Wednesday, March 18, 2009

Azura usahawan gigih

Oleh Halina Mohd Noor


MEMPROMOSIKAN barangan penjagaan diri dan kecantikan kepada jirannya.

Dapat anugerah Pengurus Unit Golden Circle daripada Avon selepas jualan cecah RM15,000 dalam tempoh setahun

BARU kali pertama bertemu, keramahannya membuktikan Azura Jamaluddin adalah usahawan sejati. Baru setahun menyertai jualan langsung Avon, ibu kepada empat anak yang juga suri rumah ini dianugerahkan sebagai Pengurus Unit Golden Circle tahun lalu kerana berjaya membuat jualan mencecah RM15 ribu dalam tempoh setahun itu. Mungkin berkat tidak lokek senyuman juga, Azura berjaya mengumpul dan memimpin 200 ahli di bawahnya.

Hari ini biarpun bergelar suri rumah sepenuh masa, Azura mampu menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM2,000 dalam tempoh dua minggu sekali. Apa yang penting, perlu rajin berusaha dan ringan tulang untuk menambah pendapatan. Setiap petang, dia keluar rumah sekurang-kurangnya empat jam untuk bertemu dan mencari pelanggan baru.Sebelum keluar rumah, saya pastikan keperluan rumah tangga tidak diabaikan. Hidangan makan tengah hari sudah tersedia sebelum suami pulang bekerja sebagai guru sekolah. Lepas Zuhur, saya mula keluar dengan keizinan suami sehinggalah jam enam petang. Biasanya saya akan pergi ke rumah pelanggan tetap. Dalam perjalanan kalau terjumpa orang yang sedang duduk bersantai, saya tegur dan perkenalkan barangan Avon,” katanya.

Beliau berkata, jika hendak berniaga jangan berprasangka buruk terhadap orang. Baginya tiada paksaan untuk sesiapa pun menjadi ahli atau membeli produk yang dijualnya. Azura tidak mudah kecil hati kalau ada yang enggan melayannya apabila ditegur apatah lagi putus asa jika ada yang mengadu tidak berpuas hati dengan produk dibelinya.

“Sebelum menegur orang, saya tengok dulu keadaan dia. Kalau dia nampaknya sedang berehat-rehat di luar rumah, baru saya tegur. Ada juga masanya saya ketuk rumah orang jika lihat keadaan selamat dan tuan rumah tidak sibuk. Sebenarnya saya tidak kira tempat dan masa untuk mencari pelanggan. Misalnya jika saya ke pasar atau kedai pun saya akan cuba promosi produk yang saya jual. Saya juga akan tunjukkan produk yang sentiasa saya bawa di dalam bonet kereta. Biasanya saya akan berjumpa pelanggan dari Sungai Besar sehingga ke Sungai Lang.

AZURA menunjukkan sijil anugerah yang diterimanya pada tahun lalu.

Tidak dinafikan memang ada pelanggan yang mengadu tidak berpuas hati dengan produk yang dibeli, tetapi kebanyakannya disebabkan cara pemakaian yang tidak betul. Kadangkala barangan yang dibeli seperti gincu sudah habis tempoh kerana lama disimpan dan bila dipakai memang memberikan kesan,” katanya.

Katanya dia sentiasa cuba mencadangkan produk yang sesuai untuk pelanggannya dan paling penting cara menggunakannya dengan betul. Azura yang pernah menjalani latihan membuat pencucian wajah dan gaya solekan yang dianjurkan Avon. Ilmu yang dimilikinya itu turut digunakan untuk membuat demonstrasi mencuci wajah dan solekan kepada jiran serta pelanggan lain. Azura juga bijak menjalankan strategi perniagaan dengan mempromosikan barangan pada harga diskaun atau menambah jumlah keahlian di bawahnya ketika Avon memberikan keahlian percuma. Azura juga rajin membuat promosi di kolej dan politeknik untuk mengedarkan risalah mengenai keahlian Avon.

“Sebagai Pengurus Unit, saya sentiasa memerhatikan setiap ahli bergerak aktif. Saya mengambil berat ahli yang kurang aktif dan cuba membantu mereka membuat jualan. Sebenarnya menjual barangan Avon tetap menguntungkan walaupun sekadar menjual salap bibir, dapat juga untung 50 sen. Apa yang penting perlu berusaha apatah lagi putus asa. Ahli mendapat untung runcit sebanyak 10 hingga 35 peratus setiap barangan yang dijual. Jika taja ahli lain, setiap RM100 barangan yang dijual, kita sebagai ketua dapat untung sebanyak enam peratus,” katanya.

Sejak berjinak-jinak dengan dunia jualan langsung, Azura mengakui berasa lebih berkeyakinan berbanding sebelum ini. Dia berbangga kerana dapat membeli kereta kancil dengan hasil titik peluhnya dan lebih bermakna lagi dapat bercuti ke Genting Highlands bersama suami dan anak-anaknya. Beringat ketika senang, Azura turut melaburkan wang hasil kerja kerasnya ke dalam simpanan saham demi masa depan pendidikan anak-anaknya.

BERMESRA dengan anak pada waktu santai. Duduk belakang kiri; Ahmad Hussainy, Ahmad Hafizy, Aryani dan Atirah.

“Sebelum ini saya tidak pernah bekerja. Selepas berkahwin dan melahirkan anak, saya mengikut suami yang bekerja sebagai guru di Sabah. Oleh kerana bergantung kepada pendapatan suami, saya perlu berhati-hati dalam berbelanja. Apabila pulang ke tanah air dan menetap di Sungai Besar ini, saya mula menjinakkan diri dengan dunia jualan langsung. Oleh kerana selalu terperap di rumah, saya teringin juga bersosial dengan orang ramai dan berdikari. Pada awalnya, saya hanya menggunakan produk Avon dan menjadi ahli tetapi lama-kelamaan berjaya menjual kepada jiran. Ternyata mereka serasi dengan produk berkenaan dan menjadi ahli di bawah tajaan saya,” katanya.

Azura bersyukur kerana mendapat sokongan suami dalam membina kerjayanya. Dia sendiri tidak menyangka mempunyai bakat berniaga dan jualan langsung menjadi punca rezeki kini. Baginya jualan langsung sesuai untuk wanita bergelar suri rumah sepertinya untuk menambah pendapatan walaupun secara sambilan apatah lagi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu hari ini.

No comments:

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI