Monday, June 25, 2012

9 Tip Daftar Cap Dagangan (Do & Don’ts)


Sepanjang saya mengendalikan proses permohonan cap dagangan, saya telah menemui pelbagai jenis dan versi cap dagangan yang dicipta oleh para usahawan kita.

Ada cap dagangan yang baik untuk didaftarkan dan ada juga yang tidak sesuai untuk didaftarkan, kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Akta Cap Dagangan 1976.

Seksyen 10 & 14 Akta Cap Dagangan 1976 telah menggariskan beberapa panduan cap dagangan yang boleh dan tidak boleh didaftarkan.

Panduan ini perlu diikuti untuk memastikan permohonan cap dagangan mendapat kelulusan daripada pihak Pendaftar Cap Dagangan Malaysia.

Untuk memudahkan kefahaman usahawan sekalian, saya ringkaskan panduan ini kepada berikut:

Jenis Cap Dagangan yang Sesuai

#1 – Guna Nama Syarikat

Nama syarikat yang unik dan tidak mempunyai kaitan dengan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan adalah cap dagangan yang baik untuk didaftarkan.

Sebagai contoh, cap dagangan Celcom, Maxis, Nestle dan Samsung adalah cap dagangan berdaftar yang diambil daripada nama syarikat.

Walaubagaimanapun, nama syarikat seperti Perusahaan Tekstil Sdn Bhd, Kedai Makan Enterprise dan  Klinik Telinga tidak sesuai untuk didaftarkan sebagai cap dagangan.

Kerana nama syarikat atau perniagaan tersebut mempunyai kaitan dengan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.

#2 – Unik dan Kombinasi Multimedia

Cap dagangan yang mempunyai logo, imej, rajah atau bentuk adalah cap dagangan yang baik.

Cap-cap dagangan seperti Proton, Nestle, KFC dan LG ditampilkan dalam bentuk logo dan imej yang unik adalah contoh cap dagangan yang baik.

#3 – Perkataan Tidak Mempunyai Makna

Perkataan yang dicipta atau tidak mempunyai sebarang makna di dalam bahasa tempatan adalah cap dagangan yang baik.

Sebagai contoh, cap dagangan Adidas, Nike dan Nintendo adalah contoh perkataan yang dicipta, atau perkataan yang tidak mempunyai makna di dalam bahasa tempatan yang telah dijadikan sebagai cap dagangan.

#4 – Perkataan Tidak Merujuk Kepada Produk

Cap dagangan yang menggunakan perkataan sedia ada yang tidak merujuk kepada produk atau perkhidmatan yang ditawarkan, adalah cap dagangan yang baik.

Cap Dagangan Apple untuk komputer, Citizen untuk Jam, Windows untuk perisian dan Puma untuk pakaian adalah contoh cap dagangan yang baik.

Ia menggunakan perkataan sedia ada tetapi tidak menggambarkan atau merujuk produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.

Jenis Cap Dagangan yang Tidak Sesuai

#1 – Perkataan Merujuk Produk

Cap-cap dagangan seperti:

Apple untuk buah epal,
Ayam sedap untuk produk ayam,
Mi halus untuk mi,
Kerepek rangup untuk kerepek,
Kedai makan nasi campur untuk kedai makan,
Perkhidmatan dobi untuk kedai dobi.
Kesemua jenis yang disebutkan di atas adalah cap dagangan yang tidak baik dan tidak boleh didaftarkan.

#2 – Menggunakan Nama Tempat Di Malaysia

Elakkan daripada menggunakan nama-nama tempat seperti Bangi, Kajang, Gemas, Seremban dan Ipoh sebagai cap dagangan kerana ia tidak sesuai untuk didaftarkan.

Namun, nama-nama tempat luar Malaysia yang tidak mempunyai sebarang kepentingan atau tidak wujud di Malaysia boleh dipertimbangkan untuk pendaftaran.

#3 – Mempunyai Simbol atau Perkataan Berikut:

Perkataan ‘Patent’, ‘Patented’, ‘By Royal Letters Patent’, ‘Registered’, ‘Registered Design’ and ‘Copyright’.
Perkataan ‘To counterfeit this is forgery’, ‘Registered Trade Mark’, ‘Registered Service Mark’ atau perkataan yang sama di dalam sebarang bahasa.
Perkataan ‘Bunga Raya’ dan imej bunga raya.
Perkataan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong dan Raja-Raja Negeri.
Representasi atau imej istana atau sebarang bangunan milik kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri.
Perkataan dan logo ‘ASEAN’.
Perkataan ‘Red Crescent’ atau ‘Geneva Cross’ dan representasi Red Crescent, the Geneva Cross dan sebarang imej palang bewarna merah, atau representasi Swiss Federal Cross di dalam warna putih atau perak pada latar merah.

#4 – Wujud Elemen Ancaman

Cap-cap dagangan yang memaparkan perkataan atau imej lucah, perkataan kesat, dan simbol-simbol yang boleh menggugat keselamatan negara adalah contoh cap dagangan yang tidak boleh didaftarkan.

#5 – Ada Lambang atau Jata Tentera Diraja

Panduan di atas adalah panduan asas berdasarkan Akta Cap Dagangan 1976 dan pengalaman saya sepanjang mengendalikan proses permohonan cap dagangan.

Untuk maklumat lanjut, para usahawan sekalian boleh menghubungi saya atau mendapatkan konsultasi ejen cap dagangan berdekatan.

Semoga perkongsian di atas membantu usahawan mencipta cap dagangan yang baik untuk dijadikan sebagai jenama produk atau perkhidmatan yang ditawarkan mereka.

Kredit: China Daily, Soya Cincau
Ditulis oleh Azizi Zulkefli pada 25 Jun 2012 dalam Tip Perniagaan 
Sumber: majalahniaga.com

No comments:

MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)

M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN

M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN

M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN

M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN

M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN

M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN

M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN

M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI