Industri
pertanian di negara kita kini kian selari dengan arus teknologi dari
semasa ke semasa. Wujudnya inovasi di dalam industri pertanian mampu
memacu ke arah kehidupan yang lestari.
Teknologi fertigasi gantung adalah satu revolusi dalam perusahaan
sayur-sayuran dan buah-buahan bagi memastikan kitaran tanaman sentiasa
berkualiti serta konsisten.
Kini,
dengan teknologi yang dikembangkan Jabatan Pertanian (DOA) mampu
mengoptimumkan penggunaan tanah untuk industri berkenaan.
Penolong Pegawai Pertanian (Unit Hortikultur), Pejabat Pertanian Daerah
(PPD) Raub, Pahang Mohd Ali Hanafiah Mazlan berkata, dulu sistem
tanaman di atas tanah berbatas hanya terhad kepada kawasan dan topografi
yang sesuai.
“Kelebihan
teknologi ini juga dapat meningkatkan pendapatan yang baik disebabkan
peningkatan hasil melalui penggunaan baja secara efisien, konsisten dan
jangka hayat ekonomik tanaman lebih lama.
“Risiko serangan penyakit daripada ‘soil borne’ dapat dikurangkan
kerana antara kelebihan utama sistem ini ialah kedudukan tanaman tidak
berada di atas tanah dan sistem pengudaraan yang lancar,” katanya yang
ditemui di PPD Raub, Pahang, baru-baru ini.
Mohd Ali Hanafiah berkata, konsep asas yang membezakan teknologi ini
dengan kaedah lain ialah pokok ditanam dalam beg semaian bermedia secara
tergantung berasaskan kayu dan dawai serta tali sebagai penyokong.
“Antara tanaman sayur berbuah yang sesuai ialah timun, kacang panjang,
petola, terung panjang, cili dan juga sayuran berdaun sebagai kitaran
tanaman.
“Kelebihan mengamalkan teknik
fertigasi gantung adalah dapat mengurangkan kos tenaga kerja dari sudut
kawalan rumpai, kawalan serangga perosak, penyakit serta kerja memungut
hasil.
“Secara keseluruhan kos tenaga
kerja dan racun kimia dapat dikurangkan hingga 50 peratus berbanding
penanaman secara fertigasi biasa,” katanya.
Menurutnya, hasil timun dapat dikutip awal seminggu berbanding biasa
dan jangka hayat ekonomik tanaman dapat dipanjangkan tujuh hingga 10
hari berbanding penanaman secara konvensional.
“Hasil dapat dipungut dengan mudah, cepat kerana kedudukan beg semaian lebih tinggi dan jangka hayat tanaman lebih lama.
“Sistem ini dapat memberi pulangan maksimum kepada petani apabila
jangka hayat tanaman lebih panjang (kerana kurang serangan penyakit
bawaan tanah dan keseluruhan pokok mendapat cahaya matahari), seterusnya
menjanjikan peningkatan hasil hingga 30 peratus,” katanya.
Menerangkan kaedah penggunaan teknologi ini, Mohd Ali berkata, sistem
para dipasang dengan kukuh untuk menggantung beg semaian dan sistem
pengairan menggunakan PE tubing.
“Setiap beg semaian yang diisi media tanaman akan digantung menggunakan
kawat duri dan semai benih tanaman di dalam dulang semaian dengan media
peat moss.
“Anak benih akan tumbuh dan menjalar pada dawai trellis yang disediakan,” katanya.
Menurutnya, baja larutan fertigasi (baja fertigasi set A+B) dipam masuk
melalui PE tubing yang dipasang bersambungan antara beg semaian dan
mempunyai ‘nipper’ pada setiap pokok.
“Kekerapan pembekalan air baja fertigasi mengikut kadar yang disyorkan
dan bergantung kepada cuaca semasa. Kebiasaannya pembajaan dibuat tiga
hingga enam kali sehari dan diulangi dengan air selepas dua hingga tiga
jam pembajaan dibuat.
“Penggunaan baja organik seperti asid amino dan plant booster mampu meningkatkan kualiti tanaman dan pulangan hasil,” katanya.
Mohd Ali Hanafiah berkata, tunas yang baru keluar perlu dididik untuk
menjalar di atas para dawai yang disediakan. Penuaian mudah dijalankan
kerana hasil dapat dilihat dengan mudah dan senang untuk mengutip .
“Potensi bagi satu beg semaian untuk tanaman timun boleh mencecah tujuh hingga 10 kilogram (kg) semusim,” katanya.