Tuesday, June 26, 2012

ROHANI JUTAWAN SYARIKAT BINAAN

Prinsip hidup yang diamalkan wanita bersemangat waja ini senang sahaja. Tiada jalan mudah untuk mengecapi kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi. Setiap cabaran dan dugaan yang mendatang tidak harus dijadikan batu penghalang dalam meniti kejayaan, sebaliknya ia dijadikan panduan supaya diri tidak tergelincir sekiranya sudah berada di puncak.

Itulah pegangan pemilik sebuah syarikat pembinaan, Rohani Baba, 53, dalam usaha meletakkan dirinya sebagai seorang usahawan yang berjaya. Menurutnya, kesabaran dan disiplin adalah aset utama yang menjadi pegangannya sebelum mengambil keputusan menceburi bisnes bersama suami tercinta, Noorman Ismail dengan menubuhkan syarikat Rohani Baba Sdn. Bhd. pada tahun 1979.

“Pada awalnya kami sememangnya tiada langsung kepakaran dalam bidang ini. Saya pula setakat tamat sekolah menengah sahaja. Suami pula mengambil jurusan seni bina ketika belajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur,” ujarnya.

Pada usia 25 tahun, Rohani mendirikan rumah tangga bersama Noorman. Menurutnya: “Saya dan suami ambil keputusan untuk menubuhkan syarikat bisnes kami itu tidak lama selepas bergelar suami isteri.”

Ibu kepada dua orang anak ini membuktikan walau dengan hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia juga mampu mencipta kejayaan sepertimana golongan berpendidikan tinggi yang lain. Menjadikan suaminya sendiri sebagai ikon untuk terus berada di ambang kejayaan, Rohani kini sudah mampu tersenyum bangga melihat segala kemewahan yang berjaya diraihnya hasil kerja keras dalam bisnes yang diusahakannya selama ini bersama suami tercinta.

Kejayaan syarikat miliknya menjana keuntungan mencecah berjuta-juta ringgit, hasil daripada projek yang kebanyakannya diperoleh daripada sektor kerajaan, Rohani bagaimanapun mengakui bukan mudah untuk berada di dalam bisnes tersebut.

“Seingat saya, projek pertama yang kami dapat ialah projek bernilai RM10 juta di Pulau Pinang. Ketika itu kami dapat tender untuk membina bangunan untuk kuarantin barangan. Bermula dari situ, kami mula berusaha untuk mendapatkan lebih banyak projek,” katanya.

Menurut Rohani, antara projek yang diusahakan syarikatnya termasuklah membina masjid, sekolah, asrama dan juga bangunan-bangunan kerajaan. Dalam pada itu, Rohani memberitahu, cabaran terbesar dalam meluaskan empayar perniagaannya ialah ketika negara menghadapi krisis ekonomi pada tahun 1998.

“Projek terbesar yang pernah diperoleh syarikat kami bernilai RM25 juta. Saya dan suami terpaksa mengerah keringat siang dan malam demi memastikan bisnes yang kami usahakan tidak terhenti begitu sahaja. Saya tak nafikan bisnes kami agak teruk ketika itu, terutama disebabkan tekanan yang timbul daripada beberapa masalah. Selain daripada kesukaran mendapat projek baru, dalam perniagaan, biasalah, mesti ada yang tak suka dan dengki. Ada sahaja pihak yang cuba mencantas projek yang diusahakan syarikat kami itu. Namun, alhamdulillah rezeki tetap ada walaupun banyak halangan, biarpun begitu, saya bersyukur kerana suami saya seorang yang sangat tabah. Dia banyak bersabar dan dengan hasil usahanya yang tanpa mengenal erti jemu, perniagaan kami sekeluarga dapat diselamatkan.”luah Rohani.

Menyentuh pula mengenai gaya hidupnya, Rohani dengan rendah diri menyatakan semua yang diperolehnya hari ini adalah rezeki yang telah diberikan oleh Tuhan. Berbicara lanjut, Rohani menegaskan dia tidak gemar membeli barangan dari jenama luar negara.

“Saya bukanlah seorang yang suka membeli-belah. Kesemua pakaian saya dibuat di butik Radzuan Radziwill, Saya sendiri pun dah selesa dengan rekaan dia sejak dulu lagi dan setia dengan Radzuan seorang sahaja. Barangan rumah termasuk langsir pun dia yang jahitkan. Kalau melancong pula memang jarang. Kali terakhir kami melancong ke luar negara ialah pada tahun 1990, di London. Sejak itu kami tidak lagi melancong sebab masing-masing sibuk kecuali jika ada kelapangan kami akan terbang ke Indonesia,” tuturnya yang memiliki hobi menanam bunga.

Sebagai usahawan, ibu dan isteri, Rohani tidak menafikan kadangkala dia juga berhadapan dengan masalah pembahagian waktu.

Walau bagaimanapun, Rohani lebih memberi penekanan kepada keluarga dengan memperuntukkan waktu lapang sebagai waktu bersama insan-insan yang amat disayanginya itu. Rohani ternyata bukan sahaja berjaya sebagai usahawan, tetapi juga sebagai seorang ibu. Ia terbukti apabila kedua-dua anaknya kini dipertanggungjawabkan mengendalikan syarikatnya itu. Menjadi harapan kepada wanita ini untuk membuka cabang bisnes baru seperti butik ke seluruh negeri di Malaysia.

“Anak sulung saya, Neiry kini memegang jawatan sebagai pengarah urusan syarikat, sementara anak bongsu saya pula, Reyni sebagai salah seorang pengarah syarikat, saya berazam untuk membuka sebuah butik yang berkonsepkan pakaian muslimah bagi keperluan wanita,” akhirinya.

Cara menjadi popular dalam perniagaan

Menjadi popular tidak semestinya untuk industri hiburan sahaja. Perniagaan juga perlu menjadi popular untuk menarik pelanggan yang ramai. Pendek kata, lagi popular sesuatu perniagaan, lagi mudah menarik pelanggan- seperti industri hiburan!
popularity.jpg
Untuk menetahui cara menjadi popular, “MASA” memainkan peranan yang penting- terutamanya untuk jadi popular di Internet. Sememangnya sering kita dengar kisah-kisah “over-night sensation” (popular dalam masa singkat), namun, kisah-kisah sebegini tidak banyak dan hanya terjadi sekali sekala sahaja.
Dengan menggunakan elemen “Masa”, kita dapat membina populariti perniagaan dan juga jenama kita. Jangan fikirkan menjadi popular dengan cepat oleh kerana cara yang lebih ideal dan terjamin untuk jangka panjang adalah membina populariti secara perlahan.
Lihat contoh-contoh di bawah:
  • Justin Beiber popular sedunia hari ini meletakkan klipnya di YouTube sejak 2007!
  • Ana Rafali pemenang Juara lagu kini telah menggunakan Youtube sejak 2006!
  • Saya juga mendapat populariti bukan secara mendadak, tetapi telah menulis blog sejak 2006!
Untuk membina jenama perniagaan kita, fikirkan elemen masa. Mulakan awal. Jangan bertangguh-tangguh oleh kerana lagi anda bertangguh, lagi lambat elemen masa akan membantu populariti perniagaan dan jenama anda. Mulakan sekarang dan biarkan masa membantu populariti perniagaan anda!
Sumber: Laman Web : Tip Irfan Khairi

Monday, June 25, 2012

Strategi AirAsia Menjual 500,000 Tiket Melalui Facebook


Penggunaan Facebook sebagai alat pemasaran merupakan trend terkini di dalam dunia perniagaan.




Percuma dan mudah untuk digunakan, Facebook turut membolehkan peniagaan berskala kecil turut sama melakukan aktiviti pemasaran seperti mana perniagaan berskala besar.


Terdapat banyak buku dan penulisan yang mengulas mengenai teknik dan strategi memasarkan produk dan servis menggunakan Facebook.

500,000 Jualan Tiket – Bagaimana?

Untuk artikel kali ini, penulis berkongsi dengan pembaca Majalah Niaga bagaimana AirAsia berjaya menjual 500,000 tiket penerbangan hanya dalam masa 24 jam melalui Facebook sekaligus menjimatkan sebahagian kos pemasaran mereka.



Kandungan artikel ini diolah kembali daripada salah satu bab di dalam buku penulis ‘Magika Facebook untuk Bisnes’.


AirAsia hanya mula mewujudkan Fan Page (kini dikenali sebagai Facebook Pages) di Facebook pada bulan April 2009.

Selain Malaysia, AirAsia juga mewujudkan Fan Page untuk pelanggan-pelanggan di Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand, Hong Kong, Taiwan, United Kingdom, India, Australia dan New Zealand.

Kesemua Fan Page AirAsia ini merekodkan jumlah Fan seramai sekitar 1.4 juta orang. Untuk pasaran China pula, AirAsia menggunakan media sosial negara tersebut, Renren, sebagai Fan Pagenya.

Ini kerana negara tersebut tidak membenarkan Facebook beroperasi di sana.

Kempen Mind Blowing Fare

Dengan menggunakan kelebihan jumlah Fan Page yang ramai, AirAsia melancarkan promosi kempen ‘Mind Blowing Fare’ melalui Fan Pagenya pada tahun 2010.



Kempen ini menawarkan harga tiket penerbangan hanya pada RM1 bagi penerbangan antara 1 April 2011 hingga 11 Ogos 2011.

Promosi kempen tersebut berjalan selama 6 hari bermula dari 10 Ogos 2010 hingga 15 Ogos 2010, dan berjaya mencatat sejarah apabila AirAsia berjaya mencatat jualan tiket sebanyak 538,000.

Hanya pada hari pertama kempen tersebut dilancarkan.

Jualan ini mengatasi pencapaian jualan tiket AirAsia pada tahun sebelumnya dalam kempen promosi Free Seat yang mencatat jualan sebanyak 390,000 tiket penerbangan pada hari pertama.
Bagaimana AirAsia berjaya menggunakan Fan Pagenya dalam pemasaran kempen ‘Mind Blowing Fare’?

Membuatkan Fan Teruja

Empat hari sebelum hari pelancaran kempen tersebut pada 10 Ogos 2010, pasukan media sosial AirAsia memasukkan mesej di Fan Page, Renren dan juga Twitter untuk memaklumkan mengenai pelancaran tersebut.



Mereka turut menggalakkan Fan untuk turut menyebarkan maklumat pelancaran tesebut di kalangan rakan-rakan.Mesej pertama ini bertujuan menimbulkan rasa ingin tahu tahu Fan, dan bagi pengunjung yang belum menjadi Fan pula dijemput menyertai Fan Page AirAsia, untuk mendapat kemaskini secara eksklusif kempen tersebut.

Tiga hari selepas itu, atau sehari sebelum hari pelancaran, AirAsia memasukkan mesej yang mendedahkan harga tiket untuk beberapa destinasi yang terlibat dalam promosi tersebut.

Ini meningkatkan keterujaan Fan yang menjadi semakin tidak sabar dan mesej ini berjayamenarik 960 Like dan 274 komen.Pada waktu yang sama AirAsia turut meletakkan di laman sesawangnya panduan yang dinamakan Bargain Hunter 101, yang mengandungi langkah-langkah untuk membuat pembelian tiket di laman sesawang mereka.

Ini bertujuan untuk mengurangkan sebarang masalah yang dihadapi pelanggan semasa hari pelancaran.

Promosi kempen ini bukan sahaja berjaya meningkatkan jualan tiket AirAsia , malah dari 9 Ogos 2010 hingga 13 Ogos 2010, AirAsia berjaya menambah 13,000 Fan baru di Facebookdan 1,100 Fan di Renren.

Memahami Pelanggan dan Peranan Media Sosial
Asas utama kejayaan pemasaran melalui Fan Page ini bertitik tolak daripada pemahaman AirAsia terhadap ciri-ciri pelanggannya, serta pelancong masa kini yang kerap menggunakan teknologi dalam kehidupan.

Kebanyakan dari mereka ini terdiri dari golongan muda dan sentiasa mencari tawaran-tawaran hebat di Internet.

Sehingga kini, lebih dari separuh atau 65% pelanggan AirAsia berumur 35 tahun ke bawah dan 80% jualan tiket dilakukan di laman sesawang AirAsia.

Oleh kerana itu bagi mempengaruhi mereka untuk membuat pembelian tiket, kempenMind Blowing Fare dianjurkan dengan matlamat untuk menawarkan kadar tambang istimewa ke destinasi-destinasi di negara-negara ASEAN.

Mewujudkan Pasukan Media Sosial

Kesemua kandungan dan pengiklanan melalui media sosial dihasilkan sendiri oleh AirAsia, menerusi perbincangan antara pasukan media sosial dan pasukan pemasaran.



AirAsia lebih selesa menggunakan pekerjanya sendiri atas dua sebab.

Pertama, ianya lebih menjimatkan dan kedua, pekerja-pekerja AirAsia lebih memahami ciri-ciri jenama AirAsia itu sendiri berbanding jika mereka menggunakan agensi luar untuk melakukannya.

Dalam menghasilkan kempen menerusi media sosial seperti di Facebook, AirAsia menumpukan kepada kandungan yang menarik dan relevan dengan Fan.

Kerana AirAsia percaya kandungan yang berguna akan disebarkan oleh Fan (word of mouth marketing).

Semenjak AirAsia menubuhkan pasukan untuk mengurus komunikasi melalui media sosial, kesemua kempen jualannya akan melibatkan penggunaan media sosial, dan AirAsia juga ada mengadakan kempen jualan secara eksklusif untuk Fannya sebagai tanda penghargaan.

Bukan Pengganti, Tetapi Pelengkap

AirAsia tidak menjadikan pemasaran melalui media sosial sebagai pengganti kepada alat pemasaran melalui media lain.



Sebaliknya ia berfungsi sebagai pelengkap kepada aktiviti pemasaran tradisional AirAsia seperti melalui pengiklanan akhbar dan televisyen.

Pemasaran melalui media sosial ini bertujuan memastikan pengiklanan AirAsia mencakupi lingkup pasaran yang lebih luas.

Kerana tidak semua pelanggan AirAsia dan pelancong mempunyai akaun Facebook ataupun Twitter, dan terdapat juga antara mereka yang jarang membaca akhbar dan menonton televisyen.

AirAsia masih memperuntukkan bajet sebanyak satu peratus dari pendapatan tahunan syarikat bagi pengiklanan secara tradisional, walaupun mereka semakin meningkatkan usaha pemasaran dan pembinaan jenama melalui media sosial.

Jimat RM3.8 Juta

Seperti yang dinyatakan di awal artikel, kos pemasaran AirAsia berjaya dijimatkan semenjak ia menggunakan media sosial.


Dalam kempen promosi Mind Blowing Fare, mereka membelanjakan hanya sebanyak RM1.2 juta untuk pengiklanan di suratkhabar, televisyen dan sebagainya.

Pada tahun-tahun sebelumnya, AirAsia membelanjakan RM5 juta untuk pengiklanan kempen tawaran yang sama.

Ini bermakna AirAsia bukan sahaja meningkatan pendapatan melalui kenaikan jualan tiket malah melalui penjimatan sebanyak RM3.8 juta dalam perbelanjaan iklan.

Kredit: Social Maximizer, Facebook Pages Air Asia, CSUS, Air Asia.
Ditulis oleh Mazlan Mohamad pada 08 Jun 2012 dalam Tip Perniagaan
Sumber:majalahniaga.com

9 Tip Daftar Cap Dagangan (Do & Don’ts)


Sepanjang saya mengendalikan proses permohonan cap dagangan, saya telah menemui pelbagai jenis dan versi cap dagangan yang dicipta oleh para usahawan kita.

Ada cap dagangan yang baik untuk didaftarkan dan ada juga yang tidak sesuai untuk didaftarkan, kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Akta Cap Dagangan 1976.

Seksyen 10 & 14 Akta Cap Dagangan 1976 telah menggariskan beberapa panduan cap dagangan yang boleh dan tidak boleh didaftarkan.

Panduan ini perlu diikuti untuk memastikan permohonan cap dagangan mendapat kelulusan daripada pihak Pendaftar Cap Dagangan Malaysia.

Untuk memudahkan kefahaman usahawan sekalian, saya ringkaskan panduan ini kepada berikut:

Jenis Cap Dagangan yang Sesuai

#1 – Guna Nama Syarikat

Nama syarikat yang unik dan tidak mempunyai kaitan dengan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan adalah cap dagangan yang baik untuk didaftarkan.

Sebagai contoh, cap dagangan Celcom, Maxis, Nestle dan Samsung adalah cap dagangan berdaftar yang diambil daripada nama syarikat.

Walaubagaimanapun, nama syarikat seperti Perusahaan Tekstil Sdn Bhd, Kedai Makan Enterprise dan  Klinik Telinga tidak sesuai untuk didaftarkan sebagai cap dagangan.

Kerana nama syarikat atau perniagaan tersebut mempunyai kaitan dengan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.

#2 – Unik dan Kombinasi Multimedia

Cap dagangan yang mempunyai logo, imej, rajah atau bentuk adalah cap dagangan yang baik.

Cap-cap dagangan seperti Proton, Nestle, KFC dan LG ditampilkan dalam bentuk logo dan imej yang unik adalah contoh cap dagangan yang baik.

#3 – Perkataan Tidak Mempunyai Makna

Perkataan yang dicipta atau tidak mempunyai sebarang makna di dalam bahasa tempatan adalah cap dagangan yang baik.

Sebagai contoh, cap dagangan Adidas, Nike dan Nintendo adalah contoh perkataan yang dicipta, atau perkataan yang tidak mempunyai makna di dalam bahasa tempatan yang telah dijadikan sebagai cap dagangan.

#4 – Perkataan Tidak Merujuk Kepada Produk

Cap dagangan yang menggunakan perkataan sedia ada yang tidak merujuk kepada produk atau perkhidmatan yang ditawarkan, adalah cap dagangan yang baik.

Cap Dagangan Apple untuk komputer, Citizen untuk Jam, Windows untuk perisian dan Puma untuk pakaian adalah contoh cap dagangan yang baik.

Ia menggunakan perkataan sedia ada tetapi tidak menggambarkan atau merujuk produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.

Jenis Cap Dagangan yang Tidak Sesuai

#1 – Perkataan Merujuk Produk

Cap-cap dagangan seperti:

Apple untuk buah epal,
Ayam sedap untuk produk ayam,
Mi halus untuk mi,
Kerepek rangup untuk kerepek,
Kedai makan nasi campur untuk kedai makan,
Perkhidmatan dobi untuk kedai dobi.
Kesemua jenis yang disebutkan di atas adalah cap dagangan yang tidak baik dan tidak boleh didaftarkan.

#2 – Menggunakan Nama Tempat Di Malaysia

Elakkan daripada menggunakan nama-nama tempat seperti Bangi, Kajang, Gemas, Seremban dan Ipoh sebagai cap dagangan kerana ia tidak sesuai untuk didaftarkan.

Namun, nama-nama tempat luar Malaysia yang tidak mempunyai sebarang kepentingan atau tidak wujud di Malaysia boleh dipertimbangkan untuk pendaftaran.

#3 – Mempunyai Simbol atau Perkataan Berikut:

Perkataan ‘Patent’, ‘Patented’, ‘By Royal Letters Patent’, ‘Registered’, ‘Registered Design’ and ‘Copyright’.
Perkataan ‘To counterfeit this is forgery’, ‘Registered Trade Mark’, ‘Registered Service Mark’ atau perkataan yang sama di dalam sebarang bahasa.
Perkataan ‘Bunga Raya’ dan imej bunga raya.
Perkataan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong dan Raja-Raja Negeri.
Representasi atau imej istana atau sebarang bangunan milik kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri.
Perkataan dan logo ‘ASEAN’.
Perkataan ‘Red Crescent’ atau ‘Geneva Cross’ dan representasi Red Crescent, the Geneva Cross dan sebarang imej palang bewarna merah, atau representasi Swiss Federal Cross di dalam warna putih atau perak pada latar merah.

#4 – Wujud Elemen Ancaman

Cap-cap dagangan yang memaparkan perkataan atau imej lucah, perkataan kesat, dan simbol-simbol yang boleh menggugat keselamatan negara adalah contoh cap dagangan yang tidak boleh didaftarkan.

#5 – Ada Lambang atau Jata Tentera Diraja

Panduan di atas adalah panduan asas berdasarkan Akta Cap Dagangan 1976 dan pengalaman saya sepanjang mengendalikan proses permohonan cap dagangan.

Untuk maklumat lanjut, para usahawan sekalian boleh menghubungi saya atau mendapatkan konsultasi ejen cap dagangan berdekatan.

Semoga perkongsian di atas membantu usahawan mencipta cap dagangan yang baik untuk dijadikan sebagai jenama produk atau perkhidmatan yang ditawarkan mereka.

Kredit: China Daily, Soya Cincau
Ditulis oleh Azizi Zulkefli pada 25 Jun 2012 dalam Tip Perniagaan 
Sumber: majalahniaga.com

Elak Rugi Puluhan Ribu – Daftar Cap Dagangan Anda

Kisah di bawah merupakan adaptasi daripada kisah benar yang berlaku dalam dunia keusahawanan hari ini. Semoga kisah yang dipaparkan diambil pengajaran oleh semua usahawan, bagi mengelakkan perkara yang sama berlaku di dalam perniagaan kita.


Azman merupakan seorang usahawan yang mengendalikan perniagaan menjual ayam golekdi bawah jenama Man-Golek di utara tanah air. Ayam golek Azman amat popular dan mendapat sambutan hangat daripada penduduk setempat. Malah, terdapat juga pelanggan-pelanggan yang datang dari jauh semata-mata untuk menikmati kelazatan ayam golek Man-Golek yang beroperasi di Bandar Alor Setar, Kedah.

Selepas dua tahun beroperasi, Azman telah berjaya membuka tiga cawangan baru restorannya di Kulim, Ipoh dan Kangar dan hasil jualan tahunannya dari semua cawangan mencecah jutaan ringgit.

Ini hasil daripada promosi yang diadakan menerusi pelbagai medium terutama di media elektronik dan akhbar.

Salim merupakan pekerja di bahagian operasi di dalam perniagaan ayam golek kendalian Azman di Alor Setar. Tugas Salim adalah memastikan stok-stok ayam mencukupi untukmenampung permintaan para pelanggan.

Salim adalah antara pekerja yang terawal yang diambil bekerja dengan Azman, dan beliau telah mahir selok belok perniagaan ayam golek Azman.

Kesedaran Terhadap Cap Dagangan

Suatu pagi, semasa berurusan dengan pembekal ayam untuk semua cawangan Man-Golek, Salim telah diberikan satu risalah berkenaan pendaftaran cap dagangan oleh pembekal ayam tadi.

Risalah tadi adalah risalah kempen kesedaran pendaftaran cap dagangan, yang telah diedarkan oleh pihak Perbadanan Harta Intelek Malaysia kepada usahawan-usahawan perusahaan kecil dan sederhana. Selepas membaca risalah tadi, tercetus persoalan di fikiran Salim sama ada Azman telah pun mendaftar jenama Man-Golek sebagai cap dagangan.

Keesokkan harinya, Salim telah menghubungi pihak Perbadanan Harta Intelek Malaysia untuk bertanyakan tentang proses pendaftaran cap dagangan.



Selepas diberi penerangan oleh salah seorang pegawai Perbadanan, Salim dicadangkan untuk menghubungi seorang ejen cap dagangan, bagi mengendalikan proses pendaftaran cap dagangan bagi pihaknya memandangkan Salim tidak mempunyai masa untuk berulang-alik dari Kedah ke Kuala Lumpur untuk melakukan sendiri proses pendaftaran.

Salim dengan segera menghubungi ejen cap dagangan yang dicadangkan oleh pegawai tadi, dan meminta sebut harga bagi memproses permohonan pendaftaran cap dagangan.

Selepas bersetuju dengan sebut harga yang diberi, Salim meminta ejen cap dagangan tadi untuk membuat carian bagi mengetahui sama ada jenama Man-Golek telah didaftarkan sebagai cap dagangan. Keesokkan harinya, Salim telah menerima e-mel daripada ejen cap dagangannya memberikan keputusan carian. Keputusan carian menunjukkan jenama Man-Golek masih belum didaftarkan sebagai cap dagangan.

Ejen cap dagangan tersebut mencadangkan untuk membuat permohonan secepat mungkin bagi mengelakkan jenama Man-Golek didaftarkan oleh pihak lain.

Bermulanya Kisah Hitam Azman
Salim terus memberikan arahan kepada ejen tersebut untuk membuat permohonan pendaftaran cap dagangan Man-Golek, cuma bukan di bawah nama perniagaan Azman, tetapi di bawah namanya sendiri.

Salim memberitahu ejen cap dagangan tersebut bahawa jenama Man-Golek adalah miliknya dan beliau ingin mendaftarkan jenama tersebut di bawah namanya atas alasan strategi perniagaan.

Ejen cap dagangan yang tidak tahu perkara sebenar telah memproses permohonan Salim dan menghantar permohonan tersebut ke pejabat Pendaftar Cap Dagangan di Kuala Lumpur.

Beberapa bulan kemudian, permohonan Salim telah diluluskan dan sijil pendaftaran cap dagangan Man-Golek dengan nama Salim sebagai pemilik telah dikeluarkan.
Beberapa hari selepas Salim menerima sijil pendaftaran tadi, Salim telah meletakkan jawatannya dalam perniagaan Azman. Azman yang telah menganggap Salim seperti adik sendiri cukup berat untuk melepaskan Salim, memandangkan Salim merupakan kakitangan yang paling lama bekerja dengannya.

Salim memaklumkan kepada Azman yang dia ingin berubah angin mencari pekerjaan di tempat lain.

Dua bulan kemudian, Azman tiba-tiba mendapat ucapan tahniah bertalu-talu menerusi sms mengatakan beliau telah membuka cawangan baru di Seksyen 20, Shah Alam. Azman yang kehairanan telah pergi ke Shah Alam untuk melihat sendiri cawangan yang dikatakan sebagai cawangan miliknya.

Sampai di Shah Alam, Azman melihat sebuah restoran dengan papan tanda ‘Man-Golek’ sedang dipenuhi dengan pelanggan yang sedang menikmati ayam golek dan pelbagai jenis makanan lain.

Tanpa membuang masa, Azman terus masuk ke restoran tersebut dan bertanya kepada pekerja kedai untuk berjumpa dengan pemilik restoran tersebut. Azman dibawa oleh pekerja tadi naik ke tingkat atas restoran dan membawanya ke sebuah bilik.

Sebaik sahaja pintu bilik terbuka, Azman terkejut kerana yang berada di dalam bilik dengan papan tanda ‘Pengarah Urusan’ adalah Salim. Maka berlakulah pertengkaran antara mereka berdua berkaitan jenama ‘Man-Golek’.

Salim tetap mempertahankan penggunaan jenama tersebut kerana jenama tersebut telahdidaftar sebagai cap dagangan di bawah namanya. Azman yang tidak mahu bertikam lidah lebih panjang pulang ke Alor Setar kebingungan.

Konflik Puluhan Ribu Ringgit

Keesokan harinya, Azman menghubungi peguamnya untuk meminta nasihat berkenaan hal yang telah berlaku. Peguam Azman memaklumkan hanya satu cara sahaja untuk mencabarkesahihan pendaftaran cap dagangan Salim, iaitu memfailkan permohonan pembatalan cap dagangan Salim ke mahkamah.

Namun kos adalah tinggi dan mencecah puluhan ribu ringgit dan kes sebegini biasanya akan mengambil masa bertahun-tahun untuk diselesaikan.



Terdetik kekesalan di hati Azman kerana tidak mengambil peduli untuk mendaftar cap dagangannya sebelum ini. Jika dia mendaftar lebih awal, sudah tentu dia tidak perlu menanggung kos puluhan ribu ringgit untuk membiayai kos guamannya untuk mendapatkan kembali cap dagangannya.

Tambah mengusutkan lagi, dia terpaksa menangguhkan hasratnya untuk membuka cawangan baru di Kuala Lumpur apabila peguam Salim menghantar notis kepada Azman, menghalang Azman daripada menggunakan jenama Man-Golek di dalam perniagaannya.

Notis tersebut memaklumkan bahawa Salim adalah pemilik sah jenama atau cap dagangan Man-Golek berdasarkan sijil pendaftaran yang dikeluarkan oleh pihak Perbadanan Harta Intelek Malaysia.

Sejak dari itu, Azman lebih banyak menumpukan perhatian kepada kes mahkamahnya daripada menguruskan perniagaannya. Sudahlah terpaksa mengeluarkan banyak wang untuk membiayai kos guamannya, perniagaannya pula menjadi tunggang langgang dan pelanggan semakin berkurangan.

Kes mahkamahnya ketika ini masih lagi berlangsung dan tidak nampak tanda-tanda yang kesnya akan selesai dengan segera.
Sumber:majalahniaga.com

7 Tip Bisnes Fahrin Ahmad (Pelakon & Selebriti)


Fahrin Ahmad adalah pelakon yang tidak pernah memenangi anugerah pelakon terbaik, pelakon paling popular dan tiada satu filemnya pun yang meletup.

Fahrin Ahmad - Selebriti dan Pelakon Malaysia
Beliau adalah artis yang fokus kepada reputasi, bukan populariti.
Reputasi beliau menyebabkan dirinya mendapat tajaan daripada syarikat-syarikat besar seperti Celcom, Uniqlo, Garner MEN, dan Shell. Ini adalah maklumat yang diperoleh daripadaMajalah Rezeki bulan Jun 2012.

Belajar Bisnes Cara Fahrin Ahmad

Dalam perniagaan, pentingnya adaptasi. Adaptasi bermaksud kita menggunakan idea-idea daripada keadaan sekeliling, untuk dimuatkan dalam perniagaan kita. Cara ini menampakkan perniagaan kita sentiasa segar dan berinovasi.
Fahrin Ahmad - Duta Shell
Daripada perkongsian temuramah yang dilakukan oleh tim Majalah Rezeki bersama Fahrin Ahmad, terdapat 7 tip perniagaan yang jelas boleh digunakan oleh setiap usahawan.
#1 – Beri Masa 3 Bulan
“Beri saya masa tiga bulan.”
Kata-kata ini diluahkan oleh Fahrin Ahmad supaya dapat memujuk ibunya untuk menerima kerjaya beliau dalam bidang lakonan. Dengan menetapkan tarikh spesifik, beliau berjaya mencipta banyak kejayaan besar dalam masa yang singkat.
Fahrin Ahmad juga menjadikan 3 bulan ini sebagai lonjakan tekanan yang positif. Di mana setiap hari tarikh ini menjadi pencetus semangat dan inspirasi, supaya beliau dapat membuktikan kepada ibunya.
#2 – Reputasi Adalah Duit Masuk
Fahrin Ahmad tidak popular seperti artis-artis lain. Bahkan beberapa kali sahaja kita boleh lihat beliau muncul ruangan artis-artis menerusi akhbar, majalah atau blog hiburan.
Populariti bukan jaminan untuk menarik lebih banyak duit. Wang masuk adalah reputasi. Fahrin Ahmad begitu menjaga nilai dirinya di hadapan khalayak ramai dan juga media.
Beliau percaya, reputasi adalah wang masuk. Perniagaan yang popular bukan jaminan perniagaan itu buat banyak duit.
Manakala perniagaan yang mempunyai reputasi terhadap klien-klien tertentu adalah salah satu faktor mengapa perniagaan itu mempunyai aliran tunai yang masuk lebih banyak.
#3 – Popular Bukan Gambaran Kredibel
Artis popular boleh datang dari pelbagai sudut populariti. Antara yang jelas adalah kontroversi. Kontroversi yang tidak baik bukan gambaran si artis itu berkredibel. Ia memusnahkan nilai artis itu sendiri.
Perniagaan mempunyai prinsip yang sama. Kredibiliti perniagaan lebih penting untukmemastikan pelanggan suka untuk berurusan dengan bisnes kita.
Antara cara meningkatkan kredibiliti dalam perniagaan, adalah menerusi hubungan yang baik dengan pelanggan.
#4 – Imej Adalah Jenama
Apala sebut nama Fahrin Ahmad, imej yang dibawanya cukup mudah diingati orang ramai. Gayanya yang sentiasa mengenakan pakaian yang segak dan bergaya, serta tidak lokek dengan senyuman, itu yang menjadikan imejnya bernilai tinggi.
Dari sudut bisnes, imej yang baik adalah jenama yang berkuasa. Lihat bagaimana Apple mementingkan penampilan visualnya. Mereka melaburkan jutaan ringgit, semata-mata untuk menghasilkan produk yang mempunyai imej luar biasa.
Paparan imej yang baik dapat meningkatkan kepercayaan pelanggan. Kepercayaan ini bertukar menjadi wang besar dalam perniagaan.
#5 – Jujur Itu Emas Berharga
“Apa sahaja yang dipaparkan secara jujur di dalam media, atau apabila berjumpa dengan orang, perkara yang baik akan datang kepada kita.”
Bagi Fahrin Ahmad, kejujuran itu adalah kredibiliti. Penaja yang datang kepada beliau melihat nilai dirinya secara keseluruhan. Walaupun beliau tidak popular, syarikat besar seperti Uniqlo dan Celcom masih tetap mahu menjadikan beliau ikon.
#6 – Jadi Bisnesman Sihat
Fahrin Ahmad - Pemain Ragbi
Aktiviti waktu petang Fahrin Ahmad melibatkan aktiviti yang menyihatkan badan. Oleh sebab itu tubuh badannya sasa, sentiasa ceria dan bertenaga sepanjang hari.

Antara amalan-amalan yang boleh diambil oleh orang bisnes, berdasarkan aktiviti waktu petang Fahrin Ahmad adalah seperti berikut:
  1. Bersenam.
  2. Perkasakan otot badan di gimnasium.
  3. Berlari di sekitar kawasan rumah.
#7 – Fokus Aktiviti Utama Bisnes
Fokus adalah tindakan penting untuk memajukan perniagaan. Dalam dunia selebriti Fahrin Ahmad, fokus utama beliau adalah pengambaran. Aktiviti ini yang akan memberikan aliran tunai terhadap kerjayanya.
Setiap perniagaan ada aktiviti utama setiap hari. Sebagai contoh, aktiviti utama perniagaan berasaskan penerbitan adalah menerbit artikel baru setiap hari.
Manakala aktiviti utama perniagaan tudung adalah memberitahu kewujudan produk tudungnya, kepada golongan wanita di Malaysia.
Sumber:Majalahniaga.com

Saturday, June 16, 2012

Direktori IKS Malaysia

Sila klik di sini untuk melihat direktori usahawan iks malaysia

Sorotan Karnival Usahawan oleh pelatih IKS siri 2/2012


 Terdapat lebih dari 40 pemamer dalam pelbagai bidang perniagaan terdiri dari bekas tentera dan orang awam
 Pelbagai jenis jualan terdiri dari makanan,barangan kecantikan, pakaian dll
 Pada hari tersebut, para pelatih iks siri 2 mengambil inisiatif mengadakan cabutan bertuah memeriahkan lagi karnival tersebut. Terdapat lebih dari 20 hadiah disediakan kepada para pengunjung.
 Gambaran dari bahagian hadapan
 Pameran dan jualan di ruangan dalam melibatkan pemeriksaan kesihatan,produk perkhidmatan dll
Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua pelatih iks siri 2/2012 kerana telah berjaya menguruskan karnival tersebut dengan jayanya.Terima kasih juga kepada semua pemamer dan pengunjung yang hadir.Semoga karnival ini dapat diteruskan di masa akan datang.

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI