Wednesday, March 18, 2009

Manfaat pakej rangsangan harus menyeluruh

Oleh Manja Ismail
manja@bharian.com.my

Bajet Mini tuntut ketelusan semua pihak hemat berbelanja, jayakan strategi dua tahun atasi cabaran inflasi

BUAT pertama kali selepas krisis ekonomi melanda dunia, berpunca daripada masalah perbankan dan kewangan Amerika Syarikat tahun lalu, kita diberitahu dengan jelas kedudukan sebenar masa depan ekonomi negara.

Malah, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan pakej rangsangan kedua atau Bajet Mini di Parlimen Selasa lalu menegaskan, pakej bernilai RM60 bilion itu tidak mampu memulihkan semula ekonomi negara dalam tempoh segera.Pakej rangsangan itu hanya bertujuan menghalang negara daripada kemelesetan ekonomi atau keadaan yang lebih teruk. Dalam kata lain, jika ekonomi Malaysia tahun ini mencatat pertumbuhan satu peratus pun, kita sudah bernasib baik berbanding negara lain.

Sebelum ini, walaupun ramai yang tahu bahawa ekonomi dunia sedang menghadapi krisis teruk, kita masih lagi diberikan unjuran dan angka yang memberangsangkan sama ada dari segi pertumbuhan ekonomi, kadar pengangguran atau tahap inflasi negara. Namun, adalah tidak adil untuk menuduh kerajaan cuba menyembunyikan kedudukan sebenar apabila Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) sendiri beberapa kali mengubah unjuran pertumbuhan ekonomi dunia � terbaru daripada 2.2 peratus kepada 0.5 peratus.

Pakej rangsangan kedua, kata Najib, dirangka selepas kerajaan melakukan kajian menyeluruh, termasuk unjuran terbaru IMF itu.

"Kerajaan juga mahu melihat kesan pakej rangsangan AS yang dilancarkan pentadbiran Bush dan kemudian oleh Obama bagi memulihkan keyakinan terhadap sektor kewangan negara itu. Jelas bagi kita bahawa kesan krisis ini lebih teruk daripada yang dijangka dan kerana itu, kerajaan melancarkan pakej rangsangan kedua," jelas Najib ketika menggulung perbahasan mengenai Bajet Mini, Khamis lalu.

Memang tiada siapa yang dapat meramalkan bila kegawatan ini akan berakhir, selagi ekonomi AS belum menampakkan tanda pemulihan. Bagaimanapun, apabila rakyat sudah diberitahu mengenai keadaan dan masalah sebenar, tentu lebih mudah bagi kerajaan melaksanakan sebarang langkah pemulihan yang membabitkan penyertaan mereka.

Rakyat sekarang semakin celik ekonomi dan kerana itu, mereka sedia bekerjasama menanganinya asalkan ada ketelusan. Reaksi awal dan spontan mereka kepada media mengenai Bajet Mini, antara lain ialah supaya jumlah peruntukan yang diumumkan itu memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhan; sampai ke kumpulan sasar; dilaksanakan dengan telus; mudah dan cepat diperoleh dan tidak dipolitikkan.

Mereka tidak mahu pakej rangsangan ini hanya gah dari segi jumlah peruntukan dan pelancaran sedangkan manfaatnya tidak menyeluruh seperti berlaku kepada banyak pengumuman sebelum ini.

Rakyat sedar mereka kini sekali lagi diuji dengan kegawatan ekonomi seperti yang pernah dilalui beberapa kali sebelum ini. Selain ramai kehilangan pekerjaan, mereka yang masih bekerja kemungkinan tidak lagi menikmati bonus atau kenaikan gaji tahunan. Kerana kita pernah merasai kesenangan, maka tidak perlu kesal dengan kesulitan ekonomi dihadapi sekarang. Kita perlu melihat suasana ekonomi hari ini sebagai satu ujian.

Kenaikan harga barang akan menguji sejauh manakah kekuatan kita melawan nafsu serta kebijaksanaan mengurus dan mentadbir sama ada jabatan, syarikat atau rumah tangga. Zaman sukar adalah zaman untuk kita melihat ke dalam diri dengan penuh keinsafan dan kesyukuran. Kalau ada kesilapan yang kita lakukan pada masa dulu seperti berbelanja berlebihan, membazir dan sebagainya, maka kita perlulah insaf dan berhenti daripada berbelanja pada perkara yang kurang faedahnya.

Zaman sukar juga menuntut semua pihak supaya banyak berkorban dan berbelanja dengan berhemah. Penggunaan kad kredit jika boleh, perlu dikurangkan atau tidak digunakan langsung. Jika menerima bonus hasil keuntungan syarikat tahun lalu, rancanglah perbelanjaan sebaik-baiknya. Kita harus bersyukur kerana, walaupun dilanda kesulitan ekonomi kita mempunyai kemudahan asas dan makanan yang cukup. Sebenarnya mutu dan taraf hidup kita belum begitu terjejas.

Ketika zaman sukar juga, graduan tidak seharusnya memilih pekerjaan. Jika jumlah kehadiran pekerja asing di negara ini dijadikan ukuran, tidak ada rakyat kita yang menganggur jika mereka sedia mengambil tempat pendatang asing itu.

Majikan pula seharusnya mengutamakan rakyat tempatan. Walaupun majikan mungkin terpaksa membayar gaji lebih, mereka harus ingat wang itu akan dibelanjakan di dalam negara, berbanding rakyat asing yang menghantar pulang ke negara asal. Ketika inilah, majikan harus menghayati erti nasionalisme Malaysia dengan mengutamakan kepentingan negara lebih daripada keuntungan mereka.

Menghayati nasionalisme juga bermakna kita harus mengutamakan barang buatan tempatan ketika berbelanja, memilih destinasi dalam negeri apabila bercuti. Mutu barang kegunaan harian yang dikeluarkan syarikat Malaysia sama baiknya dengan barang import, malah sesetengahnya lebih baik daripada barang import. Kita mestilah memiliki keyakinan pada diri sendiri bahawa mutu barang dan perkhidmatan kita setanding dengan yang diimport. Kalau pun mutunya sedikit kurang, kita perlu korbankan soal mutu bagi menyelamatkan pengaliran keluar wang.

Pada masa sama, peniaga dan pembeli mestilah bekerjasama serta saling memahami keperluan antara satu sama lain. Peniaga tidak sepatutnya menaikkan harga terlalu tinggi kerana mereka juga adalah pengguna kepada barang dan perkhidmatan yang lain. Jika semua pembekal, pemborong, peruncit dan peniaga tidak menaikkan harga dan pembeli pula tidak boros membeli, kita yakin kadar inflasi tidak akan meningkat dan kegawatan ekonomi sekarang dapat diatasi dengan cepat.

Selain itu, parti dan pemimpin politik tanpa mengira ideologi perjuangan harus melupakan seketika perbalahan mereka untuk saling bekerjasama menangani masalah ini.

Kepada parti dan pemimpin politik yang terbabit dalam perebutan jawatan akhir bulan ini, selepas pemilihan selesai nanti, yang menang dan kalah harus berganding bahu mengatasi kemelut ekonomi. Jika benar-benar berjuang untuk rakyat, inilah ketikanya mereka boleh membuktikan bahawa kepentingan negara dan rakyat dalam menghadapi zaman sukar mengatasi kepentingan politik dan peribadi.

No comments:

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI