Mohd Nashir berkata perkara utama adalah kesesuaian kawasan dan penjagaan terutamanya sumber makanan. - Gambar hiasan
KOTA BHARU: Bermula sekadar hobi menjadikan lima log kelulut sebagai hiasan di sekeliling rumah, seorang pesara kerajaan kini mampu tersenyum lebar apabila usahanya dalam menternak kelulut kini menjadi sumber pendapatan sampingan.
Mohd Nashir Yaacob, 62, berkata dalam tempoh pandemik COVID-19, permintaan madu kelulutnya itu semakin meningkat kerana khasiat dimiliki seperti mengandungi kandungan antioksidan yang tinggi.
Ditemui di rumahnya di Kampung Che Arus, Kok Lanas, di sini hari ini, Mohd Nashir berkata beliau mengadaptasi kemahiran yang dimiliki sebagai pengajar peserta kursus penternakan lebah kelulut ketika bertugas di Jabatan Pertanian Negeri Kelantan untuk mencipta taman hijau di sekeliling rumahnya selepas bersara pada 2012.
Bercerita lanjut, Mohd Nashir yang mesra disapa sebagai Pok Sir berkata usaha secara santai dan niat mahu berbaik dengan alam semulajadi di sekeliling rumah itu turut menjadi terapi dirinya dalam tempoh sekatan pergerakan ketika ini.
"Kerja-kerja menyedut madu kelulut dilakukan setiap dua atau tiga minggu sekali dengan purata tuaian setiap log kelulut itu antara 700 hingga 800 gram. Madu yang dituai kemudiannya akan dimasukkan ke dalam botol untuk dijual kepada pelanggan secara runcit atau borong.
"Dalam masa sama, saya juga memprosesnya menjadi produk sabun berasaskan madu kelulut yang turut mendapat permintaan tinggi," katanya yang memiliki lima anak.
Ditanya rahsia mampu terus aktif dalam penternakan madu kelulut, Mohd Nashir berkata perkara utama adalah kesesuaian kawasan dan penjagaan terutamanya sumber makanan bagi keselesaan lebah kelulut menghasilkan banyak madu serta berkhasiat.
"Di sekitar kawasan rumah ini, saya pastikan ada pokok-pokok yang disukai oleh lebah kelulut seperti bunga kelapa, bunga jambu, bunga rambutan dan bunga akasia kerana kualiti madu pula ditentukan oleh jumlah bunga yang dikunjungi oleh seekor lebah kelulut," katanya mendapat sokongan isteri, Ramlah Salim, 62.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment