereta? Adakah mereka memberitahu rakan-rakan “Anak aku seorang yang berjaya sebab boleh pandu kereta”?
Tentu sekali tidak kerana memandu kereta merupakan perkara yang terlalu ramai orang boleh lakukan dan justeru ia tidak dianggap sebagai kejayaan.
Tanpa kita sedari meniru merupakan perkara yang perlu dan sentiasa kita lakukan semenjak kecil hingga akhir hayat.
Sebagai contoh, seseorang yang mampu untuk bermain sejenis sukan dengan baik. Sesetengah mereka dengan selamba mengatakan “Aku tengok macam mana orang lain main, lepas tu aku buat perkara yang sama.”
Apabila mereka ingin menjadi lebih hebat dalam sukan tersebut, mereka mula mencari jurulatih, sekali lagi proses meniru dan duplikasi berlaku. Jurulatih berpengalaman telah melatih ramai anak murid. Mereka tahu teknik dan strategi yang berhasil kerana telah memerhati ramai atlet di bawah didikan mereka.
Dalam sebuah filem yang terkenal berdasarkan kisah benar, ‘Pursuit of Happyness’, Chris Gardner, satu hari ternampak seorang lelaki kaya memandu kereta Ferrari.
Beliau menghampiri lelaki tersebut dan bertanya “Saya hanya ada dua soalan. Apakah yang anda lakukan? Dan bagaimana anda melakukannya?”.
Lelaki tersebut menjawab “Saya adalah seorang “stock-broker”. Anda perlu bagus dalam pengiraan dan perhubungan manusia. “
Dengan dua jawapan tersebut, Chris memulakan langkah bekerja di sebuah firma saham. Enam tahun kemudian, beliau merupakan seorang jutawan.
Kesimpulannya, proses meniru adalah perlu untuk memendekkan masa kita menuju kejayaan.
Hilmi Isa
Hilmi Isa merupakan seorang penulis buku Rahsia Kalimah Berkuasa Dalam Bisnes. Beliau adalah ahli psikologi bahasa (psiko-linguistik). Hilmi juga merupakan marketing strategist yang pernah mendapat bimbingan protégé marketer ternama dunia seperti Jay Abraham dan Dan Kennedy. Pensyarah bahasa ini mengintegrasikan NLP dan Hipnosis ke dalam aktiviti marketing. Beliau telah memulakan beberapa bisnes fizikal dengan modal yang minimum dan tanpa meminjam. Marketing strategist ini juga berpengalaman menolong menyelesaikan masalah marketing syarikat-syarikat IKS.
sumber:majalahniaga.com