Thursday, March 26, 2009

100 geran, pinjaman tersedia

KUALA LUMPUR 26 Mac - Terdapat lebih 100 geran dan pinjaman mudah tersedia digunakan oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk membangunkan dan mengembangkan perniagaan masing-masing, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Kong Cho Ha.

"PKS mempunyai akses kepada banyak dana pembiayaan. Sebahagiann besar daripada pakej rangsangan kedua RM60 bilion yang diumumkan baru-baru ini juga bertujuan menyokong dan membantu PKS," katanya di sidang media selepas merasmikan Forum Dana dan Pembiayaan Tahunan MIRC Tahunan Keempat Pusat Sumber ICT MCA (MIRC) di sini hari ini.

Kong berkata, pakej rangsangan kedua itu juga bertujuan menonjolkan pentingnya PKS di dalam pembangunan ekonomi negara ini, yang menyumbang 32 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Forum itu merupakan satu inisiatif di bawah Pelan Terperinci Pembangunan PKS empat tahun MIRC yang menyasarkan para usahawan, pengendali Pejabat Rumah Pejabat Kecil (SOHO), pengusaha tunggal dan PKS di dalam sektor perkhidmatan, peruncitan dan pengilangan.

Pelbagai institusi kewangan juga diperkenalkan di forum itu bagi berkongsi maklum balas terbaru mengenai geran dan pinjaman pembiyaan serta menyediakan perkhidmatan nasihat kepada PKS dalam menghadapi persekitaran perniagaan semasa yang mencabar.

Antaranya ialah Bank Negara Malaysia, EON Bank, EXIM Bank, Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC), Cradle Fund Sdn Bhd, Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV), Credit Guarantee Corporation (CGC) dan Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF).

Kerajaan komited untuk merangsang permintaan domestik bagi menyokong pertumbuhan ekonomi, katanya sambil menyatakan sektor pengilangan menerima kesan serius berikutan penguncupan permintaan global.

Forum itu diadakan setiap tahun untuk membantu PKS mendapat akses kepada pembiayaan dan MIRC telah menjalin hubungan dengan pelbagai institusi kewangan untuk mewujudkan satu pusat sehenti bagi tujuan ini.

Projek pembiayaan seterusnya MIRC ialah Penerangan Bergerak Pembiayaan Mikro yang bakal diadakan pada 15 April di Ipoh, diikuti di Pulau Pinang dan Johor Bahru masing-masing pada 17 April dan 30 April. - Bernama

PKS: Pendekatan khusus perlu

KUALA LUMPUR 26 Mac - Kerajaan perlu mempunyai pendekatan khusus untuk perniagaan kecil bagi memastikan faedah pakej rangsangan baru-baru ini sampai kepada mereka.

Pengerusi Pusat Kaji Selidik Dasar Awam Institut Kajian Strategik dan Kepimpinan Asia (Asli), Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, satu pendekatan khusus diperlukan bagi kumpulan ini kerana ia mewakili 60 peratus daripada guna tenaga.

Beliau berkata, perniagaan kecil akan menjadi sektor paling teruk terjejas akibat daripada iklim ekonomi ketika ini dan kumpulan itu juga memerlukan lebih tumpuan kerana mereka tidak berpengalaman dalam menangani situasi ini.

"Kita perlu menyelesai jurang komunikasi antara perniagaan kecil dengan institusi kewangan bagi membantu mereka menangani situasi sekarang," kata Ramon di satu seminar, di sini, hari ini.

"Saya harap dana diperuntukkan itu akan menyediakan kelegaan kepada sektor swasta, terutamanya perusahaan kecil sederhana atau PKS," katanya.

Seminar itu yang bertajuk 'Mengharungi Kegawatan Ekonomi dengan Keyakinan', dianjurkan oleh Asli.

Beliau berkata, kerajaan dan institusi kewangan harus menjalankan kaji selidik bagi menentukan masalah sebenar yang dihadapi oleh perniagaan kecil.

"Kita perlu pergi kepada mereka, dan bukan hanya menunggu mereka meminta bantuan," katanya.

Terdahulu, Ramon berkata, pada masa depan, sumbangan PKS kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara dijangka meningkat sebanyak lima peratus lagi kepada 37 peratus menjelang 2010.

Justeru itu, kerajaan tidak seharusnya mengabaikan peranan penting PKS di negara ini, terutamanya dalam situasi ekonomi sekarang, katanya. - Bernama

Wednesday, March 18, 2009

Lawatan Ke Syarikat Francais 1901


PAra pelatih dan Cikgu Yati menjamu selera di 1901

Para pelatih menjamu selera produk 1901

PAra pekerja syarikat 1901 sedang menyiapkan produk makanan mereka
Mendengar taklimat dari Starikat 1901
Syarikat Francais 1901 bertempat di Kota Damansara

Lawatan ke kilang LEkor Shop di Shah Alam

Kilang Lekor Shop

Para pekerja Lekor Shop sedang menyiapkan keropok lekor

Keropok Lekor yang telah dimasak

Para pelatih IKS diberikan pendedahan sebenar berkaitan industri makanan seperti Kilang Lekor Shop yang bertempat di TTDI Jaya , Shah Alam. Di sini mereka diberikan taklimat berkaitan industri makanan keropok lekor iaitu sejarah penubuhan, modal diperlukan, sumber biaya dll. Puan Aida dan En. Udin juga menceritakan 'jatuh bangun' dalam penubuhan kilang Lekor Shop ini. Semoga dengan taklimat tersebut, para pelatih dapat mengambil iktibar dan dijadikan panduan dalam menceburi perniagaan makanan.

Klip Gambar pelatih IKS siri 1/09 sempena lawatan Gerak Usahawan Nasional di PWTC Feb 09


Antara beberapa produk sepanjang pameran Gerak Usahawan Nasional 2009 di PWTC



Ketibaan Menteri MECD, Dato' Noh Omar


Bergambar di Booth Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV)

Melawat Booth Francais 1901

Sebilangan Pelatih IKS siri 1/09 bergambar di depan Kaunter pendaftaran masuk

Para pelatih IKS siri 1/09 dari Bahagian LAtihan Pengurusan PERHEBAT membuat lawatan ke Pameran GErak Usahawan NAsional 2009 bagi mendedahkan para pelatih berkaitan potensi pelbagai produk usahawan Bumiputera. Melalui pameran seperti ini ,mereka akan dapat gambaran apakah perniagaan yang boleh mereka ceburi, modal diperlukan, potensi setiap produk, pemasaran, pembiayaan yang terlibat serta bantuan dari agensi kerajaan. Semoaga dengan pameran ini, para pelatih dapat membuka minda mereka dan dapat melihat peluang perniagaan yang mereka boleh ceburi kelak.

Jaga jadi tauke landskap

Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my


BERMULA dengan bekerja sambilan di tapak semaian milik rakan, kini Pak Jab mempunyai tiga nurseri- iaitu dua di Sungai Buloh dan satu di Sungai Petani, Kedah.

Bidang semaian tanaman mengubah hidup Pak Jab sekeluarga

KIRA-KIRA 37 tahun lalu beliau tidak pernah terfikir bahawa bidang semaian tanaman yang diceburi boleh mengubah hidupnya sekeluarga sehingga mampu meraih pendapatan mencecah jutaan ringgit.

Itulah yang berlaku kepada Md Rejab Hasanudin, 66, seorang bekas pengawal keselamatan sekolah di Kampung Melayu, Sungai Buloh yang kini mengusahakan syarikat landskap, Rumpun Damai Nursery. Rejab yang lebih dikenali sebagai Pak Jab adalah antara perintis landskap di kampung berkenaan sehingga menjadikan kawasan sekitar Sungai Buloh dan Kota Damansara dikenali sebagai bandar nurseri, tempat kunjungan peminat seni hias laman.

“Saya hanya ‘jaga’ atau ‘guard’ di sekolah rendah ketika mula-mula menceburi bidang semaian. Saya berguru dengan Isa Bulat, orang pertama yang membuka nurseri di Sungai Buloh.

“Pada awalnya, saya hanya bekerja dengan Isa secara sambilan pada siang hari untuk menambah pendapatan manakala pada malam saya bertugas menjadi jaga di sekolah,” katanya yang kini mempunyai tiga tapak semaian, dua di Sungai Buloh dan satu di Sungai Petani, Kedah.



Menyingkap rahsia kejayaannya itu, Md Rejab berkata, pada mulanya beliau tidak nampak bagaimana tapak semaian boleh memberikan pendapatan tambahan kepada keluarganya.

“Mula-mula dulu, saya tanya Isa, mengapa dia menanam pokok yang tidak mendatangkan hasil seperti buah-buahan. Saya tidak nampak pokok yang berbunga dan berdaun ini boleh memberi duit.

“Selepas diterangkan Isa bahawa pokok bunga turut membuka rezeki kerana dibeli pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk landskap bandar baru dan kilang perusahaan, baru saya faham. Selepas itu, saya mengambil kursus semaian Jabatan Perhutanan yang dibuka kepada kakitangan kerajaan pada masa itu,” katanya.

Berbekalkan ilmu dan pengalaman yang dikutip selama sembilan tahun bekerja sambilan di Nurseri Sungai Buloh milik Mohd Isa, Md Rejab akhirnya mengambil keputusan membuka tapak semaian sendiri pada 1980.

Bermula dari situ, beliau terus mengembangkan perniagaannya dan kini menjadi kontraktor landskap untuk projek besar milik kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), swasta dan orang perseorangan.

Antara projek besar yang diusahakan syarikatnya ialah landskap untuk projek di bawah Arkib Negara dan Institut Perundangan dan Kehakiman Malaysia di Bangi.

Terkini, syarikatnya yang mempunyai 10 pekerja tetap itu melakukan kerja landskap untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Projek Mengindahkan Sungai Gombak dengan kontrak jutaan ringgit bagi tempoh tiga tahun.

Selain menjadi kontraktor landskap, syarikatnya juga menjadi pembekal pokok untuk landskap di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi cawangan syarikatnya di Kedah.

Menceritakan pengalamannya, beliau berkata, pada peringkat awal, agak sukar untuk menjual hasil tapak semaian tetapi dengan bantuan Isa, beliau banyak mendapat kontrak kerajaan dan swasta.

“Pernah satu ketika, projek landskap yang dilaksanakan musnah akibat banjir. Saya menanggung rugi kerana selain pokok musnah, saya terpaksa menanam pokok baru yang kosnya ditanggung saya sendiri.

“Dalam projek besar, kita biasanya ada perjanjian dan risiko akibat bencana alam adalah ditanggung pihak syarikat, maka mahu atau tidak, kerja mesti diteruskan. Oleh itu, walaupun pendapatan sedikit, saya lebih berminat melaksanakan projek jangka pendek dan kecil-kecilan.

“Pendapatan yang sikit ini sebenarnya yang membawa kepada keuntungan lebih besar dan segera,” katanya

Selain menjual semaian dan membuat projek landskap untuk orang perseorangan, syarikatnya mula dikenali dan kini menawarkan pelbagai perkhidmatan lain termasuk menjual aksesori taman, membuat kolam, wakaf dan pegola.

Menganggap perniagaan yang diusahakan sebagai ibadah selain tempat mencari rezeki, beliau mengakui tidak pernah menjadikan syarikat lain yang ada di Kampung Melayu itu sebagai saingan tetapi rakan kongsi untuk bekerjasama dan mencari pendapatan bersama.

“Di kampung ini ada 18 kontraktor landskap dan nurseri tetapi kami semua bekerjasama bukannya bersaing. Jika syarikat saya terlalu banyak kontrak dan merasakan tidak mampu melaksanakannya, saya akan minta bantuan rakan lain, begitu juga sebaliknya.

“Malah, pada satu ketika Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mencadangkan setiap rumah di kampung ini membuat semaian kecil-kecilan untuk menjadi pembekal kecil kepada syarikat landskap besar yang ada,” katanya

Kini, selain menjadi kontraktor landskap, Md Rejab, bapa kepada tiga cahaya mata dan enam cucu ini menjadi rujukan mereka yang ingin membuka tapak semaian serta menceburi bidang landskap.

Malah, nurseri miliknya juga menjadi tempat pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) membuat latihan praktikal industri.

Profil

Md Rejab Hasanudin


Umur: 66 tahun

Anak: 3 orang berusia antara 26 hingga 35 tahun

Asal: Kampung Simpang Tiga Pasir, Merbuk, Kedah

Pendidikan: Darjah Enam Sekolah Kebangsaan Pusat Merbuk, Kedah

Anugerah : Johan Pertandingan Nurseri Terbaik 2004

Profesion: Ahli Perniagaan - Kontraktor Landskap dan Pesara Pengawal Keselamatan, Kementerian Pelajaran.

Aktiviti:

  • Pengerusi Tetap Umno Cawangan Kampung Melayu, Sungai Buloh

  • Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Kampung Melayu, Sungai Buloh

  • Presiden Kelab Badminton Veteran, Kampung Melayu, Sungai Buloh

  • Presiden Kelab Bola Sepak, Kampung Melayu, Sungai Buloh

  • Presiden Pasar Malam, Kampung Melayu, Sungai Buloh

  • Yang Dipertua Khairat Kematian Surau Kampung Melayu, Sungai Buloh
  • Tubuh syarikat syarat wajib mohon pinjaman

    Usaha kementerian tambah perniagaan, ekuiti Bumiputera

    KUALA LUMPUR: Peminjam yang mahu membuat pinjaman menerusi 11 agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi akan diwajibkan menubuhkan syarikat sekurang-kurangnya persendirian.

    Menterinya, Datuk Noh Omar, berkata dasar baru yang akan dilaksanakan secepat mungkin itu bertujuan menambah syarikat serta pemilikan ekuiti Bumiputera.Beliau berkata, usaha itu juga selaras Kempen Satu Keluarga Satu Syarikat/Perniagaan (1F1C) yang dilaksanakan Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

    "Saya akan bincang dasar ini pada mesyuarat Kabinet minggu depan dan ia dijangka dilaksana secepat mungkin.

    "Matlamatnya untuk melahirkan lebih ramai masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera serta menjayakan kempen Satu Keluarga Satu Syarikat," katanya selepas melancarkan kempen itu di sini, semalam.

    Turut hadir Pengerusi Gabem, Tan Sri Rahim Tamby Chik dan Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

    Dianggarkan 837,000 syarikat sendirian berhad dan berhad berdaftar dengan SSM dan daripada jumlah itu hanya 21 peratus syarikat Bumiputera. Bagi syarikat persendirian pula, 3.7 juta syarikat yang berdaftar dengan SSM dan 30 peratus syarikat Bumiputera.

    Noh berkata, pihaknya juga mewajibkan kursus dua hari kepada pemohon pinjaman kementeriannya termasuk Tekun atau Mara yang membabitkan kursus asas perniagaan dan agama mulai 1 April ini.

    "Tujuannya bagi memberi maklumat tambahan mengenai perniagaan dan keinsafan untuk membayar balik pinjaman yang diberikan tanpa penjamin dan cagaran.

    "Kita memberi kursus percuma kepada mereka yang diberhentikan kerja akibat kemelesetan ekonomi bagi membolehkan mereka menjadi usahawan berjaya," katanya.

    Noh berkata, pembabitan usahawan Bumiputera dalam perniagaan tidak mencerminkan kedudukan Bumiputera sebagai masyarakat terbesar negara dengan populasi 65 peratus, Cina 24.9 peratus, India 7.5 peratus dan kaum lain 1.3 peratus.

    Beliau berkata, pemilikan ekuiti Bumiputera dalam ekonomi negara tidak banyak berubah sejak 10 tahun lalu, malah menurun 18.7 peratus pada 2002, 18.9 peratus (2000) dan 19.3 peratus (1990).

    "Walaupun pada 2007, pemilikan ekuiti Bumiputera meningkat 19.4 peratus, angka ini terlalu kecil kerana pemilikan bukan Bumiputera mencapai 43 peratus.

    "Jika dilihat aspek pemilikan bangunan usahawan Bumiputera pula, kumpulan ini hanya memiliki 20.3 peratus, manakala bukan Bumiputera 75.7 peratus," katanya.

    Manfaat pakej rangsangan harus menyeluruh

    Oleh Manja Ismail
    manja@bharian.com.my

    Bajet Mini tuntut ketelusan semua pihak hemat berbelanja, jayakan strategi dua tahun atasi cabaran inflasi

    BUAT pertama kali selepas krisis ekonomi melanda dunia, berpunca daripada masalah perbankan dan kewangan Amerika Syarikat tahun lalu, kita diberitahu dengan jelas kedudukan sebenar masa depan ekonomi negara.

    Malah, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan pakej rangsangan kedua atau Bajet Mini di Parlimen Selasa lalu menegaskan, pakej bernilai RM60 bilion itu tidak mampu memulihkan semula ekonomi negara dalam tempoh segera.Pakej rangsangan itu hanya bertujuan menghalang negara daripada kemelesetan ekonomi atau keadaan yang lebih teruk. Dalam kata lain, jika ekonomi Malaysia tahun ini mencatat pertumbuhan satu peratus pun, kita sudah bernasib baik berbanding negara lain.

    Sebelum ini, walaupun ramai yang tahu bahawa ekonomi dunia sedang menghadapi krisis teruk, kita masih lagi diberikan unjuran dan angka yang memberangsangkan sama ada dari segi pertumbuhan ekonomi, kadar pengangguran atau tahap inflasi negara. Namun, adalah tidak adil untuk menuduh kerajaan cuba menyembunyikan kedudukan sebenar apabila Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) sendiri beberapa kali mengubah unjuran pertumbuhan ekonomi dunia � terbaru daripada 2.2 peratus kepada 0.5 peratus.

    Pakej rangsangan kedua, kata Najib, dirangka selepas kerajaan melakukan kajian menyeluruh, termasuk unjuran terbaru IMF itu.

    "Kerajaan juga mahu melihat kesan pakej rangsangan AS yang dilancarkan pentadbiran Bush dan kemudian oleh Obama bagi memulihkan keyakinan terhadap sektor kewangan negara itu. Jelas bagi kita bahawa kesan krisis ini lebih teruk daripada yang dijangka dan kerana itu, kerajaan melancarkan pakej rangsangan kedua," jelas Najib ketika menggulung perbahasan mengenai Bajet Mini, Khamis lalu.

    Memang tiada siapa yang dapat meramalkan bila kegawatan ini akan berakhir, selagi ekonomi AS belum menampakkan tanda pemulihan. Bagaimanapun, apabila rakyat sudah diberitahu mengenai keadaan dan masalah sebenar, tentu lebih mudah bagi kerajaan melaksanakan sebarang langkah pemulihan yang membabitkan penyertaan mereka.

    Rakyat sekarang semakin celik ekonomi dan kerana itu, mereka sedia bekerjasama menanganinya asalkan ada ketelusan. Reaksi awal dan spontan mereka kepada media mengenai Bajet Mini, antara lain ialah supaya jumlah peruntukan yang diumumkan itu memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhan; sampai ke kumpulan sasar; dilaksanakan dengan telus; mudah dan cepat diperoleh dan tidak dipolitikkan.

    Mereka tidak mahu pakej rangsangan ini hanya gah dari segi jumlah peruntukan dan pelancaran sedangkan manfaatnya tidak menyeluruh seperti berlaku kepada banyak pengumuman sebelum ini.

    Rakyat sedar mereka kini sekali lagi diuji dengan kegawatan ekonomi seperti yang pernah dilalui beberapa kali sebelum ini. Selain ramai kehilangan pekerjaan, mereka yang masih bekerja kemungkinan tidak lagi menikmati bonus atau kenaikan gaji tahunan. Kerana kita pernah merasai kesenangan, maka tidak perlu kesal dengan kesulitan ekonomi dihadapi sekarang. Kita perlu melihat suasana ekonomi hari ini sebagai satu ujian.

    Kenaikan harga barang akan menguji sejauh manakah kekuatan kita melawan nafsu serta kebijaksanaan mengurus dan mentadbir sama ada jabatan, syarikat atau rumah tangga. Zaman sukar adalah zaman untuk kita melihat ke dalam diri dengan penuh keinsafan dan kesyukuran. Kalau ada kesilapan yang kita lakukan pada masa dulu seperti berbelanja berlebihan, membazir dan sebagainya, maka kita perlulah insaf dan berhenti daripada berbelanja pada perkara yang kurang faedahnya.

    Zaman sukar juga menuntut semua pihak supaya banyak berkorban dan berbelanja dengan berhemah. Penggunaan kad kredit jika boleh, perlu dikurangkan atau tidak digunakan langsung. Jika menerima bonus hasil keuntungan syarikat tahun lalu, rancanglah perbelanjaan sebaik-baiknya. Kita harus bersyukur kerana, walaupun dilanda kesulitan ekonomi kita mempunyai kemudahan asas dan makanan yang cukup. Sebenarnya mutu dan taraf hidup kita belum begitu terjejas.

    Ketika zaman sukar juga, graduan tidak seharusnya memilih pekerjaan. Jika jumlah kehadiran pekerja asing di negara ini dijadikan ukuran, tidak ada rakyat kita yang menganggur jika mereka sedia mengambil tempat pendatang asing itu.

    Majikan pula seharusnya mengutamakan rakyat tempatan. Walaupun majikan mungkin terpaksa membayar gaji lebih, mereka harus ingat wang itu akan dibelanjakan di dalam negara, berbanding rakyat asing yang menghantar pulang ke negara asal. Ketika inilah, majikan harus menghayati erti nasionalisme Malaysia dengan mengutamakan kepentingan negara lebih daripada keuntungan mereka.

    Menghayati nasionalisme juga bermakna kita harus mengutamakan barang buatan tempatan ketika berbelanja, memilih destinasi dalam negeri apabila bercuti. Mutu barang kegunaan harian yang dikeluarkan syarikat Malaysia sama baiknya dengan barang import, malah sesetengahnya lebih baik daripada barang import. Kita mestilah memiliki keyakinan pada diri sendiri bahawa mutu barang dan perkhidmatan kita setanding dengan yang diimport. Kalau pun mutunya sedikit kurang, kita perlu korbankan soal mutu bagi menyelamatkan pengaliran keluar wang.

    Pada masa sama, peniaga dan pembeli mestilah bekerjasama serta saling memahami keperluan antara satu sama lain. Peniaga tidak sepatutnya menaikkan harga terlalu tinggi kerana mereka juga adalah pengguna kepada barang dan perkhidmatan yang lain. Jika semua pembekal, pemborong, peruncit dan peniaga tidak menaikkan harga dan pembeli pula tidak boros membeli, kita yakin kadar inflasi tidak akan meningkat dan kegawatan ekonomi sekarang dapat diatasi dengan cepat.

    Selain itu, parti dan pemimpin politik tanpa mengira ideologi perjuangan harus melupakan seketika perbalahan mereka untuk saling bekerjasama menangani masalah ini.

    Kepada parti dan pemimpin politik yang terbabit dalam perebutan jawatan akhir bulan ini, selepas pemilihan selesai nanti, yang menang dan kalah harus berganding bahu mengatasi kemelut ekonomi. Jika benar-benar berjuang untuk rakyat, inilah ketikanya mereka boleh membuktikan bahawa kepentingan negara dan rakyat dalam menghadapi zaman sukar mengatasi kepentingan politik dan peribadi.

    Sektor pertanian janjikan rezeki, pahala


    Islam galak ummah bercucuk tanam untuk manfaat dunia, ganjaran di akhirat

    ISLAM menekankan aspek perancangan strategi dalam apa saja tindakan, termasuk pengurusan ekonomi. Selain kekuatan akidah, umat Islam memerlukan harta untuk membolehkannya mencapai objektif kehidupan.

    Ini bermakna kekuatan ekonomi berperanan penting bagi membolehkan umat Islam mencapai kejayaan di dunia dan akhirat. Dengan harta, urusan agama dan urusan dunia menjadi lebih mudah.Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Pada akhir zaman kelak manusia harus menyediakan harta untuk menegakkan urusan agama dan urusan dunianya." (Hadis riwayat at-Tabrani)

    Untuk membangunkan kekuatan ekonomi, kita perlu kesedaran dan pengetahuan dalam merancang serta mengurus kewangan mengikut apa yang digariskan Islam.

    Kisah Nabi Yusuf AS membuat perancangan untuk Mesir yang menghadapi kegawatan ekonomi akibat kemarau selama tujuh tahun patut diteladani dan dicontohi, terutama pemimpin negara.

    Kisah Nabi Yusuf AS memberi pengajaran berharga pentingnya pelan strategik dan futuristik menyelamat ekonomi rakyat serta negara dengan mengimbangi kadar penghasilan, penabungan, perbelanjaan selain pelaksanaan sistem ekonomi bijaksana yang berkesan.

    Nabi Yusuf AS yang bersuluhkan wahyu Rabbani, menyarankan perancangan ekonomi pertanian untuk jangka waktu 14 tahun dengan membuat perimbangan antara jumlah penghasilan, penggunaan, penyimpanan dan pelaburan semula. Dengan perencanaan bersifat melihat ke hadapan, krisis ekonomi yang dikhuatiri menimpa negara dapat dihindarkan.

    Hanya melalui perancangan dan penjanaan ekonomi yang baik, pengurusan teratur dan mantap serta memanfaatkan sumber rezeki dianugerahkan Allah SWT secara optimum berupaya membangunkan kehidupan lebih kondusif.

    Hari ini kita berdepan cabaran ekonomi semasa kesan daripada kemelesetan dunia. Penyakit yang sukar dikesan puncanya walaupun dikemukakan pelbagai teori. Justeru, peralihan tumpuan kepada sektor pertanian wajar diberi perhatian.

    Galakan supaya penyertaan dalam sektor ini mesti dipertingkat. Sebenarnya, sektor pertanian memainkan peranan besar pada awal 1920-an menerusi industri getah yang mengangkat nama Malaysia sebagai pengeluar getah asli utama dunia sehingga 1980-an.

    Ekonomi negara selepas merdeka dimonopoli aktiviti pertanian dan perlombongan sehinggakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada ketika itu menunjukkan sumbangan sektor pertanian dan perlombongan mencecah angka 46 peratus.

    Pertumbuhan dan daya maju sektor pertanian memerlukan kita mengubah cara pertanian tradisional kepada bercorak lebih komersial.

    Petani dan peladang bukan saja perlu menggunakan teknologi canggih, tetapi juga mengamalkan pengurusan lebih tersusun. Berslogankan "Pertanian adalah satu perniagaan" Islam sebenarnya sudah lama memberi galakan supaya sektor pertanian diberi keutamaan.

    Menurut sejarah Islam, selepas Rasulullah SAW tiba di Madinah, Baginda bukan saja menyusun pentadbiran dan menyatukan antara Ansar dan Muhajirin, bahkan Baginda mula melihat potensi ekonomi yang boleh dimanfaatkan di Madinah.

    Rasulullah SAW menggalakkan pendudukan Madinah untuk mempertingkat hasil pertanian. Bumi Madinah ketika itu sememangnya subur dan perlu diusahakan dengan lebih giat. Sebagai penggalak, mereka diberi insentif untuk memiliki tanah diusahakan.

    Diriwayatkan Aisyah, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang memakmurkan (mengusahakan) tanah yang tidak dimiliki oleh sesiapa maka dia lebih berhak terhadapnya." (Hadis riwayat al-Bukhari)

    Perubahan struktur dalam sektor pertanian memerlukan pengorbanan besar kerana petani harus peka dan bersedia menerima serta membuat perubahan dalam amalan pertanian termasuk penggunaan teknologi baru. Mereka harus lebih inovatif, meningkatkan kepakaran dan berusaha lebih gigih merebut peluang pelaburan dalam sektor pertanian yang kian berkembang.

    Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiada seorang Muslim pun yang bertani atau berladang lalu hasil pertaniannya dimakan oleh burung atau manusia ataupun binatang melainkan bagi dirinya daripada tanaman itu pahala sedekah." (Hadis riwayat al-Bukhari).

    Allah SWT menetapkan dalam sunnah kehidupan bahawa kejayaan itu adalah hasil daripada kerja tekun dan dedikasi. Inilah antara maksud jihad yang dituntut Islam. Perlu diingat, hanya rezeki yang halal mesti dicari kerana di situ letaknya keberkatan dan ganjaran Allah SWT.

    Menurut Ibnu Hajar Al-Asqalani dan Imam An- Nawawi, kelebihan bercucuk tanam dan ganjaran bagi orang yang melakukannya itu berterusan hingga hari kiamat selagi tanaman itu masih kekal. Mereka yang mengusahakannya akan mendapat ganjaran di sisi Allah SWT.

    Firman Allah SWT bermaksud: "Dan bahawasanya seseorang itu tidak akan memperoleh (kebaikan) kecuali daripada hasil usahanya sendiri." (Surah an-Najm, ayat 39)

    Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiada seorang lelaki menanam sesuatu tanaman melainkan Allah menetapkan baginya ganjaran pahala sebanyak jumlah yang dihasilkan oleh tanaman itu." (Hadis riwayat Ahmad).

    Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Amal Islam Hadhari (DAMAI)

    Azura usahawan gigih

    Oleh Halina Mohd Noor


    MEMPROMOSIKAN barangan penjagaan diri dan kecantikan kepada jirannya.

    Dapat anugerah Pengurus Unit Golden Circle daripada Avon selepas jualan cecah RM15,000 dalam tempoh setahun

    BARU kali pertama bertemu, keramahannya membuktikan Azura Jamaluddin adalah usahawan sejati. Baru setahun menyertai jualan langsung Avon, ibu kepada empat anak yang juga suri rumah ini dianugerahkan sebagai Pengurus Unit Golden Circle tahun lalu kerana berjaya membuat jualan mencecah RM15 ribu dalam tempoh setahun itu. Mungkin berkat tidak lokek senyuman juga, Azura berjaya mengumpul dan memimpin 200 ahli di bawahnya.

    Hari ini biarpun bergelar suri rumah sepenuh masa, Azura mampu menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM2,000 dalam tempoh dua minggu sekali. Apa yang penting, perlu rajin berusaha dan ringan tulang untuk menambah pendapatan. Setiap petang, dia keluar rumah sekurang-kurangnya empat jam untuk bertemu dan mencari pelanggan baru.Sebelum keluar rumah, saya pastikan keperluan rumah tangga tidak diabaikan. Hidangan makan tengah hari sudah tersedia sebelum suami pulang bekerja sebagai guru sekolah. Lepas Zuhur, saya mula keluar dengan keizinan suami sehinggalah jam enam petang. Biasanya saya akan pergi ke rumah pelanggan tetap. Dalam perjalanan kalau terjumpa orang yang sedang duduk bersantai, saya tegur dan perkenalkan barangan Avon,” katanya.

    Beliau berkata, jika hendak berniaga jangan berprasangka buruk terhadap orang. Baginya tiada paksaan untuk sesiapa pun menjadi ahli atau membeli produk yang dijualnya. Azura tidak mudah kecil hati kalau ada yang enggan melayannya apabila ditegur apatah lagi putus asa jika ada yang mengadu tidak berpuas hati dengan produk dibelinya.

    “Sebelum menegur orang, saya tengok dulu keadaan dia. Kalau dia nampaknya sedang berehat-rehat di luar rumah, baru saya tegur. Ada juga masanya saya ketuk rumah orang jika lihat keadaan selamat dan tuan rumah tidak sibuk. Sebenarnya saya tidak kira tempat dan masa untuk mencari pelanggan. Misalnya jika saya ke pasar atau kedai pun saya akan cuba promosi produk yang saya jual. Saya juga akan tunjukkan produk yang sentiasa saya bawa di dalam bonet kereta. Biasanya saya akan berjumpa pelanggan dari Sungai Besar sehingga ke Sungai Lang.

    AZURA menunjukkan sijil anugerah yang diterimanya pada tahun lalu.

    Tidak dinafikan memang ada pelanggan yang mengadu tidak berpuas hati dengan produk yang dibeli, tetapi kebanyakannya disebabkan cara pemakaian yang tidak betul. Kadangkala barangan yang dibeli seperti gincu sudah habis tempoh kerana lama disimpan dan bila dipakai memang memberikan kesan,” katanya.

    Katanya dia sentiasa cuba mencadangkan produk yang sesuai untuk pelanggannya dan paling penting cara menggunakannya dengan betul. Azura yang pernah menjalani latihan membuat pencucian wajah dan gaya solekan yang dianjurkan Avon. Ilmu yang dimilikinya itu turut digunakan untuk membuat demonstrasi mencuci wajah dan solekan kepada jiran serta pelanggan lain. Azura juga bijak menjalankan strategi perniagaan dengan mempromosikan barangan pada harga diskaun atau menambah jumlah keahlian di bawahnya ketika Avon memberikan keahlian percuma. Azura juga rajin membuat promosi di kolej dan politeknik untuk mengedarkan risalah mengenai keahlian Avon.

    “Sebagai Pengurus Unit, saya sentiasa memerhatikan setiap ahli bergerak aktif. Saya mengambil berat ahli yang kurang aktif dan cuba membantu mereka membuat jualan. Sebenarnya menjual barangan Avon tetap menguntungkan walaupun sekadar menjual salap bibir, dapat juga untung 50 sen. Apa yang penting perlu berusaha apatah lagi putus asa. Ahli mendapat untung runcit sebanyak 10 hingga 35 peratus setiap barangan yang dijual. Jika taja ahli lain, setiap RM100 barangan yang dijual, kita sebagai ketua dapat untung sebanyak enam peratus,” katanya.

    Sejak berjinak-jinak dengan dunia jualan langsung, Azura mengakui berasa lebih berkeyakinan berbanding sebelum ini. Dia berbangga kerana dapat membeli kereta kancil dengan hasil titik peluhnya dan lebih bermakna lagi dapat bercuti ke Genting Highlands bersama suami dan anak-anaknya. Beringat ketika senang, Azura turut melaburkan wang hasil kerja kerasnya ke dalam simpanan saham demi masa depan pendidikan anak-anaknya.

    BERMESRA dengan anak pada waktu santai. Duduk belakang kiri; Ahmad Hussainy, Ahmad Hafizy, Aryani dan Atirah.

    “Sebelum ini saya tidak pernah bekerja. Selepas berkahwin dan melahirkan anak, saya mengikut suami yang bekerja sebagai guru di Sabah. Oleh kerana bergantung kepada pendapatan suami, saya perlu berhati-hati dalam berbelanja. Apabila pulang ke tanah air dan menetap di Sungai Besar ini, saya mula menjinakkan diri dengan dunia jualan langsung. Oleh kerana selalu terperap di rumah, saya teringin juga bersosial dengan orang ramai dan berdikari. Pada awalnya, saya hanya menggunakan produk Avon dan menjadi ahli tetapi lama-kelamaan berjaya menjual kepada jiran. Ternyata mereka serasi dengan produk berkenaan dan menjadi ahli di bawah tajaan saya,” katanya.

    Azura bersyukur kerana mendapat sokongan suami dalam membina kerjayanya. Dia sendiri tidak menyangka mempunyai bakat berniaga dan jualan langsung menjadi punca rezeki kini. Baginya jualan langsung sesuai untuk wanita bergelar suri rumah sepertinya untuk menambah pendapatan walaupun secara sambilan apatah lagi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu hari ini.

    Tuesday, March 3, 2009

    LEJAR

    Buku akaun yang digunakan untuk merekodkan urus niaga perniagaan.Akaun berbentuk T.

    Lajur tarikh - Mencatat tarikh urus niaga
    Lajur butir – mencatat nama akaun
    Lajur folio – mencatat nombor rujukan Buku Catatan Pertama (mengesan catatan dalam akaun)
    Lajur jumlah – mencatat nilai wang sesuatu urus niaga

    Cara merekod urus niaga adalah berasaskan prinsip catatan bergu.

    Akaun terbahagi dua iaitu;
    Akaun Perorangan – penghutang, pemiutang, ambilan dan modal
    Akaun Bukan Perorangan – akaun nyata (akaun aset) dan akaun nominal (akaun hasil dan belanja).

    Mengimbang dan Menutup Akaun
    Untuk mengetahui baki setiap akaun di akhir suatu tempoh.
    Mengimbang akaun – mencari perbezaan di antara jumlah debit dan jumlah kredit dalam akaun.
    Menutup akaun hasil dan belanja dengan memindahkannya ke Akaun Perdagangan atau Akaun Untung Rugi.

    Tujuan menutup akaun untuk ;
    memulakan akaun hasil dan belanja dengan baki sifar pada suatu tempoh perakaunan.
    mengemaskini Akaun Modal; hasil menambahkan ekuiti pemilik dan belanja mengurangkan ekuiti pemilik.

    Folio
    Rujukan untuk mengesan sumber catatan pertama atau pasangan catatan bergu – rujukan muka surat akaun dalam Buku Catatan Pertama dan lejar.
    Mengurangkan kesilapan merekod atau terlupa melengkapkan catatan bergu.
    Diisi jika pengeposan telah dilakukan iaitu memindahkan catatan dam Buku Catatan Pertama ke lejar.

    Pembahagian Lejar
    Dua bahagian iaitu Lejar am dan Lejar subsidiari.
    Lejar Am meliputi :
    (a) Akaun Nominal (akaun hasil dan belanja)
    (b) Akaun Nyata (akaun aset semasa dan aset bukan semasa)
    (c) Akaun penghutang dan pemiutang aset bukan semasa (akaun kawalan penghutang dan akaun kawalan pemiutang)
    (d) Akaun Modal
    (e) Akaun AmbilanLejar Subsidiari (lejar kecil) meliputi :
    (a) Lejar Belian / Lejar Pemiutang
    (b) Lejar Jualan / Lejar Penghutang

    Tujuan pembahagian lejar;
    Dapat menjalankan pengkhususan dan pembahagian kerja
    Dapat menugaskan seorang eksekutif akaun untuk mengendalikan satu bahagian lejar sahaja.
    Mudah untuk menguruskan pengurusan dan pengawalan.
    Dapat meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kesilapan merekod.
    Dapat mengurangkan bilangan akaun dalam lejar yang terlalu banyak dalam lejar am.

    MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

    M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

    M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

    M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

    M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

    M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

    M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

    M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

    M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI