Tuesday, November 3, 2020

Tinggalkan kerjaya sebagai kontraktor, raih pendapatan lumayan sebagai petani

 Tinggalkan kerjaya sebagai kontraktor, raih pendapatan lumayan sebagai petani












Dua orang pekerja menunjukkan kacang panjang yang baharu dipetik di kebun sayur milik bekas kontraktor Zulkifli Abu Hasan di Kampung Paya Palas pada Ahad. --fotoBERNAMA
Seorang kontraktor binaan nekad meninggalkan kerjayanya dengan mengusahakan tanaman kacang bendi dan kacang panjang sehingga mampu memperoleh pendapatan bulanan RM120,000 sebulan.
Zulkifli Abu Hassan, 53, berkata tanaman itu diusahakan di atas tanah milik seorang peladang kelapa sawit yang disewa seluas kira-kira tujuh hektar di Kampung Paya Palas, di sini, sejak dua tahun lalu.
Beliau berkata, tempoh tanaman yang singkat serta harga pasaran yang stabil menyebabkan beliau tekad meninggalkan kariernya sebagai kontraktor yang sering dihambat dengan peningkatan kos bahan binaan sejak mutakhir ini.
"Jika dibandingkan sebelum ini saya mengambil masa yang lama untuk menyiapkan sesebuah projek di samping kenaikan kos bahan binaan, jadi saya mengambil keputusan beralih bidang menanam sayuran yang lebih cepat memberi hasil dan harga yang baik dengan dibantu lebih 20 pekerja.
"Selepas selesai menyiapkan sebuah masjid di Alor Setar, saya menggunakan duit simpanan dan untung pembinaan masjid berkenaan sebagai modal awal, dan alhamdulillah berkat pekerjaan saya itu, dapatlah memulakan tanaman dan membeli pam air, benih dan paip," katanya ketika ditemui Bernama, di sini, pada Ahad.
"Syaratnya, mesti diusahakan secara besar-besaran, mengikut teknik penanaman yang betul serta mengikuti perkembangan pasaran, sudah tentu bidang yang diceburi tidak sia-sia," katanya.
Setakat ini, Zulkifli berkata, beliau mampu mengutip sekitar 1,000 kilogram kacang bendi untuk dijual kepada pemborong yang datang ke ladangnya dengan harga RM4 sekilogram.
"Saya berpuas hati dengan pekerjaan ini, kerana kesemua pokok yang ditanam tumbuh subur dan membuahkan hasil seperti yang diharapkan dan insya-Allah saya bercadang memperluas kawasan tanaman ini nanti," katanya.
Sebelum ini beliau pernah mengusahakan tanaman cili besar, namun pokok tersebut sering diserang penyakit menyebabkan beliau beralih kepada tanaman berkacang ini sebagai tanaman utama.
Beliau berharap lebih ramai rakyat negeri ini terutama golongan belia berminat dengan projek pertanian kerana ia bidang yang menguntungkan dan tidak mengambil masa yang lama untuk berbuah.
"Pokok kacang bendi dan sayur lain yang saya tanam hanya ambil masa tidak sampai dua bulan untuk berbunga dan berbuah, saya menyeru belia atau pelajar yang masih menganggur untuk sertai aktiviti ini kerana kerajaan menyediakan bantuan kepada golongan belia untuk menceburi bidang pertanian," kata Zulkifli.
Sektor pertanian penting ditingkatkan dari semasa ke semasa bagi mengimbangi keperluan bekalan makanan negara seiring dengan pertambahan jumlah penduduk negara ini yang semakin meningkat, katanya. -- BERNAMA

No comments:

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI