Oleh Mohd Rafi Mamat
Berbudi pada tanah, pasti dapat hasilnya dan jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Pepatah itu dibuktikan seorang petani, Ahmad Mustafa Yunus, 57, yang terbabit dengan projek tanaman pokok bunga kantan atau nama saintifiknya Phaeomeria speciosa Koord secara komersial.
AHMAD Mustafa memilih bunga kantan
Projek berkenaan diusahakannya di kawasan seluas dua hektar di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub, Pahang.
Kini terdapat 1,000 rumpun pokok berkenaan yang tumbuh subur hingga mencapai ketinggian dua meter membabitkan tiga jenis iaitu bunga berwarna merah, putih dan merah jambu.
Ahmad Mustafa berkata, dia mula terbabit dengan projek tanaman pokok bunga kantan 20 tahun lalu.
.
Katanya, usaha itu hasil sokongan dan bantuan daripada agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang menyediakan modal permulaan, selain benih.
Menurutnya, aktiviti memungut bunga kantan pramatang dilakukan setiap tiga hari dan purata hasil antara 400 hingga 700 kuntum seminggu.
Sebelum dipasarkan bunga kantan digred dan diikat setiap sepuluh kuntum.
Katanya, selain menanam, dia pernah menjadi pemborong dan menjual hasil pertanian itu kepada beberapa pembeli.
Namun, sejak beberapa tahun lalu dia hanya menumpukan kepada aktiviti pengeluaran bunga kantan saja.
“Setiap minggu saya, isteri dan anak ke kebun untuk melakukan pelbagai aktiviti seperti membersih kawasan, melakukan penjarangan pokok, menanam semula, meracun, memungut hasil dan menjual kepada pemborong.
“Mengusahakan tanaman pokok bunga kantan sangat mudah. Saya hanya perlu membeli racun rumpai terpilih yang digunakan setiap dua hingga tiga bulan sekali,” katanya.
Pokok berkenaan hidup subur di kawasan berair dan lembap sementara musuh seperti serangga tidak berminat menyerang kerana aroma yang terdapat padanya.
Ahmad Mustafa berkata, setiap rumpun pokok bunga kantan mampu menghasilkan antara tiga hingga tujuh kuntum bunga bergantung kepada kesuburan dan saiz perdu pokok.
Hanya bunga yang belum berkembang saja diambil bagi memastikan ia tidak mudah rosak dan busuk apabila terdedah cuaca panas.
Harga bunga kantan katanya bergantung kepada saiz dan jenisnya iaitu antara 40 hingga 70 sen sekuntum.
Sebelum ini, dia menjual terus kepada beberapa pembeli pasar Selayang, Selangor dan pasar besar Kuantan setiap minggu, namun kini pemborong datang ke rumahnya untuk mendapatkan bekalan.
“Sudah 15 tahun saya berulang-alik ke pasar Selayang dan pasar besar Kuantan untuk menjual bunga kantan termasuk pelbagai sayur kampung seperti pucuk paku hijau, ulaman, rebung dan ubi.
“Permintaan terhadap produk kampung begitu menggalakkan,” katanya.
Ahmad Mustafa berkata, setiap kali musim buah-buahan dia turut menjual durian, rambutan, dokong, duku dan manggis.
Aktiviti berkenaan dapat membantu menambah pendapatan penduduk setempat selain mengelak berlakunya lambakan.
Ahmad pernah menerima Anugerah Peladang Jaya peringkat negeri pada 2002 dan Anugerah Peladang Jaya Kebangsaan (2004).
Katanya, bunga kantan jenis merah dianggap terbaik dan mendapat permintaan lebih tinggi dalam kalangan suri rumah dan tukang masak profesional berbanding jenis putih dan merah jambu.
“Bagi menjaga kualiti dan mutu bunga kantan ia perlu segera dipasarkan sebaik saja proses membersih dan menggred dilakukan.
“Aspek pembungkusan perlu diberikan perhatian bagi memastikan bunga kantan sentiasa dalam keadaan kering dan tidak mudah patah,” katanya.
Pokok bunga kantan yang tergolong dalam keluarga halia digunakan sebagai penambah perasa dan aroma makanan selain menjadi penawar pelbagai jenis penyakit termasuk turut digunakan untuk awet muda dalam kalangan wanita Melayu.
Pokok bunga kantan mengeluarkan bunga sepanjang tahun, namun pada waktu tertentu pengeluaran bunga berkurangan dalam tempoh beberapa bulan.
Ketika bunga kantan berkurangan, katanya dia beralih kepada aktiviti lain bagi menampung pendapatan keluarga.
“Untuk menambah pengeluaran bunga kantan, saya kini berusaha memulihkan pokok sedia ada.
“Dengan usia pokok lebih 20 tahun, aktiviti sampingan seperti membaja perlu dilakukan secara berjadual,” katanya yang turut mengusahakan kebun sayur dan buah-buahan tempatan.
Menurutnya, bagi menambah pendapatan penduduk kampung, dia sedia berkongsi pengalaman mengusahakan kebun tanaman bunga kantan dan mereka yang berminat boleh mencuba projek berkenaan kerana tidak memerlukan modal besar selain penjagaannya mudah.
Katanya, projek tanaman pokok bunga kantan mampu memberi pendapatan lumayan sekiranya diusahakan secara besar-besaran.
Harga produk berkenaan di pasaran katanya mencecah RM4 sekuntum terutama pada musim perayaan.
“Saya sedia bertukar pengalaman dan membekalkan benih kepada mana-mana pihak yang berminat untuk mengusahakan tanaman berkenaan.
“Pokok bunga kantan yang ditanam berbeza terutama dari segi saiznya berbanding yang banyak terdapat di kampung.
“Mereka yang berminat boleh datang melihat projek yang saya usahakan dan dari situ mungkin akan datang minat,” katanya.
Tanaman berkenaan katanya, sesuai dilakukan secara sambilan kerana tidak memerlukan modal besar, sebaliknya mampu memberi keuntungan besar.
Sumber: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bungakantanuntungbesar/Article/index_html