Bukan semua orang ingin dan berniat untuk memulakan perniagaan sendiri. Mungkin kerana tiada sebarang tergerak minat untuk menjadi usahawan atau kerana mereka bimbang akan rugi atau tidak mendapat pulangan modal.
Anda juga begitu?
Sememangnya tiada salah di situ. Terpulanglah pada diri masing-masing kerana mungkin kita lebih selesa bekerja makan gaji. Rezeki pastinya ada di mana-mana saja. Tetapi sebagai manusia, kita digalakkan berniaga untuk memajukan taraf ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup kita sendiri.
Antara keistimewaan kenapa anda mesti berniaga :
1. Mempunyai masa sendiri.
Apabila anda berniaga, anda boleh meluangkan masa anda bersama keluarga atau kawan-kawan sekiranya perniagaan anda dijalankan dengan baik. Ramai orang sentiasa mengadu mereka tidak mempunyai masa yang mencukupi bersama keluarga kerana terlalu sibuk bekerja. Kadang-kadang hujung minggu juga perlu kerja, setuju?
Itu tidak dikira lagi jika kerja anda memerlukan pengorbanan seperti kerja offshore, askar atau kelasi, jarang sekali anda dapat berjumpa dengan keluarga anda. Mulakan dengan berniaga jika anda ingin mempunyai lebih banyak masa bersama orang tersayang anda.
2. Untuk memenuhi keinginan.
Pernah tak anda jumpa orang yang kerja makan gaji, tapi boleh jadi kaya dengan hanya gaji bulanan mereka?
Jika mereka kaya pun, pastilah mereka ada kerja sampingan sendiri seperti berniaga atau ada melibatkan diri dalam aktiviti pelaburan, betul? Jika hanya dibekalkan dengan gaji, pasti tidak mencukupi.
Sekiranya anda ingin melancong atau shopping barang-barang berjenama, anda juga perlu simpan duit untuk satu jangka masa, barulah dapat penuhi keinginan anda.
Dengan berniaga, anda boleh penuhi kehendak dan keinginan anda tanpa perlu berfikir banyak kali untuk mengeluarkan duit simpanan.
3. Membantu orang yang memerlukan bantuan.
Macam mana anda nak tolong orang lain jika diri anda tidak mempunyai kemampuan yang tinggi? Cara terbaik untuk anda membantu orang adalah melalui berniaga. Anda boleh menolong mereka untuk menghadapi kesusahan yang akan datang sekiranya anda mendapat rezeki yang tinggi.
Sekiranya anda tak berniaga, anda hanya dapat menolong mereka semampu yang anda boleh. Dengan hasil perniagaan anda, anda boleh membantu mereka dari segi kewangan, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup mereka.
4. Cabar kemampuan diri sendiri.
Apabila anda memulakan perniagaan sendiri, anda perlu bertanggungjawab dengan sepenuhnya atas perniagaan anda.
Risiko-risiko dalam bisnes boleh mematangkan minda anda, melatih diri sendiri untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam bisnes, berfikir dengan lebih advance untuk mencari ruang kejayaan, dan mampu mencabar diri sendiri untuk melakukan perkara yang anda tidak terfikir untuk melakukannya.
Jika anda terpaksa menghadapi risiko perniagaan anda dengan 100%, akhirnya anda juga akan menikmati 100% kemanisan kejayaan melalui bisnes anda.
5. Berbangga dengan pencapaian.
Pasti anda sendiri tidak terfikir yang anda akan mengecapi kejayaan yang anda membina dengan titik peluh anda sendiri. Anda boleh berbangga dengan hasil kejayaan yang anda sendiri cipta kepada masyarakat dan keluarga anda.
Kejayaan ini boleh dijadikan teladan dan kisah inspirasi kepada peniaga lain yang baru bermula menjalankan perniagaan dan dah tiada niat untuk berniaga. Tunjukkan pada mereka, kegagalan bukan penghalang untuk anda berjaya!
Saya faham juga kalau ingin mula berniaga bukanlah senang. Kalau berniaga secara offline sememangnya memerlukan modal yang sangat tinggi. Apa yang anda boleh mulakan adalah dengan berniaga secara online kerana ia seiring dengan perkembangan dunia digital pada masa kini.
Ketahui juga kenapa bisnes eCommerce dan digital marketing juga penting. Terdapat banyak usahawan termasuk usahawan muda-muda telah berjaya dengan hanya menggunakan platform online untuk meluaskan pasaran supaya produk mereka dapat diketahui oleh lebih banyak pengguna dalam pasaran yang besar ini.
Hal ini kerana perniagaan online sangat mudah untuk diuruskan kerana setiap urusan hanya atas talian dan tidak perlu diuruskan di sesuatu tempat dalam tempoh yang lama.
Berikut adalah antara 5 sebab untuk anda mulakan bisnes online:
Tidak perlukan modal yang besar
Tidak perlu taraf pendidikan yang tinggi
Boleh dilakukan di mana saja
Risiko yang rendah
Bebas masa
Akhir kata, nasihat saya untuk anda, mulalah membaca buku keusahawanan, biografi usahawan berjaya atau menghadiri seminar keusahawan. Juga, bergaul dengan usahawan lain akan memberi lagi input kepada diri kita sendiri untuk lebih memahami dan mengetahui dunia keusahawanan. Semua ini sedikit sebanyak akan mencambah minat dan semangat kita.
Sekiranya tiada pengalaman, apa kata fikirkan bagaimana boleh memulakan sesuatu bersama rakan kongsi yang mungkin mempunyai lebih pengalaman dalam perniagaan. Dalam masa yang sama, tambahkan pengalaman dan ilmu dalam bidang perniagaan.
Memulakan perniagaan sendiri terutamanya jika tiada pengalaman dan bantuan, mungkin sedikit sukar. Oleh itu, mempunyai rakan yang sama-sama membantu dalam perniagaan dapat memberi suntikan semangat dan boleh bertukar fikiran dalam mendalami perniagaan dengan lebih lanjut.
Ambil satu langkah demi satu langkah dalam memupuk minat. Mengkaji ilmu perniagaan dulu sebelum memulakan perniagaan. Kuatkan juga semangat dan motivasi oleh kerana dunia perniagaan tidaklah semudah yang kita sangka terutamanya bagi mereka yang baru saja hendak bermula!
Semoga entry ini memberi inspirasi kepada anda. Jangan segan-segan untuk share kepada kawan-kawan ya!
No comments:
Post a Comment