Kisah di bawah merupakan adaptasi daripada kisah benar yang berlaku dalam dunia keusahawanan hari ini. Semoga kisah yang dipaparkan diambil pengajaran oleh semua usahawan, bagi mengelakkan perkara yang sama berlaku di dalam perniagaan kita.
Azman merupakan seorang usahawan yang mengendalikan perniagaan menjual ayam golekdi bawah jenama Man-Golek di utara tanah air. Ayam golek Azman amat popular dan mendapat sambutan hangat daripada penduduk setempat. Malah, terdapat juga pelanggan-pelanggan yang datang dari jauh semata-mata untuk menikmati kelazatan ayam golek Man-Golek yang beroperasi di Bandar Alor Setar, Kedah.
Selepas dua tahun beroperasi, Azman telah berjaya membuka tiga cawangan baru restorannya di Kulim, Ipoh dan Kangar dan hasil jualan tahunannya dari semua cawangan mencecah jutaan ringgit.
Ini hasil daripada promosi yang diadakan menerusi pelbagai medium terutama di media elektronik dan akhbar.
Salim merupakan pekerja di bahagian operasi di dalam perniagaan ayam golek kendalian Azman di Alor Setar. Tugas Salim adalah memastikan stok-stok ayam mencukupi untukmenampung permintaan para pelanggan.
Salim adalah antara pekerja yang terawal yang diambil bekerja dengan Azman, dan beliau telah mahir selok belok perniagaan ayam golek Azman.
Kesedaran Terhadap Cap Dagangan
Suatu pagi, semasa berurusan dengan pembekal ayam untuk semua cawangan Man-Golek, Salim telah diberikan satu risalah berkenaan pendaftaran cap dagangan oleh pembekal ayam tadi.
Risalah tadi adalah risalah kempen kesedaran pendaftaran cap dagangan, yang telah diedarkan oleh pihak Perbadanan Harta Intelek Malaysia kepada usahawan-usahawan perusahaan kecil dan sederhana. Selepas membaca risalah tadi, tercetus persoalan di fikiran Salim sama ada Azman telah pun mendaftar jenama Man-Golek sebagai cap dagangan.
Keesokkan harinya, Salim telah menghubungi pihak Perbadanan Harta Intelek Malaysia untuk bertanyakan tentang proses pendaftaran cap dagangan.
Selepas diberi penerangan oleh salah seorang pegawai Perbadanan, Salim dicadangkan untuk menghubungi seorang ejen cap dagangan, bagi mengendalikan proses pendaftaran cap dagangan bagi pihaknya memandangkan Salim tidak mempunyai masa untuk berulang-alik dari Kedah ke Kuala Lumpur untuk melakukan sendiri proses pendaftaran.
Salim dengan segera menghubungi ejen cap dagangan yang dicadangkan oleh pegawai tadi, dan meminta sebut harga bagi memproses permohonan pendaftaran cap dagangan.
Selepas bersetuju dengan sebut harga yang diberi, Salim meminta ejen cap dagangan tadi untuk membuat carian bagi mengetahui sama ada jenama Man-Golek telah didaftarkan sebagai cap dagangan. Keesokkan harinya, Salim telah menerima e-mel daripada ejen cap dagangannya memberikan keputusan carian. Keputusan carian menunjukkan jenama Man-Golek masih belum didaftarkan sebagai cap dagangan.
Ejen cap dagangan tersebut mencadangkan untuk membuat permohonan secepat mungkin bagi mengelakkan jenama Man-Golek didaftarkan oleh pihak lain.
Bermulanya Kisah Hitam Azman
Salim terus memberikan arahan kepada ejen tersebut untuk membuat permohonan pendaftaran cap dagangan Man-Golek, cuma bukan di bawah nama perniagaan Azman, tetapi di bawah namanya sendiri.
Salim memberitahu ejen cap dagangan tersebut bahawa jenama Man-Golek adalah miliknya dan beliau ingin mendaftarkan jenama tersebut di bawah namanya atas alasan strategi perniagaan.
Ejen cap dagangan yang tidak tahu perkara sebenar telah memproses permohonan Salim dan menghantar permohonan tersebut ke pejabat Pendaftar Cap Dagangan di Kuala Lumpur.
Beberapa bulan kemudian, permohonan Salim telah diluluskan dan sijil pendaftaran cap dagangan Man-Golek dengan nama Salim sebagai pemilik telah dikeluarkan.
Beberapa hari selepas Salim menerima sijil pendaftaran tadi, Salim telah meletakkan jawatannya dalam perniagaan Azman. Azman yang telah menganggap Salim seperti adik sendiri cukup berat untuk melepaskan Salim, memandangkan Salim merupakan kakitangan yang paling lama bekerja dengannya.
Salim memaklumkan kepada Azman yang dia ingin berubah angin mencari pekerjaan di tempat lain.
Dua bulan kemudian, Azman tiba-tiba mendapat ucapan tahniah bertalu-talu menerusi sms mengatakan beliau telah membuka cawangan baru di Seksyen 20, Shah Alam. Azman yang kehairanan telah pergi ke Shah Alam untuk melihat sendiri cawangan yang dikatakan sebagai cawangan miliknya.
Sampai di Shah Alam, Azman melihat sebuah restoran dengan papan tanda ‘Man-Golek’ sedang dipenuhi dengan pelanggan yang sedang menikmati ayam golek dan pelbagai jenis makanan lain.
Tanpa membuang masa, Azman terus masuk ke restoran tersebut dan bertanya kepada pekerja kedai untuk berjumpa dengan pemilik restoran tersebut. Azman dibawa oleh pekerja tadi naik ke tingkat atas restoran dan membawanya ke sebuah bilik.
Sebaik sahaja pintu bilik terbuka, Azman terkejut kerana yang berada di dalam bilik dengan papan tanda ‘Pengarah Urusan’ adalah Salim. Maka berlakulah pertengkaran antara mereka berdua berkaitan jenama ‘Man-Golek’.
Salim tetap mempertahankan penggunaan jenama tersebut kerana jenama tersebut telahdidaftar sebagai cap dagangan di bawah namanya. Azman yang tidak mahu bertikam lidah lebih panjang pulang ke Alor Setar kebingungan.
Konflik Puluhan Ribu Ringgit
Keesokan harinya, Azman menghubungi peguamnya untuk meminta nasihat berkenaan hal yang telah berlaku. Peguam Azman memaklumkan hanya satu cara sahaja untuk mencabarkesahihan pendaftaran cap dagangan Salim, iaitu memfailkan permohonan pembatalan cap dagangan Salim ke mahkamah.
Namun kos adalah tinggi dan mencecah puluhan ribu ringgit dan kes sebegini biasanya akan mengambil masa bertahun-tahun untuk diselesaikan.
Terdetik kekesalan di hati Azman kerana tidak mengambil peduli untuk mendaftar cap dagangannya sebelum ini. Jika dia mendaftar lebih awal, sudah tentu dia tidak perlu menanggung kos puluhan ribu ringgit untuk membiayai kos guamannya untuk mendapatkan kembali cap dagangannya.
Tambah mengusutkan lagi, dia terpaksa menangguhkan hasratnya untuk membuka cawangan baru di Kuala Lumpur apabila peguam Salim menghantar notis kepada Azman, menghalang Azman daripada menggunakan jenama Man-Golek di dalam perniagaannya.
Notis tersebut memaklumkan bahawa Salim adalah pemilik sah jenama atau cap dagangan Man-Golek berdasarkan sijil pendaftaran yang dikeluarkan oleh pihak Perbadanan Harta Intelek Malaysia.
Sejak dari itu, Azman lebih banyak menumpukan perhatian kepada kes mahkamahnya daripada menguruskan perniagaannya. Sudahlah terpaksa mengeluarkan banyak wang untuk membiayai kos guamannya, perniagaannya pula menjadi tunggang langgang dan pelanggan semakin berkurangan.
Kes mahkamahnya ketika ini masih lagi berlangsung dan tidak nampak tanda-tanda yang kesnya akan selesai dengan segera.
Sumber:majalahniaga.com
Sebagai pusat informasi setempat untuk pelatih kursus Pembangunan Keusahawanan Industri Kecil dan Sederhana (IKS)selama 6 bulan di PERHEBAT dan untuk mengumpul para usahawan bekas tentera dalam pelbagai bidang perniagaan dalam satu komuniti bersepadu. Semoga memberikan peluang yang luas kepada bakal pesara tentera mahu pun pesara tentera dalam menceburi bidang keusahawanan.Hubungi 03-61569412 samb. 1170
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
MODUL KURSUS USAHAWAN IKS (NORMA BARU)
M01 : PENGENALAN KEPADA KEUSAHAWANAN
M02 : PENGURUSAN PRODUK DAN PERKHIDMATAN
M03 : RANCANGAN PERNIAGAAN
M04 : PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN
M05 : PENGURUSAN PEMASARAN DAN JUALAN
M06 : PENGURUSAN OPERASI PERNIAGAAN
M07 : PENGURUSAN KEWANGAN PERNIAGAAN
M08 : LATIHAN DALAM INDUSTRI
No comments:
Post a Comment