Tuesday, March 19, 2019

Resepi Racun Perosak Organik Buatan Sendiri


Aphids (bena putih), hama labah-labah, dan perosak lain boleh menyebabkan kerosakan yang serius terhadap bunga, buah-buahan, dan sayur-sayuran.  Makhluk-makhluk perosak  ini menyerang kebun sehinga mengakibatkan tanaman diserang penyakit.
Anda kini tidak perlu risau kerana anda boleh membuat sendiri racun organik dari rumah anda. Berikut merupakan bahan bahan dan langkah langkah yang perlu anda lakukan untuk mnghasilkan racun organik ini.

1)Menggunakan Bahan Tanaman
1 ) Cili (113g) dan Bawang Putih (113g)
Potong cili dan bawang putih ini kepada bahagian kecil dan masukkan ke dalam mesin pengisar.
2) Masukkan 500mL air suam ke dalam mesin pengisar dan kisarkan ia bersama cili dan bawang
3) Apabila sebati, letakkan di dalam bekas tertutup dan biarkan selama 24 jam
5) Apabila cukup 24 jam,  tapiskan menggunakan alat penapis  untuk mendapatkan pati air nya sahaja.
6) Spray (sembur) racun organik ini pada tanaman yang diserang selama 3/4 hari berlanjutan. Elakkan menyembur racun ini ketika cuaca panas.

2) Menggunakan Minyak

1)Pilih sabun basuh cecair ringan. Elakkan sabun anti bakteria, wangi, dan lain-lain khusus, kerana ini boleh merosakkan tumbuh-tumbuhan anda.
2)Campurkan 1 sudu besar (15 mL) sabun dengan minyak masak  (250 mL). Ukur kedua-dua bahan dan tuangkan ke dalam mangkuk besar. Gunakan minyak masak sayur untuk hasil yang terbaik
3)Campurkan 2 setengah sudu teh (12 mL) campuran (minyak dan sabun) tersebut dengan  (250 mL) air. Kacau bahan-bahan dengan baik untuk dicampur dengan teliti.
4) Letakkan di dalam botol spray dan uji campuran tersebut dengan menyemburkannya ke sebahagian kecil tanaman anda. Sekiranya tanaman tersebut layu, berwarna kuning, gunakan sabun yang lain untuk membuat bancuhan racun organik ini semula.
5) Ketika semburan, fokus pada kawasan di mana perosak meletakkan telur mereka, kerana semburan minyak direka untuk menyasarkan telur dan pepijat yang tidak matang.
6) Gunakan semburan pada waktu pagi atau lewat petang, kerana cahaya matahari  boleh membakar tanaman anda selepas menggunakan minyak

SELAMAT MENCUBA!

Sumber:  https://www.kebun2u.my/2018/11/09/resepi-racun-perosak-organik-buatan-sendiri/

Teknologi fertigasi gantung

 Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my
 
Industri pertanian di negara kita kini kian selari dengan arus teknologi dari semasa ke semasa. Wujudnya inovasi di dalam industri pertanian mampu memacu ke arah kehidupan yang lestari.
Teknologi fertigasi gantung adalah satu revolusi dalam perusahaan sayur-sayuran dan buah-buahan bagi memastikan kitaran tanaman sentiasa berkualiti serta konsisten.
Kini, dengan teknologi yang dikembangkan Jabatan Pertanian (DOA) mampu mengoptimumkan penggunaan tanah untuk industri berkenaan.


TEKNOLOGI fertigasi gantung banyak manfaat.
 
Penolong Pegawai Pertanian (Unit Hortikultur), Pejabat Pertanian Daerah (PPD) Raub, Pahang Mohd Ali Hanafiah Mazlan berkata, dulu sistem tanaman di atas tanah berbatas hanya terhad kepada kawasan dan topografi yang sesuai.
“Kelebihan teknologi ini juga dapat meningkatkan pendapatan yang baik disebabkan peningkatan hasil melalui penggunaan baja secara efisien, konsisten dan jangka hayat ekonomik tanaman lebih lama.
“Risiko serangan penyakit daripada ‘soil borne’ dapat dikurangkan kerana antara kelebihan utama sistem ini ialah kedudukan tanaman tidak berada di atas tanah dan sistem pengudaraan yang lancar,” katanya yang ditemui di PPD Raub, Pahang, baru-baru ini.

AHMAD Tarmizi Yunus, 60, memantau hasil timun di ladangnya di Kampung Temau.
Mohd Ali Hanafiah berkata, konsep asas yang membezakan teknologi ini dengan kaedah lain ialah pokok ditanam dalam beg semaian bermedia secara tergantung berasaskan kayu dan dawai serta tali sebagai penyokong.
“Antara tanaman sayur berbuah yang sesuai ialah timun, kacang panjang, petola, terung panjang, cili dan juga sayuran berdaun sebagai kitaran tanaman.
“Kelebihan mengamalkan teknik fertigasi gantung adalah dapat mengurangkan kos tenaga kerja dari sudut kawalan rumpai, kawalan serangga perosak, penyakit serta kerja memungut hasil.
“Secara keseluruhan kos tenaga kerja dan racun kimia dapat dikurangkan hingga 50 peratus berbanding penanaman secara fertigasi biasa,” katanya.

PENOLONG Pegawai PPD Raub, Nurul Azeela Mohd Nasir (kanan) memantau hasil pengeluaran timun milik Ahmad Tarmizi.
Menurutnya, hasil timun dapat dikutip awal seminggu berbanding biasa dan jangka hayat ekonomik tanaman dapat dipanjangkan tujuh hingga 10 hari berbanding penanaman secara konvensional.
“Hasil dapat dipungut dengan mudah, cepat kerana kedudukan beg semaian lebih tinggi dan jangka hayat tanaman lebih lama.
“Sistem ini dapat memberi pulangan maksimum kepada petani apabila jangka hayat tanaman lebih panjang (kerana kurang serangan penyakit bawaan tanah dan keseluruhan pokok mendapat cahaya matahari), seterusnya menjanjikan peningkatan hasil hingga 30 peratus,” katanya.
Menerangkan kaedah penggunaan teknologi ini, Mohd Ali berkata, sistem para dipasang dengan kukuh untuk menggantung beg semaian dan sistem pengairan menggunakan PE tubing.

PEMILIK ladang, Fazril Shahiri, 40, (kiri) bersama pekerjanya memeriksa timun yang baru dituai di Kampung Pintu Padang.
“Setiap beg semaian yang diisi media tanaman akan digantung menggunakan kawat duri dan semai benih tanaman di dalam dulang semaian dengan media peat moss.
“Anak benih akan tumbuh dan menjalar pada dawai trellis yang disediakan,” katanya.
Menurutnya, baja larutan fertigasi (baja fertigasi set A+B) dipam masuk melalui PE tubing yang dipasang bersambungan antara beg semaian dan mempunyai ‘nipper’ pada setiap pokok.

FAZRIL menimbang hasil timun yang diusahakan.
“Kekerapan pembekalan air baja fertigasi mengikut kadar yang disyorkan dan bergantung kepada cuaca semasa. Kebiasaannya pembajaan dibuat tiga hingga enam kali sehari dan diulangi dengan air selepas dua hingga tiga jam pembajaan dibuat.
“Penggunaan baja organik seperti asid amino dan plant booster mampu meningkatkan kualiti tanaman dan pulangan hasil,” katanya.

TIMUN yang sudah digredkan sedia untuk dipasarkan.
Mohd Ali Hanafiah berkata, tunas yang baru keluar perlu dididik untuk menjalar di atas para dawai yang disediakan. Penuaian mudah dijalankan kerana hasil dapat dilihat dengan mudah dan senang untuk mengutip .
“Potensi bagi satu beg semaian untuk tanaman timun boleh mencecah tujuh hingga 10 kilogram (kg) semusim,” katanya.

Racun serangga organik


Konsep pertanian lestari yang mementingkan penjagaan alam sekitar kian mendapat perhatian masyarakat termasuk membabitkan tanaman organik menggunakan baja dan racun perosak yang dibuat secara organik tanpa bahan kimia berbahaya.


Penerapan konsep berkenaan bukan saja diterima petani atau peladang yang mengusahakan tanaman untuk tujuan komersial, tetapi juga isi rumah yang menanamnya sebagai hobi bagi kegunaan sendiri.


Lebih menarik, kaedah yang digunakan juga dapat mengurangkan kos apabila bahan digunakan boleh diperoleh dengan mudah membabitkan barangan harian dari dapur setiap rumah.


Contoh paling mudah adalah menghasilkan racun serangga organik yang hanya menggunakan campuran beberapa bahan terutama sayuran.






DR NORIDA menunjukkan cara membuat racun serangga organik menggunakan bahan dapur.


Pensyarah Kanan (Penilaian Risiko) Jabatan Teknologi Pertanian, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Norida Mazlan berkata, kajian dibuat pihaknya menemui dua kaedah untuk menghasilkan racun serangga organik atau lebih tepat penghalau serangga.


Menurutnya, kaedah itu sudah lama ditemui namun tidak ramai yang menggunakannya walaupun racun serangga buatan sendiri itu ternyata berkesan.


“Kaedah pertama adalah menggunakan bahan A iaitu lima ulas bawang putih, enam biji cili api, seulas halia dan 300 mililiter (ml) air.


“Bahan B iaitu satu sudu minyak masak dan satu sudu cecair pencuci pinggan,” katanya pada Program Klinik Pertanian Daerah Batang Padang di Arena Merdeka, Tapah, Perak, baru-baru ini.





BAHAN A iaitu lima ulas bawang putih, enam biji cili api, seulas halia dan 300 mililiter (ml) air.


Norida berkata, alatan yang diperlukan adalah pengisar, penapis, bekas simpanan (botol) dan penyembur.


“Kisar bahan A kemudian tapis dan ambil patinya sebelum dicampurkan bersama bahan B dan kacau hingga sebati serta kemudian disimpan dalam bekas selama 24 jam.





KISAR bahan A.


“Untuk penggunaan, pati campuran itu kemudian dicampur dengan nisbah satu bahagian bersama empat bahagian air sebelum disembur pada tanaman.


“Pati atau racun serangga itu boleh disimpan selama enam bulan dan lebih lama disimpan ia lebih berkesan,” katanya.





KEMUDIAN tapis dan ambil patinya.


Menurutnya, kaedah kedua adalah lebih mudah dengan hanya menggunakan daun semambu dan air.


“Gunakan 250 gram daun semambu dengan 1.5 liter air dan kemudian ramas daun semambu sebelum masukkan ke dalam bekas berisi air berkenaan.





CAMPURKAN bersama bahan B dan kacau hingga sebati serta kemudian disimpan dalam bekas selama 24 jam.


“Rendam daun semambu selama 12 jam atau tidak lebih 24 jam dan tapis airnya,” katanya.


Norida berkata, masukkan air dalam bekas penyembur berisi air dengan nisbah 1:50 dan perlu digunakan semuanya kerana tidak boleh disimpan melebihi 24 jam.





UNTUK penggunaan, pati campuran itu kemudian dicampur dengan nisbah satu bahagian bersama empat bahagian air.


Katanya, semua kaedah penghasilan penghalau serangga organik berkenaan hanya menggunakan kos yang rendah atau boleh dikatakan tanpa sebarang kos, namun untuk keberkesanan ia perlu kerap disembur pada tanaman.





DAUN semambu turut berkesan untuk dijadikan penghalau serangga pada tanaman.


Sumber: https://www.hmetro.com.my/agro/2017/12/291967/racun-serangga-organik

Cara Memasarkan Produk Keluaran Tempatan

Dalam lambakan produk keluaran import di pasaraya, produk keluaran tempatan dilihat mempunyai ruang yang terhad untuk bersaing di pasaran Malaysia. Adakah produk ni kurang mendapat perhatian kerana pembeli masih ragu ragu dengan kualitinya? Bagaimanakah cara untuk pengusaha produk tempatan membuktikan bahawa produk mereka setanding dengan produk keluaran syarikat yang sudah dikenali?

MEDIA SOSIAL SEBAGAI MEDIUM PROMOSI 

Seperti umum sedia maklum bahawa pengusaha produk keluaran tempatan ini terdiri dari pengusaha kecil-kecilan atau usahawan desa yang mengusahakan perniagaan dari rumah. Pasaran produk mereka juga terhad hanya di beberapa kawasan tertentu. Di sini lah pengusaha ini harus memanfaatkan penggunaan gadget dan media social sebagai medium untuk mempromosi produk keluaran mereka dan ianya percuma! Mereka hanya harus memuat turun aplikasi seperti Facebook dan Instagram dan memuat naik gambar dan menyertakan lokasi perniagaan, nombor telefon dan alamat email untuk memudahkan individu yang berminat mencuba produk anda. Pengusaha belacan dan keropok losong pun boleh mencuba alternatif ini. Kenapa tidak?

ALTERNATIF PROMOSI 

Usahawan desa ini biasanya menjalankan operasi di dalam kawasan kampung jadi salah satu cara untuk mempromosi produk mereka adalah mempamerkan signboard, bunting dan poster di tepi jalan utama dan sekaligus menjadikan pengguna jalan raya sebagai pelanggan anda. Keberkesanan cara ini terbukti sebagai medium yang efektif dalam usaha mempromosi produk anda terutamanya dalam musim cuti umum dan musim perayaan di mana penduduk kota berpusu pusu pulang ke kampung halaman.

AGEN SELURUH MALAYSIA. 

Tidak semua usahawan desa ini mampu membuka kedai fizikal oleh itu, mempunyai agen di serata Malaysia adalah salah satu cara yang mendapat respon yang memberansangkan. Agen juga kebanyakkannya terdiri dari suri rumah dan ibu tunggal yang ingin menjana pendapatan sekaligus membantu menaikkan taraf kehidupan golongan ini. Oleh kerana itu, produk anda juga lebih mudah didapati dan tidak tertumpu pada kawasan sekitar saja. Siapa tak kenal Jeruk Madu Pak Ali yang dulunya diusahakan secara kecil- kecilan saja tapi sekarang bukan sahaja memiliki kedai sendiri malah, Jeruk Madu Pak Ali mempunyai agen di seluruh negara terdiri dari peruncit kecil, ibu tunggal dan suri rumah. Jadi ianya memudahkan pelangganyang ingin membeli produk anda tidak perlu lagi ke kawasan perusahaan anda yang mungkin terletak agak jauh dari lokasi mereka.

MENYERTAI EKSPO DAN KARNIVAL 

Terdapat pelbagai juga ekspo atau karnival keusahawanan yang diadakan untuk usahawan desa ini mempromosi produk keluaran mereka seperti AgroFest dimana usahawan ni giat mempamerkan produk keluaran mereka dari ubatan tradisional, produk makanan sunnah, makanan sejuk beku, dan produk asas tani yang lain. Ini ialah peluang terbaik bagi usahawan desa untuk memikat hati pengunjung yang hadir, sediakan juga pamplet untuk kemudahan pengunjung menghubungi anda semula sekiranya mereka berminat. Terdapat pelbagai alternatif yang boleh digunakan untuk memasarkan produk tempatan selain menjual barangan di pasaraya dan cara ini juga membuatkan pengusaha lebih mudah didekati pelanggan dan lebih bersifat telus.

 Sumber: https://www.usahawan.com/strategi-bisnes/cara-memasarkan-produk-keluaran-tempatan.html/

Pemasaran Produk Yang Lebih Efektif di Internet



produk efektif
Ramai yang tidak tahu bahawa rakyat Malaysia merupakan antara rakyat negara Asia yang paling ramai melayari internet dalam dunia. Ya, dunia! Keajaiban internet tidak perlu dipersoalkan lagi. Usahawan-usahawan di seluruh dunia menjana hampir berbilion ringgit daripada medium ini. Sama ada produk digital mahupun fizikal, semuanya adalah mungkin dengan kewujudan internet. Ini kerana jika secara offline, bilangan manusia adalah terhad manakala secara online , perniagaan anda mampu di perkenalkan pada beribu-ribu orang dalam masa yang sekejap sahaja. Dan sebagai usahawan di Malaysia, adakah kenyataan di atas masih tidak meyakinkan anda untuk memanfaatkan medium ajaib ini ke paras maksimum?
Kini, transaksi yang berlaku di internet adalah berjumlah trillion USD setahun dan setiap hari berbilion-billion USD bertukar tangan. Kerancakan transaksi wang di internet di sokong lagi dengan pengembangan internet ke handphone dan juga penggunaan kad kredit.
Apabila bercakap mengenai perniagaan internet ramai di antara kita membayangkan produk making money online” . Sebenarnya, perniagaan internet ini mempunyai banyak cabang yang boleh diterokai. Di negara kita, pasaran produk fizikal lebih tertumpu di forum-forum tempatan serta laman lelongan online seperti lelong.com.my dan ebay.
Perkembangan yang bagus tetapi produk yang dijual kebanyakannya boleh dikatakan remeh. Contohnya, pen, sarung bantal, jus kuruskan badan, tudung, keychain dan yang sewaktu dengannya. Bagaimana dengan barangan yang lain? Atau usahawan tempatan masih kurang berpengetahuan tentang keajaiban medium ini?

Ikuti faedah-faedah memasarkan produk perniagaan di internet.

Perniagaan auto-pilot.
Anda tidak perlu bersengkang mata untuk berjaga 24 jam untuk menjaga kedai anda. 24 jam 7 hari seminggu 365 setahun. Tidak seperti kedai biasa yang hanya beroperasi jam 7 pagi – 8 malam.
Apa yang perlu anda lakukan hanyalah pastikan anda ada laman web dan ianya berfungsi. Ya semudah itu! Tetapi harus diingat yang setiap entri perlulah menarik kerana ia berupaya untuk membawa pelanggan tersebut kepada pengenalan produk atau perkhidmatan yang disediakan. Proses berkenaan perlulah mengambil kurang daripada 10 saat. Anda harus ingat bawa anda tidak tahu dari mana pengunjung-pengunjung laman web anda datang. Maka, menjadi tugas seorang usahawan untuk menarik perhatian mereka dalam masa yang amat terhad.
Sebarang soalan yang diajukan pelanggan akan masuk ke dalam emel dan anda boleh jawab apabila anda online . Anda juga boleh setkan sistem pembayaran automatik menggunakan kad kredit dan apa yang anda perlu buat adalah menerima bayaran dan memproses tempahan. Di Malaysia budaya pembayaran melalui online mungkin azgak baru. Sebagai usahawan, anda perlu meyakinkan pelanggan bahawa setiap transaksi online yang mereka lakukan adalah selamat untuk digunakan.

Komunikasi pantas.
Jika anda ada pelanggan di Kelantan dan anda pula berada di Johor, anda tidak perlu bergerak ke Kelantan untuk berjumpa dengan pelanggan anda, anda boleh berkomunikasi terus di Internet. Jika ada masalah, mereka boleh ajukan pada anda di Internet sahaja. Sediakan borang pertanyaan di laman web anda dan pastikan anda respon dalam jangka masa yang terdekat.

Prospek perniagaan yang luas.
Anda dapat menjimatkan ratusan malah ribuan ringgit dengan memasarkan produk anda di internet. Kos pemasaran di televisyen, radio dan di billboard adalah sangat tinggi, bukan semua uasahawan mampu untuk membayarnya, dan target market belum tentu seperti diuar-uarkan. Di internet, yang sebaliknya berlaku. Dengan ratusan ringgit sahaja, anda dapat menyampaikan maklumat kepada prospek pelanggan yang tersangat ramai. Bayangkan jika anda mampu memperkenalkan perniagaan anda kepada jutaan orang di internet, paling teruk pun 1 peratus sahaja yang membeli dari anda, agak-agak untung dah berapa? Ya! Tersangat banyak!
Agen yang bekerja secara percuma
Anda tidak perlu ada agen pemasaran yang ramai di dalam syarikat anda untuk promosi produk secara online dengan adanya sistem affiliate. Affliate adalah agen dan anda tidak perlu bayar gaji pada mereka. Mereka akan menerima komisyen berdasarkan jualan yang mereka hasilkan. Jika tiada jualan, anda tidak perlu bayar gaji pada mereka.

Senang untuk mencari rakan niaga.
Seperti yang diberitahu, di internet, yang terbalik dari dunia nyata berlaku. Anada tidak perlu cari rakan niaga, meraka yang cari anda! Jika mereka rasa produk anda bernilai, bagus dan ada potensi, mereka sendiri akan hubungi anda untuk menjadi agen atau wakil pengedar. Maka, di laman web, anda boleh sediakan ruang rakan niaga untuk memperkembangkan lagi perniagaan anda. Menarik bukan?

Anda tidak perlu buka mulut langsung.
Di internet, anda tidak perlu pening-pening memikirkan cara untuk meng’ayat’ para pelanggan anda. Sekadar mengisi laman web anda dengan informasi terkini mengenai produk, pasti ada yang sudah tersangkut. Dan jika mereka ada soalan, mereka boleh hubungi anda. Persembahan di laman web akan menjadi wakil jurucakap anda.

Banyak cawangan dengan kos yang sedikit dan proses yang mudah.
Antara senjata pemasaran ialah cawangan. Membuka cawangan kedai di internet tidak memerlukan kedai baru, peralatan baru, pekerja baru atau lesen baru. Domain dan hosting. Sahaja. Adanya dua perkara tersebut, anda boleh buka dan kawal perniagaan sebanyak mana cawangan yang anda mampu. Hebat?
Bagaimana? Sudah cukup meyakinkan untuk memanfaatkan internet ke paras maksimum? Seorang usahawan yang baik harus tahu untuk menggunakan segala peluang yang ada untuk memaksimumkan jualan dan internet adalah satu medium ajaib yang wajib diterokai. Tetapi pasti anda tertanya-tanya bagaimana tu?

Berikut adalah beberapa cara yang boleh diaplikasikan yang telah membantu ramai usahawan:

Sebenarnya ianya bergantung pada bajet. Jika terlebih bajet, gunakan kaedah yang kedua, jika tidak berapa mampu, gunakan kaedah yang pertama. Apapun, pastikan anda tak habiskan banyak masa dengan lakukan manual submission.

1. Emel
Adalah wajib bagi anda untuk mempunyai laman web opt-in atau landing page yang mempunyai borang langganan di mana pelawat boleh meninggalkan nama dan emel mereka di laman web tersebut. Kemudian, anda boleh mulakanpemasaran produk atau servis anda dengan menghantar emel kepada mereka. Menggunakan perisian bernama autoresponder. Autoresponder ini boleh hantar mesej kepada ribuan emel pada satu-satu masa! Apa yang perlu anda lakukan ialah hanya masukkan beberapa mesej untuk dijadikan emel di dalam autoresponder anda supaya setiap kali pelawat laman web anda berikan nama dan emel mereka, mereka akan mendapat emel ini secara automatik dan berterusan dari anda. Mereka pasti beranggapan yang anda ambil berat dengan mereka sedangkan anda hanya perlu lakukan sekali sahaja, hebat?

2. Komen Blog
Adalah mudah untuk anda lakukan promosi sebegini memandangkan terdapat bermacam-macam jenis blog di pasaran. Selepas melakukan sedikit kajian, anda akan dapati bahawa sesetengah blog mempunyai pembaca setia mereka tersendiri dan mereka inilah sasaran terbaik untuk produk atau perkhidmatan yang anda promosikan.
Walaubagaimanapun, jangan sampai anda dilabel ‘blog spammer’ dengan terus beriklan melalui komen blog dengan kerapa dan secara terang-terangan. Sebaliknya, jadikan kebiasaan untuk meninggalkan komen di blog yang berkaitan dengan niche anda SAHAJA. Jangan sesekali habiskan terlalu banyak masa dengan baca setiap blog, setiap post dalam blog dan setiap komen. Memang alamat 24 jam lah anda duduk depan computer?. Cari sekurang-kurangnya 10 blog berkaitan niche anda dan tinggalkan 10 komen di setiap blog itu setiap hari. Melalui cara ini, anda dapat tingkatkan kredibiliti anda. Maklumlah, balik-balik anda yang komen!

4. Youtube
Masih ramai lagi yang kurang arif dengan kehebatan pemasaran melalui video. Antara kebaikannya ialah pertama, ia membolehkan anda mendapat keputusan segera. Video biasanya dapat dilihat secara terus manakala kandungan bercetak pula lebih cenderung untuk ditinggalkan dalam inbox atau mailbox sehingga berhari-hari lamanya. Kedua, video membolehkan anda menyampaikan cerita dengan lebih baik. Video menawarkan satu peluang yang baik dengan mempamerkan sesuatu yang berkaitan dengan perniagaan anda. Orang ramai lebih cenderung kepada ‘menonton’ maklumat, bukan lagi ‘mendengar’ maklumat.
Ketiga, anda berpeluang untuk membekalkan kandungan yang berlainan setiap kali. Untuk mendapatkan posisi yang tinggi di Google, pemilik laman web hendaklah sentiasa memperbaharui kandungan di laman webnya. Menghasilkan artikel sememangnya memakan masa, tetapi menghasilkan video adalah mudah, murah dan pantas!
Keempat, anda akan dilihat sebagai usahawan yang berkemampuan untuk mencuri tumpuan para pengunjung melalui cara baru. Jika para pengunjung sudah bosan dengan bahan-bahan bercetak, maka video berkemungkinan akan menyemarakkan minat mereka terhadap bisnes anda. Kelima, ia membolehkan orang ramai melakukan promosi untuk anda. Semua laman web video atau laman sosial seperti YouTube, Facebook, MySpace menyediakan kemudahan untuk orang ramai menyebarkan video anda ke seluruh Internet.
Keenam, komuniti video online biasanya lebih ‘hidup’ dan rancak berbanding dengan komuniti artikel online . Anda mampu mencapai jumlah tontonan 1000 ke atas dalam beberapa minggu sahaja! Dan yang terakhir, jumlah persaingan yang kurang. Kebanyakan peniaga Internet masih lagi menggunakan artikel untuk pemasaran bisnes mereka, oleh itu persaingan dalam pemasaran video masih belum sengit seperti cara-cara promosi yang diterangkan di atas.

Antara cara pemasaran melalui video ialah:
1. Cipta video sendiri.
2. Daftar akaun Youtube dengan nama yang ada
keyword kepada niche anda.
3. Masukkan tajuk video yang ada
keyword sasaran anda.
4. Letakkan
link ke landing page anda di description.
5. Masukkan
keyword sasaran anda di dalam tags.
6. Masukkan artikel atau maklumat berkaitan
niche anda ke dalam description.

Sumber: https://www.usahawan.com/strategi-bisnes/pemasaran-produk-yang-lebih-efektif-di-internet.html/

Tuesday, March 12, 2019

Fertigasi Cili: Penanaman Cili Menggunakan Sistem Fertigasi Terbuka fertigasi cili Fertigasi Cili



Fertigasi Cili – Pengenalan
Teknologi fertigasi merupakan teknik penanaman yang telah terbukti memberi kesan yang baik pada tanaman sayuran dan buah-buahan. Fertigasi adalah gabungan dua perkataan Inggeris iaitu fertilizer dan irrigation. Dalam sistem ini, pembajaan dan pengairan dilakukan secara serentak. Sistem fertigasi juga ialah satu kaedah tanaman alternatif bagi mengelakkan penyakit bawaan tanah (soil borne disease) seperti pitium, di samping meningkatkan hasil tanaman. Penyakit bawaan tanah seperti pitium dan fusarium mengurangkan dan merosakkan hasil tanaman.
Pengeluaran hasil buah cili, melon wangi dan tomato telah meningkat sebanyak 3–5 kali ganda berbanding dengan cara penanaman secara konvensional. Permintaan petani dan usahawan untuk menggunakan sistem ini semakin meningkat, terutama untuk penanaman cili. Modal permulaan yang tinggi terutama kos pembinaan struktur pelindung hujan (SPH) telah membantutkan penggunaan teknologi ini dalam kalangan pengusaha cili. Tujuan penggunaan struktur pelindung hujan adalah untuk mengelak baja yang diberikan ke pokok menjadi cair apabila waktu hujan serta mengelakkan penyakit kulat seperti antraknos dan hawar pucuk. Walau bagaimanapun, dengan kaedah pengurusan tanaman yang terkini, penanaman cili dapat dijalankan dengan sistem fertigasi cili terbuka. Penanaman cili menggunakan sistem fertigasi cili terbuka ini dapat diaplikasikan untuk pengeluaran cili padi (Gambar 1) dan cili merah (Gambar 2).
Penyediaan tapak projek fertigasi cili
Pemilihan dan penyediaan tapak projek fertigasi cili merupaka langkah kritikal dalam menentukan kejayaan sesebuah projek penanaman fertigasi cili. Tapak projek yang dipilih hendaklah mempunyai sumber air bersih seperti air kolam, tasik, sungai mata air, air bawah tanah (tube well) dan sumber-sumber lain. Kualiti air seperti pH haruslah diperiksa terlebih dahulu bagi memastikan air tersebut boleh digunakan. Nilai pH yang sesuai untuk tanaman cili ialah 5.5–6.5. Nilai pH dapat ditentukan dengan meter pH atau menggunakan kertas litmus. Penggunaan air paip juga adalah sangat sesuai dengan mengambil kira penambahan kepada kos utiliti. Tapak projek harus diratakan supaya aliran air baja yang diberikan kepada pokok adalah sama. Pemberian kuantiti air baja yang sama kepada setiap pokok adalah penting supaya pokok cili dapat mencapai pembesaran yang 90 seragam. Selepas selesai kerja-kerja menyiap tapak, silvershine atau weedmat dibentangkan bagi mengelakkan tapak projek daripada ditumbuhi rumpai.
Pemasangan sistem pengairan fertigasi cili
Bagi penanaman cili, dua jenis polibeg iaitu bantal dan tegak digunakan. Polibeg berwarna hitam bersaiz 21” x 13’’ bagi polibeg bantal dan 16’’ x 16’’ bagi polibeg tegak adalah disyorkan. Penggunaan polibeg hitam lebih tahan lasak dan lama berbanding dengan polibeg putih. Sistem fertigasi bagi penanaman cili mempunyai peralatan lengkap seperti tangki air baja (900 gelen), pam air, pengatur masa, penapis, injap dan paip poli yang terbahagi kepada paip utama, paip sekunder dan paip lateral serta mikro tiub yang berfungsi membawa larutan nutrien ke setiap beg tanaman. Jarak antara baris yang disyorkan ialah 5” manakala jarak di antara polibeg ialah 1.5” dan disusun sebaris bagi memudahkan kerja-kerja pengurusan tanaman. Sistem fertigasi perlu dipasang sebelum anak pokok cili dipindahkan ke dalam polibeg. Sistem pengairan juga boleh diautomasikan dengan pemasangan timer.
Penanaman cili secara fertigasi
Pemilihan varieti
Varieti cili hibrid disarankan bagi penanaman secara fertigasi. Bagi pengeluaran cili merah secara fertigasi, varieti yang disyorkan ialah Kulai S469, Kulai 568, Kulai 223, Kulai 151 manakala bagi cili padi pula, cili padi varieti Centel adalah menjadi pilihan utama. Walau bagaimanapun, pemilihan varieti adalah bergantung kepada kehendak dan permintaan pengguna bagi memudahkan aktiviti pemasaran.
Medium tanaman
Medium tanaman yang disyorkan ialah 100% coco peat. Coco peat mudah diperoleh, murah dan lebih mesra alam. Walau bagaimanapun, bagi pengusaha fertigasi cili di sebelah utara semenanjung seperti negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, sekam padi bakar boleh digunakan sebagai medium. Medium sekam padi mudah diperoleh di ketiga-ketiga negeri tersebut dengan harga yang amat berpatutan. Coco peat dimasukkan ke dalam polibeg hitam. Polibeg kemudianya disusun selari dengan paip lateral atau paip pembahagi. Lubang lebihan air dibuat 5 cm diukur dari dasar polibeg. Setiap beg tanaman dilengkapi dengan tiub mikro 1.0 mm (garis pusat) yang menyalurkan larutan nutrien dari tangki larutan baja.
Penyediaan anak benih
Biji benih cili yang diperoleh disemai di dalam dulang (tray) semaian dengan 104 lubang plug. Peat moss digunakan sebagai medium percambahan. Kaedah semaian adalah dengan 1 biji benih disemai ke dalam 1 lubang plug. Kemudianya, peat moss 91 dibasahkan dengan air. Percambahan anak yang seragam akan diperoleh selepas 5–7 hari. Selepas bercambah, anak benih dimasukkan ke dalam rumah semaian bagi mengelakkan serangan serangga perosak. Anak benih juga dibekalkan larutan baja secara celupan bagi mendapatkan anak benih yang seragam pembesarannya dan cepat proses pertumbuhannya. Biji benih tambahan diperlukan 10% peratus untuk kerja-kerja penyulaman.
fertigasi cili terbuka
Memindahkan anak benih ke polibeg
Anak benih yang berusia 10–21 hari sedia dipindahkan ke dalam polibeg (Gambar 3). Pada peringkat ini, ketinggian anak benih ialah 10–20 cm dengan 7–10 helai daun. Kerja-kerja memindahkan anak benih dilakukan pada lewat petang bagi mengurangkan tekanan pada anak benih akibat kesan pindah, sekali gus mempercepat proses pemulihan anak benih. Anak benih cili bersama plug peat moss dimasukkan ke dalam lubang yang dikorek pada beg tanaman dan dipadatkan pangkalnya. Anak benih cili ditanam sedalam 3–5 cm dari permukaan coco peat dengan penitis panah diletak di pangkal anak pokok.
Pengurusan tanaman fertigasi cili
Pembajaan
Baja fertigasi cili terbahagi kepada dua bahagian iaitu stok A dan stok B. Formulasi baja fertigasi cili adalah seperti dalam Jadual 1. Baja yang ditimbang berasingan dilarutkan di dalam air yang bersih satu persatu. Kemudiannya, komponen baja dijadikan stok baja (pati baja) bahagian A dan bahagian B di dalam 100 liter air secara berasingan. Disyorkan supaya larutan stok sentiasa tersedia untuk dicairkan ke dalam tangki larutan baja apabila diperlukan.
Kuantiti komponen bajaTanaman fertigasi cili memerlukan larutan nutrien pada kepekatan yang tertentu di  beberapa peringkat pembesaran. Kepekatan larutan nutrien diukur menggunakan meter konduktiviti elektrik (EC). Penentuan EC mesti dilakukan setiap kali bancuhan dibuat atau apabila pertukaran EC diperlukan dan sekurang-kurangnya sekali seminggu. Unit ukuran konduktiviti elektrik ialah µS. Tahap kepekatan yang diperlukan bagi kebanyakan tumbuhan adalah antara EC 1.5–4.0. Bagi tanaman cili, EC yang disyorkan adalah antara 1.8 hingga 2.4. Selepas selesai kerja memindahkan anak pokok ke polibeg, anak pokok cili diberikan air kosong. Selepas tempoh 24 jam anak pokok cili diberikan larutan baja dengan kepekatan 1.8 µS sehingga berusia 3 minggu. Selepas 3 minggu, kepekatan baja dinaikkan menjadi 2.0–2.4 µS sehingga tamat musim penanaman. Semburan daun (foliar) seperti kalsium boron digalakkan bagi mengurangkan kesan kekurangan kalsium pada buah.
Selepas 3 bulan, medium tanaman di dalam beg-beg plastik perlu dibilas dengan air bersih. Ia dilakukan sebulan sekali bagi melarutkan dan seterusnya menyahkan timbun-tambah garamgaram yang boleh menyebabkan toksik kepada tanaman. Proses pembilasan dilakukan dengan menghidupkan pam selama satu jam tanpa henti dan membenarkan air bersih sahaja mengalir ke setiap pokok. Satu lagi faktor yang penting dalam pengeluaran tanaman ialah aras keasidan larutan nutrien yang dinamakan pH. Bagi tanaman cili secara fertigasi, pH yang disyorkan sama seperti tanaman lain seperti tomato atau melon iaitu antara 5.5 hingga 6.5. Nilai pH dapat ditentukan dengan meter pH atau menggunakan kertas litmus.
fertigasi cili weedmat
Membuat sokongan tanaman
Sokongan pada pokok cili perlu dibuat menggunakan pancang berbentuk ‘X’ atau ‘H’. Pancang ini memberikan sokongan pada pokok daripada terbalik terutama pada peringkat buah. Kegagalan menyediakan pancang sokongan akan mengakibatkan pokok tumbang dan ranting patah, ini sekali gus mengurangkan hasil buah cili. Pancang dapat dibuat menggunakan kayu, buluh dan besi. Ketinggian pancang yang sesuai adalah antara 4’–5′ dengan ditanam sedalam 1′.
Penggunaan weedmat dan silvershine sebagai penutup bumi
Weedmat biasanya diperbuat daripada plastik atau kain khas seperti polypropylene. Ia berfungsi dengan menghentikan bekalan cahaya matahari kepada rumpai , sekaligus membunuh mereka.
Weedmat yang berkualiti tinggi akan menyekat pertumbuhan rumpai, dan pada masa yang sama menyediakan saliran yang mencukupi untuk tanah di bawahnya , supaya ia kekal lembap dan subur.
 Perbezaan Antara Weedmat & Silvershine
Cantasan
Kerja-kerja cantasan atau membuang tunas air dilakukan selepas 2–3 minggu penanaman. Tunas air ialah tunas yang muncul selepas cabang utama cili. Bagi cili merah, tunas air dibuang kesemua sekali. Ini bagi memastikan nutrien yang dibekalkan dapat digunakan oleh pokok untuk pembesaran dan penghasilan buah. Manakala bagi cili padi, 3–5 tunas air disimpan bagi meningkatkan hasil cili padi.
Kawalan penyakit dan serangga perosak
Penanaman cili secara fertigasi terbuka menghadapi risiko kerosakan yang tinggi akibat serangan penyakit dan serangga perosak. Walau bagaimanapun, kawalan penyakit dan serangga perosak yang dilakukan secara bersepadu menggunakan racun dan kaedah yang betul dapat meningkatkan kadar kejayaan. Antara serangga perosak utama tanaman cili ialah lalat putih (Bemisia tabaci), afid (Aphis gossypii), kutu trip (Thrips sp.), hamama (Polyphagotarsonemus latus), ulat ratus (Spodoptera sp.), ulat pengorek buah (Helicoverpa armigera) dan lalat buah (Bactrocera latifrons). Manakala penyakit yang sering menyerang tanaman cili fertigasi terbuka ialah lecuh anak benih, antraknos, bintik daun Cercospora, hawar pucuk dan layu bakteria. Pengusaha tanaman fertigasi haruslah berupaya mengenal pasti jenis penyakit dan serangga perosak cili supaya tindakan pencegahan dan kawalan dapat dilakukan dengan segera (Jadual 2).
Penuaian hasil
Hasil tuaian pertama bagi cili merah adalah sekitar 75 hari selepas mengubah manakala bagi cili padi pula tuaian pertama adalah sekitar 90 hari selepas mengubah (Gambar 4). Kutipan hasil dilakukan dengan selangan 3 hari di peringkat awal dan setiap hari pada peringkat puncak. Prestasi kutipan hasil yang perlu dicapai oleh pengusaha ialah 2.5 kg sepokok bagi cili merah dan 1.5 kg sepokok bagi cili padi. Prestasi minimum ini haruslah
dicapai bagi memastikan pengusaha mendapat modal pelaburan dalam masa yang singkat. Walau bagaimanapun, hasil cili merah dan cili padi yang boleh melebihi prestasi minimum ini dengan pengurusan tanaman yang betul dan cekap. Kebiasaannya kerja-kerja mengutip hasil dilakukan menggunakan buruh kontrak tempatan dengan kadar upah RM0.50/kg. Buah yang dipetik kemudianya digredkan sebelum dipasarkan.
Jadual 2. Jenis-jenis serangga perosak dan penyakit utama tanaman cili
Jenis-jenis serangga perosak dan penyakit utama tanaman cili
Pengurusan sisa tanaman
Jangka hayat ekonomi bagi tanaman fertigasi cili terbuka ialah 180 hari. Keputusan untuk menamatkan pokok perlu mengambil kira faktor-faktor seperti varieti cili, harga semasa cili di pasaran, tahap kesuburan pokok dan tahap jangkitan penyakit. Langkah penamatan pokok adalah memetik buah cili yang masak termasuklah hijau dan seterusnya, pokok bersama-sama akar dicabut keluar daripada polibeg dan dimusnahkan kesemuanya. Kemudian, kawasan projek dibersihkan.
Kesimpulan
Penanaman fertigasi cili secara terbuka tanpa menggunakan struktur pelindung hujan ialah satu kaedah alternatif kepada pengusaha yang ingin menggunakan teknologi fertigasi, tetapi mempunyai modal atau peruntukan yang terhad. Dengan
pengurusan tanaman yang berkesan sistem fertigasi cili terbuka ini dapat menjamin pengeluaran hasil cili yang tinggi. Dengan pengeluaran hasil yang setara dengan penanaman secara fertigasi di bawah struktur pelindung hujan, penanaman fertigasi cili secara terbuka mampu menjadi pilihan utama kepada pengusaha tanaman cili.
Bibliografi
De Rijck, G. dan Schrevens, E. (1998). Distribution of nutrient and water in
rockwool slabs. Scientia Hort. 72: 277–285
Mahamud, S., Jamaludin, S., Mohamad Roff, M.N., Ab Halim, A.H., Mohamad,
A.M. dan Suwardi, A.A. (2009). Manual teknologi penanaman cili, rockmelon
dan tomato. Serdang: MARDI
Verdonck, O., Penninck, R. and De Boodt, M. (1983). The physical properties of
horticultural substrates. Acta Hort. 150: 155–160
Ringkasan
Teknologi fertigasi cili adalah teknik penanaman yang telah terbukti memberi kesan yang baik pada tanaman sayuran dan buah-buahan. Pengeluaran hasil buah cili, melon wangi dan tomato telah meningkat sebanyak 3 hingga 5 kali ganda berbanding dengan cara penanaman secara konvensional. Permintaan petani dan usahawan untuk menggunakan sistem ini semakin meningkat, terutama untuk penanaman cili. Modal permulaan untuk menanam secara fertigasi yang tinggi terutama kos pembinaan struktur pelindung hujan (SPH) telah membantutkan penggunaan teknologi ini dalam kalangan pengusaha cili. Dengan kaedah pengurusan tanaman yang terkini, penanaman cili dapat dijalankan dengan sistem fertigasi cili terbuka. Penanaman cili menggunakan sistem fertigasi cili terbuka ini dapat diaplikasikan untuk pengeluaran cili padi dan cili merah. Prestasi hasil yang tinggi iaitu 2.5 kg sepokok bagi cili merah dan 1.5 kg sepokok bagi cili padi dapat meningkatkan lagi pendapatan pengusaha. Dengan pengeluaran hasil yang setara dengan penanaman secara fertigasi di bawah struktur pelindung hujan, penanaman fertigasi cili secara terbuka mampu menjadi pilihan utama kepada pengusaha tanaman cili.
Pengarang
Yaseer Suhaimi Mohd.
Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi, Ibu Pejabat MARDI, Serdang, Peti Surat 12301, 50774 Kuala Lumpur
E-mel: ysuhaimi@mardi.gov.my
Mahamud Shahid dan Mohamad Abd. Manas
Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi, Ibu Pejabat MARDI, Serdang, Peti Surat 12301, 50774 Kuala Lumpur
Abdul Kadir Yusoff
Stesen MARDI Alor Setar, KM 5, Jalan Kuala Kedah, 06600 Alor Setar, Kedah

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI