Monday, October 26, 2020

Berbicara dengan sayuran

 Bagi yang melalui kawasan perumahan Precint11, Putrajaya pasti akan memberhentikan kenderaan sejenak bagi melihat kebun kecil milik Anuar Kamal Ismail, 43, yang diusahakan mengikut kaedah akuaponik.

Di bahagian hadapan laman rumah, pelbagai jenis tumbuhan hijau seperti sawi dan salad subur menghijau dan menunggu masa untuk dipetik manakala di bahagian belakang terdapat tanaman seperti kangkung, tomato, pudina, bendi dan kesum yang ditanam di dalam pasu turut menggunakan kaedah sama.

Menurut Anuar, pada awal 2018, dia mulai sedar mengenai pentingnya pengambilan makanan organik memandangkan pelbagai penyakit mudah menyerang berpunca daripada faktor pemakanan.

“Mulanya saya berhasrat membela ayam kampung, tetapi terhalang disebabkan tiada kawasan sesuai. Menerusi pencarian di Facebook saya mendapati kaedah akuaponik paling sesuai kerana menjimatkan ruang dan mudah dijaga.

“Saya mula mencari barang-barang terbuang seperti batang paip dan besi serta mengeluarkan modal M1,000 untuk membeli ikan, biji benih dan peralatan lain. Namun ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana saya perlu melakukan berkali-kali agar sistem pengaliran air berjalan lancar dan tidak tersekat,” katanya.

Katanya lagi, akuaponik menggabungkan kombinasi di antara akuakultur (ternakan ikan) dan hidroponik (tanaman tanpa tanah). Ia bertujuan membantu meringankan beban melalui ternakan ikan dan tanaman sayuran, namun jika diusahakan secara komersial mampu menjana punca pendapatan lumayan.

“Ini kerana akuaponik tidak memerlukan ruang besar dan boleh diusahakan di kawasan bandar. Menariknya ia adalah teknologi pertanian yang digabungkan dengan perikanan. Oleh itu dalam sekali produksi akuaponik dapat menghasilkan dua produk sekali gus iaitu sayur-sayuran dan penternakan ikan,” katanya.

Pada peringkat permulaan Anuar menanam timun dan cili, namun kurang menjadi disebabkan gangguan serangga perosak. Kemudian dia beralih kepada tomato, pudina, bendi dan kangkung menggunakan pasu manakala untuk sayuran hijau dia menggunakan paip plastik PVC.

IKAN tilapia menghasilkan amonia dan nitrit semula jadi.
IKAN tilapia menghasilkan amonia dan nitrit semula jadi.

Keistimewaan akuaponik ialah ia tidak menggunakan baja kimia sebaliknya nutrisi tanaman diperoleh menerusi sisa yang dihasilkan oleh ikan tilapia yang menghasilkan nitrit dan amonia semula jadi.

“Kotoran dihasilkan ikan ini dialirkan menuju ke tanaman dan tersebar sehingga diserap ke seluruh bahagian akar. Bentuk sistem akuaponik pula beragam dan boleh disesuaikan dengan jenis tanaman yang akan ditanam,” katanya.

Katanya lagi, ikan seperti tilapia dan keli paling sesuai digunakan disebabkan faktor mudah dijaga dan hidup dalam air tawar.

Jimat beli sayur

Sejak mengusahakan tanaman akuaponik Anuar tidak lagi membeli sayur-sayuran sebaliknya hanya memetik di hadapan rumah. Sistem tanaman ini juga tidak memerlukan masa yang lama untuk matang. Sebagai contoh sawi hanya memerlukan masa tidak lebih 45 hari sebelum boleh dimakan begitu juga tanaman lain.

“Bagi mengelak semua tanaman matang serentak jadi saya membahagikan peringkat tanaman agar semua sayuran tidak dipetik pada waktu yang sama. Jika ada pastinya ia menjadi rezeki untuk jiran tetangga sama seperti ikan talapia,” katanya.

Merancang untuk mengusahakan secara lebih teratur dan dapat dikomersialkan, kaedah ini bukan saja dapat dijalankan di kawasan perumahan jenis teres, tetapi juga kondominium asalkan mempunyai sistem yang teratur.

“Apa yang penting adalah memastikan bekalan elektrik tidak terputus agar pengaliran air berjalan lancar. Begitu juga dengan makanan ikan yang diberikan mengikut jadual. Tidak boleh terlebih atau kurang kerana akan menjejaskan kualiti ikan ini,” jelasnya.

SISTEM saliran untuk tanaman akuaponik.
SISTEM saliran untuk tanaman akuaponik.

Menceritakan lebih lanjut, Anuar yang semakin serasi dan gembira dengan aktiviti terbarunya ini menjelaskan setiap pagi sebaik bangun tidur

pasti dia akan melihat tanaman akuaponik terlebih dulu, memberi makan ikan dan membuang lumut jika ada pada bahagian saliran air.

“Inilah aktiviti saya setiap pagi. Berbicara dengan sayur-sayuran hijau dapat melegakan tekanan dan menjadikan tubuh lebih sihat. Warna hijau pula menjadikan mata lebih sihat,” ujarnya gembira.

Pada masa akan datang dia berhasrat membina sistem akuaponik di sekolah sebagai salah satu teknik pembelajaran di sekolah. Sekurang-kurangnya pelajar dapat melihat secara praktikal bagaimana kaedah ini dilaksanakan, berbanding hanya menerusi pembacaan.

Rujukan : https://www.hmetro.com.my/hati/2018/09/377969/berbicara-dengan-sayuran

No comments:

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI