Media Berbayar (iaitu pengiklanan) masih lagi salah satu cara yang berkesan untuk mempromosikan jenama anda. Namun adakah ia memberikan pulangan yang maksimum terhadap pelaburan anda?
Pengguna muda (Generasi X dan Y ) hari ini kian menggunakan telefon pintar, tablet atau laptop semasa menonton televisyen (TV) dan di Amerika Syarikat sahaja, menurut Google, lebih 77 peratus penonton melakukannya. Ini menunjukkan bahawa mereka adalah multitasker yang melakukan pelbagai aktiviti dalam satu masa.
Tabiat ini dimanfaatkan oleh Papa John’s Pizza untuk mendapatkan pelanggan berbayar yang berkekalan semasa pertandingan akhir Super Bowl Amerika Syarikat di mana kadar pengiklanan TV adalah yang termahal kerana mempunyai rating penonton yang amat tinggi.
Upacara coin toss iaitu melambung syiling untuk menentukan pasukan mana memulakan sepakan juga acara yang paling tinggi tontonannya. Pada 2012 dan 2013, Papa John’s Pizza melancarkan kempen untuk meramalkan keputusan melambung syiling tersebut. Penonton digalakkan mendaftar dan mengundi melalui e-mel. Pemenang akan menerima kod untuk mendapatkan piza istimewa secara percuma.
Papa John’s Pizza tidak pula membeli masa iklan TV pada pertandingan akhir Super Bowl. Sebaliknya bajet itu digunakan untuk menghadiahkan piza percuma kepada penonton yang kini menjadi pelanggan tetap dan berbayar. Jualan sebarang jenama piza adalah yang tertinggi pada setiap pertandingan akhir Superbowl.
Melalui data pelanggan yang menyertai kempen tersebut, Papa John’s Pizza menghantar e-mel susulan mengenai promosi yang akan datang dan ini mampu membina kesetiaan pelanggan mereka.
Melalui Facebook dan Twitter pula mereka mampu mendapatkan lebih ramai peminat, pengikut yang kemudian menjadi tukang canang jenama mereka. Inilah proses yang dikenali sebagai Media Yang Dikongsi (Earned Media).
Kalau dilihat kebanyakan kempen pengiklanan adalah kempen memberi kesedaran dan maklumat sahaja tanpa sebarang aktiviti untuk mendapatkan pelanggan tetap. Alangkah ruginya.
Pengguna hari ini mempunyai gajet untuk memberi maklum balas secara spontan dan mengambil bahagian dalam sebarang aktiviti yang menarik atau memberi ganjaran atas sebarang pembelian.
Pengumpulan data oleh syarikat pemasaran adalah aktiviti yang tidak boleh dilepaskan kerana data ini adalah aset yang berharga sama ada sebagai peminat, pengikut atau tukang canang terutama melalui media sosial untuk membangunkan jenama anda. Dan mereka ini mampu akhirnya dijadikan pelanggan tetap dan berbayar.
Dengan menggunakan platfom mudah alih, pemasar hari ini mesti memanfaatkan Media Berbayar (Paid Media) agar akhirnya menjadi Media Yang Dikongsi (Earned Media). Di samping itu Media Yang Dimiliki (Owned Media) iaitu kesemua aset pemasaran anda mesti digunakan untuk mempromosikan jenama anda.
Ini termasuklah katalog, papan tanda, mesej e-mel dan khidmat pesanan ringkas (SMS), Facebook, Instagram, aplikasi mudah alih, Twitter, laman sesawang dan apa sahaja yang dimiliki dan dikawal oleh pemasar.
PENULIS adalah Konsultan Komunikasi Pemasaran Lensa Films dan Jurulatih Kanan ClickAcademy Asia. E-mel: adisatriaahmad@gmail.com
Kesemua aset ini belum tentu mampu meraih penonton atau pembaca melainkan ada aktiviti yang menggalakkan pengguna menjadi peminat, pengikut atau tukang canang jenama anda.
Satu cara yang paling berkesan ialah melalui Pemasaran Kandungan (Content Marketing) iaitu proses pemasaran yang menarik, kreatif dan mengekalkan kesetiaan pelanggan anda dengan mencipta kandungan secara konsisten untuk mengubah atau meningkatkan tabiat pengguna terhadap jenama anda. Proses ini dikenali sebagai Pembangunan Audien Yang Dimiliki (Proprietary Audience Development).
Kedua-dua proses ini saling berkaitan. Satu menyediakan kandungan dan satu lagi menggunakan kandungan tersebut.
Inilah proses pemasaran moden terutama dalam era internet dan mudah alih di mana pengguna sentiasa berinteraksi dengan jenama mereka dan bersama komuniti yang mempunyai minat dan keperluan sama. Para ahli pemasaran mesti peka bahawa ketiga-tiga jenis media ini (Media Berbayar, Media Yang Dimiliki dan Media Yang Dikongsi) akan bersatu dan saling kait-mengait untuk mengembangkan saiz, interaksi, perhubungan dan nilai Audien Yang Dimiliki.