Tuesday, June 26, 2012

ROHANI JUTAWAN SYARIKAT BINAAN

Prinsip hidup yang diamalkan wanita bersemangat waja ini senang sahaja. Tiada jalan mudah untuk mengecapi kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi. Setiap cabaran dan dugaan yang mendatang tidak harus dijadikan batu penghalang dalam meniti kejayaan, sebaliknya ia dijadikan panduan supaya diri tidak tergelincir sekiranya sudah berada di puncak.

Itulah pegangan pemilik sebuah syarikat pembinaan, Rohani Baba, 53, dalam usaha meletakkan dirinya sebagai seorang usahawan yang berjaya. Menurutnya, kesabaran dan disiplin adalah aset utama yang menjadi pegangannya sebelum mengambil keputusan menceburi bisnes bersama suami tercinta, Noorman Ismail dengan menubuhkan syarikat Rohani Baba Sdn. Bhd. pada tahun 1979.

“Pada awalnya kami sememangnya tiada langsung kepakaran dalam bidang ini. Saya pula setakat tamat sekolah menengah sahaja. Suami pula mengambil jurusan seni bina ketika belajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur,” ujarnya.

Pada usia 25 tahun, Rohani mendirikan rumah tangga bersama Noorman. Menurutnya: “Saya dan suami ambil keputusan untuk menubuhkan syarikat bisnes kami itu tidak lama selepas bergelar suami isteri.”

Ibu kepada dua orang anak ini membuktikan walau dengan hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia juga mampu mencipta kejayaan sepertimana golongan berpendidikan tinggi yang lain. Menjadikan suaminya sendiri sebagai ikon untuk terus berada di ambang kejayaan, Rohani kini sudah mampu tersenyum bangga melihat segala kemewahan yang berjaya diraihnya hasil kerja keras dalam bisnes yang diusahakannya selama ini bersama suami tercinta.

Kejayaan syarikat miliknya menjana keuntungan mencecah berjuta-juta ringgit, hasil daripada projek yang kebanyakannya diperoleh daripada sektor kerajaan, Rohani bagaimanapun mengakui bukan mudah untuk berada di dalam bisnes tersebut.

“Seingat saya, projek pertama yang kami dapat ialah projek bernilai RM10 juta di Pulau Pinang. Ketika itu kami dapat tender untuk membina bangunan untuk kuarantin barangan. Bermula dari situ, kami mula berusaha untuk mendapatkan lebih banyak projek,” katanya.

Menurut Rohani, antara projek yang diusahakan syarikatnya termasuklah membina masjid, sekolah, asrama dan juga bangunan-bangunan kerajaan. Dalam pada itu, Rohani memberitahu, cabaran terbesar dalam meluaskan empayar perniagaannya ialah ketika negara menghadapi krisis ekonomi pada tahun 1998.

“Projek terbesar yang pernah diperoleh syarikat kami bernilai RM25 juta. Saya dan suami terpaksa mengerah keringat siang dan malam demi memastikan bisnes yang kami usahakan tidak terhenti begitu sahaja. Saya tak nafikan bisnes kami agak teruk ketika itu, terutama disebabkan tekanan yang timbul daripada beberapa masalah. Selain daripada kesukaran mendapat projek baru, dalam perniagaan, biasalah, mesti ada yang tak suka dan dengki. Ada sahaja pihak yang cuba mencantas projek yang diusahakan syarikat kami itu. Namun, alhamdulillah rezeki tetap ada walaupun banyak halangan, biarpun begitu, saya bersyukur kerana suami saya seorang yang sangat tabah. Dia banyak bersabar dan dengan hasil usahanya yang tanpa mengenal erti jemu, perniagaan kami sekeluarga dapat diselamatkan.”luah Rohani.

Menyentuh pula mengenai gaya hidupnya, Rohani dengan rendah diri menyatakan semua yang diperolehnya hari ini adalah rezeki yang telah diberikan oleh Tuhan. Berbicara lanjut, Rohani menegaskan dia tidak gemar membeli barangan dari jenama luar negara.

“Saya bukanlah seorang yang suka membeli-belah. Kesemua pakaian saya dibuat di butik Radzuan Radziwill, Saya sendiri pun dah selesa dengan rekaan dia sejak dulu lagi dan setia dengan Radzuan seorang sahaja. Barangan rumah termasuk langsir pun dia yang jahitkan. Kalau melancong pula memang jarang. Kali terakhir kami melancong ke luar negara ialah pada tahun 1990, di London. Sejak itu kami tidak lagi melancong sebab masing-masing sibuk kecuali jika ada kelapangan kami akan terbang ke Indonesia,” tuturnya yang memiliki hobi menanam bunga.

Sebagai usahawan, ibu dan isteri, Rohani tidak menafikan kadangkala dia juga berhadapan dengan masalah pembahagian waktu.

Walau bagaimanapun, Rohani lebih memberi penekanan kepada keluarga dengan memperuntukkan waktu lapang sebagai waktu bersama insan-insan yang amat disayanginya itu. Rohani ternyata bukan sahaja berjaya sebagai usahawan, tetapi juga sebagai seorang ibu. Ia terbukti apabila kedua-dua anaknya kini dipertanggungjawabkan mengendalikan syarikatnya itu. Menjadi harapan kepada wanita ini untuk membuka cabang bisnes baru seperti butik ke seluruh negeri di Malaysia.

“Anak sulung saya, Neiry kini memegang jawatan sebagai pengarah urusan syarikat, sementara anak bongsu saya pula, Reyni sebagai salah seorang pengarah syarikat, saya berazam untuk membuka sebuah butik yang berkonsepkan pakaian muslimah bagi keperluan wanita,” akhirinya.

No comments:

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI