Tuesday, August 30, 2016

Berkongsi Pengetahuan, Cara Murah Untuk Mencapai Kejayaan Bersama

Ada tiga orang ahli silap mata, ahli silap mata A, B dan C. Mereka masing-masing mempunyai satu silap mata yang berbeza antara satu sama lain. Seorang ahli silap mata hanya mengetahui satu silap mata sahaja. Kemudian mereka berkongsi sesame sendiri silap mata yang mereka ketahui. Jadi, setiap ahli silap mata kini mempunyai tiga silap mata. Sudah tentu setiap mereka telah mengeluarkan kos tertentu untuk mempelajari silap mata masing-masing. Dengan saling bertukar pengetahuan, mereka turut mempunyai pengetahuan silap mata yang lebih banyak dan dapat menarik penonton yang lebih ramai tanpa mengeluarkan kos yang besar.

Dalam dunia perniagaan, kita tidak memiliki semua kepakaran yang ada. Mungkin ada yang hebat dalam pemasaran, ada yang pandai dalam pengeluaran, ada yang pakar teknologi sahaja, ada yang mengetahui tentang sumber tenaga manusia dan sebagainya. Bagaimanakah cara supaya semua pengetahuan ini dapat dipelajari oleh setiap ahli perniagaan? Jika perniagaannya sudah besar, mudah sahaja untuk mengeluarkan belanja dengan mengambil pekerja pakar atau perunding. Tetapi, bagi perniagaan kecil, perkara ini tentu menjadi beban utama dari segi kos dan waktu.

Untuk mengatasi masalah kos dan waktu, setiap usahawan yang mempunyai kepakaran masing-masing ini boleh saling berkongsi pengetahuan. Mereka boleh menubuhkan satu kelompok. Si A sebagai pakar pemasaran tetapi lemah dalam pengeluaran, boleh berkongsi pengetahuan dengan Si B yang berpengetahuan dalam pengeluaran tetapi lemah dalam pemasaran. Si C pula yang pakar dalam teknologi boleh saling berkongsi ilmu dengan Si D yang berpengetahuan dalam bidang sumber tenaga manusia. Maka terbentuklah satu kumpulan yang boleh saling menyokong dan saling membantu antara satu sama lain, demi kemajuan bersama..

Kaedah ini kerap digunakan oleh Master Mind Group. Mark Victor Hansen dan Robert Allen banyak menulis tentang ini dalam buku mereka “One Minute Millionaire” dan “Kekuatan dari Fokus”. Anthony Robbins mempraktikkan dengan membentuk Master Mind Group yang dianggotai usahawan-usahawan berpendapatan minimum USD$10 juta per tahun.
Idea untuk berkongsi pengetahuan ini dapat diterapkan dengan cara lain seperti berikut:

Bertukar-tukar koleksi buku, modul pembelajaran, ebook, CD dan lain-lain.
Saya pernah menggunakan cara ini bersama beberapa orang rakan. Setiap kali berjumpa, kami akan membawa sesuatu untuk saling bertukar, contohnya saya membawa buku Robert Allen “Multiple Streams of Income” manakala kawan saya membawa CD Roger Hamilton “Wealth Dynamic”.

Saling bertukar ilmu dari seminar atau latihan yang dihadiri.
Dua orang kawan juga boleh menghadiri seminar yang berbeza-beza, kemudian saling berkongsi pengetahuan yang diperolehi. Kawan saya pernah berkongsi dengan beberapa teman lain untuk mengumpul modal bagi membolehkan salah seorang dari mereka untuk berangkat mengikuti kursus oleh Robert Kiyosaki di Hawaii. Rakan yang menyertai kursus itu kemudian ditugaskan untuk mengajar semula pengetahuan yang diperolehinya tersebut kepada rakan-rakan lain yang tidak menghadiri kursus tersebut.

Membentuk Master Mind Group.
Kumpulan ini boleh dianggotai antara 5 hingga 7 orang sahaja dengan syarat, contohnya, perniagaan mereka mempunyai perolehan minimum sebanyak RM1 juta setahun dan dari bidang perniagaan yang berbeza. Kumpulan ini bertemu sebulan sekali dengan agenda menceritakan perkembangan dan masalah perniagaan yang dihadapi. Setiap anggota boleh memberi cadangan atau idea tentang masalah yang dihadapi oleh anggota yang lain.

Mengikuti mailing list perniagaan.
Di sini setiap anggota boleh saling berkongsi cerita dan informasi yang bermanfaat dengan anggota-anggota yang lain. Melalui mailing list juga anggota mungkin boleh diperkenalkan dengan hubungan perniagaan yang sedang dicari. Contohnya seorang pedagang dapat bertemu pembekal produk yang dicarinya. Mailing list juga dapat dilanjutkan secara “off air” seperti yang dilakukan oleh mailing list Marketing Club dan sebagainya. Saya sendiri berpendapat bahawa mengikuti mailing list sangat berfaedah.

Masih banyak yang dapat dilakukan untuk menggalakkan perkongsian ilmu demi kejayaan bersama. Mungkin anda juga sudah pun mengamalkannya. Sebagai penutup, saya ingin mengongsikan satu cerita menarik. Beberapa bulan yang lalu saya merancang untuk mengikuti kursus oleh Anthony Robbins di Singapura.

Kosnya adalah sekitar RM6,000 Dipendekkan cerita, saya pernah berkenalan dengan seseorang di sebuah seminar. Saya menceritakan rancangan saya tersebut. Dia menyarankan supaya saya membatalkan niat tersebut. Ini kerana, dia mempunyai dua modul yang akan disampaikan dalam kursus tersebut. Dia akan memberikan salinan notanya, dan saya hanya perlu membayar sedikit sahaja. Akhirnya, saya memperolehi modul tersebut dengan wang berjumlah RM30!

Mari kita saling berkongsi pengetahuan demi kejayaan bersama.
Semoga ini dapat membantu!
Sumber:usahawan.com

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI